Friday, April 14, 2017

Sambutan Hari Perisytiharan Melaka Sebagai Bandaraya Bersejarah

Sambutan Hari Perisytiharan Melaka Sebagai Bandaraya Bersejarah

Sambutan Hari Pengisytiharan Melaka Bandaraya Bersejarah yang disambut pada setiap 15 April setiap tahun merupakan hari kelepasan am bagi negeri Melaka bersempena sambutan ulangtahun pengisytiharan Melaka sebagai Bandaraya Bersejarah yang diiktiraf oleh Pertubuhan, Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Melaka Bersejarah

Selain diisytiharkan sebagai Bandaraya Bersejarah, Melaka juga telah mendapat pengiktirafan sebagai Bandar Warisan Dunia pada tahun 2008 dari UNESCO dan yang terbaru telah mendapat status negeri Maju pada 20.10.2010 yang lalu.

Melaka Bandaraya Bersejarah

Negeri Melaka, negeri yang tertua di Malaysia, mengandungi tinggalan dan warisan sejarah negara yang kaya bermula dari Zaman Kesultanan Melayu Melaka, Portugis, Belanda, Inggeris, Jepun, perjuangan nasionalisme hinggalah ke peristiwa Perisytiharan Tarikh Kemerdekaan Negara.

Memandangkan kekayaan sejarah yang berbagai-bagai ini, konvensyen Perisytiharan Melaka sebagai Bandaraya Bersejarah pada 15 April 1987 telah merumuskan bahawa Kerajaan Persekutuan Malaysia mengiktiraf Melaka sebagai Bandaraya Bersejarah Malaysia.

Dengan pengiktirafan ini, Kerajaan Negeri Melaka akan dapat bertindak dengan lebih berkesan, meluas dan tegas untuk melayak dan melengkapkan bandaraya ini sesuai dengan jangkaan dan status bersejarah tersebut.

Pengiktirafan ini seterusnya meletakkan Malaysia sebaris dengan negara-negara yang telah mempunyai Bandaraya Bersejarah seperti Maghribi dengan Bandaraya Bersejarah Fez, Portugal dengan Bandaraya Bersejarah Lisbon dan Itali dengan Bandaraya Bersejarah Venice.

Ia kelak akan lebih memasyhurkan nama Malaysia di mata dunia dan akan menjadi warisan seluruh rakyat Malaysia yang cinta dan kasih pada masa depan negara.

Maka, untuk memenuhi cita-cita dan aspirasi ini, Kerajaan Persekutuan Malaysia telah bersetuju dengan rasminya untuk mengisytiharkan Melaka yang kaya dengan sejarahnya sebagai Bandaraya Bersejarah pada 15 April 1989.

Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan

Bangunan Kelab Melaka

Proklamasi kemerdekaan pada 20hb Februari 1956, oleh YTMTuanku Abdul Rahman Putra Al-Haj telah diumumkan di Padang Bandar Hilir (Padang Pahlawan) Melaka.

Bagi memperingati detik bersejarah ini, Kerajaan Melaka telah memilih Bangunan Kelab Melaka untuk dijadikan 'Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan'.

Sejak 31hb Ogos 1985, bangunan lama (bina pada 1911) ini telah menjadi Pusat Pameran yang mengandungi bahan-bahan peristiwa bersejarah mengenai perjuangan kemerdekaan negara.

Bahan pameran mengandungi dokumentasi bersejarah, gambar, pita, majalah, rakaman ucapan penting, minit mesyuarat dan lain-lain yang akan dapat menimbulkan kesedaran generasi sekarang akan perjuangan rakyat menuntut kemerdekaan.

Porta De Santiago

Porta De Santiago

Porta De Santiago adalah satu daripada empat pintu gerbang Kota Portugis yang mengelilingi Bukit St. Paul.

Semasa peperangan di antara Portugis dan Belanda pada tahun 1641 kotanya telah mengalami kerosakan. Belanda telah membaiki kota tersebut dan kerja pembaikannya selesai pada tahun 1670.

Apabila British mengambil alih Melaka pada tahun 1795 mereka memecahkan keseluruhan kota tersebut, walau bagaimanapun campurtangan Stamford Raffles telah dapat menyelamatkan pintu gerbang ini.

Istana Kesultanan Melaka

Istana Kesultanan Melaka

Bangunan ini merupakan replika Istana Kesultanan Melaka yang didirikan di satu kawasan Kompleks Sejarah yang paling strategik di negeri ini.

Di istana inilah tempat menapaknya kegemilangan tamadun Melayu.

Bangunan replika Istana Kesultanan Melayu ini merupakan Muzium Budaya yang mempamerkan khazanah budaya Melaka.

Selamat menyambut Hari Perisytiharan Melaka Sebagai Bandaraya Bersejarah.

BACA INI JUGA: 10 Bandaraya Pilihan Pelancong Dunia

sumber: sampulfdc