Monday, July 31, 2017

Sambutan Hari Pahlawan, Upacara Menghormati Pengorbanan Pahlawan Negara

Sambutan Hari Pahlawan, Upacara Menghormati Pengorbanan Pahlawan Negara

Setiap kali tanggal 31 Julai, Sambutan Hari Pahlawan disambut bagi mensyukuri keamanan yang dikecapi negara sehingga membolehkan pembangunan berjalan tanpa sebarang ancaman daripada anasir-anasir tidak bertanggungjawab yang ingin menghuru-harakan kemakmurannya.

Sambutan Hari Pahlawan

Negara merakamkan sejarah keramat setiap kali 31 Julai yang menjadi tradisi bagi menyambut Hari Pahlawan selaras dengan tamatnya darurat menentang pengganas komunis pada Julai tahun 1960 lalu.

Upacara menghormati pengorbanan dan jasa kepahlawanan negara ini telah menjadi azimat kekuatan kepada bangsa untuk bangkit sejak tahun 1963 lagi.

Sambutan itu bertujuan untuk memperingati jasa dan pengorbanan perajurit yang terkorban dalam mempertahankan kedaulatan negara.

Simboliknya pahlawan adalah orang yang gagah dan berani, pejuang yang gagah dan perwira yang ditakuti.

Oleh itu, Hari Pahlawan boleh diertikan dengan hari memperingati pahlawan yang terkorban di medan perang dalam mempertahankan kedaulatan negara daripada ancaman musuh.

Pahlawan negara seharusnya menjadi sejarah yang sentiasa dikenang kerana telah mencipta ketamadunan negara sekali gus menjadi bangsa tuan kepada bumi bertuah ini.

Perjuangan mereka sama ada di era sebelum merdeka mahupun pasca merdeka terus menjadi titik tolak bagi permulaan dalam kandungan sejarah negara.

Semasa pemerintahan British, Hari Pahlawan dikenali sebagai Poppy Day sempena nama bunga Poppy.

Konvensyen Geneva pada tahun 1945 secara ringkas menggariskan larangan membunuh atau menyerang tentera yang cedera, tidak sedarkan diri dan telah meletakkan senjata atau tidak berupaya untuk berperang.

Mengambil semangat daripada pengiktirafan ini, selepas tamatnya Perang Dunia Kedua yang dikenang di seluruh dunia menjadikan tarikh itu telah ditetapkan oleh kerajaan pimpinan Perdana Menteri Pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj untuk memperingati jasa perajurit angkatan tentera dan polis yang terlibat secara langsung dalam kemelut perebutan dengan beberapa pihak berkepentingan dan berlarutan selama bertahun-tahun selepas negara mencapai kemerdekaan.

Sudah menjadi tradisi setiap tahun tarikh 31 Julai merupakan tarikh sambutan Hari Pahlawan sama ada di peringkat kebangsaan mahu pun negeri bagi mengenang jasa pahlawan negara.

Selamat menyambut hari pahlawan.

BACA INI JUGA: Bagaimana Komando Malaysia Dilatih!?

sumber: utusan