Friday, April 26, 2019

Hukumnya Wajib Menghadiri Jemputan Majlis Perkahwinan

Hukumnya Wajib Menghadiri Jemputan Majlis Perkahwinan

Menurut kitab Al-Feqh al-Manhaji, Al-Walimah diambil dari perkataan ﺍﻟﻮﻟْﻢ yang membawa erti berhimpun atau berkumpul, dinamakan dengan yang demikian itu kerana kedua pasangan suami isteri berkumpul padanya (majlis perkahwinan).

Majlis Kahwin

Kemudian disebutkan, al walimah merupakan makanan perkahwinan atau kesemua makanan yang dibuat untuk dijemput (orang ramai) dan selainnya. Rujuk Al-Feqh al-Manhaji (2/92).

Wajib

Secara umumnya, menghadiri kenduri perkahwinan adalah suatu perkara yang diperintahkan. Dan seperti yang diketahui bahawa setiap kata perintah yang terdapat di dalam Al-Quran dan Al-Sunnah membawa kepada hukum wajib, melainkan jika terdapat petunjuk-petunjuk lain yang mengalihkan hukum wajib tersebut.

Hukum Menghadiri dan Memenuhi Jemputan

Para fuqaha berbeza pendapat berkenaan hukum menghadiri jemputan ini dengan melihat kepada jenis dan kategori jemputan tersebut sama ada ia merupakan jemputan kenduri perkahwinan atau jemputan-jemputan selainnya.

Kami ringkaskan seperti berikut:

Hukum Menghadiri Jemputan Majlis Perkahwinan

Majoriti para ulama menyatakan bahawa hukum memenuhi jemputan perkahwinan adalah wajib. Ini berdalilkan sebuah hadis daripada Ibn Umar r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ﺇِﺫَﺍ ﺩُﻋِﻲَ ﺃَﺣَﺪُﻛُﻢْ ﺇِﻟَﻰ ﺍﻟْﻮَﻟِﻴﻤَﺔِ ﻓَﻠْﻴَﺄْﺗِﻬَﺎ

Maksudnya: "Apabila salah seorang kamu dijemput ke majlis perkahwinan (walimah), maka hadirlah ia." (Riwayat Muslim 1053)

Hukum wajib tersebut diambil daripada perkataan Nabi S.A.W ﻓَﻠْﻴَﺄْﺗِﻬَﺎ yang merupakan kata perintah yang membawa hukum wajib secara asasnya di sisi kaedah fekah.

Imam Al-Nawawi dalam syarahan beliau ke atas hadis di atas berkata, ‘’Pendapat paling sahih dalam mazhab kami, hukum menghadiri kenduri perkahwinan adalah fardhu ‘ain bagi mereka yang dijemput, akan tetapi kewajipan tersebut gugur disebabkan beberapa keuzuran berikut:

1. Sekiranya ada syubhah makanan.

Secara asasnya, sekiranya seseorang itu mengetahui terdapatnya kemungkaran di majlis tertentu, maka wajib ke atasnya untuk mencegah kemungkaran tersebut sekiranya dia mampu mengubahnya.

Manakala sekiranya dia tidak mampu, hendaklah dia tidak menghadiri majlis tersebut.

2. Mengkhususkan orang-orang kaya sahaja untuk hadir.

Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa beliau berkata:

ﺷَﺮُّ ﺍﻟﻄَّﻌَﺎﻡِ ﻃَﻌَﺎﻡُ ﺍﻟْﻮَﻟِﻴﻤَﺔِ ﻳُﺪْﻋَﻰ ﻟَﻬَﺎ ﺍﻷَﻏْﻨِﻴَﺎﺀُ ﻭَﻳُﺘْﺮَﻙُ ﺍﻟْﻔُﻘَﺮَﺍﺀُ

Maksudnya: "Seburuk-buruk makanan adalah makanan pada majlis perkahwinan yang dijemput padanya orang-orang kaya dan ditinggalkan (tidak dijemput) orang-orang miskin." (Riwayat Ibn Majah (1913))

3. Majlis perkahwinan dzimmi (orang bukan Islam).

Maka pendapat yang sahih di sisi mazhab Imam Al-Syafie adalah tidak wajib untuk menghadirinya.

Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. beliau berkata bahawa Rasulullah SAW dalam menyatakan hak (tanggungjawab) seorang muslim ke atas seorang muslim yang lain antaranya:

ﻭَﺇِﺫَﺍ ﺩَﻋَﺎﻙَ ﻓَﺄَﺟِﺒْﻪُ

Maksudnya: "Dan apabila dia menjemput kamu (ke sesuatu majlis) maka hendaklah kamu menerimanya (menghadirinya)." (Riwayat Muslim (2162))

Ini berhujahkan bahawa yang menjadi kewajipan apabila undangan datang dari umat Islam itu sendiri.

Adapun hukum menghadiri majlis perkahwinan orang bukan Islam maka kami nyatakan bahawa para ulama’ mazhab Syafi’e berpandangan, hukum menghadiri jemputan walimah orang bukan Islam ialah sunat sekiranya jemputan itu datang daripada kaum keluarga dan jiran tetangga atau jika kehadiran kita akan memberi manfaat kepada dakwah Islam. (Rujuk Nihayah Al- Muhtaj, Al-Ramli (6/371).)

Ini juga dipersetujui oleh Imam al-Mardawi dari mazhab Hanbali, yang turut menyebut keharusan menghadiri walimah orang bukan Islam dengan memetik pandangan Imam Ahmad dan Ibn Qudamah. (Rujuk Al-Insaf, Al-Mardawi (8/320)).

Kami juga menambah beberapa keuzuran lain seperti berikut:
  • Ini mengguna pakai keuzuran-keuzuran yang membolehkan seseorang itu tidak menghadiri solat Jumaat.
  • Kenduri perkahwinan tersebut jauh dari kediaman mereka yang dijemput.
  • Kesibukan seperti tokoh-tokoh politik, agama dan juga pemimpin masyarakat.
  • Banyaknya jemput dalam hari yang sama di tempat-tempat yang jauh jaraknya.
  • Kesesakan lalu lintas, hujan lecah dan seumpamanya.

Kata Dr. Wahbah Al-Zuhaili: ‘’Antara keuzuran yang menggugurkan kewajipan untuk memenuhi jemputan adalah: Banyaknya kesesakan, hujan lebat, jalan lecah, sakit, dan seumpamanya." (Rujuk Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuh, Al-Zuhaili (9/6622))

Kata Imam Al-Nawawi lagi: ‘’Dan Al-Qadhi telah menukilkan kesepakatan para ulama dalam menyatakan wajibnya menyahut (menghadiri) jemputan walimah al-‘urs (majlis perkahwinan)." (Rujuk Al-Minhaj, Al-Nawawi (9/570))

Begitu juga berdalilkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

ﻭَﻣَﻦْ ﻟَﻢْ ﻳُﺠِﺐِ ﺍﻟﺪَّﻋْﻮَﺓَ ﻓَﻘَﺪْ ﻋَﺼَﻰ ﺍﻟﻠَّﻪَ ﻭَﺭَﺳُﻮﻟَﻪُ

Maksudnya: "Dan sesiapa yang tidak menyahut jemputan (dengan menghadirinya), sesungguhnya dia telah menderhakai Allah dan Rasul-Nya." (Riwayat Muslim (1432))

Ini bermaksud tidak menghadiri jemputan majlis perkahwinan dianggap sebagai suatu maksiat kepada Allah SWT dan tidaklah perbuatan itu dianggap maksiat melainkan pada meninggalkan yang wajib.

HUKUM HADIR JEMPUTAN MAJLIS SELAIN PERKAHWINAN ADALAH MUSTAHAB

Para ulama menyatakan bahawa hukum memenuhi jemputan menghadiri majlis selain dari majlis perkahwinan, seperti majlis keraian, majlis perpisahan, majlis akikah dan seumpamanya adalah mustahab (iaitu sunat).

Kata Imam Al-Nawawi: ‘’Adapun selainnya (iaitu selain jemputan perkahwinan), maka ada dua pendapat di sisi ashab kami.

Pertama, hukum menghadirinya adalah sama seperti walimatul ‘urus. Pendapat kedua, hukum memenuhi jemputan tersebut adalah mustahab."

Beliau juga turut menukilkan pendapat Imam Malik dan jumhur yang menyebut: ‘’Tidak wajib memenuhi jemputan (selain majlis perkahwinan)’’. Rujuk Al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, Al-Nawawi (9/570) .

HUKUM MENJEMPUT HADIR KE MAJLIS PERKAHWINAN MELALUI FACEBOOK EVENT

Dalam perkembangan masa kini, banyak berlaku perubahan dalam gaya hidup termasuklah isu jemputan ke majlis perkahwinan.

Justeru kami menyatakan beberapa kaedah asas yang berkaitan dengan isu ini, antaranya:

ﺍﻟﻌﺎﺩﺓ ﻣﺤﻜَّﻤﺔ

Maksudnya: "Adat itu menjadi penentu hukum."

Ini bermakna, adat itu boleh menjadi penentu atau pemutus hukum dalam permasalahan-permasalahan yang berlaku.

Yang mana permasalahan tersebut tidak terdapat padanya dalil-dalil yang jelas dalam menjelaskan hukumnya.

Justeru secara umumnya, hukum bagi perbuatan ini adalah harus. Ini juga bertepatan dengan sebuah kaedah fiqh yang menyebut:

ﺍﻟﻮَﺳَﺎﺋِﻞُ ﻟَﻬَﺎ ﺃَﺣْﻜَﺎﻡ ﺍﻟﻤَﻘَﺎﺻِﺪ

Maksudnya: "Wasilah-wasilah mengambil pakai hukum maqasid."

Justeru, sekiranya tujuan seseorang itu benar-benar ingin menjemput orang ramai hadir ke majlis perkahwinannya, adalah dibolehkan untuk dia menggunakan apa sahaja wasilah menjemput yang harus sama ada melalui lisan, kad jemputan, atau aplikasi media sosial seperti facebook, twitter dan seumpamanya.

Kesimpulan

Sebagai penutup kami menyatakan bahawa secara kebiasaannya jemputan yang datang dalam bentuk facebook event ini sekadar proses pemudah cara dalam menentukan jumlah bilangan individu yang akan hadir ke majlis perkahwinan tersebut dari kalangan rakan-rakan facebook pengantin.

Bahkan kebiasaannya mereka akan menyebut bahawa kad jemputan akan menyusul sekiranya kita menekan pilihan going (akan hadir).

Meskipun begitu, sekiranya jemputan itu datang dalam bentuk yang umum seperti jemputan perkahwinan di majlis yang terdapat di dalamnya ramai orang dan kita berada dalam group tersebut, maka tidak menjadi tuntutan (kewajipan) untuk kita menghadirinya di sisi majoriti ulama.

Demikian juga kita katakan kepada isu jemputan yang datang melalui facebook event, kumpulan whats app (whatsapp group) dan sebagainya yang datang dalam bentuk jemputan umum.

Oleh yang demikian, secara asasnya wajib bagi anda untuk memenuhi undangan perkahwinan yang ditujukan khas kepada anda meskipun ia dijemput melalui facebook.

Tambahan pula ia turut disertakan pula dengan jemputan yang sama melalui medium-medium lain seperti jemputan secara berhadapan, kad jemputan dan selainnya.

Hukum wajib ini sekiranya anda tidak ada sebarang keuzuran yang menghalang. Namun, jika anda tidak dapat menghadirinya disebabkan terdapatnya keuzuran-keuzuran seperti yang telah kami nyatakan, maka ia tidaklah dianggap sebagai berdosa.

Sebaiknya, sampaikanlah permohonan maaf kepada mereka yang menjemput serta perbanyakkanlah berdoa kepada pasangan yang melangsungkan perkahwinan agar mendapat rahmat dan berkat dari Allah SWT.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang tepat kepada kita dalam beragama.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: muftiwp

Friday, June 29, 2018

Hukum Merokok: Kenapa Ada Haram Dan Makruh?

Hukum Merokok: Kenapa Ada Haram Dan Makruh?

Tentu ada yang pernah mendengar hukum merokok adalah makruh dan pendapat yang masyhur dan muktamad pula ialah haram persoalannya, kenapa timbul hukum makruh pada merokok? Bahkan, Syeikh Yasin Al-Fadhani, seorang ulama tersohor pernah meriwayatkan hadis sambil merokok.

Merokok Haram atau Makruh

Sabar dulu, jangan bersangka buruk pada ulama. Tunggu dulu bagaimana hukum diletakkan.

Pertama sekali, kita kena tahu rokok dulunya berasal dari tembakau. Bahannya hanyalah tembakau.

Tembakau dalam sesetengah keadaan menjadi ubat seperti "luka" dan "ulser".

Sama juga dengan daun ketum. Daun ketum adalah ubat. Yang menjadi haram apabila kita gunakan secara salah iaitu mendatangkan "mudarat'.

Jadi, di sinilah letaknya hukum, iaitu cara guna.

Tak boleh kita kata rokok haram, ganja haram, candu haram seban yang menentukan ialah cara guna, bukannya bahan itu atau "ainnya".

Dalam usulfiqh, bermula segala hukum adalah harus. Ini maknanya, asal hukum merokok adalah harus (jika tiada kesan pada kesihatan).

Kemudian, berlakulah arid (tangganya), maka jadilah rokok itu dikenali sebagai benda yang keji. Benda yang keji, pada usulnya, diletakkan hukum makruh, sama seperti makan petai dll.

Inilah sebab ada ulama yang meletakkan hukum merokok itu makruh. Sebab zaman dulu, rokok sekadar tembakau, kulitnya ialah daun nipah.

Kalau ada yang masih hisap rokok itu zaman sekarang dan dia tidaklah batuk-batuk, maka dia boleh berpegang dengan hukum makruh.

Kemudian berlakulah arid lainnya (tangga seterusnya), iaitu rokok dicampurkan dengan macam-macam bahan bahaya seperti rokok yang ada sekarang.

Maka di sinilah bermulanya hukum merokok itu jatuh haram.

Kenapa ulama terdahulu ramai yang hisap rokok? Sebab yang mereka hisap itu adalah rokok daun dan tidak pula memberi mudarat pada diri mereka.

Adapun rokok yang ada sekarang, haramlah hukumnya.

Apa pula hukumnya memakan makanan yang sudah di tambah dengan additif atau penyedap rasa, tentu ianya lebih berbahaya daripada asap rokok.

Wallahu a'lam.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: facebook

Friday, April 20, 2018

Benarkah Sebaik-baik Jin Adalah Sejahat-jahat Manusia?

Benarkah Sebaik-baik Jin Adalah Sejahat-jahat Manusia?

Perkara yang sering dicanangkan apabila berbicara perihal jin adalah kononnya hadis yang mengatakan bahawa, "Sebaik-baik jin adalah sejahat-jahat manusia", namun kenyataan ini sangat meragukan kerana tidak pernah dinyatakan asas sandarannya daripada Al-Quran mahupun hadis.

Benarkah Sebaik-baik Jin Adalah Sejahat-jahat Manusia?

Asas pertama yang perlu dipegang apabila membicarakan tentang jin dan malaikat ialah keimanan kepada perkara ghaib kerana alam jin adalah alam ghaib yang terhalang daripada alam nyata.

Benarkah Sebaik-baik Jin Adalah Sejahat-jahat Manusia?

1. Tidak ditemui sebuah hadith – sama ada sahih atau dhaif – yang menyatakan sedemikian.

2. Al-Quran – Allah SWT menyamakan di antara jin dan manusia dari segi sebahagiannya baik dan sebahagian lagi tidak.. seperti:

Dalam surah al-Jinn, ayat 11, Allah SWT menyatakan kata-kata jin:

“Dan bahawa sesungguhnya (memang maklum) ada di antara kita golongan yang baik keadaannya, dan ada di antara kita yang lain dari itu; kita masing-masing adalah menurut jalan dan cara yang berlainan.“

“Dan bahawa sesungguhnya (dengan datangnya Al-Quran, nyatalah) ada di antara kita golongan yang beragama Islam, dan ada pula golongan yang (kufur derhaka dengan) menyeleweng dari jalan yang benar; maka sesiapa yang menurut Islam (dengan beriman dan taat), maka merekalah golongan yang bersungguh-sungguh mencari dan menurut jalan yang benar, Adapun yang menyeleweng dari jalan yang benar, maka mereka menjadi bahan bakaran bagi neraka Jahannam."

Bahaya fitnah Syaitan

Manusia tidak boleh berbicara tentang jin kecuali mengikut neraca Al-Quran dan Al-Sunnah.

Firman Allah;

"Wahai anak-anak Adam! janganlah kamu diperdayakan oleh Syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapa kamu dari syurga, sambil ia menyebabkan terlucutnya pakaian mereka berdua untuk memperlihatkan kepada mereka: aurat mereka (yang sebelum itu tertutup). Sesungguhnya Syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka. Sesungguhnya kami telah menjadikan syaitan-syaitan itu teman rapat bagi orang-orang yang tidak beriman." (Al-Araf :27)

Hanya kedua-dua sumber itu mampu menelah dan menembusi alam jin. Sesiapa sahaja yang ingin mengutarakan buah fikiran mengenai alam jin perlu terlebih dahulu merujuk Al-Quran dan Al-Sunnah supaya umat Islam tidak berpegang kepada asas yang rapuh, tidak berasas atau disuap dengan fakta karut dan khurafat yang tidak banyak membina iman dan minda.

Kenyataan Sebaik-baik Jin Adalah Sejahat-jahat Manusia sebenarnya salah dan bercanggah dengan al-Quran, al-Sunnah dan akal yang sihat. Terdapat banyak hujah yang menyangkal kenyataan tersebut:

1) Seperti manusia, jin juga dipertanggung jawabkan dengan taklif agama

Firman Allah yang ertinya: "Kami hanya akan menguruskan hitungan dan balasan amal kamu sahaja (pada hari kiamat,) wahai manusia dan jin! Maka yang mana satu di antara nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?" (al-Rahman[55:31-32]).

Dengan taklif agama mereka akan diberikan ganjaran pahala dan balasan dosa atas semua perbuatan baik dan buruk mereka.

Perbuatan baik pastinya akan diberikan ganjaran syurga, manakala perbuatan jahat akan diberikan balasan neraka di akhirat kelak.

Sekiranya kenyataan di atas diterima, nescaya semua jin walaupun yang soleh akan tetap dihumban ke neraka.

Kezaliman sebegini juga mustahil bagi Allah yang Maha Adil.

2) Allah mengiktiraf ada jin yang soleh dan layak ke syurga

Firman Allah yang ertinya, "Dan bahawa sesungguhnya (memang maklum) ada di antara kita golongan yang baik keadaannya, dan ada di antara kita yang lain dari itu; kita masing-masing adalah menurut jalan dan cara yang berlainan." (al-Jinn[72:11]).

Juga firman Allah SWT yang ertinya, "Dan bahawa sesungguhnya (dengan datangnya Al-Quran, nyatalah) ada di antara kita golongan yang berugama Islam, dan ada pula golongan yang (kufur derhaka dengan) menyeleweng dari jalan yang benar; maka sesiapa yang menurut Islam (dengan beriman dan taat), maka merekalah golongan yang bersungguh-sungguh mencari dan menurut jalan yang benar." (al-Jinn[72:14]).

3) Allah mengiktiraf para utusan, pendakwah dari golongan Jin

Tafsir Ibn Kathir pada tafsiran ayat berikut, ertinya, "WAHAI SEKALIAN JIN DAN MANUSIA! BUKANKAH TELAH DATANG KEPADA KAMU PARA RASUL DARI KALANGAN KAMU SENDIRI, yang menyampaikan kepada kamu ayatKu (perintahKu), dan yang memberikan amaran kepada kamu tentang pertemuan kamu dengan hari (kiamat) ini?" (al-An’am [6:130]).

Mereka ini adalah generasi awal jin yang memeluk Islam setelah mendengar nabi SAW membaca al-Quran, firmanNya:

Ertinya: "Dan (ingatkanlah peristiwa) semasa Kami menghalakan satu rombongan jin datang kepadamu (wahai Muhammad) untuk mendengar Al-Quran; setelah mereka menghadiri bacaannya, berkatalah (setengahnya kepada yang lain): "Diamlah kamu dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya!" Kemudian setelah selesai bacaan itu, kembalilah mereka kepada kaumnya (menyiarkan ajaran Al-Quran itu dengan) memberi peringatan dan amaran. Mereka berkata: "Wahai kaum kami! Sesungguhnya kami telah mendengar Kitab (Al-Quran) yang diturunkan (oleh Allah) sesudah Nabi Musa, yang menegaskan kebenaran kitab Suci yang terdahulu daripadanya, lagi, memandu kepada kebenaran (tauhid) dan ke jalan yang lurus (ugama Islam). "Wahai kaum kami! Sahutlah (seruan) Rasul (Nabi Muhammad) yang mengajak ke jalan Allah, serta berimanlah kamu kepadanya, supaya Allah mengampunkan sebahagian dari dosa kamu, dan menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya. "Dan sesiapa tidak menyahut (seruan) Rasul yang mengajaknya ke jalan Allah, maka dia tidak akan dapat melepaskan diri (dari balasan azab walau ke mana sahaja dia melarikan diri) di bumi, dan dia tidak akan beroleh sesiapapun - yang lain dari Allah - sebagai pelindung yang membelanya; mereka (yang demikian sifatnya) adalah dalam kesesatan yang nyata.” (al-Ahqaf [46:29-32]).

4) Generasi awal jin diiktiraf sebagai para sahabat nabi oleh ulama Hadith

Mereka juga menyenaraikan generasi awal jin ini dalam senarai para sahabat nabi.

Antara yang disebut adalah: Zawba’ah, al-Arqam, al-Adras, Hasir, Khasir dan sebagainya (al-Isabah fi Ma’rifat al-Sahabah & Mustadrak al-Hakim dalam tafsir surah al-Ahqaf).

Sekiranya kenyataan tersebut dipakai, nescaya kita akan menghukum para sahabat nabi sebagai makhluk yang jahat, sedangkan para ulama sepakat menyatakan para sahabat semuanya adil. (Dr. Muhammad Abu Layth,’Ulum al-hadith, Asiliha Wa Mu’asiriha, ms 103)

Selain itu banyak sekali ayat al-Quran yang menyokong fakta keadilan para sahabat nabi seperti seperti (al-Tawbah[9:100], al-Fath[48:18], al-Hasyr[59:8-9]).

5) Nabi SAW memuji para sahabatnya dari kalangan jin yang sensitif terhadap ayat Allah ketika mendengar surah al-Rahman

Sebuah hadith menyebut yang ertinya: Rasulullah keluar membaca surah al-Rahman kepada para sahabatnya dari awal sehingga akhir surah. Mereka hanya diam. Baginda lalu bersabda: "Aku pernah membacanya (surah al-Rahman) kepada para jin pada malam jin (malam baginda bertemu dan berdakwah kepada para jin). Reaksi mereka jauh lebih baik berbanding kamu semua. Setiap kali aku membaca (فَبِأَيِّ آلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ -Maka yang mana satukah antara nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan - wahai umat manusia dan jin?)*, mereka akan berkata: "Tiada satupun antara ni’matMu wahai Tuhan kami yang kami dustai, maka bagiMu sahajalah segala pujian." (Sunan al-Tirmidhi & Tafsir Ibn Kathir).

Ayat ini berulang sebanyak 31 kali dalam surah al-Rahman.

6) Allah menyediakan syurga untuk manusia dan jin yang beriman

Firman Allah yang ertinya, "Dalam syurga itu terdapat bidadari yang pandangannya tertumpu (kepada mereka semata-mata), YANG TIDAK PERNAH DISENTUH SEBELUM MEREKA OLEH MANUSIA DAN JIN." (al-Rahman[[55:56]).

Ayat ini menunjukkan jin yang beriman dan beramal soleh seperti manusia layak ke syurga. (Tafsir Ibn Kathir &Tafsir al-Qurtubi pada tafsiran (al-Rahman[[55:56]).

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA: 41 Tanda Dalam Badan Anda Ada Jin

sumber: darussyifabbst

Thursday, February 01, 2018

Hukum Muslim Bertatu Mengikut Pandangan Islam

Hukum Muslim Bertatu Mengikut Pandangan Islam

Bertatu haram hukumnya di sisi agama islam malah sesiapa yang pernah bertatu perlulah menghilangkan tatu tersebut dengan sebaik mungkin. Jika seseorang bukan islam memeluk islam dan dia mempunyai tatu, maka dia perlu menghilangkan tatu tersebut.

Hukum Muslim Bertatu

Begitu juga, jika seseorang islam yang bertatu lantaran kejahilannya, maka dia perlu menghilangkan tatu tersebut apabila menginsafi kesalahannya itu.

Namun, perlulah difahami, islam adalah agama yang mudah dan tidak pernah membebankan penganutnya. Jadi, dalam isu menghilangkan tatu, ia hendaklah dihilangkan setakat yang termampu dan sedaya yang boleh, selagi tidak memudaratkan.

Jadi orang yang memakai tatu perlu berusaha untuk menghilangkan tatu tersebut dengan menggunakan cara yang tidak membahayakan diri dan nyawa mereka.

Cuma, lebih elok dan sopan, andainya orang-orang yang tidak dapat menghilangkan tatunya bertindak menyembunyikan tatu tersebut daripada pandangan umum, seperti memakai baju berlengan panjang. Ini adalah untuk mengundang fitnah dan salah sangka.

Hukum bertatu iaitu (pembuat tatu dan orang yang meminta dibuat tatu) mengikut pandangan Islam adalah haram.

Hukum Bertatu Mengikut Pandangan Islam Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Hukum Syarak Negeri Pahang Kali Ke-2/2009, pada 29 Mei 2009, selari dengan Pandangan Islam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-86 yang bersidang pada 21–24 April 2009 telah membincangkan Hukum Bertatu Mengikut Pandangan Islam.

KETERANGAN/HUJAH:

Hukum tatu adalah jelas dilarang dalam Islam. Ini berdasarkan kepada Hadith Rasululllah SAW yang bermaksud, "Daripada Ibnu Umar R.Anhuma, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda, “Allah melaknat perempuan yang menyambung rambut dan minta disambungkan rambutnya, perempuan yang membuat tatu dan yang meminta dibuat tatu.” (Riwayat al-Bukhari)

Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam kitabnya al-Halal wa al-Haram fi al-Islam mengatakan bahawa bertatu di badan adalah perbuatan yang dilaknat oleh Rasulullah SAW dalam hadithnya bermaksud, "Rasulullah SAW melaknat perempuan yang mentatu dan minta ditatu, dan yang mengikir gigi dan yang minta dikikir giginya.” (Riwayat al-Thabrani)

Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Minhaj fi Sharh Sahih Muslim menyatakan bahawa hukum bertatu adalah haram kerana perkataan laknat dalam hadith Rasulullah SAW menunjukkan pengharaman perbuatan tersebut. Di samping itu juga, tempat yang ditatu tersebut akan menjadi najis.

Islam tidak memberatkan umatnya. Kaedah yang digunakan iaitu sekiranya sesuatu yang dilakukan itu boleh mendatangkan bahaya dan mudarat pada diri, maka ia perlu dielakkkan. Kaedah ini juga terpakai bagi seorang muslim yang bertatu dan telah bertaubat daripada perbuatan tersebut.

Banyak cara diperkenalkan untuk menghilangkan tatu dan orang yang memakai tatu perlu berusaha untuk menghilangkannya dan menggunakan cara yang tidak membahayakan diri dan nyawa mereka.

Mereka yang bertatu tetapi telah menyesal dan bertaubat dari perbuatan tersebut tetapi tidak boleh menghilangkannya dengan cara yang selamat, boleh melakukan ibadat solat dan ibadat-ibadat yang lain.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Tatu Sebagai Simbol Kuasa Dalam Kumpulan Kongsi Gelap

sumber: mufti

Friday, August 25, 2017

Fatwa Hukum Perceraian Yang Tidak Disahkan Mahkamah

Fatwa Hukum Perceraian Yang Tidak Disahkan Mahkamah

Soalan: Sepupu saya mendirikan rumah tangga pasangannya atas dasar cinta. Selepas tiga tahun usia perkahwinan mereka, berlaku perselisihan faham sehingga si suami dalam keadaan marah melepaskan kata cerai melalui sistem pesanan ringkas (SMS). Apakah status perhubungan mereka?

Hukum Cerai Luar Mahkamah

Jawapan

Umum mengetahui kuasa talak ini adalah di bawah kuasa seorang suami di mana apabila suami melafazkan talak, maka jatuhlah talak dan perkahwinan akan terbubar.

Bagaimanapun kuasa ini tidak boleh disalahgunakan oleh suami kerana cerai ini adalah halal yang paling dibenci ALLAH SWT.

Talak/pembubaran perkahwinan/cerai ini boleh dibahagikan kepada dua kategori, iaitu pertama lafaz sarih iaitu secara jelas di mana suami melafazkan dengan jelas menceraikan isterinya.

Pertama, contohnya, “Saya cerai kamu dengan talak satu.”

Dalam hal ini, lafaz yang sarih akan mendatangkan kesan perceraian walaupun tanpa niat.

Berdasarkan sabda Rasulullah SAW, "Tiga perkara yang dilakukan dengan bersungguh-sungguh dianggap bersungguh-sungguh dan dilakukan dengan bergurau dianggap bersungguh-sungguh juga iaitu: nikah, talak dan rujuk". (Riwayat At-Tarmizi, Abu Daud dan Ibn Majah)

Kategori kedua pula adalah lafaz kinayah iaitu seperti kata-kata sindiran atau kiasan di mana lafaz yang diucapkan oleh suami boleh mendatangkan maksud lain selain maksud talak.

Contohnya, “awak baliklah ke rumah ibu bapa awak.”

Lafaz ini tidak dapat dipastikan dengan jelas maksud suami sama ada menceraikan isterinya atau tidak.

Oleh itu, ia hendaklah disertai niat suami menceraikan isterinya semasa melafazkan ucapan itu. Perceraian juga boleh berlaku dalam bentuk tulisan.

Jumhur fuqaha berpendapat, talak melalui tulisan hendaklah disertai dengan niat.

Menjawab persoalan dalam kes seperti diatas, berkaitan dengan talak dijatuhkan kepada seorang isteri melalui SMS, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-59 yang bersidang pada 27 Ogos 2013, telah membincangkan hal ini dan telah memberi keputusan seperti berikut:

1. Talak dalam bentuk tulisan yang jelas daripada suami yang ditujukan kepada isterinya secara khusus seperti melalui faks, SMS, emel dan sebagainya merupakan talak secara kinayah dan ia adalah sah sekiranya disertai dengan niat.

2. Semua penceraian hendaklah dikemukakan kepada mahkamah syariah untuk mensabitkan talak tersebut.

3. Talak yang dilakukan dengan menggunakan alat komunikasi moden adalah kaedah penceraian yang tidak menepati adab penceraian yang digariskan syarak.

Pengurusan emosi

Perceraian dewasa ini kerap berlaku akibat emosi yang tidak terkawal antara kedua belah pihak. Setiap pasangan hendaklah cuba sentiasa bertolak ansur dan saling cuba memahami antara satu sama lain.

Pengurusan emosi dan perasaan memainkan peranan penting dalam hal ini, lebih-lebih lagi ke atas pemimpin keluarga iaitu suami kerana suami yang kurang sabar dan tidak dapat mengawal emosi akan melakukan sesuatu yang mungkin akan dikesali di kemudian hari.

Suami pemegang kuasa talak secara umumnya haruslah berhati-hati dan hendaklah pandai mengawal perasaannya. Ini kerana walaupun perceraian adalah perkara yang halal namun dibenci ALLAH SWT.

Dalam isu kali ini, pengadu menyatakan talak tersebut dijatuhkan dan berlaku sewaktu suami dalam keadaan amat marah.

Bagaimanakah untuk menentu sahkan sama ada jatuh talak dan adakah suami berniat dalam menyampaikan hasratnya untuk bercerai melalui sistem pesanan ringkas?

Bagi menjawab ketidakpastian ini, perkara ini hendaklah dibawa ke muka pengadilan dan hanya Hakim Mahkamah Syariah yang berhak dan mempunyai bidang kuasa dalam menentu sahkan perkara ini.

Sekiranya perkara penting sebegini berlaku, ia tidak boleh dibuat tak tahu dan berdiam diri sahaja.

Seharusnya perlu dibawa perkara ini ke Mahkamah Syariah untuk siasatan dan pengesahan. Pihak isteri tidak perlu menunggu suami membuat aduan. Ia boleh dibuat tanpa kehadiran pihak suami.

Merujuk kepada Seksyen 55A Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984: "...seseorang yang telah menceraikan isterinya dengan lafaz talak di luar mahkamah dan tanpa kebenaran mahkamah, hendaklah dalam masa tujuh hari daripada pelafazan talak itu melaporkan kepada Mahkamah."

Selepas aduan diterima, mahkamah akan melakukan siasatan untuk mendapatkan kepastian dan kesahihan ke atas talak yang dilafazkan itu sah mengikut hukum syarak dan setelah mahkamah berpuas hati talak yang dilafazkan itu adalah menurut hukum syarak.

Selanjutnya, mahkamah akan mengeluarkan perintah membenarkan perceraian tersebut berlaku dengan talak, merekodkan perceraian tersebut dan menghantar salinan rekod itu kepada Ketua Pendaftar untuk tujuan pendaftaran.

Selanjutnya Seksyen 55 Akta yang sama menegaskan lagi berkenaan hal ini, iaitu tiada lafaz talak atau perintah perceraian atau pembatalan boleh didaftarkan melainkan Ketua Pendaftar berpuas hati, Mahkamah telah membuat perintah muktamad berhubungan dengannya.

Dalam hal ini, sikap seorang suami yang menceraikan isteri melalui SMS adalah suatu perbuatan tidak beradab dan tidak boleh dicontohi. Ini adalah kerana urusan perkahwinan, perceraian dan rujuk adalah suatu perkara penting dalam Islam.

Sesungguhnya zaman sekarang ini adalah zaman kecanggihan teknologi dan ia tidak wajar disalahgunakan.

Sekiranya pada awal perkahwinan, isteri dinikahi dengan cara baik dan terhormat. Maka begitu jugalah yang harus dilakukan untuk mengakhiri perkahwinan tersebut.

Golongan suami tidak boleh sewenang-wenangnya menggunakan kuasa mereka dengan sesuka hati. Talak hendaklah dilafazkan dengan tanggungjawab dan tidak boleh diambil ringan kerana ia adalah hukum dan peraturan yang telah ditetapkan dalam al-Qur'an.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud, “Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik...” (Surah Al-Baqarah: 229).

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: sinarharian

Tuesday, August 15, 2017

Anak Lahir Kurang 6 Bulan Boleh Bin Binti Kepada Suami Ibunya

Anak Lahir Kurang 6 Bulan Boleh Bin Binti Kepada Suami Ibunya

Jawatankuasa Syariah Negeri Perlis yang dipengerusikan oleh Mufti Perlis Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin yang bermesyuarat pada September 2008 telah memutuskan mengenai nasab anak yang tempoh perkahwinan ibubapanya kurang daripada enam bulan seperti berikut;

Bin Binti Suami Ibu

“Anak yang lahir kurang daripada 6 bulan ibunya berkahwin, boleh dibinkan kepada suami ibunya, kecuali jika dinafikan oleh si suami.”

Keputusan ini telah disahkan oleh Mesyuarat Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis yang dipengerusikan oleh DYTM Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibn DYMM Tuanku Syed Sirajudin Jamalullail pada 4 November 2008.

Maksud Fatwa

Seorang wanita yang berkahwin dan melahirkan anak sekalipun tempoh perkahwinannya kurang kurang daripada tempoh 6 bulan tetap boleh menasabkan (membinkan) anak yang dilahirkan kepada suaminya dengan syarat si suami tidak membantahnya.

Senario

Di Malaysia, pihak pendaftaran enggan mendaftarkan anak orang Islam secara di ‘bin’ kan kepada bapanya jika tempoh perkahwinan mereka kurang daripada enam bulan. Dalam ertikata lain anak tersebut dianggap ‘anak luar nikah’.

Hasil daripada peraturan ini maka ramai anak yang tidak dibinkan kepada bapa mereka. Lebih menyedihkan apabila anak tersebut mendapati hanya dia yang tidak berbinkan bapanya sedangkan adik-beradiknya yang lain berbinkan bapanya. Ini merupakan satu tekanan kepadanya yang tidak berdosa dalam perkara tersebut.

Pihak ibu bapa pula, amat sukar untuk menerangkan masalah tersebut kepada anak berkenaan kerana itu akan membuka ‘aib yang telah cuba ditutup.

Di samping boleh menghilangkan rasa hormat anak kepada ibubapa yang telah insaf dan sedang membina dan mendidik keluarga.

Atas keadaan tersebut maka, isu ini dibincangkan dalam Fatwa Negeri Perlis, setelah meneliti dalil-dalil syarak dan alasan-alasan para sarjana yang berbagai, maka keputusan tersebut dibuat.

Antara Asas Alasan

Dalil yang dijadikan asas perbincangan dalam kes ini adalah sabda Nabi SAW, “Anak itu (nasabnya) kepada suami menyetubuhinya” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hadis ini disebutkan oleh Nabi SAW apabila berlaku perebutan nasab anak pada zaman baginda antara antara Sa’d bin Abi Waqqas dengan ‘Abd bin Zam’ah.

Sa’d membuat tuntutan dengan mendakwa bahawa saudaranya ‘Utbah bin Abi Waqqas memberitahu bahawa anak Zam’ah yang masih budak ketika itu sebenarnya adalah anaknya.

Namun ‘Abd bin Zam’ah membantah dengan menyatakan itu ialah anak ayahnya Zam’ah yang mengahwini ibu anak berkenaan. Sa’d mengukuhkan dakwaannya dengan menyatakan anak berkenaan begitu jelas menyerupai saudaranya ‘Utbah.

Apabila kes ingin diangkat kepada Nabi SAW, baginda mendapati ternyata anak berkenaan jelas menyerupai ‘Utbah bin Abi Waqqas, saudara Sa’d.

Namun baginda memutuskan anak itu ialah anak Zam’ah dengan bersabda, “Anak itu (nasabnya) kepada suami yang menyetubuhinya, sementara bagi perzinaan itu hanya kekecewaan (tiada hak yang dituntut).”

Daripada hadis ini dapat disimpulkan bahawa Rasulullah SAW memberikan hak nasab kepada suami si isteri sekalipun anak itu ada kemungkinan anak zina.

Juga hadis ini menunjukkan penyelesaian Nabi SAW yang tidak ingin membongkar keburukan yang lepas.

Jika baginda memutuskan kes seperti itu mesti diselidiki maka sudah pasti berbagai keburukan peribadi akan terdedah dan menyebabkan keruntuhan kepada keluarga.

Selagi mana si suami sendiri menerima anak itu adalah anaknya, maka tiada alasan untuk mereka yang tidak berkahwin secara sah dengan si ibu membuat tuntutan.

Bahkan di kalangan sarjana Islam ada yang berpegang bahawa anak zina boleh dinasabkan kepada bapa zinanya sekalipun jika wanita berkenaan tidak berkahwin dengan lelaki yang berzina dengannya.

Namun syaratnya mestilah wanita tersebut juga tidak berkahwin dengan lelaki lain seperti dalam kes hadis di atas.

Kata Dr Yusuf al-Qaradawi, “Lelaki dan wanita yang berzina jika bertaubat kepada Allah dan ingin keluar dari yang haram kepada yang halal, dari kehidupan yang dicemari kepada kehidupan yang bersih, berubah kehidupan mereka dari zina yang haram kepada persetubuhan yang halal, maka perkahwinan mereka sah dengan ijmak (sepakat tanpa kecuali seluruh para mujtahid)…beberapa tokoh fekah salaf; ‘Urwah bin al-Zubair, al-Hasan al-Basri, Ishaq bin Rahuyah dan selain mereka berpendapat harus dinasabkan anak zina kepada bapa zinanya jika wanita berkenaan tidak pernah berkahwin (selepas itu). Pendapat ini disokong oleh Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah dan muridnya Ibn al-Qayyim”. (lihat: islamonline.net).

NAMUN: Keputusan Fatwa Perlis hanya membincangkan tentang keharusan menasabkan anak kepada suami sekalipun perkahwinan itu kurang daripada enam bulan, dengan itu maka mereka yang terlibat dalam perzinaan lalu bertaubat dan berkahwin, anak yang dikandung bolehlah dinasabkan kepada si suami sekalipun baru berkahwin dengan syarat tiada bantahan daripada suami.

Kebaikan Fatwa Ini
  • Menutup keaiban lepas yang berlaku kepada pasangan yang sudah berkahwin dan bertaubat.
  • Menghilangkan perasaan malu dan terasing anak yang selama ini tidak dibinkan kepada bapanya disebabkan faktor kekurang tempoh perkahwinan.
  • Membantu ibubapa yang terlanjur meneruskan kehidupan dan pembinaan keluarga.

Kesannya

Pihak pendaftaran hendaklah memberikan hak berbinkan suami ibu (bapa) kepada anak yang lahir sama ada kurang atau lebih daripada enam bulan tempoh perkahwinan ibunya, dengan syarat si suami tidak membantah.

Yang benar,
Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin
(Mufti Kerajaan Negeri Perlis)

BACA INI JUGA:

sumber: drmaza

Wednesday, August 09, 2017

Hukum Menikahi Wanita Sedang Hamil Anak Luar Nikah

Hukum Menikahi Wanita Sedang Hamil Anak Luar Nikah

Apa hukumnya dan adakah sah pernikahan di antara seorang wanita yang sedang mengandung anak luar nikah dengan lelaki yang menghamilkannya?

Wanita Hamil

Ini kerana saya dapati banyak dalam Facebook di post mengenai isu ini di antaranya nikah itu tidak sah untuk perempuan yang sedang hamil anak luar nikah atau zina sehinggalah anak itu dilahirkan.

Ini juga memandangkan ada antara kenalan saya baru saja bernikah ketika mengandung anak zina dengan lelaki itu, di mana sahabat saya sedang mengandung 4 bulan semasa pernikahan.

Mohon pencerahan ustaz.

JAWAPAN:

Wa'alaikumussalam WBT,

Perkara ini khilaf dalam kalangan ulama dan dalam mazhab al-Syafie pernikahan itu sah.

“Jika seorang lelaki mengahwini seorang perempuan yang hamil daripada perbuatan zina sahlah nikahnya di sisi Abu Hanifah dan Muhammad (bin Hasan al-Syaibani), tetapi tidak dibenarkan dia menyetubuhi isterinya itu sehingga dia melahirkan anak, supaya dia tidak menjadikan airnya mengalir atas ladang orang lain (maksudnya ialah jimak), berdasarkan sabda Rasulullah SAW tidak dihalalkan bagi seorang yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat untuk mengalirkan air atas ladang orang lain dan sabda Baginda SAW bahawa jangan disetubuhi orang hamil sehingga dia bersalin maka inilah dalil menunjukkan larangan menyetubuhi isteri itu sehingga dia bersalin. Berbeza dengan mazhab Syafie yang mengatakan bolehnya bernikah dan bersetubuh bagi perempuan yang hamil daripada zina menurut pendapat yang asah.” (Rujuk Kitab Mausu'ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 29/338)

Dalil dalam mazhab al-Syafie ialah berdasarkan firman Allah SWT:

Maksudnya, "Dan (sebaliknya) dihalalkan bagi kamu perempuan-perempuan yang lain daripada yang tersebut itu (yakni yang diharamkan dalam ayat sebelumnya)."

Daripada Ibn Umar, sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya, "Perkara yang haram tidak mengharamkan perkara yang halal." Riwayat Ibn Majah (2015)

Tidak Haram Bernikah

Justeru, seperti mana halal menikahi seorang wanita sebelum dia berzina dan sebelum dia hamil maka tidaklah haram bernikah kerana nikah.

Terdapat riwayat bahawa seorang lelaki pernah memiliki anak lelaki. Dia berkahwin dengan seorang wanita yang memiliki seorang anak perempuan, lalu anak kepada lelaki dan anak kepada perempuan itu berzina.

Maka Saidina Umar al-Khattab r.a. bertanya kepada mereka hal itu, lalu mereka mengakuinya dan Umar menyebat kedua-duanya.

Umar bercadang untuk mengahwinkan mereka berdua tetapi tidak dipersetujui oleh anak lelaki tersebut dan Umar tidak menganggap hal itu menyebabkan iddah.

Perkara itu tidak diingkari oleh para sahabat, lalu perkara tersebut jadilah ijmak. Zina itu persetubuhan yang tidak melayakkan nasab keturunan atau begitu juga hamil akibat zina, justeru ia tidak menghalang sahnya nikah pada waktu mengandung. (Rujuk Kitab al-Majmu Sharh al-Muhazzab, 16/241-242)

Fatwa Majlis Kebangsaan Malaysia

Persidangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-3 yang bersidang pada 21-22 Januari 1971 telah membincangkan Mengahwini Perempuan Yang Sedang Mengandung Anak Luar Nikah.

Persidangan telah memutuskan bahawa perempuan yang sedang mengandung anak luar nikah harus dinikahkan tetapi anaknya;
  • Tidak boleh dinasabkan kepada lelaki itu.
  • Tidak dapat pusaka daripadanya.
  • Tidak menjadi mahram kepadanya.
  • Lelaki itu tidak boleh menjadi walinya.

Wallahu a’lam.

BACA INI JUGA:

sumber: muftiwp