Saturday, August 13, 2016

Dropship Bisnes Tanpa Modal Tapi Untung Lumayan!

Dropship Bisnes Tanpa Modal Tapi Untung Lumayan!

Dropship mungkin istilah yang janggal dan jarang di dengar oleh sesetengah orang. Namun, bagi mereka yang setiap hari bergelumang dalam dunia perniagaan, istilah ini pasti sudah tidak asing lagi ditelinga mereka.

Bisnes Dropship

Tentu ada diantara anda ingin memulakan perniagaan tanpa perlu merasa sakit kepala; bimbang tentang modal, bimbang produk yang dijual tidak ada keberkesanannya atau sambutan dingin pembeli terhadap produk yang dijual.

Jika anda dalam kalangan yang mempunyai alasan-alasan sebegini, maka kaedah Dropship mungkin boleh menjadi pilihan perniagaan anda.

Dropship merupakan istilah jual beli yang menjadi trend terkini dalam dunia perniagaan dalam talian.

Dropship atau juga dikenali sebagai Dropshipping merupakan satu rantaian perniagaan yang melibatkan penjualan sesuatu produk atau servis dengan pengedar (iaitu anda).

Pengedar hanya perlu membayar kepada pembekal harga produk dan servis yang dijual kepada pembeli.

Tugas anda hanyalah mempromosi produk yang dijual oleh pembekal dan melakukan urus niaga pesanan dengan pembeli.

Setelah pembayaran dibuat oleh pembeli, anda akan menghantar pesanan itu kepada pembekal yang seterusnya akan membungkus dan menghantar produk tersebut terus ke alamat pembeli. Konsep yang nampak mudah kan?

Anda sebagai pengedar akan memperoleh keuntungan 'atas angin' tanpa perlu menyimpan stok atau menyediakan kos modal yang tinggi.

Kebiasaannya, keuntungan anda adalah berdasarkan kepada perbezaan margin harga jual yang diberikan oleh pembekal kepada anda sebagai agen Dropship dengan harga yang ditawarkan kepada pembeli.

Contoh Pengiraan Keuntungan Dropship

Pihak pembekal (DropShipper) akan memberikan anda akses katalog produk mereka dengan harga barang yang diberikan kepada anda dikira dengan harga istimewa.

Contohnya, harga yang diberikan kepada anda untuk sepasang kasut adalah RM24.00 dan kos penghantaran pula sebanyak RM6.00.

Anda pula menjual produk tersebut di laman e-dagang dengan mengenakan harga pasaran iaitu sebanyak RM50.00 termasuk kos penghantaran.

Pembeli kemudiannya membuat pesanan dan pembayaran kepada anda.

Perbezaan harga jual beli produk inilah sebenarnya merupakan keuntungan yang akan anda peroleh.

Dalam contoh ini, anda akan memperoleh keuntungan sebanyak RM20.00 bagi setiap pasang kasut yang dijual.

Tanpa perlu modal dan produk untuk memulakan perniagaan, anda sebenarnya sudah boleh bergelar usahawan.

Kalau moto syarikat penerbangan tambang murah Air Asia, 'Everybody Can Fly', mungkin moto perniagaan berkonsepkan Dropship ini pula adalah, "Everybody Can Do Business!"

Bagaimana Untuk Memulakan Perniagaan Dropship?

Tentu ramai yang tertanya-tanya bagaimana jika ingin memulakan perniagaan berkonsepkan Dropship ini.

Pertama-tama, apa yang perlu anda buat adalah mencari DropShipper yang sah dan menawarkan servis Dropship kepada pengedar.

Namun, anda tentu tidak mahu terjebak di dalam scam perniagaan dalam talian kerana tidak dinafikan kes-kes penipuan seperti ini banyak terjadi.

Oleh itu, bagaimana anda boleh mengenal pasti syarikat DropShipper yang anda pilih itu merupakan syarikat yang sah dan telus dalam menjalankan perniagaan mereka?

SIASAT. Ya, anda perlu menyiasat latar belakang DropShipper yang dipilih. Pastikan sama ada mereka ini dibawah kategori pengilang atau pemborong.

Siasat maklumat syarikat penjual, nama syarikat dan nombor pendaftaran syarikat, pastikan syarikat ini merupakan syarikat yang berdaftar dan sah di sisi undang-undang.

Semak nama pemilik, alamat syarikat dan nombor telefon untuk dihubungi, pastikan ianya memang wujud.

Kenal pasti kepakaran dan pengalaman mereka kerana sudah tentu semakin lama syarikat ini menjalankan perniagaan, semakin anda boleh mempercayai syarikat tersebut.

Lakukan carian mudah melalui internet untuk mengetahui jika terdapat sebarang aduan dari ejen Dropship yang lain terhadap syarikat itu, tidak kisahlah aduan dari segi produk, servis atau berkenaan syarikat itu sendiri.

Ambil tahu mengenai kos penghantaran dan kenal pasti syarikat pos laju pilihan mereka ketika berurusan.

Kenal pasti jumlah tenaga kerja yang mereka ada dan jika boleh sediakan dokumen syarat-syarat bertulis atau kontrak yang meliputi jaminan untuk produk pembeli.

Ini sangat penting bagi memastikan pembeli mendapat pulangan jika produk yang dibeli itu rosak, tidak sampai pada masa yang ditetapkan atau dalam situasi yang lebih teruk, produk tidak sampai langsung ke tangan pembeli.

Sekiranya anda sudah berpuashati dengan syarikat DropShipper anda, maka anda bolehlah membuka akaun peruncit dan dapatkan kod keahlian anda dengan syarikat berkenaan.

Untuk menjadikan proses urus niaga lebih efisien, maka anda bolehlah mewujudkan satu laman web e-dagang, blog ataupun akaun facebook untuk perniagaan anda.

Gunakan ia sebagai tempat dimana anda melakukan promosi untuk melariskan produk yang dijual.

Pamerkan dengan jelas gambar-gambar produk dan juga sedikit penerangan mengenai produk.

Jangan lupa menyediakan borang pesanan untuk pengunjung laman web atau blog anda membuat pesanan melalui talian untuk produk yang ingin dibeli.

Borang pesanan perlulah lengkap dengan ruang untuk pembeli memasukkan butiran peribadi seperti nama, alamat, nombor untuk dihubungi dan produk yang ingin dibeli.

Apabila pelanggan sudah membuat pesanan dan anda sudah pun memastikan yang pembayaran telah dibuat, maka anda boleh menghantar pesanan tersebut kepada DropShipper dengan menyertakan butiran peribadi pelanggan.

DropShipper kemudiannya akan memproses pesanan itu dan produk akan dibungkus dan dihantar terus kepada pelanggan.

Nama dan alamat anda akan ditulis dibungkusan tersebut sebagai sumber rujukan pembeli.

Gunakan 'tracking number' daripada DropShipper anda untuk anda memeriksa transaksi dan status penghantaran dengan syarikat pos laju yang digunakan.

Tips Kejayaan Perkhidmatan Dropship

Tips 1: Kaji Pasaran Anda

Cari produk yang senang untuk dijual! Buat sedikit kajian untuk mengetahui permintaan pasaran anda agar hasil jualan anda lebih banyak dan lebih tinggi keuntungan yang diperoleh.

Anda juga boleh menjual produk yang anda minati kerana secara semulajadinya anda akan menjadi lebih berminat untuk memasarkan produk yang anda jual itu.

Tips 2: Kepelbagaian Produk Yang Ditawarkan Oleh DropShipper

Ada kalanya lebih senang untuk menjana keuntungan apabila terdapat kepelbagaian produk yang ingin dijual agar pembeli mempunyai pilihan ketika membeli.

Sudah tentu anda tidak mahu pembeli anda berpaling dan membeli dengan penjual lain semata-mata atas alasan barangan yang dikehendaki tidak dijual oleh anda.

Jika produk yang dijual adalah produk makanan, pastikan anda menjaga sensitiviti para pembeli.

Cari produk yang diiktiraf HALAL oleh JAKIM dan pastikan juga ia mempunyai standard dan kelulusan piawaian yang diperlukan dan diiktiraf oleh badan-badan piawaian seperti SIRIM.

Tips 3: Gunakan Platform Dalam Talian Untuk Jualan Anda

Promosi produk anda secara meluas melalui pelbagai platform dalam talian seperti laman web e-dagang, Facebook, blog, laman web e-bay dan juga di laman web seperti mudah.my.

Kunjungi laman web yang berbentuk forum dan sesekali komen terhadap isu-isu semasa. Jangan lupa untuk membuat pautan laman web anda setiap kali anda membuat komen.

Anda juga boleh membuat pautan laman web atau blog anda di dalam e-mel.

Terdapat pelbagai lagi cara untuk anda mempromosikan perniagaan, maka jadilah seorang yang lebih kreatif untuk membolehkan perniagaan anda lebih dikenali.

Tips 4: Tentukan Berapa Peratus Keuntungan Yang Anda Ingin Peroleh

Dengan adanya matlamat seperti ini, maka anda akan lebih fokus dalam perniagaan.

Buat perbandingan harga produk yang ditawarkan oleh agen DropShip yang lain dan pastikan keuntungan yang diperoleh berbaloi dengan usaha anda.

Jangan lupa untuk menyediakan kunci kira-kira untuk anda mengira keuntungan perniagaan anda setiap hujung bulan.

Halal Ke Sistem Dropship Ni?

Semestinya halal lagi suci. Kita cuma menjadi agen atau orang tengah sebagai transaksi jualan.

Tiada paksa memaksa dan tiada istilah menindas mana-mana pihak dalam sistem ini.

Malah, jika ada barang yang dihantar rosak, sesetengah pembekal menawarkan pemulangan secara untuk digantikan dengan yang baru.

Jadi, tiada apa yang perlu anda ragui tentang sistem ini. Lakukannya dengan yakin!

AWAS! Sisi Buruk Perniagaan DropShip

Tahukah anda dengan menceburi pernigaan berkonsepkan DropShip, nasib perniagaan anda berada sepenuhnya di dalam tangan pembekal anda.

Disebabkan anda tidak memiliki stok produk dan tidak mempunyai kawalan terhadap produk inventori produk yang ingin dijual, anda tidak dapat mengawal berapa cepat produk yang dibeli sampai ke tangan pembeli.

Semuanya bergantung sepenuhnya kepada pembekal untuk membungkus dan menghantar produk kepada pembeli.

Jika pembekal melakukan kerja ala kadar, maka sedikit sebanyak akan menjejaskan reputasi perniagaan anda.

Ada juga terjadi masalah pembekal kehabisan stok produk dan mereka tidak memaklumkan perkara tersebut kepada agen mereka.

Agak mendukacitakan jika anda tidak dapat memenuhi permintaan pelanggan anda terutama yang kerap kali membeli dengan anda kan.

Kes-kes seperti ini adalah diantara penyebab titik peralihan pembeli dan perkara yang menakutkan mungkin terjadi, pembeli beralih kepada pengedar lain, saingan anda!

Isu perkhidmatan pelanggan daripada DropShipper juga seringkali menjadi masalah besar. Kebanyakan DropShipper mempunyai perkhidmatan pelanggan yang buruk.

Malah, ada yang langsung tidak mempunyai perkhidmatan pelanggan di syarikat mereka!

Jika anda berhadapan dengan situasi pelanggan yang tidak berpuashati dengan produk yang diterima, maka anda akan terperangkap antara memuaskan hati pelanggan dan menunggu penyelesaian daripada pembekal anda.

Saingan juga mungkin akan menjadi salah satu masalah perniagaan DropShip kerana terlalu ramai yang ingin menjadi agen.

Jika ada agen yang tidak kisah margin keuntungan yang kecil, maka mereka tentu tidak kisah untuk menjual produk yang sama dengan harga yang jauh lebih rendah dari anda!

Kesimpulannya

DropShip boleh menjadi salah satu peluang menjana pendapatan yang sangat baik jika dilakukan dengan perancangan yang teliti dan dilaksanakan dengan betul.

Kunci kejayaan perniagaan ala DropShip ini sama sekali bergantung kepada pembekal yang kita pilih.

Cari dan pilihlah pembekal yang sah dan berdaftar agar risiko perniagaan anda dapat diminimumkan.

Lakukan promosi dengan bersungguh-sungguh. Layan dan jaga hati pelanggan anda dengan sebaiknya, agar mereka akan acapkali berurus niaga dengan anda.

Secara ringkasnya, DROPSHIP adalah, Anda tak perlu simpan stok, Tak perlu modal.

Anda hanya perlu PROMOSI sahaja!

Semoga bermanfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: usahawan