Thursday, January 31, 2019

Sultan Abdullah Yang di-Pertuan Agong ke-16

Sultan Abdullah Yang di-Pertuan Agong ke-16

Rakyat Malaysia sekali lagi akan menyaksikan pengisytiharan Ketua Negara baharu apabila Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengangkat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 dalam satu istiadat di Istana Negara.

Yang di-Pertuan Agong ke-16

Sebagaimana termaktub dalam Perkara 37 Perlembagaan Persekutuan, baginda akan melafaz sumpah dengan disaksikan Raja-raja Melayu pada Mesyuarat Majlis Raja-raja ke-252 (Khas) yang akan berlangsung di Balairung Seri, Istana Negara.

Dengan pengisytiharan itu, Sultan Abdullah yang menggantikan Sultan Muhammad V yang meletak jawatan pada 6 Januari 2019 lepas akan menduduki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh lima tahun bermula 1 Februari.

Mesyuarat khas itu juga akan menyaksikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah mengangkat sumpah jawatan sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh sama.

Pemilihan Sultan Abdullah adalah mengikut keputusan penggiliran mengikut peruntukan perlembagaan dalam masa yang singkat, sekali gus mendokong sistem raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen yang diamalkan Malaysia.

Kira-kira 500 tetamu jemputan terdiri daripada kerabat diraja, Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri, Ketua Hakim Negara, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Yang Dipertua Dewan Negara serta dif-dif kenamaan dijangka menghadiri istiadat berkenaan.

Kali terakhir detik bersejarah seumpama itu berlaku adalah kira-kira empat dekad lepas, apabila Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Sultan Abu Bakar dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ketujuh (1979-1984).

Sebelum itu, Sultan Abdullah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar dijangka berangkat dari Istana Abdulaziz, Kuantan seawal 7.00 pagi ke ibu negara bagi menghadiri istiadat berkenaan.

Upacara di ibu negara akan bermula dengan keberangkatan tiba Sultan Abdullah di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang pada 8.30 pagi.

Menurut buku atur cara istiadat, rombongan diraja kemudian akan berangkat ke Dataran Parlimen bagi acara sambutan rasmi sebelum ke Istana Negara untuk istiadat melafaz dan menandatangani surat sumpah jawatan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: kosmo

Friday, January 11, 2019

Survei Pendapatan, Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas Jabatan Perangkaan Malaysia

Survei Pendapatan, Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas Jabatan Perangkaan Malaysia

Jabatan Perangkaan Malaysia sedang melaksanakan Penyiasatan Pendapatan, Perbelanjaan Isi Rumah (HIS/HIES) dan Kemudahan Asas bermula Januari sehingga penghujung tahun melibatkan isi rumah yang tinggal di Tempat Kediaman (TK) persendirian di seluruh negara.

Survei Survei

Objektif utama penyiasatan adalah bagi mengumpul maklumat taburan pendapatan dan perbelanjaan isi rumah, mengenal pasti golongan miskin dan tahap kemudahan yang dinikmati oleh isi rumah di Malaysia.

Data pendapatan itu akan digunakan kerajaan bagi penyediaan sebarang Rancangan Pembangunan di Malaysia.

Data perbelanjaan juga digunakan dalam pengiraan wajaran Indeks Harga Pengguna (IHP) yang merupakan cara mengukur kadar inflasi negara.

Seiring dengan matlamat dan tujuan itu, data HIES amatlah penting kepada kerajaan dan agensi berkaitan dalam perancangan, pembangunan dan penggubalan dasar dan polisi negara terutama dalam program pembasmian kemiskinan dan agihan pendapatan yang lebih menyeluruh.

Selain daripada itu, data HIES merupakan bahan asas dalam pembentukan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) makanan dan penentuan golongan miskin dan miskin tegar.

Data ini juga seterusnya akan digunakan sebagai input kepada analisis taburan pendapatan dan perbelanjaan berkaitan aktiviti ekonomi, pekerjaan dan sebagainya.

Jabatan Perangkaan Malaysia berharap, isi rumah yang terpilih dapat memberi kerjasama sepenuhnya kepada kakitangan pegawai Jabatan Perangkaan yang berkunjung ke tempat kediaman terpilih.

Maklumat yang dikumpul adalah mengikut peruntukan di bawah Akta Perangkaan 1965 (Disemak-1989).

Berdasarkan Seksyen 5 di bawah akta ini, kandungan borang soal selidik yang diterima adalah sulit dan tidak boleh dihebahkan kepada jabatan lain, syarikat, individu atau mana-mana institusi di luar Jabatan Perangkaan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM

Thursday, October 18, 2018

Malaysia Mansuhkan Hukuman Mati, Ganti Penjara 30 Tahun Minimum?

Malaysia Mansuhkan Hukuman Mati, Ganti Penjara 30 Tahun Minimum?

Individu disabitkan kesalahan yang membawa hukuman mati, kini hanya akan dikenakan penjara minimum 30 tahun bagi menggantikan hukuman berkenaan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) Datuk Liew Vui Keong.

Malaysia Mansuhkan Hukuman Mati, Ganti Penjara 30 Tahun Minimum?

Pemansuhan hukuman mati di negara ini membabitkan semua kes jenayah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Liew Vui Keong.

Beliau berkata, dalam hal itu kerajaan tidak boleh memilih atau mengecualikan hukuman mati berdasarkan kes atau kesalahan tertentu.

“Saya dapat memahami perasaan mangsa, sangat memilukan. Tetapi jika kerajaan mahu menghapuskan (hukuman mati), kita tidak boleh hapuskan separuh saja.

“Kami mahu menghapuskan semua hukuman mati bagi setiap kesalahan jenayah,” katanya.

Liew Vui Keong berkata, hukuman penjara minimum 30 tahun akan dilaksanakan bagi menggantikan hukuman mati, jika pemansuhannya diluluskan Parlimen.

Selain Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 di mana pesalah dikenakan hukuman mati mandatori, terdapat 17 kesalahan jenayah lain yang membawa kepada hukuman sama.

Ia termasuk melancarkan serangan terhadap Yang di-Pertuan Agong dan raja, keganasan, pembunuhan, cubaan untuk membunuh ketika menjalani penjara seumur hidup, pembunuhan mangsa ketika diculik, memiliki dan menggunakan senjata api serta merogol hingga menyebabkan kematian dan merogol kanak-kanak.

Bagaimanapun, cadangan itu mendapat bantahan termasuk pembangkang dan dalam kalangan keluarga mangsa pembunuhan.

Difahamkan, rang undang-undang (RUU) bagi memansuhkan hukuman mati dijangka dibentang di Dewan Rakyat pada Disember ini selepas Bajet 2019 dibahas dan diluluskan.

Tun Mahathir Pertahan Hukuman Mati

Sementara itu, Tun Mahathir Mohamad mempertahankan hukuman mati mandatori di negara ini masih kekal dan belum dimansuhkan.

Perdana Menteri berkata, walaupun ada cadangan untuk memansuhkan hukuman itu, ia tidak bermaksud hukuman berkenaan sudah dihapuskan.

“Kita perlu menunggu sehingga akta berkaitan diluluskan. Kerajaan belum meluluskan undang-undang berkaitan pemansuhan hukuman mati,” katanya.

Rekod Jabatan Penjara

Berdasarkan rekod Jabatan Penjara Malaysia sehingga 11 Oktober 2018 lalu, terdapat 932 banduan disabitkan bersalah atau dijatuhkan hukuman mati mengikut Seksyen 39 (B) ADB 1952.

Bagaimanapun, sejak 2014 hingga kini tiada pelaksanaan hukuman mati terhadap banduan di bawah seksyen itu dan mereka masih menunggu hukuman disebabkan oleh Moratorium serta tiada waran pelaksanaan hukuman mati dikeluarkan kepada Jabatan Penjara Malaysia.

Namun demikian, pada 10 Oktober lalu menteri telah mengumumkan bagi pihak kerajaan bahawa semua kesalahan membabitkan hukuman mati termasuk Seksyen 39 (B) ADB 1952 akan dimansuhkan dan hukuman itu tidak patut dilaksanakan.

Rang Undang-Undang pemansuhan ini akan dibentangkan di Parlimen selepas memorandum berkaitan diluluskan dalam Kabinet dan meminta Lembaga Pengampunan untuk menimbang untuk menangguhkan hukuman mati ke atas banduan.

Berdasarkan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, Lembaga Pengampunan berkuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukuman berkenaan dengan segala kesalahan yang dibicarakan oleh mahkamah tanpa menjejaskan mana-mana peruntukan undang-undang Persekutuan.

Lembaga Pengampunan juga boleh mempertimbangkan untuk melepaskan banduan yang sudah menunggu lebih 20 tahun bergantung kepada situasi.

Setakat ini, jumlah banduan yang berdepan dengan hukuman mati bagi semua kesalahan membabitkan Seksyen 39 (B) ADB 1952 ialah 1,267 orang.

Sejarah Hukuman Mati

Hukuman mati ialah hukuman yang diputuskan oleh pihak mahkamah membabitkan pesalah dibunuh sebagai balasan jenayahnya, sama ada secara pancung, tembak, gantung, suntikan maut dan sebagainya.

Hukuman mati mempunyai sejarah yang lama dalam masyarakat manusia dan pernah berlaku di hampir semua masyarakat.

Biasanya, hukuman mati dilaksanakan demi menegakkan keadilan dalam masyarakat, tetapi dari segi ketenteraan, hukuman mati ialah satu cara untuk mengawal disiplin tentera.

Contohnya, askar yang enggan bertempur atau lari daripada tugasan boleh dihukum mati. Tindakan ini adalah supaya tiada askar yang enggan berperang kerana takut.

Selain itu, hukuman mati juga merupakan satu cara untuk mengadakan kawalan sosial. Di negara yang autokratik, mereka yang mempunyai kelainan pendapat dengan kerajaan barangkali akan dihukum mati.

Contohnya di negara komunis, seseorang itu akan dibunuh sekiranya ia dianggap "anti-revolusi" ataupun pemikirannya "berbahaya kepada masyarakat".

Cara melaksanakan hukuman mati sebenarnya mengalami banyak perubahan. Pada masa sekarang hukuman mati biasanya dilaksanakan dengan kesakitan yang minimum.

Cara yang melibatkan perdarahan dan mengambil masa yang lama biasanya tidak digunakan, kerana hukuman mati bermaksud menamatkan nyawa seorang penjenayah dan tidak bermaksud menyeksanya.

Walaupun banyak negara menggunakan hukuman mati sebagai hukuman untuk jenayah berat, terdapat beberapa negara yang tidak mengamalkan hukuman mati.

Contoh negara yang tidak mengamalkan hukuman mati ialah negara-negara dalam Kesatuan Eropah. Mereka menganggap hukuman mati ialah tindakan yang melanggar hak kemanusiaan.

Di negara yang bertamadun, hukuman mati ialah satu pendekatan untuk menghapuskan jenayah dan biasanya hukuman ini hanya dikenakan kepada penjenayah berat sahaja.

Contoh bagi jenayah yang membawa kepada hukuman mati adalah seperti berikut:

Membunuh

Hukuman Mati Tentera

Kebanyakan negara akan mengenakan hukuman mati kepada mereka yang membunuh secara segaja, berdasarkan kepada prinsip pembalasan, "hutang harta dibayar harta; hutang darah dibayar darah".

Penyeludupan dadah

Di negara Asia seperti Malaysia, Singapura, dan juga China, sesiapa yang melakukan penyeludupan dadah boleh dikenakan hukuman mati.

Hukuman ini berdasarkan kenyataan dadah memberi kesan yang buruk kepada masyarakat.

Pemerdagangan manusia

Di China, penjualbelian manusia ialah satu jenayah yang membawa kepada hukuman mati.

Jenayah seks/rogol

Di negara Islam, penjenayah seks boleh dikenakan hukuman mati. Keadaan yang sama juga berlaku di Vietnam yang mengenakan hukuman mati terhadap pesalah yang merogol kanak-kanak.

Jenayah-jenayah lain

Menderhaka, menculik, penyalahgunaan senjata api, malah rasuah adalah antara kesalahan yang dikenakan hukuman mati di beberapa negara.

Pendebatan mengenai hukuman mati

Pada peringkat antarabangsa, hukuman mati bukanlah sesuatu yang diterima semua. Ada yang menyokong dan ada yang membantah, masing-masing dengan alasan etika dan juga alasan kemasyarakatan.

Dalil ontologi

Kedua-dua pihak penyokong dan penentang menuntut kepada dalil ontologi untuk menahan pendapat masing-masing.

Bagi pihak penentang, hukuman mati ialah satu bentuk pembunuhan juga dan sebagai satu bentuk pembunuhan, ia tidak lari daripada sifat kejam.

Tambahan pula, hidup dan manusia merupakan hak Tuhan, dengan alasan itu manusia tidak harus mengambil nyawa manusia kerana ia bukan hak manusia.

Bagi mereka yang menyokong hukuman mati, ia adil dikenakan kepada mereka yang melanggar hak kehidupan orang lain, yakni pembunuh. Atas prinsip pembalasan, mereka yang membunuh harus dibunuh.

Maka kesimpulannya, dari segi analisis hierarki nilai, mereka yang menyokong hukuman mati, sebenarnya telah meletakkan nilai keadilan di atas nilai "sayang kepada nyawa".

Maka, bagi mereka yang menentang hukuman mati, mereka meletakkan nilai "sayang kepada nyawa" di atas nilai keadilan.

Dalil ekonomi

Dalil ekonomi tidaklah boleh dianggap dalil yang utama dalam mendebatkan isu ini. Ekonomi di sini juga tidak merujuk kepada konsep kewangan tetapi kepada "peruntukan" dalam erti kata yang luas.

Bagi pihak yang menyokong hukuman mati, dikatakan hukuman mati adalah lebih jimat berbanding dengan hukuman seumur hidup.

Kenyataan ini adalah senang diterima kerana hukuman seumur hidup melibatkan kos penyaraan si pesalah untuk satu jangka masa yang panjang. Manakala bagi hukuman mati pula, ia tidak melibatkan kos ini.

Dikatakan bahawa lebih baik kos menyara hidup banduan seumur hidup ini dialihkan untuk kegunaan perkara yang lebih berfaedah seperti memajukan kebajikan rakyat.

Tetapi bagi pihak yang menentang hukuman mati, dikatakan hukuman mati sebenarnya menelan kos yang lebih banyak.

Penentangan ini adalah kerana hukuman mati sentiasa melibatkan proses kehakiman yang teliti dan mengambil masa yang panjang, maka kos yang ditelannya lebih banyak.

Walau bagaimanapun, kedua-dua pihak masih belum dapat mengeluarkan statistik untuk membuktikan kesahihan hipotesis masing-masing.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: wikipedia | hmetro

Monday, October 01, 2018

JPN: Nama Anak Tidak Boleh Melebihi 80 Huruf!

JPN: Nama Anak Tidak Boleh Melebihi 80 Huruf!

Tidak lebih 80 aksara, itulah panjang maksimum yang dibenarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kepada ibu bapa yang hendak mendaftarkan nama anak yang baru dilahirkan.

Nama terpanjang di Malaysia

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jasri Kasim berkata, selain tidak boleh memberi nama terlalu panjang, ibu bapa juga tidak digalakkan meletakkan nama-nama yang membawa maksud tidak baik.

Nama-nama singkatan seperti ‘Abd’ juga tidak dibenarkan dan mesti dieja penuh 'Abdul' atau 'Mohd' mesti dieja 'Mohamad'.

Mengikut rekod di Malaysia, nama terpanjang pada masa ini ialah 78 aksara sebanyak empat patah perkataan.

Nama Terpanjang, Terpendek Dan Popular Dalam Rekod JPN

Nur Fathaniah Tariyah Karimah Farwizah Zahabiyah Syahirah binti Airol Anizam adalah antara nama terpanjang di Malaysia seperti yang direkodkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Sementara nama paling pendek di Malaysia milik seorang wanita bernama S, yang pada mulanya disangka nama timangan, namun apabila diberitahu ia nama sebenar, semua terdiam sebelum berkata ia sesuatu yang pelik.

Bukan saja kenalan, malah suaminya sendiri terkejut apabila diberitahu namanya S ketika bertunang dengan bakal suaminya ketika itu.

'Ahmad', 'Alex' dan 'Ravi' pula adalah antara nama paling popular rakyat Malaysia yang didaftarkan JPN.

Nama-nama berkenaan paling banyak digunakan dan didaftarkan di negara Malaysia.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: mstar

Thursday, September 20, 2018

Najib Berdepan 25 Pertuduhan Penggubahan Wang Haram RM2.8 Bilion

Najib Berdepan 25 Pertuduhan Penggubahan Wang Haram RM2.8 Bilion

Bekas Perdana Menteri, Najib Tun Razak ditahan sebaik tiba di ibu pejabat Unit Pencegahan Pengubahan Wang Haram (Amla) Bukit Aman di Menara KPJ, pagi Khamis sebelum didakwa dengan 21 pertuduhan membabitkan wang sebanyak RM2.8 bilion.

NAJIB AMLA

Selain itu, Najib, juga akan menghadapi empat pertuduhan mengikut Seksyen 23 (1) dan 24 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, tangkapan dibuat pasukan siasatan Amla dan Urus Setia Ketua Polis Negara (USKPN) selepas mendapat persetujuan daripada Jabatan Peguam Negara.

Najib akan dikemukakan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk proses pertuduhan oleh timbalan pendakwa raya di bawah Seksyen 4(1) Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) 2001.

Sebanyak 21 pertuduhan melibatkan 681 juta dollar Amerika (RM2.8 bilion) telah disediakan.

Sembilan pertuduhan melibatkan penerimaan wang haram, lima pertuduhan melibatkan penggunaan wang haram dan tujuh pertuduhan melibatkan pemindahan wang haram ke entiti lain.

Tangkapan dan pertuduhan ini dilakukan dengan kerjasama pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Terdahulu, menurut laporan The Star, Najib tiba di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman selepas ditahan semalaman di lokap SPRM pada Rabu.

Bekas perdana menteri itu tiba pada pukul 9.20 pagi Khamis sambil diiringi polis.

Dipercayai beliau hadir untuk merekod kenyataan di ibu pejabat tersebut sebelum dibawa ke mahkamah.

Ini merupakan kali ketiga Najib dibawa ke mahkamah, kali pertama pada Julai ketika beliau didakwa atas tiga pertuduhan berkaitan kes pecah amanah dan satu tuduhan menerima rasuah bernilai RM42 juta.

Bulan Ogos lalu, Najib didakwa atas tiga pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: mstar

Friday, September 07, 2018

Larangan Merokok Di Restoran Terbuka Bakal Dikuatkuasakan?

Larangan Merokok Di Restoran Terbuka Bakal Dikuatkuasakan?

Cadangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mengisytiharkan semua restoran terbuka sebagai kawasan larangan merokok dilihat sebagai tepat pada masanya.

Larangan Merokok Di Restoran Terbuka Bakal Dikuatkuasakan?

Perunding Keselamatan dan Kesihatan Awam, Mohd Sofian Osman menyifatkan ia selaras dengan rungutan sesetengah pengguna yang kurang selesa termasuk ketika berada bersama anak kecil di kedai makan.

"Ia pernah dicadangkan sejak 2015 lagi ketika kaji selidik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menunjukkan terdapat 5 juta rakyat Malaysia merupakan perokok dalam kalangan umur 15 tahun ke atas.

"Malah, data menunjukkan 35 peratus kematian di hospital-hospital awam adalah penyakit yang berkaitan dengan asap rokok seperti jangkitan paru-paru, kanser, jantung dan lain-lain.

"Cadangan ini tepat pada masanya selepas ramai yang menganggap hak mereka untuk menikmati udara bersih dicemari oleh perokok," katanya.

Jelasnya, KKM boleh bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan bagi menjalankan penguatkuasaan yang lebih drastik memandangkan kuasa penuh telah diberi melalui Peraturan-Peraturan Kawalan hasil Tembakau 2004 di bawah Akta Makanan 1983 (Akta 324).

Di media sosial, ramai mahu kerajaan serius dalam memastikan penguatkuasaan dijalankan dengan teliti agar perokok dikenakan tindakan sewajarnya sekiranya melanggar peraturan yang telah ditetapkan.

PENIAGA TAK PERLU RISAU

Peniaga tidak perlu risau perniagaan merosot disebabkan cadangan kerajaan mengisytiharkan larangan merokok dalam restoran terbuka di seluruh negara.

Ahli Lembaga Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC), Dr Siti Nurbaya Shahrir berkata, peniaga sepatutnya lebih menjaga golongan majoriti (bukan perokok) berbanding minoriti (perokok).

Menurutnya, beberapa negara luar yang mengamalkan polisi sedemikian membolehkan peniaga mendapat lebih untung kerana jumlah pelanggan makin ramai.

“Sekarang jangan fikir keuntungan menurun atau tidak, buat dulu. Restoran memang perlu jadi kawasan larangan merokok untuk melindungi mereka yang tidak merokok.

“Kalau mereka (peniaga) risaukan pasal keuntungan, negara luar ada yang buat tapi didapati lagi ramai orang datang ke kedai mereka sebab orang yang tak merokok lebih ramai.

“Orang yang merokok kalau datang restoran, mereka duduk lama dan minum saja.

"Kalau berkeluarga, datang sekejap, beli makanan banyak.

"Jadi, pelanggan lebih ramai,” katanya.

Tambahnya lagi, bukan perokok berasa kurang selesa dengan kehadiran perokok di sekeliling mereka dan peniaga perlu juga menghormati situasi tersebut.

“Kami rasa ia mengganggu. Di Malaysia tidak ramai yang merokok, yang merokok hanya 21 peratus. Kenapa nak lebihkan mereka yang merokok dan ketepikan yang tidak merokok.

“Kita memang dah lama nantikan keputusan ini sebab merokok melibatkan umum.

"Ramai wanita dan kanak-kanak yang tidak merokok turut terjejas,” ujarnya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: astroawani | astroawani2

Tuesday, August 28, 2018

Tiada Anugerah Gelaran Tun, Tan Sri Dan Datuk Bagi Tahun 2018

Tiada Anugerah Gelaran Tun, Tan Sri Dan Datuk Bagi Tahun 2018

Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V tidak akan memperkenankan sebarang darjah kebesaran pada Hari Keputeraan baginda yang akan disambut pada 9 September ini, menurut sumber diraja.

Tiada Anugerah Gelaran Tun, Tan Sri Dan Datuk Tahun 2018 Ini

Difahamkan, Jabatan Perdana Menteri dan raja-raja di negeri lain telah dimaklumkan bahawa Sultan Muhammad V buat kali pertamanya akan meraikan Hari Keputeraan baginda tanpa upacara itu.

Sebelum ini, jawatankuasa 'vetting' yang dipengerusikan oleh perdana menteri termasuk Ketua Setiausaha Negara dan Ketua Polis Negara akan mengkaji dan mencadangkan nama penerima darjah kebesaran terutamanya Tun, Tan Sri dan Datuk.

Mereka yang dianugerahkan darjah kebesaran tersebut secara kebiasaannya akan dimaklumkan secara rasmi sekurang-kurangnya dua minggu sebelum majlis tersebut berlangsung untuk membolehkan mereka membuat persiapan termasuk latihan di istana.

"Kali ini, tiada siapa daripada mereka yang dicadangkan menerima sebarang pemberitahuan rasmi.

"Pendek kata, tidak ada senarai gelaran kehormat pada tahun ini," kata sumber.

Setakat ini, masih tidak diketahui sebab di sebalik keputusan Agong tersebut dan tiada kenyataan dibuat oleh istana atau Pejabat Perdana Menteri.

Senarai penerima darjah kebesaran itu dirasakan "luar biasa panjang" pada tahun lepas iaitu sebanyak 1,518 orang.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: mstar

Tuesday, August 14, 2018

'Kuasa Agong Tidak Akan Dikembalikan' - Tun Mahathir

'Kuasa Agong Tidak Akan Dikembalikan' - Tun Mahathir

Kerajaan tidak akan meminda semula Perlembagaan Persekutuan bagi mengembalikan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong atau Raja untuk meneliti dan memperkenankan sesuatu rang undang-undang (RUU).

Kuasa Agong Tidak Akan Dikembalikan - Tun Mahathir

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata ini kerana Perkara 66 (4A) Perlembagaan Persekutuan berkaitan hal berkenaan, telah dipinda tiga kali sebelum ini.

“Akta itu telah dipinda tiga kali melalui Akta Perlembagaan (Pindaan) 1983, 1984 dan 1994. Pindaan yang dibuat pada 1994 ke atas 4 dan 4A Perkara 66 bertujuan memastikan satu RUU tidak ambil masa terlalu lama untuk menjadi undang-undang setelah diluluskan (Dewan Rakyat dan Negara) dan dipersembahkan untuk diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.

“Dengan pindaan itu, melainkan hal-hal yang menyentuh keistimewaan raja-raja, RUU tetap akan menjadi RUU setelah habis tempoh 30 hari diluluskan Parlimen,” katanya menjawab soalan Datuk Seri Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) semasa sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat.

Perdana Menteri berkata peruntukan Fasal 4 dan 4A menghapuskan segala keraguan berkaitan hak Parlimen dalam membuat RUU selain menolak keraguan Parlimen sebenarnya tidak berkuasa dan negara diperintah raja-raja yang mempunyai kuasa mutlak dan tidak tertakluk kepada Perlembagaan.

Dr Mahathir berkata pindaan-pindaan berkenaan, tidak sepatutnya dilihat sebagai langkah menggugat kemuliaan raja-raja tetapi bagi memaktubkan prinsip yang disepakati iaitu kedaulatan rakyat dan kewibawaan institusi undang-undang yang mewakili kehendak rakyat.

“Kemuliaan raja-raja terus tetap dipertahankan dalam konteks Raja Berperlembagaan. Malah terdapat lebih 30 prosiding yang tersenarai dalam Perlembagaan yang memerlukan persetujuan Yang di-Pertuan Agong dengan sebahagiannya tanpa mendapatkan nasihat Perdana Menteri,” katanya.

Ismail dalam soalannya ingin tahu sama ada kerajaan akan mengkaji atau meminda semula Perkara 66 (4A) Perlembagaan Persekutuan.

Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar (BN-Santubong) sama ada akan wujud ketidakseimbangan di dalam Parlimen apabila Perkata 66 (4A) dipinda, Dr Mahathir berkata;

“Negara kita adalah negara demokrasi di mana suara rakyat yang menentukan segala-galanya, namun demikian kita juga memberi tempat kepada (Yang di-Pertuan) Agong supaya Agong tahu tentang sesuatu undang-undang yang diluluskan rakyat.

“Kalau (Yang di-Petuan) Agong diberi kuasa mutlak untuk tolak undang-undang, maka rakyat hilang kuasa, dan kita ubah demokrasi lagi dan negara kita menjadi negara absolute monarchy,” tegasnya.

Perdana Menteri menegaskan kerajaan akan meneliti segala aspek sebelum meminda sesuatu akta agar kejadian seperti RUU Majlis Keselamatan Negara yang dipinda dan diluluskan secara automatik sebagai undang-undang tanpa persetujuan Yang di-Pertuan Agong, tidak berulang.

“Akta itu memberi hak kepada kerajaan untuk menangkap sesiapa sahaja tanpa bicara. Kerajaan akan mengkaji lebih lanjut mengenai perkara ini jika terdapat keperluan,” katanya dan menambah kerajaan sedar akta itu jelas memberi kuasa dan keistimewaan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytihar darurat kerana implikasinya amat serius.

Akta Majlis Keselamatan Negara, yang diluluskan Dewan Rakyat selepas bacaan ketiga pada Disember 2015 dan berkuat kuasa 1 Ogos 2016, antara lain membolehkan Perdana Menteri menetapkan sesuatu kawasan sebagai “kawasan keselamatan” dengan membenarkan pasukan keselamatan memeriksa mana-mana individu, kenderaan atau bangunan tanpa memerlukan waran.

Ia juga membenarkan penyiasat mengabaikan sebarang penyiasatan formal berhubung pembunuhan dilakukan polis atau tentera di dalam sesuatu “kawasan keselamatan”.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini

Friday, August 03, 2018

Bayaran Bantuan Sara Hidup 15 Ogos 2018

Bayaran Bantuan Sara Hidup 15 Ogos 2018

Sejumlah RM1.6 bilion akan diagihkan kepada kira-kira 4.1 juta penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) menjelang sambutan Aidiladha.

Bantuan Sara Hidup 2018

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang mengumumkan perkara itu berkata, pembayaran peringkat ketiga itu akan dibuat pada 15 Ogos 2018 ini.

"Kerajaan berharap pemberian BSH ini dapat membantu rakyat membeli barangan keperluan dan persiapan bagi menyambut Hari Raya Aidiladha pada 22 Ogos.

"Pembayaran akan dimasukkan ke akaun penerima, manakala bagi yang tidak mempunyai nombor akaun bank, surah pengesahan akan dipos ke alaman penerima dan mereka boleh menunaikannya di cawangan Bank Simpanan Nasional," kata Guan Eng dalam kenyataan pada Jumaat.

Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) telah ditukar kepada BSH sebaik kerajaan PH mentadbir negara ini.

Kata Guan Eng, walaupun tanpa hasil cukai GST dan negara menanggung hutan RM1 trilion, namun pentadbiran Pakatan Harapan (PH) masih mampu untuk membantu rakyat dengan memberi BSH.

"Walaupun GST sudah dimansuhkan, kerajaan persekutuan masih tidak mengalami kebankrapan seperti yang didakwa oleh kerajaan terdahulu, sebaliknya masih mampu terus memberi BSH walaupun tanpa hasil cukai GST.

"Perlu ditegaskan bahawa pembayaran RM1.6 bilion (BSH) dibuat dalam keadaan kekangan kewangan kerana hutang Kerajaan Persekutuan yang mencecah RM1 trilion ekoran skandal kewangan 1MDB dan salah urus tadbir," katanya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: mstar

Tuesday, June 05, 2018

Lelongan Nombor Plat 'Malaysia 1-9999' Pada 2-16 Julai 2018

Lelongan Nombor Plat 'Malaysia 1-9999' Pada 2-16 Julai 2018

Bagi peminat nombor VIP kenderaan, Kementerian Pengangkutan telah memperkenalkan nombor pendaftaran kenderaan khas ‘Malaysia 1-9999’ bagi memupuk semangat kecintaan kepada negara.

Nombor Plat 'Malaysia 1-9999'

Bidaan kepada nombor khas itu terbuka kepada orang awam dan akan diuruskan sepenuhnya oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), manakala tarikh bidaan akan bermula pada 2 hingga 16 Julai.

Sebelum ini, kebanyakan nombor khas hanya boleh dibida di pejabat JPJ di Kuala Lumpur, tetapi selepas perbincangan, bidaan kini boleh dilaksanakan atau dihantar kepada mana-mana pejabat JPJ di negeri-negeri.

Dan dijangkakan pelaksanaan ini mampu menjana hasil yang tinggi kepada kerajaan, selain untuk tujuan memupuk semangat kecintaan kepada negara, selaras dengan tema Hari Kemerdekaan tahun ini, iaitu 'Sayangi Malaysiaku', seperti mana yang diumumkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pihak kementerian menjangkakan nilai keseluruhan bidaan plat Malaysia boleh mencecah sehingga RM20 juta.

Sebelum ini, nilai bidaan keseluruhan tertinggi ialah siri V iaitu sebanyak RM22.48 juta, diikuti siri F iaitu sebanyak RM17.55 juta.

Bayangkan satu siri boleh mencecah purata RM20 juta.

Bidaan tertinggi bagi kedua-dua siri ini ialah V1 iaitu sebanyak RM989,780, manakala F1 ialah RM836,660.

Tetapi apabila diperiksa semula, nilai bidaan tertinggi untuk nombor plat tunggal ialah Patriot 1 (RM1.3 juta).

Sayangnya ia tidak termasuk dalam dana kerajaan kerana siri ini diuruskan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Atas faktor itu, kementerian telah membuat keputusan agar sebarang tawaran bidaan bagi nombor pendaftaran kenderaan khas hanya akan dipertanggungjawabkan kepada JPJ sahaja.

Melalui cara itu, Kementerian Pengangkutan bukan sahaja membantu menjana pendapatan untuk Kerajaan Persekutuan, malah ianya juga akan memudahkan kementerian melaksanakan program-program berkaitan keselamatan jalan raya, pengangkutan awam dan sebagainya tanpa perlu bergantung banyak kepada Kementerian Kewangan.

Selain itu, Anthony menambah, nombor pendaftaran kenderaan khas yang menggunakan nama-nama negeri juga akan dilancarkan tidak lama lagi.

Turut dalam cadangan, ialah ‘customised plate numbers’ yang membolehkan orang awam menggunakan nama pilihan masing-masing untuk diletakkan di kenderaan mereka, namun cadangan itu masih di peringkat awal.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: astroawani

Friday, May 25, 2018

Fakta Hutang RM1 Trilion Malaysia

Fakta Hutang RM1 Trilion Malaysia

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng membidas bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak yang dituduh menyamun duit rakyat kerana cuba menyangkal pengumuman kerajaan bahawa hutang negara sekarang berjumlah RM1 trilion.

Fakta Hutang RM1 Trilion Malaysia

Najib dilaporkan berkata kenyataan itu "hanya akan menimbulkan keraguan terhadap pasaran kewangan, mengejutkan agensi penarafan kredit dan menjejaskan keyakinan pelabur dalam institusi negara seperti Bank Negara Malaysia."

Kenyataan Lim Guan Eng

“Izinkan saya mengambil kesempatan ini untuk menerangkan liabiliti bernilai RM1 trilion pada 31 Dis, 2017, seperti yang diumumkan sebelum ini.

"Pertamanya, hutang kerajaan persekutuan adalah RM686.8 bilion iaitu 50.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

"Selain itu, kerajaan juga perlu membayar jaminan kerajaan kepada pelbagai entiti yang gagal untuk membayar hutangnya.

"Jumlah ini adalah sebanyak RM199.1 bilion (14.6 peratus daripada KDNK).

"Antara jaminan itu melibatkan entiti seperti Danainfra Nasional Bhd. (RM42.2 bilion), Govco Holdings Bhd. (RM8.8 bilion), Prasarana Malaysia Bhd. (RM26.6 bilion), Malaysia Rail-link Sdn. Bhd. (RM14.5 bilion) serta dianggarkan RM38 bilion untuk 1MDB."

Menurut Lim, selain jumlah berkenaan, kerajaan juga dikehendaki untuk menjelaskan pelbagai pajakan untuk pelbagai projek awam swasta seperti pembinaan sekolah, balai polis, jalan raya serta lain-lain yang berjumlah RM201.4 bilion (14.9 peratus daripada KDNK).

Meskipun tampuk kepemimpinan kerajaan persekutuan sudah berubah, namun tanggungjawab dan komitmen terhadap kewangan negara adalah masih sama.

"Dalam tempoh jangka pendek, keputusan untuk memberi kebenaran mungkin menimbulkan ketidak selesaan kepada (bekas perdana menteri) Datuk Seri Najib Razak.

"Bagaimanapun, kita percaya bahawa dalam tempoh sederhana, dengan mengakui situasi hutang hari ini, kerajaan dapat mengambil langkah konkrit untuk mengawal selia dan mengukuhkan kedudukan kewangan," katanya.

Menurut Lim, kerajaan baru Pakatan Harapan akan melaksanakan pentadbiran berdasarkan prinsip-prinsip kecekapan, akauntabiliti dan ketelusan (CAT).

“Kami mahu menubuhkan garis dasar sebenar mengenai keadaan kewangan, mendiagnosis masalah dan kemudian mencadangkan semua tindakan yang perlu diambil,” katanya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini

Thursday, May 24, 2018

Kerajaan Tidak Akan Beli Balik Proton Kerana Ia Milik Syed Mokhtar Al-Bukhary

Kerajaan Tidak Akan Beli Balik Proton Kerana Ia Milik Syed Mokhtar Al-Bukhary

Kerajaan baharu tidak akan membeli balik Proton Holdings Bhd. kerana ia kini menjadi milik hartawan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, kata Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad.

Kerajaan Tidak Akan Beli Balik Proton Kerana Ia Milik Syed Mokhtar Al-Bukhary

Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet.

Syed Mokhtar memegang 55.92 pegangan tidak langsung dalam DRB-Hicom Bhd. menerusi syarikat persendiriannya, Etika Strategi Sdn. Bhd., yang mana beliau memiliki 90 peratus kepentingan ekuiti.

Proton yang ditubuhkan pada 1983, adalah kereta nasional pertama negara dan merupakan idea Dr. Mahathir semasa tempoh pentadbirannya selama 22 tahun.

Bagaimanapun, Proton mengalami kerugian sejak beberapa tahun ini dan membawa kepada penjualan 49.9 peratus pegangan dalam syarikat itu kepada Zhejiang Geely Holding Group Co. Ltd. dari China dengan harga RM460.3 juta pada Jun 2017 lepas.

Sebelum Pilihan Umum Ke-14 pada 9 Mei, dilaporkan bahawa Pakatan Harapan, yang dipimpin oleh Dr. Mahathir, mungkin mempunyai rancangan untuk menubuhkan satu lagi syarikat kereta nasional sekiranya gabungan parti itu memenangi pilihan raya.

Ini susulan peluang yang amat besar bagi pengeluar kereta, yang juga akan membawa kesan sampingan kepada syarikat alat-alat ganti kereta.

Jualan keseluruhan industri berjumlah 514,679 unit pada 2017, di mana daripada jumlah itu jualan Proton adalah sebanyak 70,991 unit.

Semasa era kegemilangannya, Proton menguasai jualan kereta tempatan dengan hampir 80 peratus kereta penumpang baharu terjual.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: kosmo

Wednesday, May 23, 2018

Perdana Menteri Bubarkan SPAD, Jasa, MaGIC, MPN Dan JKKKP

Perdana Menteri Bubarkan SPAD, Jasa, MaGIC, MPN Dan JKKKP

Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad mengumumkan beberapa agensi dan institusi berkaitan kerajaan dibubarkan bagi mengurangkan perbelanjaan kerajaan dan antara yang akan dibubarkan ialah Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC), Majlis Profesor Negara (MPN), serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP).

Kabinet Tun Mahathir.jpg

“Kebanyakan institusi ini sebenarnya bukan sebahagian daripada kerajaan, yang sepatutnya memberi nasihat kepada kerajaan. Semua perkara ini akan dibubarkan.

“Kita tidak memerlukan kepintaran mereka, saya fikir kita pun ada kepintaran,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet yang pertama di Perdana Putra.

Tun Mahathir berkata, keputusan memansuhkan agensi dan insitusi terbabit dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet tersebut yang memberi tumpuan kepada hutang negara yang mencecah RM1 trilion, dengan mengurangkan perbelanjaan dalam bajet kerajaan terdahulu.

Mengulas pembubaran SPAD, Mahathir berkata tugas suruhanjaya itu akan dikembalikan semula kepada Kementerian Pengangkutan.

Mengenai rasional pemansuhan MPN dan JKKKP pula, beliau berkata kedua-dua institusi itu dipengaruhi unsur-unsur politik ketika pentadbiran kerajaan terdahulu.

“Pada mulanya, MPN satu badan yang kita guna untuk dapat maklumat daripada orang yang ada pengetahuan tinggi tetapi akhir-akhir ini banyak unsur politik sehingga mereka dipergunakan untuk mendokong kerajaan.

"Sebab itu kita tidak mahu ulang amalan-amalan tidak baik yang dibuat kerajaan terdahulu,” katanya.

“Kita dapati gaji dibayar kepada JKKKP yang seolah-olah telah menjadi kerajaan tambahan di negeri-negeri, ia banyak berunsur politik dan bukan pentadbiran.

"Sebaliknya kita ada pegawai kerajaan untuk menjalankan tugas itu dan kita tidak akan ganti bayaran kepada JKKP kerana kita tidak ingin amalkan politik seperti kerajaan terdahulu,” katanya.

Ditanya mengenai projek seperti Bandar Malaysia, Tun Razak Exchange (TRX) dan Lebuhraya Pan Borneo, Perdana Menteri berkata, “Kita sedang mengkaji mana satu kita batalkan, mana satu diteruskan, mana satu saya akan tangguhkan sehingga satu tarikh yang akan datang.”

Mahathir berkata langkah memansuhkan institusi dan mengkaji semula projek-projek terbabit dibuat sebagai sebahagian daripada langkah mengurangkan perbelanjaan kerajaan melibatkan nilai berbilion ringgit.

“Kita sudah kenal pasti banyak perbelanjaan dalam bajet yang lama, projek yang lama yang boleh kita kurangkan, jumlahnya berbilion juga tetapi tidak dapat beri secara terperinci.

“Sebanyak mana yang kita dapat kurangkan perbelanjaan kerajaan, sudah tentu ada projek yang mungkin gugur ada yang mungkin kita hentikan ada juga mungkin kita adakan rundingan semula untuk kurangkan kos setakat kita mampu bayar sahaja,” katanya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: bernama

Thursday, April 26, 2018

Indeks Kebebasan Media 2018, Malaysia Rangking 145

Indeks Kebebasan Media 2018, Malaysia Rangking 145

Malaysia menduduki tempat ke-145 daripada 180 negara dalam World Press Freedom 2018, jatuh satu tangga berbanding tahun 2017 lalu.

Indeks Kebebasan Media 2018, Malaysia Rangking 145

Skor bagi Malaysia ialah 47.41, jumlah yang bertambah buruk daripada tahun lepas dengan peningkatan sebanyak 0.52.

Skor yang tinggi menunjukkan kebebasan akhbar merosot mengikut indeks.

"Beberapa pindaan yang dicadangkan akan menguatkan lagi Akta Rahsia Rasmi - sebuah akta yang drakonian serta Akta Komunikasi dan Multimedia.

“Ia menimbulkan ancaman tambahan terhadap kebebasan media di Malaysia bagi membuat liputan pilihan raya umum 2018.

"Para penulis blog dipantau oleh pihak berkuasa yang boleh mendakwa mereka kerana menyebarkan 'berita palsu'- satu ungkapan halus kerana mengkritik kerajaan," kata laporan Indeks Kebebasan Media 2018.

Indeks itu merupakan satu gambaran tahunan secara global mengenai kebebasan akhbar yang datanya disusun oleh kumpulan pemantau antarabangsa Wartawan Tanpa Sempadan (RSF).

Kedudukan semasa Malaysia jatuh bawah negara seperti Thailand, Myanmar, India, Pakistan, Venezuela dan Kemboja.

Bagaimanapun, kedudukan Malaysia di tempat ke-145 meletakkan negara ini di hadapan Bangladesh, Mexico, Rusia, Singapura dan Vietnam.

Lima negara teratas kebanyakannya dari negara Scandinavia seperti Norway, Sweden, Netherland, Finland dan Switzerland.

Lima negara berada di kedudukan paling rendah dalam laporan terbaru itu ialah China, Syria, Turkmenistan, Eritrea dan Korea Utara yang kedudukannya tidak berubah.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini

Friday, March 23, 2018

Pengundi Wajib Semak Lokasi Tempat Mengundi Seminggu Sebelum PRU14

Pengundi Wajib Semak Lokasi Tempat Mengundi Seminggu Sebelum PRU14

Pemilih berdaftar diminta membuat semakan maklumat pengundian selewat-lewatnya seminggu sebelum tarikh pengundian Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bagi mengelak sebarang masalah berhubung lokasi sebenar tempat mengundi.

Pengundi Wajib Semak Lokasi Tempat Mengundi Seminggu Sebelum PRU14

Ketua Program Pengurusan Strategik Akademi Pilihan Raya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Khadijah Ishak berkata, antara masalah yang dijangka berlaku termasuk perubahan tempat mengundi khususnya kepada pemilih berdaftar yang bertukar alamat.

Jika usul persempadanan semula bahagian pilihan raya dibentang dan diluluskan di Dewan Rakyat serta diguna pakai untuk PRU14, terdapat kemungkinan berlaku perubahan tempat mengundi kepada sebahagian pemilih berdaftar.

Contohnya, sebelum ini undi di sekolah A, tetapi sebab ada persempadanan baru jika diguna pakai, mungkin bertukar ke sekolah B atau sekolah C.

Jadi, prngundi tidak boleh menganggap (PRU) lima tahun lepas dia mengundi di sekolah A, tidak semestinya PRU kali ini mengundi di tempat sama.

Oleh itu, semakan perlu dibuat dan menjadi tanggungjawab kepada pengundi itu sendiri bagi memudahkan semasa hari pengundian.

Meskipun borang semakan SPR disediakan di tempat-tempat mengundi, namun ia hanya menyediakan perkhidmatan menyemak nombor saluran mengundi, bukan untuk semakan daftar pemilih.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Cara Daftar Mengundi Dan Semakan Lokasi Pengundian Online

sumber: dialograkyat

Thursday, December 21, 2017

Ikan Yu Paling Tua Di Dunia Berusia 512 Tahun!

Ikan Yu Paling Tua Di Dunia Berusia 512 Tahun!

Seekor ikan yu dipercayai menjadi haiwan vertebrata tertua dunia ditemui di utara Lautan Atlantik dari spesies Greenland atau nama saintifiknya Somniosus microcephalus berusia 512 tahun!

Ikan Yu Paling Tua Di Dunia Berusia 512 Tahun!

Ikan yu yang berukuran kira-kira lima meter itu ditemui nelayan dan merupakan yang paling tua daripada sekumpulan 28 ekor ikan yu yang dianalisa saintis untuk kajian itu.

Berdasarkan hasil kajian, ikan yu berkenaan dipercayai dilahirkan seawal tahun 1505.

Ikan yu Greenland adalah vertebrata yang mempunyai jangka hayat paling lama di dunia dan merupakan antara spesies ikan yu terbesar.

Ikan yu dikatakan boleh membesar pada kadar 1 sentimeter setahun dan mampu mencecah sehingga tujuh meter sepanjang hayatnya dengan berat sehingga 1,400 kg.

Ikan Yu Paling Tua Di Dunia Berusia 512 Tahun!

Ikan yu Greenland boleh hidup sehingga ratusan tahun dan menghabiskan kebanyakan masanya berenang mencari pasangan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: 5 Haiwan Yang Hampir Pupus Di Malaysia

sumber: astroawani

Wednesday, December 20, 2017

Maksud 'Dilepaskan Tanpa Dibebaskan' Oleh Mahkamah

Maksud 'Dilepaskan Tanpa Dibebaskan' Oleh Mahkamah

Sebarang pertuduhan yang digugurkan sewaktu perbicaraan belum bermula dan saksi belum dipanggil adalah ‘dilepaskan tanpa dibebaskan’ menurut pakar undang-undang.

Maksud 'Dilepaskan Tanpa Dibebaskan' Oleh Mahkamah

Dilepaskan tanpa dibebaskan merupakan sesuatu kes terhadap seseorang individu yang dituduh itu digugurkan, namun pihak berkenaan tidak dibebaskan oleh mahkamah.

Maknanya, pendakwa raya boleh jika mahu untuk mendakwa semula tertuduh.

Berlainan sekiranya terdapat pembebasan (acquittal), pendakwa raya tidak boleh mendakwa semula kerana ini dihalang oleh Perkara 7(2) Perlembagaan berkenaan dengan perbicaraan berulang.

Mahkamah Majistret Seremban melepaskan tanpa membebaskan Azizan Manap, 44, atau Cikgu Azizan daripada pertuduhan mencederakan muridnya pada Oktober 2017 lalu.

Mahkamah membuat keputusan tersebut selepas Timbalan Pendakwa Raya, Hazeelia Muhammad memaklumkan pendakwaan menerima arahan daripada Jabatan Peguam Negara untuk menarik balik pertuduhan tersebut.

Mengulas mengenai kes Azizan, Syahredzan memaklumkan bahawa keputusan mahkamah untuk melepaskan tanpa membebaskan pihak berkenaan merupakan satu perkara biasa dari sudut perundangan negara.

Ini bukannya perkara luar biasa memandangkan mahkamah tidak boleh membebaskan tertuduh kalau tidak mendengar keterangan saksi dan melihat merit kes.

Sebab itu bila gugur pertuduhan sebelum perbicaraan bermula ia bukannya merupakan pembebasan atau acquittal.

Ketika ditanya sama ada Azizan berkemungkinan akan didakwa semula selepas ini, perkara itu tidak mustahil berlaku, namun kemungkinannya adalah sangat rendah.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Cikgu Azizan 'Menang' Perbicaraan Mahkamah Tampar Murid Jahat!

sumber: sinarharian

Tuesday, December 12, 2017

Penjual Air Zam Zam Di Malaysia Boleh Dihukum Penjara

Penjual Air Zam Zam Di Malaysia Boleh Dihukum Penjara

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap penjualan air zam zam berikutan larangan yang dikeluarkan Kedutaan Arab Saudi menjual air tersebut di mana-mana kedai di seluruh Malaysia.

Penjual Air Zam Zam Di Malaysia Boleh Dihukum Penjara
Gambar hiasan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata mereka yang disabitkan kesalahan menjual air zam zam boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

“Sejak 2012 sehingga Oktober ini, sejumlah air zam zam bernilai RM58,191.80 telah dirampas melalui hasil penguatkuasaan yang telah dijalankan,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, perkara ini telah dipersetujui oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) memandangkan penguatkuasaan adalah di bawah bidang kuasa KKM.

Katanya pihaknya melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan sedang mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap penjualan air zam zam berdasarkan Seksyen 4 (1) (f) Akta Makanan 1983.

Dr Noor Hisham berkata air zam zam diperoleh dari bawah tanah dan dikategorikan sebagai air mineral semula jadi seperti termaktub di bawah Peraturan 360A, Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

“Pengimportannya memerlukan lesen punca air serta kelulusan dan pengesahan daripada pihak berkuasa geologi dan hidrologi dari negara pengeksport,” jelas beliau.

Katanya, kerajaan Arab Saudi hanya membenarkan pengedaran air zam zam secara percuma kepada jemaah haji dan umrah serta pelawat untuk kegunaan persendirian dalam kuantiti yang terhad selepas berlepas dari Arab Saudi.

“Kementerian sedang meningkatkan tindakan penguatkuasaan ke atas penjualan air zam zam memandangkan ia tidak dibenarkan di Malaysia,” katanya.

Kepada pengguna yang mempunyai sebarang pertanyaan mengenai isu keselamatan, Dr Noor Hisham berkata mereka boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau www.facebook.com/bkkmhq.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Khurafat Di Musim Haji!

sumber: bernama

Monday, December 04, 2017

Lanida Dahlan, Pelajar Orang Asli Juara Catur Asia Tenggara 2017

Lanida Dahlan, Pelajar Orang Asli Juara Catur Asia Tenggara 2017

Seorang pelajar Orang Asli mencipta sejarah sebagai pemain catur remaja wanita pertama negara memenangi dua pingat emas Kejohanan Peringkat Umur Catur Asia Tenggara kali ke-18 2017 di Kuantan (3 Disember 2017).

Lanida Dahlan juara catur
Lanida Dahlan (tengah).

Lanida Dahlan, 14, yang menang dua pingat emas Kejohanan Catur Peringkat Umur Asia Tenggara kali ke 18 di Kuantan bersama Erni Shahrira Yusri, 15 (kiri) dan Veronica Mahdan, 16.

Lanida Dahlan, 14, pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Muadzam Jaya, Pahang, muncul pemenang kategori ‘standard’ dan ‘rapid’ bawah 14 tahun berkumpulan dalam kejohanan sembilan hari itu.

Ketika ditemui, anak sulung daripada empat beradik itu berkata, dia mula berjinak dengan catur sejak berusia lapan tahun sebelum membabitkan diri secara aktif menyertai persatuan catur sekolah.

“Ketika di sekolah kebangsaan saya menyertai persatuan catur dan bermain secara konsisten.

“Ada guru yang mahir permainan ini mengajar kami bermain dengan teknik dan taktik yang betul.

“Apabila ke sekolah menengah, saya nampak potensi dalam diri lalu bermain secara serius dan menyertai beberapa kejohanan,” katanya.

Lanida yang bercita-cita meraih gelaran Grandmaster catur pertama negara berharap impian itu dapat direalisasikan nanti dengan meningkatkan mutu permainan bagi melayakkannya menerima pengiktirafan tertinggi Organisasi Catur Dunia (FIDE).

Kejohanan bermula 25 November 2017 lalu, menyaksikan dua lagi pemain catur negara Veronica Mahdan, 16, dan Erni Sharira Yusri, 15, merangkul pingat perak dan dua gangsa.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Tahukah Anda Sejarah Dan Asal-usul Permainan Chess?

sumber: hmetro

Sunday, December 03, 2017

6 Fakta HIV, AIDS Di Malaysia Anda Perlu Tahu

6 Fakta HIV, AIDS Di Malaysia Anda Perlu Tahu

Hari AIDS Sedunia disambut pada 1 Disember setiap tahun untuk memupuk kesedaran mengenai wabak AIDS yang disebabkan oleh jangkitan HIV.

6 Fakta HIV, AIDS Di Malaysia Anda Perlu Tahu

Berdasarkan statistik Kementerian Kesihatan Malaysia, kes paling tinggi mereka dijangkiti HIV/AIDS kini adalah menerusi hubungan seks berbanding suntikan jarum.

KKM pada Julai 2017 lalu menerusi Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Hilmi Yahya menyifatkan HIV dan penyakit AIDS kini tidak lagi menjadi ancaman utama negara apabila kementerian mensasarkan penurunan kes sebanyak 90 peratus menjelang tahun 2030.

Ketika menuju sasaran berkenaan, berikut adalah 6 fakta nombor mengenai HIV/AIDS di Malaysia yang perlu kita tahu:
  1. 111,916 jumlah keseluruhan kes HIV (1986 - 2016)
  2. 99,338 lelaki menghidap HIV (1986 - 2016)
  3. 33,206 kes jangkitan HIV melalui hubungan seks (1986 - 2016)
  4. 68, 392 kes HIV melalui suntikan penagih (1986 - 2016)
  5. 3,397 kes baharu jangkitan HIV pada 2016
  6. 15 kes baharu HIV melibatkan kanak-kanak bawah 13 tahun pada 2016

*Statistik oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: astroawani