Friday, November 15, 2013

Menara Jam Makkah Diisytihar Bangunan Kedua Tertinggi Di Dunia

Menara Jam Makkah Diisytihar Bangunan Kedua Tertinggi Di Dunia

Berketinggian 601.07 meter, Menara Abraj Al-Bait yang juga dikenali sebagai Menara Jam Makkah diisytiharkan sebagai bangunan kedua tertinggi di dunia.

Abraj-Al-Bait-Towers
Menara Jam Makkah.

Hanya Burj Khalifa di Dubai dengan ketinggian 828.14 meter mengatasi ketinggian Menara Jam Makkah itu.

Perkara itu diumumkan oleh Majlis Bangunan Tinggi dan Habitat Bandar pada sidang akhbar yang diadakan serentak di New York dan Chicago.

Ia turut mengiktiraf Pusat Dagangan Dunia Satu (One World Trade Center) yang dalam pembinaan di New York dengan ketinggian 541 meter sebagai pencakar langit tertinggi di Amerika Syarikat dan bangunan ketiga tertinggi di dunia.

Menara Jam Makkah sudah pun memegang beberapa rekod dunia sebelum ini, termasuk menara jam paling tinggi di dunia dan mempunyai muka jam yang terbesar di dunia.

Struktur itu juga mempunyai kawasan lantai kedua terbesar dengan keluasan 1,500,000 meter persegi, ditewaskan New Century Global Centre di Chengdu, China yang berkeluasan 1,700,000 meter persegi.

Mengukur ketinggian bangunan mungkin nampak mudah, tetapi bagi kes menara Pusat Dagangan Dunia ia amat rumit kerana struktur jarum di atas bangunan itu yang berketinggian 124.36 meter juga perlu diukur.

Majlis itu memutuskan struktur jarum pada bangunan itu perlu dikira sebagai sebahagian daripada keseluruhan ketinggian bangunan.

Sumber: Harian Metro