Wednesday, February 20, 2019

6 Varieti Avocado Di Malaysia

6 Varieti Avocado Di Malaysia

Avocado ialah sejenis tumbuhan buah-buahan dari keluarga Lauraceae yang dimakan sebagai buah segar atau untuk diproses bagi pelbagai kegunaan dan dipercayai berasal dari Puebla, Mexico. Sejarah menanam dan memakan buah avocado telah bermula semenjak beribu-ribu tahun dulu lagi oleh kaum Aztek di lembah Andes yang mempunyai tamadunnya tersendiri.

Gambar buah Avocado

Tanaman avocado tidak popular disemua negara Asia Tenggara seperti Malaysia dan Thailand tetapi popular di Filipina dan Indonesia.

Orang Malaysia kurang meminat makan buah avocado tidak seperti di beberapa negara Amerika Latin, Caribbean, Indonesia dan Filipina yang amat menggemari buah avocado.

Cara makan buah avocado juga mudah iaitu dengan membelah buah kepada dua dan ambil isinya kemudian masukan dalam cawan di campur dengan susu dan sedikit gula.

Negara Pengeluar Utama

Tanaman Avocado popular di beberapa negara dengan pengeluaran dunia sebanyak 3.2 juta metrik tan pada tahun 2010.

Negara-negara membangun menyumbang sebanyak lebih 82% pengeluaran tersebut di kawasan Amerika Latin dan Caribean.

Mexico merupakan pengeluar utama avocado dunia dengan lebih 1.1 juta mt setahun diikuti dengan Indonesia (263,000 mt/tahun) dan Amerika Syarikat (214 mt/tahun).

Beberapa negara pengeluar utama lain seperti Colombia, Brazil, Chile, Peru, China dan Ethiopia.

Kawasan Asia Pasifik dan Asia Tenggara menyumbang lebih 11% pengeluaran avocado dunia melibatkan Indonesia, Filipina, Vietnam dan Australia.

Ciri-ciri morfologi

Pokok avocado merupakan pokok yang tumbuh menegak dengan ketinggian sehingga 20 meter (70 kaki).

Pokoknya bercabang dengan daun berwarna hijau gelap berukuran 12-25 cm panjang dan berkilat di bahagian atas permukaan daun.

Bahagian bawah daun agak cerah keputihan yang mempunyai pelbagai bentuk seperti lanseolat, ekliptik, bujur, ovat dan juga bentuk obovat.

Buah Avocado mempunyai bentuk 'pear' yang agak tirus di bahagian pangkal buah seakan bulat dan oval berukuran 7-33 cm panjang dan 15 cm diameter.

Kulit berwarna hijau kekuningan, hijau gelap, merah ungu atau ungu gelap dan agak kehitaman apabila cukup masak.

Kadang-kala ada juga yang mempunyai titik-titik kuning dan mempunyai ketebalan kulit kira-kira 6 mm.

Bunga Avokado berwarna hijau kekuningan yang ada 2 pusaran serta 3 lobus periant dengan 9 stamen dan 2 kelenjar nektar berwarna jingga.

Kaedah atau cara pendebungaan pokok avocado ada dua cara iaitu kaedah 'A' dan kaedah 'B'.

Kaedah 'A' adalah dimana organ betina akan terbuka pada waktu pagi dan debunga dikeluarkan tengahari sementara keadah 'B' iaitu debunga dikeluarkan pagi dan organ betina dibuka waktu tengahari.

Daripada 11 spesis avokado, sebanyak 5 spesis mempunyai bunga jenis A dan 6 spesis jenis B.

Khasiat

Avokado adalah sejenis buah berkhasiat yang mengandungi protein, zat besi, fosforus, kalsium, sodium, potasium, vitamin A dan C dan niasin.

Sebiji avocado dipercayai mengandungi kira-kira 300 kalori, dengan 88% daripadanya terdiri daripada lemak.

Ia bertindak dengan berkesan sebagai pelincir semula jadi bagi membolehkan sendi-sendi tulang bergerak bebas terutamanya di bahagian leher, siku, pergelangan tangan, pinggul dan lutut sekali gus dapat menghindarkan penyakit sengal-sengal tulang.

Di samping itu, amalan memakan buah ini setiap hari boleh menurunkan paras kolesterol di samping mengekalkan paras lipoprotein iaitu sejenis kolestrol baik yang bertindak melindungi seseorang itu daripada diserang sakit jantung.

Isi avocado yang kaya dengan vitamin A, minyak dan riboflavin amat berkesan untuk memulihkan kesegaran dan kelicinan kulit serta mengatasi masalah kulit kering.

Spesis

Terdapat 4 spesis utama tanaman avokado iaitu Guatemalan (Persia nubigena var. guatemalanisi L Wims), Mexican (Persea americana var drymifolia Blake), West Indian ( Persea americana) dan kacukan antara ketiganya.

Terdapat dua lagi spesis yang berkait rapat dengan tanaman avocado iaitu Covo (Persea schiedeana Nees) dan juga Anay (Beilcshmiedia anay Konter m).

Kultivar

Antara kultivar yang terdapat adalah Avocado Hass, Avocado Gwen, Avocado Pinkerton, Avocado Reed (Kategori A).

Bagi kultivar kategori B pula ialah kultivar Avocado Bacon, Avocado Ettinger, Avocado Fuerte, Avocado Sharwil dan Avocado Zutano.

Kultivar lain yang ada termasuk Avocado Spinks dengan jenama Challange, Dickinson, Kist, Queen, Sharpless, Rey, Royal dan Tatt.

Klon dan kultivar yang terdapat di Malaysia dibawa masuk dari Mexico tetapi banyak kultivar yang disesuaikan dengan keadaan di Indonesia dan Filipina.

Klon tanaman avokado

Di Malaysia terdapat tujuh varieti yang telah didaftarkan untuk tanaman avokado. Walaupun tanaman avocado di Malaysia tidak begitu popular tetapi sejak zaman kolonial terdapat usaha membangunkan tanaman ini yang di majukan di Stesen-stesen Pertanian.

Pokok avokado (Persia americana) adalah varieti yang ditanam di Malaysia.

Jabatan Pertanian Malaysia telah mendaftarkan beberapa klon avokado semenjak tahun 1953 dan menyimpan sebahagian daripada pokok-pokok tersebut di beberapa pusat pertanian sekitar Malaysia.

Di pusat pertanian Tangkak, Ledang, Johor contohnya terdapat beberapa pokok yang masih dijaga dan mengeluarkan hasil sehingga kini.

Usaha untuk menyimpan pokok tersebut sebagai sumber janaplasma perlu dijalankan.

1. Avocado Klon A7

Avocado jenis ini di panggil sebagai "Haji Abu" yang didaftarkan pada 5.10.1953 dari Pusat Pertanian Ampang Tinggi , Negeri Sembilan. Klon ini didaftarkan oleh pegawai pertanian pusat tersebut.

Buah jenis ini berbentuk 'pear' dengan saiz yang sederhana dan mempunyai kulit berwarna hijau.

Buah ini senang di kupas apabila telah matang. Isinya berwarna kuning, lembut dan bijinya senang tertanggal dari isi.

2. Avocado Klon A10

Jenis avocado klon A10 yang di daftarkan pada 1956 di dapati di Lot 2835, Selama, Perak oleh Jabatan Pertanian.

Buah klon ini bersaiz besar, berwarna merah padam dan mempunyai kulit yang nipis. Tidak ada nama tempatan untuk klon ini. Isinya lembut dan mempunyai mutu serta rasa yang sederhana.

3. Avocado Klon A16

Bagi buah klon avocado A16 yang didaftarkan pada 18.5.1957 ini ditanam di Pusat Pertanian, Selama, Perak yang didaftarkan oleh Jabatan Pertanian.

Buahnya mempunyai kulit yang hijau kekuningan dengan bentuk agak panjang dan membengkok, meruncing di bahagian tangkai. Isinya pucat dan rasa buah adalah sederhana sedap.

4. Avocado Klon A25

Klon avocado A25 tiada nama tempatan dan didaftarkan pada tahun 1958 oleh pegawai pertanian. Pokok induk masih ada di Pusat Pertanian Tangkak, Ledang, Johor.

Buahnya bila matang berwarna merah hati dengan saiz buah sederhana. Isinya tebal dan berbiji kecil dengan ira isinya yang halus dan rasa yang sangat sedap.

5. Avocado Klon A27

Klon ini didaftarkan pada 10.6.1958 oleh pegawai di Jabatan Pertanian Serdang. Tidak ada nama tempatan untuk klon ini.

Klon ini menghasilkan buah kecil yang kulitnya berwarna jingga gelap. Isinya agak nipis dibahagian tepi tetapi tebal di bahagian atas dan bawah biji. Mutu dan rasa klon A27 adalah dikategorikan sederhana.

6. Avocado Klon A30

Avocado ini telah di daftarkan pada 1.6.1958 oleh pegawai Jabatan Pertanian yang bertugas di Pusat Komoditi Jabatan Pertanian Serdang, Selangor.

Klon ini mempunyai buah yang besar dengan kulit berwarna jingga. Isinya adalah tebal, halus serta berwarna 'cream'. Mutu buah adalah sangat baik.

Penanaman

Penanaman menggunakan biji benih atau keratan yang dipilih dari pokok induk yang dikenalpasti.

Jarak penanaman disyorkan ialah 6m x 6m atau lebih jauh bergantung kepada keadaan tanah dan kultivar. Lubang penanaman diisikan dengan baja organik dan MOP sebelum ditanam dengan anak benih.

Jalankan penyiraman peringkat awal dan sebaiknya bubuh sungkupan. Tanaman selingan seperti pisang , jagung atau lain-lain tanaman kontan boleh ditanam di antara barisan. Kawal rumpai dan jalankan program cantasan pembentukan.

Baja tumbesaran NPK 15:15:15 diberikan mengikut kadar disyorkan. Baja buah NPK 12:12:17:2 dan baja organik juga diberikan ikut syor.

Pokok avocado dewasa mampu menghasilkan sebanyak 1,200 biji buah sepokok setahun. Purata hasil avocado yang di tanam secara komersil sebanyak 7-20 metrik tan sehektar setahun.

Kawasan dusun avocado yang dijaga dengan baik di negara strategik mampu menghasilkan sehingga 20 mt sehektar setahun.

Pokok avocado memang mempunyai masalah penghasilan berbuah dwimusim iaitu pengeluaran puncak dan pengeluaran kurang berlaku berselang tahun.

Isu ini menyebabkan harga buah avocado di pasaran kadang-kadang terlalu tinggi dan terlalu murah akibat fenomena ini.

Ciri-ciri ideal avocado

Ciri-ciri buah avocado yang dikehendaki oleh pengguna mestilah buah yang bersaiz kecil dan saiz sederhana untuk pengeluaran secara komersial di kawasan kotaraya.

Buah yang terlalu besar atau terlalu kecil digunakan untuk keluarga yang besar.

Kulit buah avocado sebaiknya licin, nipis atau sederhana nipis serta berwarna kehijauan memang diminati pengguna.

Isinya tidak ada serat, mengandungi minyak yang rendah serta rasa yang sedap. Biji sebaiknya bersaiz kecil dan tidak mengganggu isi buah semasa proses penghantaran, penggredan dan pengendalian lepas tuai.

Hanya beberapa negara sahaja di dunia yang mempunyai iklim dan cuaca dikehendaki untuk tanaman avocado bermutu iaitu di Selatan Sepanyol, Crete dan Levant, Peru dan Afrika Selatan.

Kawasan lain yang sesuai seperti di Selatan India , Sri Lanka, Australia, New Zealand , Filipina, Malaysia, Indonesia, Amerika Tengah, Caribean, Arizona , Mexico, New Mexico, Texas, Florida dan Ecuador. Setiap kawasan mempunyai kultivar tersendiri.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: wikipedia

Monday, February 18, 2019

Khasiat Gula Kabung Selain Rasanya Yang Enak

Khasiat Gula Kabung Selain Rasanya Yang Enak

Manisan Gula Kabung dibuat dari nira atau tuak pokok kabung dan seakan-akan sama dengan gula melaka, gula pokok nipah dan gula pokok tar, semuanya dalam kategori pokok palma kerana boleh menghasilkan tuak atau nira mengikut proses tertentu.

Khasiat Gula Kabung

Pokok kabung juga dipanggil pokok enau, pokok aren dan pokok kantau (kantor). Nira pokok kabung dihasilkan dari tangkai atau tandan bunga jantan dan kaedah atau cara untuk menghasilkan nira kabung, hampir sama cara mendapatkan nira nipah.

Air nira yang ingin dibuat gula kabung biasanya dimasak menggunakan kawah kerana mudah untuk mengacau.

Mengacau semasa memasak gula kabung sama seperti mengacau membuat dodol, cuma bezanya adalah masa untuk mengacau gula kabung lebih singkat.

Air nira kabung yang dimasak perlu dikacau sehingga pekat dan berwarna coklat kmerahan. Setelah betul-betul pekat ia perlu segera dimasukkan ke dalam acuan daun mengkuang yang berbentuk bulat untuk dikeraskan. Proses pengerasan hanya kira-kira 5 minit selepas diambil dari kawah.

Keenakan gula kabung memang tiada tandingannya kerana rasa manisan itu berbeza dengan gula biasa yang diperbuat daripada tebu.

Rasa gula yang enak dan tidak terlalu manis menjadikan gula kabung menjadi pilihan di dalam masakan tradisional seperti dodol, kuih-muih atau dijadikan manisan untuk minuman.

Khasiat Gula Kabung

Gula kabung boleh menggantikan gula biasa atau gula tebu kerana mengandungi kandungan glukosa yang lebih rendah berbanding gula pasir.

Selain itu gula kabung kaya dengan Vitamin C, Thiamine, Nicotinic acid, Riboflavin, Ascorbic acid dan zat protein.

Memandangkan kandungan zat galian dan nutrisinya yang tinggi, maka gula kabung amat sesuai bagi pengidap diabetes, lelah atau asma, anemia atau kurang darah, mereda panas pankreas, membantu pertumbuhan gigi dan tulang, menghalang kegemukan dan baik untuk proses pembesaran kanak-kanak.

POKOK KABUNG

Pokok kabung, sejenis pokok palma juga dikenali sebagai pokok Enau atau nama saintifiknya 'Arenga Pinnata', mungkin agak pelik berbanding pokok daripada spesies palma yang lain.

Mengikut kata orang tua, pokok kabung yang tumbuh di tepi paya atau di tepi sungai, mempunyai kualiti air nira yang sederhana berbanding yang tumbuh di kawasan caruk, lembah mahu pun di kaki bukit yang mempunyai kualiti yang tinggi.

Pokok daripada keluarga Arecaceae ini pelik kerana semakin ia meninggi dan matang, tandan bunga dan buahnya pula tumbuh kian merendah dibahagian bawah batangnya hingga hampir mencecah tanah.

Malah dikatakan bahawa apabila tandan yang tumbuh di batang itu sudah hampir ke tanah itu menandakan bahawa pokok kabung berkenaan sudah tua dan akan mati.

Ini berbeza dengan pokok daripada spesies palma yang lain seperti pokok kelapa dan rumbia kerana tandan bunga dan buahnya akan tumbuh meninggi mengikut kematangan dan ketinggian pokok berkenaan.

Pokok kabung, mengeluarkan nira yang boleh diminum begitu saja atau di proses menjadi gula kabung dikatakan hanya akan mengeluarkan nira daripada tandan sepadan dengan 'pujukan' yang diberikan.

Pastikan air nira kabung tersebut bewarna jernih, jika warna agak kemerahan, air nira tersebut tidak berkualiti.

BUNGA JANTAN

Tidak semua tandan pokok kabung mengeluarkan nira kerana hanya tandan bunga jantan sahaja yang boleh 'dipujuk' untuk mengeluarkan niranya.

Tandan bunga betina pula tidak akan mengeluarkan nira meskipun dipujuk seperti tandan bunga jantan.

Kerja 'memujuk' mengikut istilah yang digunakan pemungut nira, iaitu dengan mengetuk batang tandan bunga jantan itu secara bersopan, memang berlaku berdasarkan pengalaman sejak bertahun-tahun lamanya.

Sebelum batang tandan bunga jantan dicantas, batang tandan berkenaan perlu dibersihkan daripada sebarang sisa kelopaknya. Selepas itu, ia perlu 'dipujuk' dengan mengetuk-ngetuk batang tandan itu ke arah atas dua kali dan arah ke bawah dua kali.

Tujuan mengetuk berkenaan ialah bagi melonggarkan rongga-rongga saluran aliran air nira dalam batang tandan berkenaan.

Ketukan pula hendaklah dibuat secara berhati-hati supaya tidak mencederakan batang tandan berkenaan. Jika ketukan terlalu kuat dan batang tandan tercedera, nira tidak akan keluar.

CARA MENGHASILKAN GULA KABUNG

Sigai yag diperbuat dari buluh, pengikat mayang kabung dari akar rotan seni, tabung buluh serta parang yang tajam akan digunakan untuk mengambil nira kabung.

Parang yang tumpul akan menyebabkan mayang yang dipotong bergerigi dan kualiti air nira akan terjejas.

Setelah itu, mayang kabung dilenturkan sedikit demi sedikit. Ianya akan diikat dengan rotan sebelum proses memotong mayang. Seterusnya, air nira ditakung ke dalam tabung buluh yang sepanjang 3 kaki.

Di dalam tabung tersebut diletakkan sedikit daun manggis/kulit manggis untuk mencegah air nira daripada menjadi masam. Ada juga yang menggunakan akar laru untuk mencegah air nira menjadi masam.

DUA KALI SEHARI

Air nira biasanya dikutip dua kali sehari dan ada antara pokok kabung berkenaan boleh mengeluarkan sehingga 5 liter sehari.

Gula kabung boleh menggantikan gula biasa dan lebih penting daripada itu ia tidak mengandungi glukosa dan baik untuk kesihatan khususnya bagi pengidap kencing manis.

GULA KABUNG

Proses memasak memakan masa yang agak lama. Dapur kayu digunakan bagi menjaga kualiti, mengekalkan ketradisionalan dan membangkitkan aroma bau gula kabung tersebut.

Gula kabung boleh dijadikan bahan masakan dalam kuih-muih tradisional, makanan dan minuman.

Antara makanan yang popular dengan campuran gula kabung ialah bubur kacang, kuih koci, kuih kelepong, kuih keria, dodol, pulut kacau@wajik, agar-agar, kuih sepang, air batu campur dan cendol, perapan daging atau ikan, juga enak apabila dicampurkan bersama kopi O.

Gula kabung yang siap dimasak, dibiarkan keras dan kemudian akan dibungkus dengan pucuk daun kabung yang dikeringkan.

Rasanya mungkin agak sama seperti gula melaka, cuma gula kabung terhasil dari air nira pokok kabung, manakala gula melaka dari air nira pohon kelapa.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM

Tuesday, February 12, 2019

25 Jenis Varieti Pokok Zaitun

25 Jenis Varieti Pokok Zaitun

Buah Zaitun atau Olive (Olea europaea) dihasilkan dari pokok zaitun dari keluarga Oleaceae, merupakan tumbuhan paling tua di dunia yang tumbuh dari kawasan di Mediterranean dan dilaporkan mampu hidup sehingga lebih 1,000 tahun.

Buah Zaitun Liar

Pokok Zaitun boleh tahan dalam keadaan suhu panas, kemarau dan keadaan tanah yang agak masin (high salinity) serta mempunyai pelbagai khasiat dan kegunaan dalam masyarakat sejak zaman kuno, telah ditanam dan digunakan sejak zaman Mesir purba lagi.

Kehebatan buah zaitun telah di tulis dalam AlQuran iaitu, "Makanlah minyak zaitun dan lumurlah minyaknya, kerana ia berasal daripada pohon yang penuh berkat." (Riwayat At-Tirmizi dan Ibnu Majah)'.

"...yang dinyalakan dengan minyak yang banyak faedahnya (iaitu) zaitun yang tumbuh tidak di sebelah timur dan tidak pula di sebelah barat, yang minyaknya (sahaja) hampir menerangi, walaupun tidak disentuh api...."

Ini juga menunjukkan bahawa pokok dan buah zaitun merupakan sejenis tumbuhan yang sangat berguna.

Produk Zaitun dipercayai telah diperdagangkan sejak 2,000 - 3,000 tahun sebelum masihi, tersebar di kawasan Mediterranean, Afrika Utara dan Eropah kerana mudah dibiakkan dengan cara vegetatif dalam keadaan cuaca kering.

Beberapa kultivar dan varieti pokok zaitun yang terdapat diseluruh dunia dipilih semenjak beribu-ribu tahun dahulu dan daripada 39 negara yang menanam pokok zaitun di seluruh dunia, sebanyak 19.6 juta metrik tan buah zaitun dihasilkan pada tahun 2011 (Laporan FAO Statistik 2011).

Varieti yang ditanm bergantung kepada kesesuaian tanah, iklim dan pengurusan selain keperluan pasaran.

Berikut adalah 25 kultivar yang ada untuk dilaporkan sebagai maklumat berguna kepada pembaca.

1. Amfissa

Kultivar ini berasal dari negara Greek yang dikenal pasti dari daerah bernama Amfissa (Tengah Greek) dan jugan dekat dengan bandar Delphi.

Jenis ini mendapat perlindungan dibawah (PDO status) dan sangat baik kualiti ekstrak minyak.

Pada masa ini dilaporkan terdapat sebanyak 1,200,000 pokok olive jenis ini yang dilindungi sebagai landskap semulajadi dinegara tersebut.

2. Arbequina Olives

Varieti ini adalah jenis buah kecil dan berwarna coklat apabila matang. Ia berasal dan banyak ditanam dikawasan Aragon serta Bandar Catalonia di Sepanyol. Jenis ini sangat sesuai untuk dimakan segar dan juga diekstrak untuki menghasilkan minyak zaitun.

3. Bari Zaitoon

Jenis ini banyak ditanam dan berasal dari negara Pakistan. Ia baru sahaja didaftarkan dan masih belum banyak maklumat mengenainya.

4. Barnrea

Jenis ini berasal dan dibiakkan di negara Israel dengan dua kegunaan iaitu segar dan diproses. Ia merupakan varieti yang tahan dari serangan penyakit dan memberikan hasil tinggi.

Minyak yang dihasilkan mempunyai baru harum yang kuat dan kini banyak ditanam di tiga negara sahaja iaitu Israel, Australia dan New Zealand.

5. Bosana

Varieti ini paling banyak ditanam di kawasan Sardinia di negara Itali yang menghasilkan sebanyak 3.182 juta metrik tan buah zaitun setahun, merupakan negara kedua pengeluar buah zaitun didunia dengai nilau pengeluaran sebanyak USD2.254 billion pada tahun 2011. Jenis ini hanya untuk diproses menjadi minyak sahaja.

6. Cornicabra

Jenis ini berasal dari Bandar Toledo, Sepanyol yang menyumbang sebanyak 12% dari pengeluaran buah zaitun dalam negara tersebut. Ia ditanam untuk penghasilan minyak.

7. Dormant

Varieti Dormant ditanam di Turki sebagai buah zaitun berwarna hijau yang diproses untuk menghasilkan minyak.

Turki menghasilkan sebanyak 1.750 juta metrik tan buah zaitun pada tahun 2011 (FAO Statistic) dengan kedudukan ke 4 terutama diseluruh dunia bernilai USD 1.40 billion.

8. Empeltre

Varieti ini berasal dari kawasan Pedrola, Aragon di Sepanyol. Ia adalah jenis buah zaitun bersaiz sederhana berwarna hitam yang boleh dimakan segar dan juga diproses menjadi minyak.

9. Frontioio/Leccino

Kultivar ini berasal dari kawasan Tuscany di itali yang mnjadi bahan asas untuk industri minyak zaitun dinegara tersebut.

Kini varieti ini telah banyak ditanam dibeberapa negara lain kerana ia mempunyai nilai tinggi dan rasa yang baik iaitu manis sedap.

10. Gemlik

Ini adalah varieti dari kawasan bandar Gemilk di Turki. Ia mempunyai saiz buah yang kecil dan sederhana dengan warna kehitaman apabila masak.

Ia mengandungi minyak yang tinggi dan sering digunakan dalam sajian sarapan pagi di negara tersebut. Isinya agak mudah dikupas berbanding dengan varieti lain daripada bijinya.

11. Hojiblanca

Varieti ini juga berasal dari Sepanyol iaitu dikawasan Cordoba iaitu satu daripada kawasan utama penanaman pokok zaiton. Minyak yang dihasilkan berkualiti tinggi walau pun ianya mempunyai rasa sangat pahit.

12. Hondroelia Halkidkis

Jenis ini berasal dari kawasan Haldkidiki atau juga digelar sebagai 'hondro-thick' atau 'donkey-olive' yang banyak terdapat di utara negara Greeek. Buahnya berwarna hijau den mempunyai rasa sangat pahit.

13. Izmir Sofralik

Pokok jenis ini berasal dari Turki yang ditanam untuk menghasilkan minyak zaitun.

14. Kalamata

Varieti ini berasal dari negara Greese yang mempunyai saiz buah yang besar dan berwarna hitam., Ia banyak ditanam dikawasan Kalamata yang mempunyai rasa seperti daging dan licin kulitnya.

Kegunaan selain daripada untuk hasilkan minyak adalah untuk dibuat wain, cuka dan juga kegunaan harian (table olive). Varieti ini mendapat perlindungan dari PDO (Persatuan Olive Dunia).

15. Koroneiki

Ia berasal dari bandar Koroneiki, Pelopponese dan Mani dinegara Greece. Buahnya kecil dan agak sukar untuk ditanam tetapi mampu menghasilkan buah yang banyak dan varieti ini mempunyai kualiti minyak unggul.

16. Lucques

Kultivar ini berasal dari Perancis Selatan dikawasan bernama Aude. Ia adalah pokok zaitun yang menghasilkan buah agak besar, berwarna hijau dan agak panjang bentuknya. Kualiti minyaknya sederhana dan agak lembut.

17. Maalot

Mendengar namanya saya dah agak ia berasal dari Israel yang dikatakan tahan kepada serangan penyakit. Walaupun ia berasal dari Chemlali di Afrika Utara, aktiviti biak baka dijalankan di Israel dan ia mempunyai saiz buah sederhana, bentuk bulat dan rasa sedap. Kebanyakan untuk ekstrak minyak juga.

18. Manzanilla

Varieti zaitun ini berasal dari Sepanyol yang natif dibandar Dos Hermanas dan Seville. Ia mempunyai saiz besar, berwarna ungu kehijauan dan berbentuk bulat oval. Isinya tebal dan kaya dengan zat dimana ia kini ditanam dibanyak negara lain.

19. Memeli

Varieti ini berasal dari begara Turki yang menghasilkan buah berwarna hijau, brine dan juga warna hitam. Ia hanya untuk diproses bagi menghasilkan minyak.

20. Mission

Varieti ini berasal dari California di Amerika dan luas ditanam di seluruh California. Warna buahnya kehitaman dan kebanyakannya adalah untuk dimakan segar (generally used for table consumption).

21. Nabali

Jenis ini berasal dari negara Palestin yang mana nama lokalnya adalah Baladi. Ia banyak ditanam di kawasan seperti di Souri dan Malissi dimana varieti ini merupakan pokok zaitun yang menghasilkan kualiti minyak yang terbaik didunia.

22. Patrinia

Varieti ini berasal dari negara Greek yang banyak ditanam di kawasan Aigialeia. Ia ditanam untuk kegunaan segar dan diproses menjadi minyak zaitun.

23. Picholine

Varieti ini banyak ditanam di Selatan Perancis dimana buahnya adalah berwarna hijau dan mempunyai saiz sederhana dan bentuk memanjang.

Buah jenis ini dimakan segar dan juga diproses dimana mempunyai rasa lembut dan rasa seperti buah kacang (nutty taste).

24. Picual

Buah zaitun varieti ini berasal dari Sepanyol Selatan didaerah Jaen walau pun kini telah ditanam di seluruh kawasan di Sepanyol, merupakan 50% dari varieti pokok zaiton yang ditanam di Sepanyol dengan sebanyak 20% daripada pengeluaran minyak zaitun didunia. Ia mempunyai sara manis dan bau yang amat kuat dan juga digunakan sebagai 'table olive'.

25. Souri

Varieti ini banyak ditanam dan dipercayai berasal dari negara Lebanin. Ia banrasal dari bandar Sur (Tyre) tersebar sehingga ke kawasan Levant. Varieti ini menghasilkan minyak yang banyak dan mempunyai kuaiti minyak yang kuat aromanya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Monday, February 11, 2019

Cara Menanam Strawberi Di Malaysia

Cara Menanam Strawberi Di Malaysia

Apabila disebut Strawberi sahaja mesti anda terbayang Cameron Highland, tempat yang paling sesuai untuk pertumbuhan optimum tanaman yang berasal dari iklim sejuk ini, namun ada di kalangan kita cuba menanam strawberi di halaman dalam iklim yang panas.

Menanam Strawberi

Sebenarnya, ada spesies strawberi yang sesuai untuk ditanam di tanah rendah Malaysia yang tidak memerlukan kaedah rumah hijau pun.

Anak benihnya yang mudah didapati secara online juga menyebabkan tanaman ini kian menjadi popular, namun anda perlu pastikan perkara-perkara tersebut perlu di patuhi bagi menjadi habitat sempurna untuk pokok strawberi anda nanti.

1. Medium/tanah

Strawberi memerlukan medium tanaman yang peroi dan bersaliran baik. Yang menjadi keutamaan ialah medium tersebut mampu memegang kelembapan dalam jangka masa yang lama.

Kebanyakan nurseri mengunakan sabut kelapa yang telah dirawat sebagai medium tanpa tambahan bahan lain.

Ini kerana sifat sabut kelapa yang ringan serta mampu mengekalkan kelembapan amat sesuai dengan kondisi pokok strawberi. Secara tidak langsung sabut tersebut berupaya menjadi baja kompos.

2. pH Medium

Pokok strawberi anda memerlukan pH yang simbang dangan keperluannya untuk mendapatkan saiz buah optimum. pH ideal untuk tanaman ini adalah antara 5.5 hingga 7.

3. Pencahayaan

Pokok strawberi memerlukan pencahayaan sekurang-kurangnya 4 jam sehari untuk iklim Malaysia. Berbanding di negara beriklim sejuk, strawberi perlukan pengamatan cahaya minimum 6 jam sehari. Namun tidak terlalu terus.

Letakkan di kawasan separa teduhan. Oleh itu, strawberi sesuai ditanam di ruang anjung kediaman.

4. Keperluan saiz kawasan

Pokok strawberi tidak suka tumbuh secara berhimpit. Ia akan mengakibatkan kesukaran penghasilan bunga dan secara tidak langsung memberi kesan kepada hasil buah.

Hal ini terjadi di sebabkan apabila pokok terlalu berhimpit-himpit, bahagian bawah atau pangkal pokok yang menghasilkan kudup bunga mengalami kesukaran menerima cahaya matahari. Oleh itu, jarak bagi setiap tanaman perlu dikekalkan sekurang-kurangnya 20 inci setiap satu.

5. Siraman

Jika anda menggunakan sabut kelapa sebagai medium tanaman, penyiraman boleh dilakukan apabila medium kelihatan kering atau jika perlu. Perlu diingat, strawberi memerlukan medium tanaman yang sentiasa lembap bukan basah.

Jika air terlalu banyak, ia akan merosakkan akar serta menggalakkan pertumbuhan kulat. Siraman paling perlu di jaga ketika buah sedia dipetik. 3-5 hari sebelum dipetik, penyiraman perlu dikurangkan untuk mengelak buah masam.

6. Baja

Pokok strawberi paling sesuai menggunakan baja cecair kerana ia mudah diserap. Tambahan pula, sistem akar pokok strawberi yang terlalu pendek sukar menyerap atau mencapai baja yang jenis slow release.

Baja kimia yang sesuai digunakan untuk strawberi adalah larutan 12:12:12 untuk tujuan tumbesaran pokok manakala larutan 15:15:15 digunakan untuk penggalak buah.

Pembajaan perlu dilakukan sekurang-kurangnya 2 minggu sekali, namun AWAS! Baja kimia bersifat panas dan mudah merosakkan akar pokok. Oleh itu, penggunaan baja dan racun kimia perlu minima.

Seeloknya, pokok strawberi sesuai menggunakan baja organik. Walaupun produktivitinya tidak optimum, jangka hayat tanaman lebih tahan lama berbanding penggunaan baja kimia.

7. Pemangkasan

Daun pokok strawberi perlu dipangkas setiap bulan. Sebaiknya, 7-9 daun sahaja yang dibenarkan untuk bagi setiap pokok. Ini kerana, jika daunnya terlalu banyak, penghasilan buah akan terganggu.

Ia disebabkan oleh permukaan batang bawah pokok yang menghasilkan daun, sulur dan bunga terlindung dari cahaya matahari.

Lebih kerap anda memangkas, lebih banyak sulur dan buah yang dapat dihasilkan. Selain itu juga, bilangan sulur perlu di kurangkan untuk membolehkan hasil buah lebih banyak.

8. Keperluan untuk mengganti medium tanah

Setiap kali musim, medium tanaman perlu diganti dengan yang baru. Ia bagi mengatasi masalah penyakit dari pohon terdahulu di samping memastikan medium dalam keadaan lengkap nutrisi untuk pertumbuhan pokok baru.

Tanah yang telah digunakan perlu dirawat terlebih dahulu sebelum digunakan atau jadikan sebagai medium tanaman tumbuhan lain.

Semoga memberi manfaat.

*Muat turun panduan ini dalam bentuk pdf. [Download]

BACA INI JUGA:

sumber: karangkraf

Wednesday, January 30, 2019

Kelebihan Dan Keunikan Menternak Ayam Mutiara

Kelebihan Dan Keunikan Menternak Ayam Mutiara

Kita mungkin biasa mendengar ayam kampung, serama dan ayam belanda (piru, turkey), tetapi tidak ramai yang mengenali sejenis lagi ayam yang tidak kurang hebatnya iaitu ayam mutiara, api-api atau unggas emas dan di negara Barat yang ia digelar Guinea Fowl misalnya, juadah ayam mutiara yang beratnya boleh mencecah 1.6 kilogram ini amat popular kerana baik untuk kesihatan, sekali gus menjadikan harganya tinggi.

Ayam Mutiara

Hebatnya ayam yang berasal dari benua Afrika ini bukan kerana bentuk fizikalnya, kelabu berbintik putih dan bertanduk kecil atau kerana kokokan yang nyaring hingga layak digelar ‘polis ladang’ termasuk menghalau ular, tetapi kerana nilai komersialnya yang tinggi berikutan dagingnya yang berkhasiat dan rendah kolesterol berbanding ayam daging.

Tidak kurang dakwaan yang mengaitkan telurnya mampu meningkatkan hubungan kelamin.

Ayam ini juga berperanan sebagai penjaga kebun, ini disebabkan ayam mutiara ini sememangnya diketahui sebagai pengawal haiwan perosak secara semula jadi.

Ayam mutiara ini juga mudah dijaga kerana kurang makan, cuma masalahnya, ia suka bertelur di tempat tersembunyi seperti di kawasan semak.

Harganya subjektif bergantung kepada penawaran dan permintaan di pasaran. Dulu ayam mutiara dewasa cuma RM35 seekor kerana tak banyak permintaan tapi sekarang, harga induk ayam mutiara ini dijual di kedai haiwan peliharaan pada harga RM130 seekor. Kalau beli terus dari ladang mungkin boleh dapat harga murah lagi.

Seekor ayam mutiara betina mampu bertelur sehingga 30-40 biji pada satu-satu masa dan tempoh matangnya pula sembilan bulan ke atas atau satu hingga satu setengah tahun ke atas. Tempoh pengeraman menggunakan inkubator adalah 28 hari.

Menariknya, kita tidak perlu tunggu lama untuk mendapat hasil kerana anak ayam berusia dua setengah bulan pun sudah boleh dijual.

Ayam mutiara boleh disifatkan sebagai produktif serta tahan lasak berbanding ayam daging biasa. Ia mula bertelur selepas berusia setahun manakala ayam daging pula bertelur apabila ia mencecah usia 20 minggu.

Tetapi ayam mutiara ini sebaliknya mampu bertelur sehingga tujuh tahun lamanya. Oleh itu kita boleh katakan antara keunikan ayam mutiara ini adalah tempoh kemampuannya bertelur.

Keunikan lain ayam mutiara ini adalah ia lebih tahan lasak dalam keadaan cuaca panas. Ayam mutiara tahan lasak disebabkan asal usulnya dari Afrika Barat yang bercuaca panas.

Ayam daging sebaliknya tidak tahan panas dan boleh mati kerana faktor genetiknya yang sudah diubah suai berikutan kedudukannya sebagai ternakan komersial.

Pengubahsuaian itu menjadikan ayam daging ‘lemah’ kerana keutamaannya ialah untuk memastikan pertumbuhan yang lebih cepat.

Faktor itu juga turut menjadikan ayam daging lebih tinggi kolesterol kerana kandungan lemaknya yang banyak berbanding ayam mutiara.

Daging ayam mutiara diketahui lebih sihat dan rendah kolesterol jika dibanding dengan ayam daging. Bagi setiap 100 gram misalnya, lemak dalam ayam mutiara cuma dua gram manakala ayam daging, enam gram.

Ini menunjukkan kandungan lemak ayam daging adalah tiga kali ganda lebih tinggi daripada ayam mutiara.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM

Saturday, December 22, 2018

Apa Itu Guarana, Tanaman Herba Pengganti Kopi Yang Sangat Mahal Harganya

Apa Itu Guarana, Tanaman Herba Pengganti Kopi Yang Sangat Mahal Harganya

Guarana atau Guaraná dengan nama saintifiknya Paullinia cupana, Paullinia crysan dan Paullinia sorbilis daripada famili Sapindaceae, ialah sejenis pokok herba yang berasal dari Venezuela dan utara Brazil.

Herba pengganti kopi

Pokok guarana mengeluarkan daun yang lebar dan berjambak bunganya dimana ia terkenal dengan buahnya yang sebesar biji kopi.

Pokok ini menghasilkan buah yang berwarna kemerahan dan ada 'mata' dimana ia jelas dapat dilihat apabila cukup matang.

Biji buah guarana yang diproses didakwa boleh dijadikan perangsang sistem saraf pusat untuk kesihatan tubuh.

Bijinya mempunyai dua kali lebih kafein dari biji kopi (lebih kurang 2-4.5% kafein di dalam biji Guarana berbanding hanya sekitar 1-2% untuk biji kopi (Coffea spp).

Sepertimana tumbuhan lain yang mampu menghasilkan bahan kafein (caffien) dimana ada kajian dimana kandungan tinggi konsentrasi kafein pada buah dan biji guarana menjadi pertahanan semula jadi bagi menghalau herbivor.

Kegunaan buah daripada tumbuhan ini memang masih belum diketahui dikalangan orang Malaysia kecuali mereka yang pernah berkunjung dinegara dimana pokok itu ditanam.

Apakah ia sesuai untuk ditanam di negara kita bagi meningkatkan pendapatan pekebun kecil getah?

Apakah tumbuhan ini tidak membawa penyakit dan perosak yang merbahaya kepada tanaman lain dinegara kita?Bagaimanakah nanti jika pokok ini berbuah dan amalan agronominya?

Disyorkan RISDA

Apabila cadangan untuk mengeksport daun ketum ditolak kerajaan, Pihak Berkuasa Kecil Perusahan Getah (RISDA) tampil dengan langkah baharu iaitu menggalakkan pekebun kecil di negara ini menanam Pokok Guarana atau nama botaninya adalah Paullinia cupana.

Pengerusi RISDA, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata langkah tersebut bagi memenuhi permintaan sebuah syarikat pengeksport buah guarana berpangkalan di Pulau Pinang sekali gus dapat membantu pekebun kecil menambah pendapatan melebihi RM1,000 sebulan.

Beliau memberitahu, syarikat pengeksport buah guarana tersebut menerima permintaan tinggi hasil tanaman tersebut dari Jepun yang menjadikannya sebagai bahan asas produk kesihatan dan kecantikan.

Harga buah guarana begitu tinggi di pasaran iaitu antara RM200-RM300 sekilogram dengan setiap pokok boleh menghasilkan 50 kilogram buah guarana.

Tanaman guarana berpotensi jana RM250,000 setiap ekar setahun – RISDA

Beberapa negeri di utara Malaysia, sekitar 35,000 pekebun kecil getah menjadi perintis bagi cita-cita menjadikan Malaysia negara pengeluar terbesar guarana, bahan asas untuk produk minuman kesihatan, ubatan herba dan bahan kecantikan di Asia.

Risda telah memeterai Memorandum Persefahaman dengan Ritz Guarana Plantation Holdings Berhad, akan membekalkan biji benih yang dibawa oleh Ritz dari Brazil, untuk ditanam secara komersial di negara ini.

Menurut laporan Bernama, pekebun akan diberi khidmat nasihat dan panduan berkaitan penanaman dan hasilnya dijual semula kepada Risda pada harga RM200 sekilogram.

Tanaman itu senang dijaga dan setiap pekebun hanya memerlukan modal permulaan sekitar RM50,000 untuk sekali pusingan tanaman dengan pulangan sekitar RM250,000 bagi setiap ekar.

Kajian pihak Ritz mendapati guarana sangat sesuai ditanam di Malaysia dan ia akanbdiproses di kilang Ritz, Pulau Pinang untuk dieskport.

Buah Biji Mata

Guarana Tree

Warna buah guarana adalah menarik dalam kepelbagaian warna coklat kepada warna merah dan mengandungi biji berwarna hitam yang dilitupi oleh sesabut putih.

Apa yang unik mengenai buah guarana adalah, apabila biji berwarna hitam Guarana dibelah-buka akan dilihat seperti 'biji mata' dan ini telah membentuk sebuah mitos.

Dinegara asal dari segi sejarah dan budaya dimana perkataan "Guarana" datang daripada perkataan Guarani yang bermaksud "buah seperti mata-mata manusia".

Dalam beberapa laporan didakwa pokok guarana juga boleh didapati di hutan hujan Amazon di mana suku Guaraní telah menanamnya sejak berabad lalu.

Pokok Guarana juga memainkan peranan yang penting di dalam puak Tupi dan puak Guarani di Paraguay di dalam upacara keagamaan dan budaya mereka.

Mengikut kepercayaan puak Sateré-Maué, guarana telah mula ditanam secara domestik setelah berlakunya satu peristiwa pembunuhan seorang kanak-kanak kesayangan oleh dewa mereka.

Untuk menenangkan keadaan, salah satu dari dewa mereka yang lebih kuat telah mencabut mata kiri kanak-kanak itu dan menanamkannya di dalam hutan tebal, hasilnya wujudlah kepelbagaian variasi guarana.

Dewa itu kemudiannya mencabut pula mata sebelah kanan kanak-kanak itu dan menanamnya di dalam kawasan perkampungan; menambahkan lagi bilangan guarana domestik.

Orang Guarani akan membuat teh herba daripadanya dengan memecahkannya, membasuh dan mengeringkan bijinya dan diikuti dengan menumbuk biji-biji itu menjadi serbuk yang halus, kemudian diuli untuk membentuk rupa silinder.

Produk ini dikenali sebagai roti guarana dimana ia kemudian dipotong untuk dimasukkan ke dalam air panas bersama dengan gula.

Dari kajian makmal, setiap buah guarana mengandungi setiap sejuta bahan iaitu;
  • Abu (< 14,200),
  • Kafein (9,100 - 76,000),
  • Lemak (< 30,000),
  • Guanine,
  • Hypoxanthine,
  • Mucilage,
  • Protein (< 98,600),
  • Resin (< 70,000),
  • Saponin,
  • Kanji (50,000- 60,000),
  • Tanin (50,000-120,000),
  • Theobromine (200-400),
  • Theophylline (0 - 2,500),
  • Timbonine,
  • Xanthine.

Menurut Biological Magnetic Resonance Data Bank, guaranine adalah kandungan bahan kimia kafein di dalam guarana dan ia agak seiras dengan bahan kimia kafein yang diambil dari sumber lain sebagai contoh kopi, teh dan Yerba Mate.

Guaranine, theine dan mateine amat sinonim untuk kafein, iaitu sumber asli kafein mengandungi pelbagai campuran kandungan xanthine, alkaloids, selain dari kafein, termasuk stimulan untuk kardiak seperti theophylline dan theobromine dan bahan lain seperti polyphenol di mana ia boleh membentuk kompleks penyahserapan bersama kafein.

Bahan ini dijadikan bahan minuman terutama di Brazil dan USA sebagai pilihan selain daripada kopi.

Apakah kita di Malaysia akan memajukan tanaman ini seperi saranan pihak tertentu tersebut? Hanya masa akan menentukan segalanya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Wednesday, December 12, 2018

Cara Menanam Pokok Goji

Cara Menanam Pokok Goji

Pohon Gojiberry atau Goji mudah ditanam di Malaysia dan hasil pemerhatian menunjukkan bahawa tanaman super food ini sudah banyak tumbuh di Malaysia, terutamanya di Pulau Pinang, sejak era kehadiran Inggeris dahulu lagi.

Goji fruit

Namun pokok Goji tidak mendapat perhatian kerana ramai orang tidak tahu atau sedar tentang manfaatnya untuk kesihatan. Maka, pohon ini menjadi asing terpinggir sehingga menghadapai kepupusan/langka.

Pokok Gojiberry mengambil masa sekitar 4 tahun untuk mula mengeluarkan buahnya yang berwarna merah dan sekiranya ada yang berminat, lebih baik mula tanam dari sekarang.

CARA-CARA MENANAM POKOK GOJI

Dipermudahkan, bahan penting yang diperlukan untuk semaian ialah:
  • Peat soil; tanah kompos sabut kelapa yang telah di adun, ada di jual di nursery anak-anak pokok.
  • Pasu bunga plastik, memadai yang kecil.
  • 2 biji buah Gojiberry yang kering.

CARA-CARA PENYEDIAAN:

Goji Berry

1. Penyediaan Biji-Biji Semaian

Biji Gojiberry tersebut di rendam dalam air terlebih dahulu selama lebih kurang 3-5 jam. Apabila buah goji tersebut mengembang, maka pecahkan untuk di ambil biji-biji di dalamnya sebagai benih.

1 biji buah Gojiberry mengandungi lebih kurang 10–60 biji untuk benih semaian. Basuh biji-biji benih tersebut dengan teliti.

2. Semaian

Kemudian taburkan rata-rata biji-biji benih tersebut ke dalam pasu bunga plastik yang telah diisikan dengan peat soil.

Selesai, taburkan sedikit peat soil lagi ke atas biji-biji benih tersebut (lebih kurang 0.5cm) sekadar menutupi.

3. Siraman

Kemudian, siram (spray) dengan air sekadar melembabkan peat soil, dilakukan 2 kali sehari dan dilakukan dengan teliti agar, apabila tunas-tunas baru mula tumbuh bercambah, tidak mudah rosak.

4. Tunas Baru

Dalam masa 1-2 minggu kemudian, tunas-tunas baru anak pokok akan mula tumbuh membesar.

5. Menukar Wadah

Dalam masa 1-2 bulan, pohon-pohon kecil akan membesar. Pilih yang sihat dan sebanyak mana yang dikehendaki untuk dijadikan tanaman di rumah sendiri. Alihkan ke dalam pasu/polibag yang lebih besar untuk setiap pokok.

Pokok Goji

Pohon-pohon hendaklah diawasi dari sebarang serangan serangga atau kulat. Sekiranya terdapat serangan, minta nasihat dari penjual pokok dimana-mana nursery berdekatan tentang racun apa yang baik untuk menangganinya.

Sekian, selamat mencuba.

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM

Monday, December 03, 2018

10 Sayuran Paling Sesuai Ditanam Ketika Musim Panas

10 Sayuran Paling Sesuai Ditanam Ketika Musim Panas

Musim panas adalah saat yang paling mencabar bagi petani mahupun yang berkebun secara hobi. Kebiasaan yang paling dikhuatiri adalah jenis tanaman atau sayur berdaun seperti bayam, kangkung, sawi bok choi dan lain-lain yang mudah layu jika tidak disiram.

Jenis sayuran

Untuk mengawal keadaan ini, selain siraman yang kerap penyediaan teduhan dan penggunaan sungkupan adalah penyelesaian terbaik.

Namun, terdapat beberapa jenis tanaman yang amat sesuai untuk di tanam di musim panas antaranya ialah:

1. Timun

Timun adalah tanaman memanjat yang amat sesuai dan mudah untuk hidup dimana sahaja. Walaupun tanaman ini mempunyai buah mengandungi air yang tinggi tidak memerlukan air yang banyak untuk tumbuh sihat dan berbuah lebat. Cukuplah sekadar siraman dilakukan seawal pagi sekali sehari.

2. Petola

Seperti timun, petola juga amat serasi dengan iklim panas. Daun dan batangnya yang berbulu turut menyimpan kelembapan yang diperlukan walaupun di dalam cuaca panas memuncak.

3. Kacang panjang

Ini antara tanaman atau sayuran yang mempunyai harga paling tinggi di pasaran. Kebiasaannya, kacang menjadi tanaman ganti bagi peladang ketika musim panas untuk mengembalikan nutrisi dan memperbaiki struktur tanah sebelum digantikan dengan tanaman lain. Siraman Nya hanya sekali sehari dan lebih panas lebih banyak buah yang dihasilkan.

4. Ubi

Ubi antara tanaman yang tahan lasak dan amat sesuai ditanam dalam apa pun kondisi medium. Lebih panjang musim panasnya, lebih besar ubi yang akan anda perolehi kerana akarnya berkerja keras ketika musim panas mencari sumber makanan terutamanya air.

5. Lobak

Lobak tidak sesuai hidup di dalam kondisi medium tanaman yang sentiasa lembap. Apa yang menjadi keperluan kepada lobak adalah tanah perlu sentiasa di gembur untuk menggalakkan pertumbuhan bahagian.

Cukuplah penyiraman nya sehari sekali kerana jika terlalu lembap, ia bakal menjejas tumbesaran isi lobak disamping ia mudah diserang penyakit.

6. Kacang hijau

Batang bahagian pangkal pokok kacang tidak tahan kepada kelembapan. Ia mudah diserang kulat. Jadi, setiap kali menyelenggara tanaman, periksa bahagian pangkal nya juga.

Pokok kacang hijau akan menghasilkan kekacangnya paling banyak ketika musim panas. Yang penting siraman di lakukan sehari sekali dan pembajaan diberi setiap minggu.

7. Tomato

Musim hujan adalah waktu yang paling mencabar untuk pokok tomato. Hal ini kerana batangnya yang menyimpan air mudah dijangkiti penyakit apabila mediaum tanamanya sentiasa basah.

Sebab itu, tomata antara tanaman paling sesuai ditanam ketika musim panas namun, penyiraman tetap perlu dilakukan bagi mengelak batang yang yang menyimpan air kering.

8. Terung

Daun terung yang berbulu berupaya menyimpan air. Oleh itu, walaupun anda tidak siram pokok terung selama 2 hari ketika musim panas ia masih kekal segar. Di samping itu juga, terung lebat berbuah ketika musim panas

9.Labu

Antara tanaman yang paling banyak ditanam di negara-negara yang beriklim panas seperti Arab dan Afrika. Musim panas menyebabkan produktiviti bunga labu meningkat dan mempercepatkan tempoh tuaian.

10. Jagung

Jagung antara tanaman bijirin seperti gandum yang tidak memerlukan air yang banyak untuk penghasilan buah berkualiti.

Jenis batangnya yang disalut dengan lapisan kulit yang tebal juga mampu menyekat dan melindungi struktur utamanya dari terik matahari dan secara tidak langsung kadar sejatan air dari batang dapat dikawal.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: impiana

Tuesday, November 27, 2018

Kenali Buah Langsat, Duku, Rambai Dan Dokong

Kenali Buah Langsat, Duku, Rambai Dan Dokong

Sememangnya terdapat perbezaan diantara buah Rambai, Buah Duku, Buah Dokong dan Buah Langsat jika seseorang itu belajar mengenainya, adalah jenis buah bermusim yang biasanya ditanam dikawasan keliling rumah di kampung tradisional atau pada dusun komersil dibeberapa lokasi.

Buah-buahan ini ditanam dibeberapa negara dan dipercayai berasal daripada kawasan Asia Tenggara seperti Malaysia dan Sumatra.

Jom kenali perbezaan buah-buahan ini walaupun bentuk dan rupanya seakan-akan serupa.

1. Buah Langsat

Buah Langsat

Langsat atau nama saintifiknya, Lansium domesticum var domesticum, merupakan sejenis buah-buahan bermusim yang ditanam di negara kita daripada keluarga Meliaceae.

Ramai keliru dengan panggilan buah dari kumpulan ini iaitu Buah Duku, Buah Langsat, Buah Duku Langsat, Buah Dokong, Buah Rambai dan sebagainya. Langsat berbeza dengan buah lain (duku dan dokong) kerana ia mempunyai kulit buah yang agak nipis dan mempunyai biji yang pahit jika tergigit.

Nama lain bagi buah langsat seperti konkosan, lansa, lanseh, lansep, lanzon, lanzone, longson, bon-bon, langsad dan sebagainya mengikut lokaliti.

Pokok langsat merupakan tumbuhan yang perlukan Lindungan atau naungan, dengan kombinasi seperti dusun sedia ada, kawasan kelapa dan lain-lain jenis buah-buahan sesuai dijalankan.

Pokok langsat lazimnya memerlukan sekitar 40-60% teduhan supaya pertumbuhan subur dan cepat. Biasanya pokok Gliricidia, petai, petai belalang dan juga pisang adalah tanaman lindungan yang sesuai.

Pokok langsat akan mula berbuah selepas 6-10 tahun ditanam dan di peringkat awal berbuah, anggaran hasilnya ialah 3 tan sehektar (123 pokok sehektar dengan jarak tanaman 9m x 9m).

Langsat mencapai pengeluaran hasil optimum mulai tahun ke 15 keatas bergantung kepada pengurusan dan varieti. Anggaran hasil sebanyak 14-16 tan metrik sehektar.

Pokok langsat biasanya di serang penyakit dan perosak walau pun tahap serangan pada kadar serangan tidak membahayakan. Antaranya ialah kulat yang menyebabkan penyakit bintik berpusar (antraknos) pada buah dan penyakit kulapuk.

Buah-buah yang pecah juga merupakan masalah yang agak serius walau bagaimanapun, ini bukanlah penyakit tetapi satu faktor fisiologikal dimana ini biasanya berlaku apabila hujan turun selepas cuaca panas dan kering. Penyerapan air hujan akan juga menyebabkan buah menjadi bengkak dan akhirnya pecah oleh sebab ketegangan air di dalamnya.

Terdapat juga penyakit lain menyerang pokok langsat seperti Penyakit Reput Buah dimana buah menjadi rosak dan reput. Tidak serius tetapi boleh mengurangkan hasil. Guna racun kulat cooper oxychloride di peringkat berbuah dengan kadar 0.1%. Ulangi semburan jika perlu.

Terdapat juga serangan serangga perosak pada tanaman langsat seperti serangga 'Pengorek buah' yang bertelur di dalam buah yang muda. Seterusnya larva memakan buah yang sedang membesar dan menyebabkannya gugur. Cara kawalan dengan membersihkan dusun dari buah-buah yang diserang dan bakar.

Terdapat juga teritip yang menghisap cecair daun. Larva akan memakan pucuk muda dan meninggalkan lapisan kutikal. Daun yang disrang menjadi kering berwarna perang di bahagian tepi daun. Cara kawalan ulat ini adalah dengan menyembur racun dimethoate dengan kadar 0.1% bahan aktif di peringkat berpucuk.

Bagi masalah serangan Lalat Buah (Daucus spp) yang membuat tusukan pada buah yang sedang masak dimana akibatnya buah akan menjadi berair dan bertukar warna menjadi coklat. Buah rosak dan gugur. Cara kawal lalat buah adalah dengan menggunakan umpan seperti protein hydrolysaste untuk memberi tarikan.

Bahan ini dicampur dengan racun serangga dan disembur di kawasan daun. Lalat akan berkerumun di situ dan terus guna methyl-eugenol bagi merangkap lalat. Bahan ini dicampur dengan racun serangga dan diletak di kawasan ladang.

2. Buah Duku

Buah Duku

Duku atau nama saintifiknya, Lansium domesticum var duku, merupakan sejenis buah tropika yang ditanam di negara kita daripada keluarga Meliaceae, berbeza dengan buah lain (langsat dan dokong) kerana ia mempunyai kulit buah yang agak tebal (terutama duku Johor) dan mempunyai biji yang sederhana pahit jika tergigit.

Pokok Duku adalah sejenis tanaman buah-buahan yang berasal dari Asia Tenggara. Rasanya sedap tapi lambat berbuah. Jarang-jarang kita jumpa buah duku yang masam kecuali bila ia dipetik ketika belum cukup masak atau tidak pernah diberikan baja.

Buah duku biasanya memiliki kelompok 10 biji buah yang bulat dan besar, sekitar garis pusat 5 cm dan kulit buah yang lebih tebal. Musim buah duku iaitu bulan Julai, Ogos, September dan Oktober.

Secara umumnya Buah Duku ada dua Jenis iaitu DUKU JOHOR dan juga DUKU TERENGGANU. Kedua-dua jenis duku ini amat berbeza kerana mempunyai bentuk buah dan ketebalan kulit yang nyata berbeza.

Duku merupakan buah yang memerlukan masa untuk dipasarkan dengan betul kerana ia mudah rosak yang tahan hanya 2-3 hari sahaja selepas dipetik.

Duku mempunyai masalah serangan kulit pokok seperti Ulat Pengorek Kulit (Puru Batang) yang menyerang kulit batang, dahan malahan kadang-kadang daun dengan tanda seperti berkeruping.

Tanda serangan dimana terdapat bintik-bintik kecil warna coklat kehitaman pada peringkat awal dan ia akan menjadi puru pada bahagian kulit.

Kawalan boleh dijalankan dengan kita mengikis bahagian puru pada kulit yang diserang sebelum disembur dengan racun kimia seperti racun dimethoate dengan kepekatan 0.05% sehingga serangan terkawal.

Penuaian buah Duku/Duku Langsat

Buah mesti dielakkan daripada terhempas ke tanah semasa penuaian. Perubahan warna daripada satu indeks ke indeks kemasakan berikutnya mengambil masa selama 3-4 hari. Perubahan warna buah daripada indeks 1 ke indeks 6 mengambil masa kira-kira 17 hari.

Peringkat kemasakan yang sesuai untuk penuaian buah duku bergantung pada kegemaran pengguna. Berdasarkan kajian yang dijalankan mendapati, buah sesuai dipetik pada indeks 4 iaitu semua buah dalam satu tangkai berwarna kuning cerah.

Pada peringkat ini buah sudah berhenti membesar (18 gm sebiji) dan kandungan gula sudah mencapai peringkat maksimum (jumlah pepejal terlarut lebih daripada 18%).

Walau bagaimanapun, kandungan asid masih agak tinggi (0.9%) dan membuatkan buah mempunyai rasa manis dengan sedikit rasa masam. Bagi mereka yang gemarkan buah yang lebih manis, penuaian boleh dilakukan pada indeks 5 atau 6, tetapi jangka hayat buah ini lebih pendek.

Terdapat juga penanam dokong memetik buah lebih awal iaitu pada indeks 4 untuk tujuan eksport ke Thailand. Buah pada peringkat ini mempunyai rasa masam-masam manis (jumlah pepejal terlarut 16% dan asid 0.9%) dan saiz buah kecil sedikit (15 gm sebiji).

Indeks kemasakan buah dokong telah dibentuk berdasarkan warna buah dan boleh dijadikan panduan untuk penuaian:
  • Indeks 1: Setiap buah dalam satu tangkai, sudah menunjukkan warna kekujing walaupun keseluruhan buah masih kehijauan.
  • Indeks 2: Setiap buah pada satu tangkai berwarna kuning pucat dengan 6-8 biji buah masih terdapat warna kehijauan pada hujung buah. Biasanya buah-buah ini menghadap cahaya matahari.
  • Indeks 3: Setiap buah dalam satu tangkai berwarna kuning pekat dengan 1-2 biji buah pada bahagian paling bawah tangkai menunjukkan kesan kehijauan pada hujung buah.
  • Indeks 4: Semua buah dalam satu tangkai berwarna kuning cerah.
  • Indeks 5: Semua buah dalam satu tangkai berwarna kuning keperangan.
  • Indeks 6: Semua buah dalam satu tangkai berwarna kuning keperangan tetapi darjah keperangannya lebih daripada buah pada indeks 5.

3. Buah Rambai

Buah Rambai

Rambai atau nama saintifiknya, Baccaurea motleyana Mull, merupakan sejenis buah-buahan tropika dari Keluarga Euphobiaceae dipercayai berasal dari Semenanjung Malaysia. Tanaman ini juga terdapat di Indonesia, Borneo dan juga beberapa kawasan di Asia Tenggara.

Buah rambai ada yang jenis manis tetapi kebanyakanya masam. Terdapat beberapa jenis buah rambai yang boleh dikomersilkan jika kajian lanjut dibuat bersama-sama pakej teknologi yang sesuai.

Kegunaan lain pokok rambai ialah untuk dijadikan pokok hiasan, pokok naungan selain dari kayunya yang boleh dijadikan tiang atau perabut atau ukiran.

Buah rambai boleh di makan segar dengan memakan isinya dan dibuang kulitnya. Selain itu kulit buah rambai boleh dikeringkan selama 2-3 hari untuk dibuat halwa, jeruk dan sebagainya.

Kulit yang telah kering berwarna hitam jika di proses jadi serbuk yang dipercayai mampu melicinkan kulit muka. Kulit batang pokok rambai juga boleh digunakan sebagai bahan pewarna.

Setiap 100 gram buah mengandungi 142 mg potasium, 9.7 mg Posforus, 5.4 mg Kalium dan 11.8 mg Magnesium. Bagaimanapun, kandungan vitamin rambai agak rendah iaitu cuma 11.2 mg vitamin C, 0.55 mg Thiamine (Vitamin B1) serta 0.11 mg Riboflavin (Vitamin B2).

Bentuk buah rambai juga berbeza-beza dari bentuk bulat, lonjong, oblong dan ovoid. Saiz buah juga berbeza antara 2.3-3.8 cm panjang dan 1.5-3.3 cm lebar. Rasa buah rambai masam, manis dan kebanyakannya masam-masam manis.

Penanaman rambai menggunakan biji benih yang terpilih dari pokok yang menghasilkan buah yang manis. Pertumbuhan pokok rambai agak perlahan pada 2 tahun pertama. Pokok rambai juga kurang menghadapi serangan penyakit dan perosak.

Rambai Sarawak mempunyai saiz paling besar iaitu antara 19 - 21.36 gram setiap biji. Kebanyakan jenis tersebut diberi nama berasaskan kepada lokaliti dan juga bentuk buah.

Rambai telur contohnya berbentuk bulat yang mempunyai kulit licin dan halus seperti kulit telur.

Rambai Lumut mempunyai kulit berwarna hijau walau pun telah matang tetapi kulitnya akan tetap berwarna hijau.

Rambai Jantung kerana buahnya berbentuk jantung (elipsoid) dan mempunyai 1 biji sahaja didalamnya.

Rambai Langkawi berasal dari Pulau Langkawi dimana buahnya bulat berwarna coklau kekuningan dan masih banyak ditanam di Pulau Langkawi.

4. Buah Dokong

Buah Dokong

Dokong atau nama saintifiknya, Lansium domesticum Corr, merupakan sejenis buah-buahan yang popular di Malaysia dan Thailand sebagai buah dari keluarga MELIACEAE.

Terdapat tiga jenis dokong yang agak berlainan dari segi ciri dan kualiti buah, iaitu DOKONG KERING, DOKONG AIR dan DOKONG BIJI atau dokong butir.

Perbezaan diantara ketiga-tiga adalah dimana Dokong Kering merupakan klon yang ditanam secara komersial kerana buah yang sangat manis, kulit tidak bergetah, kandungan biji yang rendah dan kebanyakan biji adalah kesep. Buah jenis ini tersusun rapat di tangkai.

Klon Dokong Air pula mempunyai kandungan air yang sangat tinggi. Air akan terpancut keluar apabila kulit ditekan. Isi buah kurang manis jika dibandingkan dengan isi buah dokong kering. Kulitnya nipis tetapi bergetah. Jenis ini tidak ekonomik ditanam secara komersial kerana nilai dan sambutan pasaran adalah rendah.

Klon ketiga iaitu Klon Kombinasi antara Dokong Biji/Dokong Air mempunyai ciri dimana setiap ulas mengandungi satu biji benih yang besar dan bernas. Isinya sangat nipis, tidak berair dan rasanya masam-masam manis. Kulitnya lebih tebal dari dokong kering dan dokong air dan tidak bergetah. Buah ini tidak mempunyai nilai komersial tetapi bijinya boleh diguna sebagai sumber benih pokok penanti.

Dokong akan menghasilkan buah setisp 2-3 tahun sekali dengan banyak dan sangat bergantung kepada ilkim panas dan faktur hujan yang akan menghasilkan proses pembungaan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2 | 3 | 4

Sunday, October 14, 2018

Untung Lumayan Tanam Pokok Sengon (Kayu Balak), Bernilai Tinggi Dan Cepat Membesar!

Untung Lumayan Tanam Pokok Sengon (Kayu Balak), Bernilai Tinggi Dan Cepat Membesar!

Di Malaysia tak ramai orang mengenali pokok Sengon (Paraserianthes falcataria) atau nama lainnya Albazia, Puak, Kayu Mancis, Batai dan Jeungjin yang digunakan untuk menghasilkan kayu bagi industri perkayuan dan perabot.

Untung Lumayan Tanam Pokok Sengon (Kayu Balak)

Ia berasal dari kepulauan sebelah timur Indonesia iaitu Maluku dan Papua yang pada penghujung abad yang lepas, spesis ini mula menyebar ke seluruh Asia Tenggara.

Ciri utama yang membezakan pokok Sengon dengan pokok-pokok kayu balak yang lain ialah kadar pertumbuhan yang cepat.

Pokok ni boleh ditebang pada usia 4-6 tahun dan oleh kerana balak adalah satu produk komoditi, harganya agak stabil dan kompetetif. Pokok Sengon juga mudah ditanam dan memerlukan penjagaan yang minimum.

Gabungan ciri-ciri tersebut seakan-akan menjadikannya lebih menguntungkan daripada getah dan kelapa sawit.

Pokok Sengon terkenal di Indonesia sebagai sejenis pokok balak yang paling banyak ditanam secara komersil. Ianya semakin terkenal semenjak kerajaan Indonesia melancarkan program “Sengonisasi” pada tahun 1989.

Kini terdapat beribu-ribu hektar tanah telah ditanam dengan pokok Sengon yang sebahagian besarnya diusahakan oleh organisasi besar seperti HTI dan Perum Perhutani. Keluasan tanah yang terlibat juga meningkat dari tahun ke tahun.

Ciri-ciri Pokok Sengon

Pokok Sengon mempunyai batang yang lurus, tidak berbanir, kulit berwarna kelabu putih, licin, tidak mengelupas dan tiada cabang sehingga mencapai ketinggian 20 meter.

Pokok ini berbunga sepanjang tahun dan buah Sengon yang dihasilkan mempunyai panjang sekitar 6-12 cm. Setiap buah mempunyai biji diantara 15-30 biji.

Habitat Sengon

Sengon termasuk kategori tumbuhan yang cepat membesar iaitu pada kadar 8 meter setahun, merupakan tumbuhan tropika dan memerlukan suhu sekitar 20-33 darjah selsius.

Ianya sesuai dengan iklim monson dan lembab dengan jumlah hujan diantara 200-2700 mm/tahun dan ssesuai dengan keadaan tanah lempung berpasir dan mempunyai pengairan sederhana.

Kegunaan Sengon

Kayu Sengon mengandungi peratusan selulosa yang tinggi dan ini menjadikannya sesuai digunakan dalam industri kayu dan kertas.

Dengan nilai semasa di antara RM150 – RM1200 per kubik meter, kayu Sengon banyak diusahakan secara komersial untuk memenuhi permintaan industri perabot, pensil, papan dan kertas.

Kaedah Penanaman

Anak pokok Sengon disediakan menggunakan biji benih dan terdapat beberapa spesifikasi jarak penanaman iaitu 4×4, 3×3, 2×3 atau 2×2.

Optimumnya ialah 3×3 yang mana kayu Sengon boleh membesar ke diameter 20 cm–40 cm pada tahun ke 5 atau 6. Saiz ini adalah bersesuaian dengan standard industri kayu lapis, pallet atau sawn timber.

Penggunaan baja-bio sepanjang tempoh penanaman boleh memastikan kadar pertumbuhan yang baik serta tahan penyakit.

Daun dan dahannya agak jarang dan membenarkan jumlah cahaya yang agak banyak ke tanah. Keadaan ini memungkinkan tanaman lain diselang-seli bersama pokok Sengon.

Penyakit

Daripada segi daya tahan penyakit, pokok Sengon adalah tumbuhan yang mempunyai daya tahan yang baik.

Walau bagaimana pun, ianya masih boleh terdedah kepada kerosakan jika menerima serangan serangga perosak dan penyakit secara berterusan.

Keadaan ini boleh mempengaruhi kadar pembesaran malah lebih teruk lagi membunuh pokok tersebut.

Penggunaan baja adalah salah satu alternatif dan ini telah pun dibuktikan dengan menggunakan baja-bio W20 (Bio-Q) pada anak-anak pokok yang diserang penyakit.

4 Jenis Pokok Sengon

1. Sengon Buto (Enterolobium cyclocarpum)

Jenis sengon yang pertama adalah Sengon Buto atau sengon merah, merupakan jenis sengon yang memiliki pertumbuhan sangat cepat berbanding jenis sengon lainnya.

Ciri ciri sengon buto iaitu memiliki tekstur yang lebih kasar pada bahagian kulitnya atau dikatakan agak bersisik dan berbeza dari jenis lainnya.

Warna kulit batangnya kemerah-merahan dan batangnya lebih besar berbanding pokok sengon jenis lain.

Ciri pohon Sengon Buto yang lain adalah kayunya yang mudah patah dan mungkin ini adalah kelemahan utama pokok Sengon Buto berbanding baka sengon yang lain.

2. Sengon Laut (Paraserianthes falcataria)

Jenis sengon yang kedua ini adalah sengon laut atau biasa disebut dengan nama-nama daerah yang berbeza-beza, seperti jeungjing laut, salawaku, salawaku merah dan lain-lain.

Ciri-ciri sengon laut adalah memiliki warna putih kecoklatan, hampir seperti daging pucat, tekstur agak kasar dan memiliki serat lurus.

Pada bahagian permukaan kayu sengon laut agak licin dan berkilap dan aromanya jika masih segar seperti bau petai.

3. Sengon Solomon

Jenis sengon yang seterusnya adalah Sengon Solomon yang banyak ditanam untuk dijadikan papan membuat rumah dan kegunaan dalam pembinaan bangunan dan memiliki ketinggian sehingga 40 meter.

4. Sengon Tekek

Jenis sengon seterusnya adalah Sengon Tekek kerana bentuk permukaan kulitnya yang mirip dengan kulit cicak tokek.

Sengon tekek merupakan jenis sengon yang banyak digunakan dalam pembuatan kertas dan papan plywood.

Nilai Pelaburan

Persoalan paling utama ialah, adakah Pokok Sengon mempunyai nilai pulangan yang tinggi?

Nilai kayu balak ditentukan oleh:
  • Jenis kayu.
  • Diameter kayu. Lebih besar diameter maka lebih tinggi nilainya.
  • Kualiti kayu.

Diameter kayu adalah satu-satunya faktor yang boleh dimanipulasi iaitu dengan menentukan umur pokok yang ditebang dan penggunaan baja.

Dengan menggunakan jarak penanaman optimum iaitu 3×3, satu hektar tanah boleh ditanam 1,100 pokok Sengon.

Pada tahun ke 6, diameter pokok Sengon boleh mencapai diantara 20-40cm dan sekiranya kita mengambil diameter 25cm dan nilai semasa pada RM200 per kubik meter sebagai asas pengiraan, maka 1 hektar boleh memberi lebih RM200 ribu dalam tempoh 6 tahun.

Ini hanyalah perkiraan kasar dan tidak boleh dijadikan asas untuk anda memulakan pelaburan kayu Sengon.

Nilai sebenar mungkin lebih rendah atau lebih tinggi, tetapi apa yang nyata ialah kayu Sengon mempunyai nilai semasa yang tinggi dan kos pengurusan rendah yang mempunyai potensi sangat besar dan lumayan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Saturday, September 29, 2018

Potensi Lumayan Tanaman Limau Kasturi

Potensi Lumayan Tanaman Limau Kasturi

Limau Kasturi (Citrus microcarpa) merupakan sejenis limau yang mudah ditanam dan merupakan pokok buah-buahan yang berdaun sepanjang tahun dan bersaiz kecil hingga ke sederhana.

Bisnes Limau Kasturi

Penelitian menunjukkan petani yang menjual buah limau kasturi secara sendiri dan tidak melalui orang tengah hasil pendapatannya adalah amat menggalakkan sekali.

KOS

Anggaran kos untuk aktiviti penanaman seekar limau kasturi mudah dikira dan sederhana rendah.

Kos pembersihan tanah dan membajak kawasan sekitar RM800 seekar.

Seterusnya, kos benih untuk seekar limau kasturi dengan jarak penanaman 10x8 kaki memerlukan sebanyak 540 batang pokok.

Jika kos benih sekitar RM3 sebatang maka jumlah kos beli benih adalah kira-kira RM1,600.

Dikira seterusnya adalah kos tenaga kerja menanam dengan 2 orang pekerja selama 2 hari iaitu sekitar RM200 seekar.

Kos untuk pembajaan sebanyak RM400 untuk keseluruhan dan kos bahan racun pula sekitar RM480 untuk setahun.

Jumlah kos tenaga kerja upahan bagi kerja membaja, menuai adalah sebanyak RM 12,000 setahun.

Ini menjadikan keseluruhan kos untuk menanam limau kasturi adalah lebih kurang RM15,000 seekar.

PENDAPATAN

Sepokok dewasa limau kasturi akan mengeluarkan sekitar 5-7 kg sepokok sebulan dan jika 500 pokok berbuah maka anggaran hasil sebanyak 30,000 - 42,000 kg setahun.

Harga ladang limau kasturi serendah RM0.80 - RM1.00 sekilogram. Ini akan menjadikan anggaran pendapatan kasar sekitar serendah RM24,000 sehingga RM30,000 seekar.

Analisa diatas menunjukkan penanaman limau kasturi mungkin antara tanaman yang menguntungkan dengan jaminan pasaran yang wujud.

PERMINTAAN TINGGI

Pekebun di Pahang digalakkan menjadikan tanaman limau kasturi sebagai salah satu produk utama mereka ekoran permintaannya yang tinggi dalam pasaran, kata Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri.

Menurutnya, penanaman limau kasturi di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di sini juga setakat ini hanya menghasilkan 700 tan metrik sedangkan terdapat permintaan yang lebih tinggi untuk pengeluaran jus limau kasturi.

Kilang memproses limau di sini mendapat permintaan untuk menghasilkan sehingga 400 tan metrik jus limau kasturi dalam tempoh setahun yang bersamaan dengan 1,200 tan metrik buah.

Buah limau kasturi yang telah diproses juga mendapat permintaan tinggi di luar negara termasuk dieksport ke Taiwan.

TKPM yang terkenal dengan pengeluaran nangka madu dan rebung madu itu juga sehingga kini telah menghasilkan pendapatan RM82 juta dalam tempoh 14 tahun sejak mula di tubuhkan pada tahun 2004.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: animhosnan | astroawani

Sunday, September 09, 2018

Penternakan Udang Galah

Penternakan Udang Galah

Udang Galah (Macrobrachium rosenbergii) merupakan hidupan air tawar yang sangat aktif pada waktu malam dimana kini udang galah telah sesuai diternak secara komersil dan lazimnya, udang galah pada kebiasaannya akan hidup di sungai, saliran, tasik dan di muara sungai.

Penternakan Udang Galah

Ianya merupakan udang yang amat digemari kerana isinya yang lebih enak jika dibandingkan dengan udang-udang jenis-jenis lain yang ada di perairan Malaysia.

Harga udang galah segar biasanya akan dijual di dipasaran dimana ia kini mencecah RM 40 ringgit - RM60 sekilogram.

Harga udang galah yang tinggi sebegini menjadi pemangkin kepada penternak ikan lain untuk bertukar kepada aktiviti penternakan udang galah.

Walaubagaimanapun, Malaysia tetap jauh ketinggalan dalam industri udang galah ini jika dibandingkan dengan Thailand, Indonesia, Taiwan dan Vietnam dalam beberapa aspek teknikal dan pengeluaran.

Di negeri Pahang, ada bandar mana ia sering menghasilkan udang galah iaitu Daerah Rompin.

Ini kerana banyak sungai-sungai didaerah ini merupakan 'syurga' kepada pemancing dan nelayan sungai untuk mencari udang galah.

Udang galah mudah dijumpai di Sg Endau, Sungai Pontian dan banyak lagi sungai yang ada habitat udang galah mengikut musim.

Musim

Musim memancing udang galah paling baik iaitu sekitar Januari - Febuari (musim panas setiap tahun.

Tangkapan udang galah liar di sungai-sungai didaerah ini telah menjadikan beberapa restoran dan gerai khusus memasak udang galah untuk peminatnya.

Seekor udang galah berukuran sedang, dimasak sambal dijual dengan harga RM12-RM15 seekor.

Penternakan Udang Galah

Penternakan udang galah kini boleh diusahakan dengan kaedah monokultur (monoculture) atau dalam ertikata lain sebagai 'penternakan tunggal' atau pun cara polikultur (polyculture) atau maknanya sebagai 'penternakan bersepadu'.

Kini didalam negara kita masih banyak sumber air tawar yang belum tercemar seperti di negeri Pahang, Negeri Sembilan, Terengganu, Sabah dan Sarawak dimana kawasan ini merupakan lokasi yang ideal untuk penternakan dan juga tumbesaran udang galah.

Hanya terdapat beberapa aspek yang perlu diberi perhatian khusus sebelum memulakan penternakan udang galah ini kepada individu, syarikat atau pelabur.

Antara aspek utama adalah seperti saiz dan kedalaman kolam udang yang hendak digunakan.

Sebaiknya saiz kolam perlulah sesuai dengan kuantiti udang yang bakal diternak.

Ini kerana kolam yang terlalu sempit akan menyebabkan persaingan yang sengit diantara udang galah yang mana keadaan ini akan mempengaruhi saiz udang.

Aspek yang kedua adalah masa dan kaedah pengeringan kolam.

Sebagai amalan terbaik, disyorkan agar semua kolam udang galah perlu didedahkan dengan matahari terik bagi tujuan membunuh semua jenis pemangsa yang ada di dalam kolam tersebut.

Antara pemangsa yang perlu dihapuskan seperti ikan dan belut, kerana ikan terutamanya haruan dan belut akan terus memakan udang didalam kolam jika ia berada didalamnya.

Keperluan cahaya matahari juga membantu didalam proses mempercepatkan aktiviti pereputan bahan organik seperti najis, daun dan rumput mati.

Sebaiknya, aktiviti seperti pengeringan kolam mestilah dibuat selama dua minggu.

Jangkamasa ini sesuai untuk menghapuskan kebanyakan pemangsa udang dalam kolam kelak.

Sekiranya pengeringan tidak dapat dijalankan, anda juga disyorkan supaya kolam tersebut hendaklah diracun untuk membunuh pemangsa tetapi pastikan kesan racun dibuang sebelum memulakan penternakan udang galah.

Penjagaan ternakan udang galah tidaklah rumit bagi penternak yang berpengalaman kerana mereka mempunyai modal yang cukup dan kawasan yang sesuai.

Bagaimanapun, kepada para penternak baru ianya memerlukan pengalaman dan kemahiran tertentu sebelum mereka ingin memulakannya.

Lazimnya, pengusaha cuma perlu melaksanakan beberapa perkara saja iaitu mengapur, membaja, memberi makanan dan mengawal penyakit.

Walaupun bunyinya nampak macam mudah tetapi pernah dilaporkan bagaimana ada penternak udang galah di negara kita mengalami kerugian besar dalam menternak udang galah.

Kini secara teorinya aktiviti mengapur kolam udang memang dilakukan untuk menstabilkan pH air dan ini dapat menggalakkan udang untuk nenyalin kulit.

Antara jenis-jenis kapur yang biasa digunakan ialah calcium oxide dan calcium carbonate.

Membaja kolam udang pula perlu dilakukan untuk menggalakkan pertumbuhan makanan semula jadi seperti cacing, siput dan lumut.

Bagi baja kimia digalakkan agar menggunakan Triple-phosphate dimana pemberian boleh digunakan pada kadar 3,5kg/1000m/week.

Bagi tujuan memastikan kualiti air yang baik, ada penternak yang memasang 'aerator' dikolam.

Musuh

Lazimnya, dalam penternakan udang galah memang perlu dipastikan bahawa air yang disalurkan ke kolam hendaklah sentiasa bersih dan tidak membawa apa-apa pathogen yang boleh menyerang udang galah.

Penyakit yang biasanya menyerang udang galah ialah Black Spot iaitu penyakit yang disebabkan oleh bakteria.

Penyakit ini mampu dikawal dengan cara merawat sumber air yang digunakan dan juga dengan mengelakkan kecederaan fizikal udang.

Antara jenis rawatan kimia yang boleh dipraktikkan adalah dengan cara mengunakan 10ppm Asid Oxolinic selama setengah jam atau dua nifurpirinol untuk 98 jam dan 11-13ppm furozolid.

Kini negara Malaysia mampu untuk maju dalam industri udang galah ini jika kepakaran dalam teknologi pembenihan, penternakan dan pemprosessan udang galah dipertingkatkan.

Setiap industri mempunyai risiko tersendiri namun ianya tetap mampu berkembang dengan adanya sokongan daripada pelbagai pihak.

Sistem Pengairan

Sistem pengairan kolam udang galah penting untuk selalu dibuat pemantauan.

Sumber air memasuki kolam melalui penapis halus bagi menghindari kemasukan haiwan jenis pemangsa. Sebaiknya, udang dilepas seminggu selepas air masuk.

Kadar tukaran air terbaik untuk kolam ternakan udang adalah sekali untuk seminggu hingga dua minggu.

Kadar ini mampu menampung kepadatan ternakan sebanyak 10 ekor bagi setiap 1 meter tanpa memerlukan alat pengudaraan.

Kadar aliran air yang lebih perlahan akan menyebabkan air kolam kurang bermutu dan juga memerlukan alat pengudaraan.

Kadar aliran air yang sangat cepat sebaliknya membawa baja keluar kolam tanpa dapat dimanfaatkan untuk pertumbuhan makanan semulajadi udang.

Kolam udang yang tidak melakukan penukaran air memerlukan alat pengudaraan seperti kincir air (paddle wheel), penyembur angin (air blower), pemampat angin (air compressor) dan pam air bagi membantu menambah kandungan oksigen terutama waktu malam.

Makanan Udang Galah

Bagi aktiviti pemberian makanan udang galah, sebaiknya berikan jenis makanan rumusan udang galah (pellet) sesuai kerana mengandungi protein yang tinggi (30 hingga 40 peratus), mengandungi zat-zat lain yang diperlukan dan stabil dalam air.

Bagaimanapun, didapati udang masih memerlukan bekalan makanan semula jadi dari kolam. Pemberian makanan adalah dua atau tiga kali sehari.

Makanan awalan (starter) diberikan untuk bulan pertama hingga kedua, diikuti dengan makanan tumbesaran (grower) bagi bulan kedua hingga keempat dan dua bulan berikutnya dengan makanan Penamat (finisher) sehingga udang dipasarkan.

Penternak juga boleh menghasilkan makanan sendiri untuk udang galah bagi mengurangkan kos.

Bahan-bahan asas yang biasa diguna untuk membuat makanan adalah seperti tepung ikan, kulit udang, kacang soya, kacang tanah, tepung gandum, beras, ubi kayu, minyak kelapa, sawit dan minyak ikan.

Makanan sampingan seperti kopra kelapa, jagung, daging ayam atau itik, perut ayam dan hampas kacang soya juga boleh diberikan.

Bagaimanapun, mutu air kolam hendaklah sentiasa dalam kawalan agar tidak terlalu subur yang memungkinkan kematian udang ternakan.

Memungut Hasil

Penternakan Udang Galah

Dalam penternakan udang galah perlu dipastikan akan berlaku pungutan hasil.

Biasanya kadar tumbesaran individu udang berbeza bergantung kepada jantina, baka, mutu dan jumlah makanan, mutu air dan kadar pelepasan.

Penjaringan boleh dimulakan pada bulan ke empat dan diulangi tiga hingga empat minggu sekali sehingga semua udang dikeluarkan dari kolam.

Kolam kemudian dikeringkan dan rawatan kolam dilakukan.

Udang yang terlalu kecil dari beberapa kolam boleh di asing dan di pindahkan ke satu kolam lain untuk dibesarkan.

Kawalan Penyakit

Penyakit dan kawalan perlu sentiasa dilakukan pemantauan kerana jika berlaku serangan penyakit maka akan menyebabkan kerugian kerana ia merupakan faktor yang membataskan penghasilan udang galah.

Penyakit yang banyak menyerang udang galah adalah bintik hitam (black spot) iaitu penyakit yang disebabkan oleh bakteria yang menyerang peringkat larva tahap 4 dan 5.

Penyakit tersebut boleh dicegah melalui pengurusan air dan elakkan dari kecederaan fizikal udang, stok melebihi kadar muatan atau kekurangan makanan.

Kaedah rawatan boleh dilakukan dengan merendam dalam 10 ppm asid oxolinic untuk selama sejam atau dua ppm nifurpirinol untuk 96 jam.

Penyakit yang disebabkan oleh bakteria berasal dari air laut iaitu Vibro sp mempunyai simptom stres.

Rawatan boleh dilakukan dengan merendam dalam 11-13 ppm Furozolidone selama tiga hari dimana ia mengawal serangan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: animhosnan