Wednesday, April 27, 2022

Adakah Sah Mandi Wajib Jika Tidak Berkumur?

Adakah Sah Mandi Wajib Jika Tidak Berkumur?

Assalaamualaikum. Adakah sah mandi wajib tanpa berkumur dan memasukkan air ke lubang hidung? Saya juga sering berulang-kali membaca niat mandi wajib sehingga selesai mandi wajib, adakah sah mandi wajib saya?

Sah Mandi Wajib

JAWAPAN:

1. Waalaikumsalam. Mandi wajib anda adalah sah. Hal ini adalah kerana bahagian dalam lubang hidung dan juga bahagian dalam mulut bukanlah termasuk di dalam bahagian badan yang perlu dikenakan air.

Bahagian badan yang wajib dibasahkan semasa mandi hanyalah bahagian luar badan sahaja termasuklah bahagian celah-celah kelengkang, punggung dan ketiak.

Manakala bahagian dalam seperti lubang hidung dan mulut tidak wajib untuk dibasuh.

Walau bagaimanapun, jika padanya terdapat benda-benda yang najis, ia perlu dibasuh kerana ia dihukumkan najis.

2. Mengenai persoalan sering mengulangi membaca niat mandi wajib sampailah anda selesai mandi, ia boleh menyebabkan mandi wajib yang anda lakukan tidak sempurna dan ini akan menyebabkan mandi tersebut tidak sah.

Niat mandi hanya perlu dibuat sekali sahaja, iaitu sewaktu air mula-mula sampai ke badan. Selepas itu, teruskan mandi hingga ke akhirnya.

Perlu diingatkan, jika anda mengulang lagi niat tersebut (niat kali kedua), ia akan membatalkan niat yang telah anda buat sebelum itu (niat kali pertama).

Oleh itu, anda perlu berniat lagi sekali (niat kali ketiga) bagi mengesahkan bahawa mandi yang anda lakukan itu adalah mandi wajib dan bukannya mandi yang biasa anda lakukan setiap hari.

Selain itu, apabila anda mengulangi niat mandi wajib, ini bermakna bahagian badan yang telah dibasahkan sebelum ini perlu dibasuh semula kerana berulangnya niat mandi anda.

Jika tidak dibasuh lagi, ia akan menyebabkan mandi tersebut tidak sah kerana terdapatnya bahagian badan yang tidak dibasuh sedangkan rukun di dalam mandi wajib memerlukan keseluruhan badan dibasahkan dengan air.

Wallahu 'alam.

BACA INI JUGA:
sumber: (1)

Monday, April 25, 2022

Apa Hukumnya Bersedekah Lebihan Zakat Fitrah Kepada Amil?

Apa Hukumnya Bersedekah Lebihan Zakat Fitrah Kepada Amil?

Soalan: Ustaz, ramai orang suka memberi lebihan duit bayaran fitrah kepada amil yang telah ditugaskan memungut zakat fitrah daripada umat Islam yang layak membayar zakat. Apakah hukumnya lebihan zakat fitrah kepada amil ini?

Lebihan Zakat Fitrah

Jawapan:

1. Selalu terjadi dalam masyarakat kita untuk menyedekahkan lebihan bayaran zakat fitrah kepada amil. Mereka kata, "Tak apa baki tu, keep the change."

2. Hukum mengenai sedekah keep the change ini pula jarang dibahaskan oleh para asatizah.

3. Sebenarnya, Nabi Muhammad SAW melarang keras para amil zakat menerima sebarang sedekah atau hadiah daripada pembayar zakat.

4. Ini berpandukan kepada sebuah hadis sahih daripada Abu Humaid as-Sa'idi r.a., dia berkata, "Rasulullah mengutus seorang laki-laki dari suku al-Azd bernama Ibnu al-Lutbiyyah untuk mengumpulkan zakat. Sekembali dari tugasnya dia berkata, "Yang ini untuk kamu dan yang ini adalah hadiah untukku." Rasulullah lalu berkata, "Mengapa ia tidak duduk saja di rumah bapanya atau di rumah ibunya kemudian dia tunggu apakah hadiah diberikan kepadanya atau tidak? Demi Allah yang jiwaku berada di tangan-Nya, tidaklah kalian mengambil sesuatu darinya kecuali pada hari Kiamat dia datang dengan memikulnya di atas tengkuknya. Kalau harta itu unta, maka unta itu akan bersuara, kalau lembu maka akan menguak, kalau kambing maka akan mengembik." Kemudian beliau mengangkat tangan beliau sambil berkata, "Ya Allah bukankah sudah aku sampaikan!" Beliau ulangi tiga kali." (HR Bukhari [2597])

5. Maka, para amil zakat termasuklah amil zakat fitrah, tidak boleh menerima pemberian daripada pembayar zakat, biar pun atas nama apa sekali pun. Tak kiralah, sedekah ataupun hadiah.

6. Maka dicadangkan kepada para amil zakat fitrah untuk menyediakan satu tabung sedekah umum dan jika ada pembayar yang menyatakan keep the change atau saya niat sedekah, maka masukkan ke dalam tabung itu.

7. Nanti selepas habis Ramadhan, sedekahkan tabung itu kepada pihak masjid atau mana-mana pihak yang memerlukan.

8. Lebih baik sebenarnya jika langsung ditolak pemberian itu dengan menyatakan, "Kami amil Nabi dilarang terima sedekah." Ia dapat mengelakkan sebarang fitnah.

9. Walau bagaimanapun, amil fitrah tertakluk kepada arahan daripada pihak yang melantik. Jika arahan menyatakan mereka langsung tidak dibenarkan menerima sedekah itu biar pun atas nama sedekah umum dan untuk pihak masjid sekali pun, maka hendaklah patuh.

10. Kepada para pembayar zakat fitrah dan juga zakat harta pula, sudah tahu tak boleh bagi hadiah atau sedekah, maka elakkan daripada memberi kepada amil.

11. Semoga ibadah kita menjadi lebih barakah. Aamiin.

Disediakan Oleh: Ustaz Hamizul bin Abdul Hamid, Ketua Jabatan Dakwah dan Perundingan, Divisyen Syariah dan Dakwah, Lembaga Zakat Selangor (MAIS)

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:
-Sentiasapanas.com

Saturday, April 23, 2022

Panji-panji Hitam Dari Timur, Tentera Yang Tidak Akan Terkalahkan

Panji-panji Hitam Dari Timur, Tentera Yang Tidak Akan Terkalahkan

Panji Hitam Dari Timur adalah tentera Imam Mahdi yang akan memperjuangkan Islam di akhir zaman. Tentera ini tidak akan dikalahkan oleh sesiapa dan apa jua tentera kerana mendapat perlindungan dari Allah. Tentera ini juga akan menghapuskan Yahudi Laknatullah yang telah membunuh ramai umat Islam yang akan dipimpin oleh Imam Al-Mahdi.

Panji-panji Dari Timur
Gambar hiasan.

Peranan Imam Mahdi adalah menguasai keseluruhan bangsa Arab sebagaimana sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Dunia tidak akan berlalu pergi sehinggalah bangsa Arab akan dikuasai oleh seorang lelaki dari kalangan ahli baitku yang namanya bersamaan dengan namaku." (Hadis Riwayat al-Tirmizi)

"Al-Mahdi dariku. Dahinya luas dan hidungnya mancung. Dia akan memenuhkan bumi dengan keadilan sebagaimana ia dahulunya dipenuhi dengan kezaliman dan dia akan menguasai selama tujuh tahun." (Hadis Riwayat Abu Daud)

Sekiranya ianya datang pada masa kita, sama-samalah kita berjuang di jalan Allah.

Terdapat beberapa hadis Rasullulah SAW tentang Panji-panji Hitam Dari Timur:

1. Sabda Nabi SAW: "Al-Mahdi akan datang setelah muncul Panji-panji Hitam dari sebelah Timur yang mana pasukan itu selalu tidak pernah kalah dengan pasukan mana pun." (Ibnu Majah)

2. Sabda Nabi SAW: "Orang ramai dari Timur akan muncul, kemudian menyerahkan kekuasaannya kepada al-Mahdi."

3. Sabda Nabi SAW: "Panji-panji Hitam akan keluar dari Khurasan (Setelah Pemuda Bani Tamim bertemu al-Haris Harras dan pada masa itu juga kawan-kawan al-Mahdi (tentera-tenteranya) keluar menuju Baitulmaqdis."

4. Sabda Nabi SAW: "Al-Mahdi akan dibai'at di antara Hajar Aswad dan Makam Ibrahim oleh sejumlah orang yang mengikuti Perang Badar (iaitu Pemuda Bani Tamim dan pasukannya), kemudian datang kumpulan orang dari Iraq, dan para Wali Abdal dari penduduk Syam untuk berikrar kepadanya. Dan akan datang pula pasukan daripada Syam (Sufyani) yang kemudiannya ditelan bumi di al-Baidak dekat Zul Hulaifah. Semuanya binasa melainkan si pembawa berita sahaja." (Abu Daud & Al-Hakim)

5. Sabda Nabi SAW: "Tiga ratus empat belas orang yang di antaranya adalah perempuan, bergabung dengan al-Mahdi yang akan bertindak ke atas setiap pemimpin yang berbuat zalim dan menegakkan keadilan seperti yang diharap-harapkan oleh semua orang. Setelah itu, tidak ada kebaikan lagi di muka bumi ini yang melebihi kebaikan pada masa al-Mahdi."

6. Sabda Nabi SAW: "Pembawa bendera al-Mahdi adalah seorang lelaki daripada suku Tamim yang datang dari Timur."

7. Sabda Nabi SAW: "Jika kamu semua melihat Panji-panji Hitam datang dari arah Khurasan, maka sambutlah ia walaupun kamu terpaksa merangkak di atas salji. Sesungguhnya di tengah-tengah panji-panji itu ada Khalifah Allah yang mendapat petunjuk." Maksudnya ialah al-Mahdi. (Ibnu Majah, Abu Nuaim & Al-Hakim)

8. Sabda Nabi SAW: "Sebelum al-Mahdi (muncul), As-Sufyani akan muncul dengan 360 pasukan berkuda. Kemudian dengan diiringi 30,000 pasukan yang dipimpin oleh Kalb, iaitu bapa saudaranya. As-Sufyani kemudian mengerahkan askarnya ke Iraq. Dalam serangan ini, 100,000 orang terbunuh di Zaura iaitu suatu bandar di Timur. Setelah itu mereka menyerang Kufah pula. Ketika itu muncullah Panji-panji (Hitam) dari Timur." Lantas ada satu pertanyaan, "Wahai Rasullulah, bagaimana kami dapat mengenalinya?" Nabi SAW menjawab, "Dia adalah dari keturunanku, perawakannya mirip kepada Bani Israel, seolah-olah wajahnya bercahaya-cahaya laksana bintang, pipi kanannya bertahi lalat hitam. Dia tampan orangnya, yang berusia 40 tahun. Dia akan didatangi oleh Wali-wali Abdal dari Syam, tokoh-tokoh Nujabat dari Mesir, Asoib dari Timur dan para pengikutnya."

9. Sabda Nabi SAW: "Sentiasa akan ada satu toifah dari kalangan umatku yang sanggup menzahirkan kebenaran. Mereka tidak dapat dirosakkan (dikalahkan) oleh orang-orang yang menentangnya, hinggalah datang perintah Allah (hari kiamat)."

10. Sabda Nabi SAW: Dari Ibnu Masud RA, katanya, "Ketika kami berada di sisi Rasullulah SAW, tiba-tiba datang sekumpulan anak muda dari kalangan Bani Hasyim. Apabila terlihat mereka, maka kedua-dua mata baginda SAW dilinangi air mata dan wajah baginda berubah." Aku pun bertanya, "Mengapakah kami melihat pada wajah Tuan sesuatu yang tidak kami sukai?" Baginda menjawab, "Kami Ahlul Bait telah Allah pilih untuk kami akhirat lebih dari dunia. Kaum kerabatku akan menerima bencana dari penyingkiran selepasku kelak sehinggalah datang suatu kaum dari Timur yang membawa bersama-sama mereka Panji-panji Hitam. Mereka meminta kebaikan tetapi tidak diberikannya, maka mereka pun berjuang dan beroleh kejayaan lalu diberikanlah apa yang mereka minta itu tetapi mereka tidak menerima sehinggalan mereka menyerahkannya kepada seorang lelaki dari kaum kerabatku yang akan memenuhkan bumi ini dengan keadilan seperti halnya bumi ini dipenuhi dengan kedurjanaan sebelumnya. Sesiapa yang sempat menemuinya, maka datangilah mereka itu, walaupun terpaksa merangkak di atas salji. Sesungguhnya dia adalah al-Mahdi." (Ibnu Majah)

11. Sabda Nabi SAW: Daripada al-Hasan, bahawa Nabi SAW menyebut bala yang akan menimpa kaum keluarganya, hinggalah Allah mengutuskan Panji-panji Hitam dari Timur. Sesiapa yang menolongnya akan ditolong pula oleh Allah. Sesiapa yang menghinanya akan dihinakan pula oleh Allah, hinggalah mereka mendatangi seorang lelaki yang namanyna seperi nama aku. Mereka pun melantiknya memimpin mereka, maka Allah pun membantu dan menolongnya. (Nuaim bin Hammad)

12. Sabda Nabi SAW: "Akan datang Panji-panji Hitam dari Timur, seolah-olah hati mereka adalah kepingan-kepingan besi. Sesiapa mendengar tentang mereka, hendaklah datang kepada mereka dan berbaiatlah kepada mereka, sekalipun merangkak di atas salji." (Al-Hafiz Abu Naim)

13. Sabda Nabi SAW: "Akan keluar seorang lelaki dari seberang sungai yang dikatakan Al-Haris bin Harras, yang di hadapannya ada seorang lelaki yang dikatakan al-Mansur, dialah yang akan memudahkan urusan atau membela keluarga Nabi SAW, seperti pihak Quraisy yang membela Rasulullah SAW. Wajib setiap mukmin menolongnya atau baginda bersabda, "Wajib setiap orang mukmin menerimanya." (Abu Daud, an-NasaâI, al-Baihaqi & al-Husin)

14. Sabda Nabi SAW: "Sesungguhnya ketika zahir al-Mahdi, menyerulah malaikat dari atas kepalanya. Ini al-Mahdi Khalifah Allah, maka kamu ikutilah dia. Seluruh manusia tunduk dan patuh kepadanya dan mengecapi kasih sayangnya. Sesungguhnya al-Mahdi itu menguasai Timur dan Barat. Dan adalah yang berbaiat kepadanya di antara Rukun dan Maqam, yang pertama adalah sejumlah pasukan Badar (314 orang). Kemudian Abdal dari Syam mendatanginya, dikuti oleh Nujabak dari Mesir dan Asoib dari Timur. Setelah itu Allah mengutuskan kepadanya tentera dari Khurasan dengan Panji-panji Hitam dan mereka menuju ke Syam. Allah mengutus kepadanya 3,000 malaikat dan ahli (Ashabul) Kahfi adalah antara pembantunya."

15. Sabda Nabi SAW: "Sesiapa yang berpegang (teguh) dengan sunnahku ketika umatku sedang rosak, baginya seratus pahala syahid." (Iman Muslim)

16. Sabda Nabi SAW: "Ada tiga orang adik-beradik yang saling berperang sesama sendiri berhampiran tempat simpanan Kaabah kamu. Ketiga-tiganya adalah anak seorang khalifah. Kemudian tidak seorang pun antara mereka yang menjadi khalifah. Kemudian muncullah Bendera Hitam dari arah Timur, lalu mereka membunuh kamu semua (yang sedang berperang saudara itu) dengan satu pembunuhan yang (sangat banyak) belum pernah berlaku sebelum ini oleh sesuatu kaum. Kemudia baginda menuturkan sesuatu yang tidak saya ingatinya. Kemudian baginda bersabda, apabila kamu semua melihatnya, hendaklah berbaiat kepadanya walaupun terpaksa merangkak di atas salji kerana dia adalah Khalifah Allah, iaitu al-Mahdi." (Ibnu Majah)

17. Sabda Nabi SAW: "Akan ada orang-orang yang keluar dari sebelah Timur, lalu mereka mempersiapkan segala urusan untuk al-Mahdi, yakin pemerintahnya." (Ibnu Majah)

18. Sabda Nabi SAW: "Apabila keluar Panji-panji Hitam dari arah Khurasan, tidak akan ada sesuatu apa pun yang dapat menolaknya hinggalah dipacakkan di Ilya." (At-Tarmizi)

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:
sumber: (1)

Friday, April 22, 2022

Ganjaran Pahala Berpuasa Pada 10 Muharram Dan Peristiwa Yang Terjadi Pada Hari Tersebut

Ganjaran Pahala Berpuasa Pada 10 Muharram Dan Peristiwa Yang Terjadi Pada Hari Tersebut

Saban tahun apabila menjelang bulan Muharram, sudah tentu umat Islam akan mengingati tarikh 10 Muharram dengan pelbagai amalan dan ibadah yang dilakukan. Apakah keistimewaan dan kelebihan yang ada pada hari ke 10 dalam bulan Muharram?

Puasa 10 Muharram

Di Malaysia, apabila tibanya 10 Muharram, maka kebanyakan dari Ahli Jawatankuasa masjid dan surau bertungkus lumus membuat persiapan untuk menyediakan juadah khusus yang terkenal iaitu Bubur Asyura untuk diagih-agihkan kepada orang ramai.

Itulah antara adat atau tradisi yang baik yang dilakukan oleh umat Islam di Malaysia bahkan masih wujud sehingga ke hari ini disamping melakukan amal ibadah khusus yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW iaitu berpuasa.

Adakah puasa yang dilakukan oleh umat Islam pada 10 Muharram merupakan adat tradisi atau sebaliknya?

Ada di antara umat Islam di Malaysia yang menganggap ibadah puasa sunat pada hari tersebut sengaja diada-adakan dan tidak ada dalam Islam.

Malang sekali, kerana ada segelintir dalam kalangan umat Islam di Malaysia telah membawa masuk ajaran menyeleweng syiah ketika sambutan 10 Muharram dengan memukul-mukul dada sambil mengalunkan lagu-lagu dengan senikata untuk memperingati seseorang yang telah meninggal dunia, kononnya untuk mengenang kembali peristiwa Karbala.

Malah, ada umat Islam di beberapa negara Asia Barat yang menyambut hari 'Asyura' (10 Muharram) dengan memukul-mukul badan mereka menggunakan senjata tajam seperti pedang, pisau dan alatan lain sehingga luka dan mendatangkan kecederaan yang parah.

Kanak-kanak dan bayi kecil yang tidak tahu apa-apa turut menjadi mangsa kerakusan ajaran yang jauh tersimpang dari landasan Islam yang sebenar.

Adakah amal perbuatan sebegini dianjurkan oleh Islam?

Islam adalah agama Rahmatan Lil A'lamin (rahmat bagi sekelian alam) yang melarang umatnya daripada membinasakan dan mencederakan diri sendiri demi mendapatkan ganjaran dan keredhaan serta rahmat dari Allah SWT.

Mengimbau semula sejarah 10 Muharram yang dirujuk kepada hadis-hadis Rasulullah SAW adalah penting bagi mencari kebenaran dan merungkai keraguan ummah seterusnya memastikan amalan yang dilakukan oleh umat Islam hari ini bertepatan dengan kehendak syariat Islam dan menjauhi perkara atau amalan yang sengaja diada-adakan.

Salah satu daripadanya ialah hadis yang diriwayatkan daripada Ibn 'Abbas RA yang bermaksud: "Apabila Nabi SAW datang ke Madinah, Baginda SAW melihat orang-orang Yahudi berpuasa pada hari 'Asyura', lalu Baginda bertanya: Apakah ini? Mereka menjawab: "Hari ini adalah hari yang baik di mana Allah telah menyelamatkan padanya Nabi Musa dan Bani Israil daripada musuh mereka, maka Musa pun berpuasa. Lalu Baginda SAW bersabda: "Aku lebih berhak dengan Musa daripada kamu." Maka Rasulullah SAW pun berpuasa dan menyuruh orang ramai supaya berpuasa. (Riwayat al-Bukhari)

Selain itu terdapat sebuah hadis lain yang diriwayatkan daripada oleh Syaidatina Aisyah r.a. bermaksud; "Hari Asyura adalah suatu hari yang mana orang-orang Quraish berpuasa padanya ketika Jahiliyyah. Dan Rasulullah SAW juga berpuasa pada hari tersebut. Ketika sampai di Madinah, Nabi SAW berpuasa pada hari Asyura dan baginda menyuruh umat Islam berpuasa pada hari tersebut. Namun apabila difardhukan puasa Ramadhan, baginda bersabda mafhumnya: "Sesiapa yang hendak, maka berpuasalah ia (pada hari Asyura), dan sesiapa yang tidak mahu tinggallah ia (puasa Asyura)." (Riwayat: al-Bukhari dan Muslim)

MENGHAPUSKAN DOSA SETAHUN

Dapat difahami bahawa puasa pada hari Asyura adalah suatu perkara yang wajib sebelum difardhukan puasa Ramadhan.

Apabila puasa Ramadhan difardhukan pada tahun ke-2 Hijrah, maka kewajipan ini telah gugur, namun ia tetap digalakkan dan merupakan salah satu daripada sunnah yang sangat dituntut.

Malah, berpuasa pada hari Asyura (10 Muharram) mempunyai kelebihan dan keistimewaannya yang tersendiri sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Qatadah bahawa Nabi SAW bersabda: "Puasa hari Asyura itu; sesungguhnya Aku bermohon kepada Allah agar dapat menghapuskan dosa setahun sebelumnya." (Riwayat: al-Tirmizi).

Terbuktilah bahawa amalan berpuasa pada hari Asyura atau 10 Muharram ADALAH sunnah Nabi SAW.

Rasulullah SAW tidak pernah melakukan sesuatu yang boleh merosak dan membinasakan diri, apatah lagi menganjurkan kepada umatnya untuk melakukan sedemikian.

Ternyata amalan atau perbuatan melukai diri dan memukul dada serta perbuatan yang boleh memudaratkan diri dan orang lain, bukanlah datangnya daripada sunnah Rasulullah SAW. Sebaliknya, ia adalah amalan yang menyesatkan.

Sekiranya ada amalan sebegini daripada Rasulullah SAW, maka adalah lebih afdal Rasulullah SAW meminta para sahabatnya untuk mengingati para syuhada yang mati syahid dalam peperangan Badar, Uhud dan peperangan lain. Contohnya, Saidina Hamzah RA yang digelarAsadullah (Singa Allah), yang syahid dalam peperangan Uhud. Mengapa tidak ditemui hadis-hadis yang menganjurkan amalan sedemikian jika itulah kebenarannya seperti yang dilakukan oleh segelintir umat Islam hari ini ketika tibanya hari ke sepuluh dalam bulan Muharram?

Malangnya, ada di antara umat Islam yang menolak hadis, sekaligus menolak amalan berpuasa dan kelebihan yang ada pada hari kesepuluh dalam bulan Muharram konon kerana ia tidak terdapat dalam al-Quran.

Sama-samalah kita mencari keberkatan dengan berpuasa sunat bukan sahaja pada 10 Muharram tetapi juga berpuasa pada 9 Muharram berdasarkan hadis Nabi SAW yang maksudnya:

"Ketika Rasulullah SAW berpuasa pada hari Asyura dan menyuruh orang ramai berpuasa, maka para sahabat bertanya: "Ya Rasulullah! Asyura adalah hari yang diagung-agungkan oleh orang-orang Yahudi dan Nasrani." Maka baginda bersabda: "Jika datang tahun hadapan kita akan berpuasa pada hari Tasu'a (hari ke-9 di bulan Muharam)." (Berkata Ibn Abbas, "Maka belum tiba tahun hadapan, Rasulullah SAW telah wafat." (Riwayat Muslim dan Abu Daud)

Semoga Allah SWT merahmati dan memberkati umat Islam dengan amalan-amalan yang diredhai-Nya dan menjauhkan dari perkara-perkara yang menyimpang dari landasan Islam yang sebenar.

Wallahu a'lam

BACA INI JUGA:
sumber: (1)

Israiliyyat: Tidak Benar Tetapi Tidak Didustakan

Israiliyyat: Tidak Benar Tetapi Tidak Didustakan

Selalunya, hadis palsu sangat terkenal dalam kalangan kita bahkan kadang-kadang ia merupakan hadis yang sering kita dengar sedari kecil lagi, menyebabkan timbulnya tanda tanya dan kekeliruan dalam menerima sesebuah cerita berkenaan agama.

Kisah Israiliyyat

Kisah Israiliyyat, apabila mendengarnya, kita akan cenderung untuk menerimanya tanpa sebarang kemusykilan kerana ia juga menggunakan ungkapan seperti hadis daripada Baginda SAW dan sebagainya, membuatkan kita keliru dan jika tidak diteliti kesahihannya, kita akan lebih mudah mempercayainya secara bulat-bulat.

Untuk melihat adakah kisah-kisah Israiliyyat itu benar mahupun tidak, terdapat tiga jenis periwayatan sama ada benar dan diterima ataupun tidak, iaitu:

1. Diakui Kebenarannya Dalam Islam

Kisah Israiliyyat yang boleh dipercayai dan diakui kebenarannya kerana ia bersandarkan kepada dalil Al-Quran atau hadis Rasulullah SAW.

Sebagai contoh, sebuah hadis dari Ibn Mas'ud berkenaan seorang pendeta Yahudi yang mendatangi Rasulullah SAW dan bertanya yang maksud: "Wahai Muhammad, kami mendengar bahawa Allah SWT menjadikan langit dengan satu jari dan semua makhluk juga dengan salah satu jari. Lalu Allah berfirman: "Akulah Raja."

Apabila mendengarkan perihal ini, Baginda SAW tertawa sehingga memperlihatkan gigi gerahamnya sekali gus membenarkan ungkapan pendeta Yahudi tersebut.

Lalu Baginda membacakan firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan mereka (yang musyrik) tidak menghormati Allah dengan penghormatan yang sewajibnya diberikan kepadaNya sedang bumi seluruhnya – pada hari kiamat – dalam genggaman kuasaNya, dan langit tergulung dengan kekuasaanNya. Maha Sucilah Ia dan Tertinggi keadaanNya dari apa yang mereka sekutukan." (Surah Az-Zumar, 39:67) -(Hadis Riwayat Bukhari no. 4811)

2. Didustakan Dan Tidak Diterima

Kisah-kisah ini adalah yang tidak sahih dan sengaja ditokok tambah. Statusnya batil dan tidak boleh diterima sama ada untuk disandarkan kepada mana-mana amalan atau dijadikan hujah.

Banyak yang sering kita dengar seperti saat kematian Baginda yang menyebut 'ummatku' sebanyak tiga kali, Nabi Isa merupakan anak lelaki Allah dan kisah Harut dan Marut yang merupakan dua orang malaikat yang dihumban ke bumi sebagai hukuman oleh Allah terhadap kesalahan-kesalahan mereka.

Seperti yang disebut di dalam hadis sahih Bukhari yang menceritakan mengenai anggapan orang Yahudi berkenaan isteri-isteri mereka, iaitu:

"Orang Yahudi mengatakan bahawa, jika seorang suami mendatangi isterinya dari arah belakang, maka anaknya nanti akan menjadi juling."

Allah telah memperbetulkan anggapan ini dengan menurunkan firmanNya yang maksudnya: "Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu sukai dan sediakanlah (amal-amal yang baik) untuk diri kamu." (Surah Al-Baqarah, 2:223)

Kisah ini untuk membetulkan anggapan serong orang Yahudi sekali gus menganjurkan untuk menggauli isteri dengan cara yang terbaik dan bukan yang boleh menyakitinya.

3. Tidak Benar Tetapi Tidak Didustakan Dalam Islam

Ia juga disebut sebagai Maskut 'Anhu, iaitu tidak disokong oleh nas Al-Quran dan juga As-Sunnah. Dalam erti kata lain, ia tidak dibenarkan dan juga tidak didustakan kerana boleh jadi kisahnya benar dan boleh jadi juga tidak benar.

Statusnya bersifat pertengahan (tawaquf). Oleh itu, kisah-kisah seperti ini perlu dielakkan daripada digunakan atau disandarkan sebagai hujah.

"Janganlah kalian membenarkan Ahli Kitab dan jangan pula mendustakannya. Sebaliknya ucapkanlah: "Kami beriman dengan kitab yang diturunkan kepada kami (Al-Quran) dan kitab yang diturunkan kepada kalian." (Hadis Riwayat Bukhari, no. 7362)

Kesimpulan

Sebahagian ulama berpendapat bahawa kisah-kisah Israiliiyat boleh disampaikan hanya apabila diyakini kesahihannya.

Walau bagaimanapun, kebanyakan daripada mereka beranggapan bahawa kisah-kisah mereka tidak mempunyai manfaat yang penting apabila disampaikan kerana sifatnya yang bersifat dongeng dan sekadar penceritaan yang umum.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:
sumber: tzkrh

Thursday, April 14, 2022

Lakukan 5 Perkara Ini Jika Ada Ahli Keluarga Meninggal Dunia

Lakukan 5 Perkara Ini Jika Ada Ahli Keluarga Meninggal Dunia

SAKARATUL maut pasti datang dan tidak akan terlewat walaupun sesaat seperti mana firman Allah di dalam Surah Al-Ankabut ayat 57 yang bermaksud: Tiap-tiap diri (sudah tetap) akan merasai mati. Kemudian kamu akan dikembalikan kepada Kami (untuk menerima balasan).

Jenazah Islam

Jelaslah bahawa kita semua akan merasai detik kematian dan tidak ada yang kekal melainkan Allah. Yang menjadi persoalan bila, di mana dan bagaimana kematian itu berlaku, ia kekal menjadi rahsia Allah.

Malaikat Izrail boleh datang menjemput dalam keadaan kita tidur, menonton televisyen, makan bersama keluarga dan sebagainya.

Maka adalah menjadi satu keperluan untuk kita sebagai manusia melengkapkan diri dengan ilmu sekiranya terdapat ahli keluarga sedang berhadapan dengan saat-saat di ambang kematian atau berada dalam keadaan nazak.

Berikut ustaz kongsikan beberapa perkara yang boleh kita lakukan seandainya ada dalam kalangan ahli keluarga kita berada dalam keadaan sakaratul maut.

1. Ajarkan kalimah 'Laailahaillallah'

Duduklah di sebelah telinga kanan atau kiri ahli keluarga kita itu dan lafazkan kalimah suci 'Laailahaillallah' dengan perlahan dan jelas.

Ia berdasarkan hadis nabi yang maksudnya: "Ajarkanlah kepada orang yang hampir mati dalam kalangan kamu dengan 'Laailahaillallah'. - [HR Muslim 1524]

Memadai kalimah yang bermaksud 'tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah' diungkap sekali di telinga individu itu tetapi jika terkeluar daripada mulutnya soal berkaitan duniawi, ulanglah kalimah suci itu agar dia dapat melafazkannya supaya pengakhiran percakapan itu diakhiri dengan kalimah tauhid, kerana syaitan akan berusaha untuk menyesatkan manusia sehingga di akhir nafas kita.

Ketahuilah sesungguh apabila seseorang anak Adam itu apabila ketika sakaratul maut dapat mengucapkan kalimah 'Laailahaillallah', maka dia meninggal dunia dalam khusnul khotimah.

Seelok dan sebolehnya orang yang mengajarkan kalimah tersebut biarlah yang paling disayangi dan hampir dengannya.

Isyarat syahadah sudah memadai kerana mungkin orang yang hampir mati itu sudah melafazkannya secara perlahan atau di dalam hati.

2. Tutup mata, mulut dan qiamkan jenazah

Seandainya mata dan mulut jenazah terbuka, tutuplah dan jika mengalami kesukaran bolehlah diurut dengan sedikit minyak. Mata jenazah terbuka bukanlah bermaksud azab daripada Allah.

Ini seperti mana hadis baginda nabi yang mana menceritakan perbuatan nabi ketika melawat jenazah Abu Salamah, maksudnya: "Rasulullah masuk atas Abu Salamah dan keadaan matanya terbuka lalu nabi menutupnya dan bersabda: Sesungguhnya roh orang mati apabila dicabut ia akan diikuti pandangan mata." - [HR Ibn Majah 1444].

Berdoalah dengan doa seperti "Allahumaghfirlana walahu" yang bermaksud "Ya Allah ampunkan kami dan dia". Urutlah di sendi-sendi dan pelipatan dan ambilkan beberapa helai kain perca untuk mengikat bahagian-bahagian tersebut. Seterusnya qiamkan tangan jenazah seperti keadaan bersolat.

3. Menutup seluruh jasad si mati dengan kain

Apa-apa jenis kain boleh digunakan dan sebaiknya yang sedikit tebal agar tidak tersingkap aurat si mati. Bagi mengelakkan perut jenazah menjadi kembung bolehlah diletakkan benda yang sedikit berat seperti buku dan sebagainya.

4. Letakkan jenazah di tempat yang baik

Setelah selesai semua langkah di atas bolehlah diletakkan jenazah di tempat yang sedikit tinggi seperti tilam dan bukan di lantai. Kedudukan jenazah adalah kaki menghadap kiblat seperti pandangan Imam Nawawi yang masyhur.

5. Menghubungi pihak berwajib

Kematian perlulah segera dimaklumkan kepada pihak perubatan untuk pemeriksaan jika ia berlaku di rumah, diikuti jiran tetangga dan pihak masjid untuk persediaan kerja-kerja memandikan jenazah dan menggali liang lahad.

Jadi sentiasalah ke masjid dan bergaul dengan mereka agar tidaklah menelefon mereka sewaktu terdapat kematian sahaja. Laporan polis juga hendaklah dibuat samada kematian berlaku disebabkan jenayah ataupun tidak.

Segerakanlah urusan pengebumian kerana ada diriwayatkan sebuah hadis yang maksudnya: "Bersegeralah kalian dalam menguruskan jenazah. Sekiranya dia jenazah yang soleh, nescaya dia merupakan suatu kebaikan yang kamu hantarkan ia kepadanya. Namun sekiranya dia tidak soleh, maka itu suatu keburukan yang kamu pikul di atas bahu-bahu kamu." - [HR Bukhari 1315 dan Muslim 944].

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:
sumber: mstar

10 Ganjaran Menyantuni Anak-anak Yatim

10 Ganjaran Menyantuni Anak-anak Yatim

Betapa pentingnya melindungi dan menjaga kebajikan anak-anak yatim, maka Allah telah berjanji untuk memberi ganjaran yang amat besar kepada sesiapa sahaja yang menyantuni mereka. Sejumlah 23 kali perkataan yatim disebut dalam al-Quran.

Doa anak yatim

Dalam al-Quran jelas menegaskan akan betapa pentingnya anak-anak yatim dipelihara yang maksudnya, "Mereka bertanya kepadamu tentang anak yatim, katakanlah: Memperbaiki keadaan mereka adalah baik." (al-Baqarah: 220)

Anak-anak inilah lubuk berharga untuk merebut ganjaran pahala besar daripada Allah SWT.

1. Pahala Setanding Dengan Berjihad

Rasulullah SAW sudah memberi jaminan bahawa pahala menyantuni anak yatim adalah standing dengan pahala orang yang berjihad; disamakan dengan bangun pada waktu malam dan berpuasa di siang hari kemudian dilanjutkan dengan keluar untuk jihad di jalan Allah SWT.

2. Mendapat Perlindungan Hari Kiamat

Pahala lain yang akan diperolehi kerana menyantuni anak-anak ini adalah terselamat dari mendapat azab Allah SWT dan juga dihindari dari ancaman yang akan terjadi pada hari kiamat. Hendak dapatkan ganjaran ini, kasihi lah anak yatim dan selalu berkata baik.

3. Dipermudahkan Masuk Syurga

Mustahil ada manusia yang tidak mahu masuk syurga dan bersama Rasulullah SAW. Pada sebuah hadits sudah dijelaskan jika orang yang menyantuni anak yatim dengan cara memberi makan, minum dan sebagainya, maka akan mendapat jaminan dari Allah SWT untuk masuk ke dalam syurga kecuali orang yang pernah melakukan Dosa Besar Dan Tidak Bertaubat.

4. Pahala Berlipat Kali Ganda

Semua orang yang selalu berbuat kebaikan dengan cara menyantuni anak yatim, maka dia akan mendapat pahala yang sangat besar tidak hanya saat hidup di bumi, namun juga saat di akhirat nanti.

5. Dimuliakan Dan Dilimpahi Rezeki

Allah SWT juga akan memberikan kelimpahan rezeki dan juga kemuliaan selain daripada berzikir pembuka rezeki. Hal ini juga berlaku sebaliknya di mana Allah SWT juga akan menyempitkan rezeki seseorang apabila tidak menyantuni dan memuliakan anak yatim.

"Adapun manusia apabila Tuhannya mengujinya lalu dimuliakanNya dan diberinya kesenangan, maka dia berkata, 'Tuhanku telah memuliakanku'. Adapun bila Tuhannya mengujinya lalu membatasi rezekinya maka dia berkata, 'Tuhanku menghinaku'. Sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya kamu tidak memuliakan anak yatim." [surat Al-Fajr ayat 15-17].

6. Masuk Dalam Golongan Orang Beriman

Jika kita menyayangi sekaligus menyantuni mereka, InsyaAllah kita termasuk dalam golongan orang beriman dan bertakwa oleh Allah SWT.

"Dan memberikan hanya yang dicintainya kepada kerabatnya, anak-anak yatim mereka itulah orang-orang yang benar (imannya) dan mereka itulah orang-orang yang bertakwa." [Al Baqarah: 177].

7. Minum Mata Air Surga

Beruntunglah sesiapa yang selalu berbuat baik dan menyantuni anak-anak ini kerana akan mendapat kenikmatan daripada Allah SWT berupa air minuman berasal dari mata air syurga.

8. Bersama Rasulullah Di Syurga

Pahala berikutnya yang akan kita peroleh apabila menyantuni mereka adalah kita akan berada hampir dengan Rasulullah SAW di syurga bahkan jaraknya hanya sebatas antara jari telunjuk dengan jari tengah saja.

Rasulullah SAW bersabda, "Aku dan orang yang menanggung anak yatim (kedudukannya) di syurga seperti ini", kemudian beliau SAW mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengah beliau SAW, serta agak merenggangkan keduanya." [HR. Bukhari, Shahih Bukhari, Sahl bin Sa'ad As-Sa'idiy: 5304].

9. Dapat Penuhi Keperluan Hidup

Allah telah berjanji untuk memenuhi apa sahaja keperluan hidup orang yang menyantuni anak-anak yatim. Saat menyantuni mereka, maka ini diibaratkan seperti berinfak di jalan Allah SWT sehingga akan diperbanyak harta dalam Islam untuk orang tersebut.

10. Mengundang Keberkatan ke Rumah

Memelihara dan menyantuni anak yatim juga akan memberikan banyak keberkatan ke rumah orang yang menyantuni anak-anak tersebut. Sebab, sebaik baiknya rumah dari seorang muslim merupakan rumah orang yang selalu sayang terhadap mereka sehingga menjadi rumah ideal dalam Islam.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:
sumber: kashoorga