Friday, April 22, 2022

Israiliyyat: Tidak Benar Tetapi Tidak Didustakan

Israiliyyat: Tidak Benar Tetapi Tidak Didustakan

Selalunya, hadis palsu sangat terkenal dalam kalangan kita bahkan kadang-kadang ia merupakan hadis yang sering kita dengar sedari kecil lagi, menyebabkan timbulnya tanda tanya dan kekeliruan dalam menerima sesebuah cerita berkenaan agama.

Kisah Israiliyyat

Kisah Israiliyyat, apabila mendengarnya, kita akan cenderung untuk menerimanya tanpa sebarang kemusykilan kerana ia juga menggunakan ungkapan seperti hadis daripada Baginda SAW dan sebagainya, membuatkan kita keliru dan jika tidak diteliti kesahihannya, kita akan lebih mudah mempercayainya secara bulat-bulat.

Untuk melihat adakah kisah-kisah Israiliyyat itu benar mahupun tidak, terdapat tiga jenis periwayatan sama ada benar dan diterima ataupun tidak, iaitu:

1. Diakui Kebenarannya Dalam Islam

Kisah Israiliyyat yang boleh dipercayai dan diakui kebenarannya kerana ia bersandarkan kepada dalil Al-Quran atau hadis Rasulullah SAW.

Sebagai contoh, sebuah hadis dari Ibn Mas'ud berkenaan seorang pendeta Yahudi yang mendatangi Rasulullah SAW dan bertanya yang maksud: "Wahai Muhammad, kami mendengar bahawa Allah SWT menjadikan langit dengan satu jari dan semua makhluk juga dengan salah satu jari. Lalu Allah berfirman: "Akulah Raja."

Apabila mendengarkan perihal ini, Baginda SAW tertawa sehingga memperlihatkan gigi gerahamnya sekali gus membenarkan ungkapan pendeta Yahudi tersebut.

Lalu Baginda membacakan firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan mereka (yang musyrik) tidak menghormati Allah dengan penghormatan yang sewajibnya diberikan kepadaNya sedang bumi seluruhnya – pada hari kiamat – dalam genggaman kuasaNya, dan langit tergulung dengan kekuasaanNya. Maha Sucilah Ia dan Tertinggi keadaanNya dari apa yang mereka sekutukan." (Surah Az-Zumar, 39:67) -(Hadis Riwayat Bukhari no. 4811)

2. Didustakan Dan Tidak Diterima

Kisah-kisah ini adalah yang tidak sahih dan sengaja ditokok tambah. Statusnya batil dan tidak boleh diterima sama ada untuk disandarkan kepada mana-mana amalan atau dijadikan hujah.

Banyak yang sering kita dengar seperti saat kematian Baginda yang menyebut 'ummatku' sebanyak tiga kali, Nabi Isa merupakan anak lelaki Allah dan kisah Harut dan Marut yang merupakan dua orang malaikat yang dihumban ke bumi sebagai hukuman oleh Allah terhadap kesalahan-kesalahan mereka.

Seperti yang disebut di dalam hadis sahih Bukhari yang menceritakan mengenai anggapan orang Yahudi berkenaan isteri-isteri mereka, iaitu:

"Orang Yahudi mengatakan bahawa, jika seorang suami mendatangi isterinya dari arah belakang, maka anaknya nanti akan menjadi juling."

Allah telah memperbetulkan anggapan ini dengan menurunkan firmanNya yang maksudnya: "Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu sukai dan sediakanlah (amal-amal yang baik) untuk diri kamu." (Surah Al-Baqarah, 2:223)

Kisah ini untuk membetulkan anggapan serong orang Yahudi sekali gus menganjurkan untuk menggauli isteri dengan cara yang terbaik dan bukan yang boleh menyakitinya.

3. Tidak Benar Tetapi Tidak Didustakan Dalam Islam

Ia juga disebut sebagai Maskut 'Anhu, iaitu tidak disokong oleh nas Al-Quran dan juga As-Sunnah. Dalam erti kata lain, ia tidak dibenarkan dan juga tidak didustakan kerana boleh jadi kisahnya benar dan boleh jadi juga tidak benar.

Statusnya bersifat pertengahan (tawaquf). Oleh itu, kisah-kisah seperti ini perlu dielakkan daripada digunakan atau disandarkan sebagai hujah.

"Janganlah kalian membenarkan Ahli Kitab dan jangan pula mendustakannya. Sebaliknya ucapkanlah: "Kami beriman dengan kitab yang diturunkan kepada kami (Al-Quran) dan kitab yang diturunkan kepada kalian." (Hadis Riwayat Bukhari, no. 7362)

Kesimpulan

Sebahagian ulama berpendapat bahawa kisah-kisah Israiliiyat boleh disampaikan hanya apabila diyakini kesahihannya.

Walau bagaimanapun, kebanyakan daripada mereka beranggapan bahawa kisah-kisah mereka tidak mempunyai manfaat yang penting apabila disampaikan kerana sifatnya yang bersifat dongeng dan sekadar penceritaan yang umum.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:
sumber: tzkrh

Thursday, April 14, 2022

Lakukan 5 Perkara Ini Jika Ada Ahli Keluarga Meninggal Dunia

Lakukan 5 Perkara Ini Jika Ada Ahli Keluarga Meninggal Dunia

SAKARATUL maut pasti datang dan tidak akan terlewat walaupun sesaat seperti mana firman Allah di dalam Surah Al-Ankabut ayat 57 yang bermaksud: Tiap-tiap diri (sudah tetap) akan merasai mati. Kemudian kamu akan dikembalikan kepada Kami (untuk menerima balasan).

Jenazah Islam

Jelaslah bahawa kita semua akan merasai detik kematian dan tidak ada yang kekal melainkan Allah. Yang menjadi persoalan bila, di mana dan bagaimana kematian itu berlaku, ia kekal menjadi rahsia Allah.

Malaikat Izrail boleh datang menjemput dalam keadaan kita tidur, menonton televisyen, makan bersama keluarga dan sebagainya.

Maka adalah menjadi satu keperluan untuk kita sebagai manusia melengkapkan diri dengan ilmu sekiranya terdapat ahli keluarga sedang berhadapan dengan saat-saat di ambang kematian atau berada dalam keadaan nazak.

Berikut ustaz kongsikan beberapa perkara yang boleh kita lakukan seandainya ada dalam kalangan ahli keluarga kita berada dalam keadaan sakaratul maut.

1. Ajarkan kalimah 'Laailahaillallah'

Duduklah di sebelah telinga kanan atau kiri ahli keluarga kita itu dan lafazkan kalimah suci 'Laailahaillallah' dengan perlahan dan jelas.

Ia berdasarkan hadis nabi yang maksudnya: "Ajarkanlah kepada orang yang hampir mati dalam kalangan kamu dengan 'Laailahaillallah'. - [HR Muslim 1524]

Memadai kalimah yang bermaksud 'tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah' diungkap sekali di telinga individu itu tetapi jika terkeluar daripada mulutnya soal berkaitan duniawi, ulanglah kalimah suci itu agar dia dapat melafazkannya supaya pengakhiran percakapan itu diakhiri dengan kalimah tauhid, kerana syaitan akan berusaha untuk menyesatkan manusia sehingga di akhir nafas kita.

Ketahuilah sesungguh apabila seseorang anak Adam itu apabila ketika sakaratul maut dapat mengucapkan kalimah 'Laailahaillallah', maka dia meninggal dunia dalam khusnul khotimah.

Seelok dan sebolehnya orang yang mengajarkan kalimah tersebut biarlah yang paling disayangi dan hampir dengannya.

Isyarat syahadah sudah memadai kerana mungkin orang yang hampir mati itu sudah melafazkannya secara perlahan atau di dalam hati.

2. Tutup mata, mulut dan qiamkan jenazah

Seandainya mata dan mulut jenazah terbuka, tutuplah dan jika mengalami kesukaran bolehlah diurut dengan sedikit minyak. Mata jenazah terbuka bukanlah bermaksud azab daripada Allah.

Ini seperti mana hadis baginda nabi yang mana menceritakan perbuatan nabi ketika melawat jenazah Abu Salamah, maksudnya: "Rasulullah masuk atas Abu Salamah dan keadaan matanya terbuka lalu nabi menutupnya dan bersabda: Sesungguhnya roh orang mati apabila dicabut ia akan diikuti pandangan mata." - [HR Ibn Majah 1444].

Berdoalah dengan doa seperti "Allahumaghfirlana walahu" yang bermaksud "Ya Allah ampunkan kami dan dia". Urutlah di sendi-sendi dan pelipatan dan ambilkan beberapa helai kain perca untuk mengikat bahagian-bahagian tersebut. Seterusnya qiamkan tangan jenazah seperti keadaan bersolat.

3. Menutup seluruh jasad si mati dengan kain

Apa-apa jenis kain boleh digunakan dan sebaiknya yang sedikit tebal agar tidak tersingkap aurat si mati. Bagi mengelakkan perut jenazah menjadi kembung bolehlah diletakkan benda yang sedikit berat seperti buku dan sebagainya.

4. Letakkan jenazah di tempat yang baik

Setelah selesai semua langkah di atas bolehlah diletakkan jenazah di tempat yang sedikit tinggi seperti tilam dan bukan di lantai. Kedudukan jenazah adalah kaki menghadap kiblat seperti pandangan Imam Nawawi yang masyhur.

5. Menghubungi pihak berwajib

Kematian perlulah segera dimaklumkan kepada pihak perubatan untuk pemeriksaan jika ia berlaku di rumah, diikuti jiran tetangga dan pihak masjid untuk persediaan kerja-kerja memandikan jenazah dan menggali liang lahad.

Jadi sentiasalah ke masjid dan bergaul dengan mereka agar tidaklah menelefon mereka sewaktu terdapat kematian sahaja. Laporan polis juga hendaklah dibuat samada kematian berlaku disebabkan jenayah ataupun tidak.

Segerakanlah urusan pengebumian kerana ada diriwayatkan sebuah hadis yang maksudnya: "Bersegeralah kalian dalam menguruskan jenazah. Sekiranya dia jenazah yang soleh, nescaya dia merupakan suatu kebaikan yang kamu hantarkan ia kepadanya. Namun sekiranya dia tidak soleh, maka itu suatu keburukan yang kamu pikul di atas bahu-bahu kamu." - [HR Bukhari 1315 dan Muslim 944].

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:
sumber: mstar

10 Ganjaran Menyantuni Anak-anak Yatim

10 Ganjaran Menyantuni Anak-anak Yatim

Betapa pentingnya melindungi dan menjaga kebajikan anak-anak yatim, maka Allah telah berjanji untuk memberi ganjaran yang amat besar kepada sesiapa sahaja yang menyantuni mereka. Sejumlah 23 kali perkataan yatim disebut dalam al-Quran.

Doa anak yatim

Dalam al-Quran jelas menegaskan akan betapa pentingnya anak-anak yatim dipelihara yang maksudnya, "Mereka bertanya kepadamu tentang anak yatim, katakanlah: Memperbaiki keadaan mereka adalah baik." (al-Baqarah: 220)

Anak-anak inilah lubuk berharga untuk merebut ganjaran pahala besar daripada Allah SWT.

1. Pahala Setanding Dengan Berjihad

Rasulullah SAW sudah memberi jaminan bahawa pahala menyantuni anak yatim adalah standing dengan pahala orang yang berjihad; disamakan dengan bangun pada waktu malam dan berpuasa di siang hari kemudian dilanjutkan dengan keluar untuk jihad di jalan Allah SWT.

2. Mendapat Perlindungan Hari Kiamat

Pahala lain yang akan diperolehi kerana menyantuni anak-anak ini adalah terselamat dari mendapat azab Allah SWT dan juga dihindari dari ancaman yang akan terjadi pada hari kiamat. Hendak dapatkan ganjaran ini, kasihi lah anak yatim dan selalu berkata baik.

3. Dipermudahkan Masuk Syurga

Mustahil ada manusia yang tidak mahu masuk syurga dan bersama Rasulullah SAW. Pada sebuah hadits sudah dijelaskan jika orang yang menyantuni anak yatim dengan cara memberi makan, minum dan sebagainya, maka akan mendapat jaminan dari Allah SWT untuk masuk ke dalam syurga kecuali orang yang pernah melakukan Dosa Besar Dan Tidak Bertaubat.

4. Pahala Berlipat Kali Ganda

Semua orang yang selalu berbuat kebaikan dengan cara menyantuni anak yatim, maka dia akan mendapat pahala yang sangat besar tidak hanya saat hidup di bumi, namun juga saat di akhirat nanti.

5. Dimuliakan Dan Dilimpahi Rezeki

Allah SWT juga akan memberikan kelimpahan rezeki dan juga kemuliaan selain daripada berzikir pembuka rezeki. Hal ini juga berlaku sebaliknya di mana Allah SWT juga akan menyempitkan rezeki seseorang apabila tidak menyantuni dan memuliakan anak yatim.

"Adapun manusia apabila Tuhannya mengujinya lalu dimuliakanNya dan diberinya kesenangan, maka dia berkata, 'Tuhanku telah memuliakanku'. Adapun bila Tuhannya mengujinya lalu membatasi rezekinya maka dia berkata, 'Tuhanku menghinaku'. Sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya kamu tidak memuliakan anak yatim." [surat Al-Fajr ayat 15-17].

6. Masuk Dalam Golongan Orang Beriman

Jika kita menyayangi sekaligus menyantuni mereka, InsyaAllah kita termasuk dalam golongan orang beriman dan bertakwa oleh Allah SWT.

"Dan memberikan hanya yang dicintainya kepada kerabatnya, anak-anak yatim mereka itulah orang-orang yang benar (imannya) dan mereka itulah orang-orang yang bertakwa." [Al Baqarah: 177].

7. Minum Mata Air Surga

Beruntunglah sesiapa yang selalu berbuat baik dan menyantuni anak-anak ini kerana akan mendapat kenikmatan daripada Allah SWT berupa air minuman berasal dari mata air syurga.

8. Bersama Rasulullah Di Syurga

Pahala berikutnya yang akan kita peroleh apabila menyantuni mereka adalah kita akan berada hampir dengan Rasulullah SAW di syurga bahkan jaraknya hanya sebatas antara jari telunjuk dengan jari tengah saja.

Rasulullah SAW bersabda, "Aku dan orang yang menanggung anak yatim (kedudukannya) di syurga seperti ini", kemudian beliau SAW mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengah beliau SAW, serta agak merenggangkan keduanya." [HR. Bukhari, Shahih Bukhari, Sahl bin Sa'ad As-Sa'idiy: 5304].

9. Dapat Penuhi Keperluan Hidup

Allah telah berjanji untuk memenuhi apa sahaja keperluan hidup orang yang menyantuni anak-anak yatim. Saat menyantuni mereka, maka ini diibaratkan seperti berinfak di jalan Allah SWT sehingga akan diperbanyak harta dalam Islam untuk orang tersebut.

10. Mengundang Keberkatan ke Rumah

Memelihara dan menyantuni anak yatim juga akan memberikan banyak keberkatan ke rumah orang yang menyantuni anak-anak tersebut. Sebab, sebaik baiknya rumah dari seorang muslim merupakan rumah orang yang selalu sayang terhadap mereka sehingga menjadi rumah ideal dalam Islam.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:
sumber: kashoorga

Wednesday, April 13, 2022

Redha Seorang Ibu Untuk Anak Berjaya Di Dunia Dan Akhirat!

Redha Seorang Ibu Untuk Anak Berjaya Di Dunia Dan Akhirat!

Pakar Psikologi yang amat popular di Kuwait, Doktor Fauziah Ad-Dabbu pernah menulis mengenai rahsia-rahsia doa seorang ibu jika setiap malam dia mendoakan anak-anaknya dan ternyata kesan dari tulisannya itu telah mengubah jalan hidup ramai orang. Alhamdulillah.

Berkat doa seorang ibu

Dan kerana doa yang baik dari seorang ibu, anak-anak akan membesar menjadi insan yang baik dunia dan akhirat.

Benarlah doa seorang ibu itu tiada hijabnya dengan Allah taala. Kata-kata dan doa yang baik akan melahirkan insan yang baik.

Isi tulisannya sebagai berikut:-

"Aku bersumpah demi Allah, wahai setiap ibu, agar jangan tidur pada setiap malam sebelum engkau memohon pertolongan Allah SWT dan mengkhabari-Nya bahawa engkau redha atas anak-anakmu seredha-redhanya dan aku bersumpah demi Allah agar engkau tidak menghijab/menghalangi Redha-Nya kepada anak-anakmu.

Dan aku memintamu wahai para ibu agar jangan engkau tidur setiap malam sebelum engkau angkat kedua tanganmu sambil menyebut satu persatu nama anak-anakmu dan mengkhabarkan kepada-Nya bahawa engkau redha atas mereka masing-masing."

Begini doanya:

اللهم إني أُشهدك أني راضية عن إبني/إبنتي (…..) تمام الرضا وكمال الرضا ومنتهي الرضا فاللهم انزل رضوانك عليهم برضائي عنهم

"Allaahumma innii usy-hiduka annii raadhiyah 'an ibnii/ibnatii... (sebut nama anak-anakmu satu persatu)... tamaamar-ridhaa wa kamaalar-ridhaa wa muntahayir-ridhaa. Fallaahumma anzil ridhwaanaka 'alaihim bi ridhaa-ii 'anhum".

(Ya Allah aku bersaksi kepadaMu bahawa aku redha kepada anak-anakku... (Sebutkan nama-nama mereka satu persatu) dengan redha dan sempurna. Maka turunkan Ya Allah keredhaan-Mu kepada mereka demi redhaku kepada mereka).

Kemudian setelah berselang beberapa minggu setelah tersebar, tiba-tiba aku dikejutkan oleh seorang ibu yang berkata bahawa aku telah mengubah kehidupannya secara total dan sekarang dia merasa dalam kenikmatan yang tak tergambar kerana doa itu terhadap dia dan anak lelakinya yang berumur 22 tahun.

Maka berceritalah si ibu itu:-

Sejak kelahiran anakku itu aku hidup dalam penderitaan kerananya.

Dia tak pernah solat dan bahkan jarang mandi. Dia sering berdebat panjang denganku dan sering membentakku dan tak menghormatiku, walaupun sudah sering aku mendoakannya.

Maka ketika membaca tulisanmu aku berkata, "Mungkinkah kata-kata ini benar? Nampak seperti tidak masuk akal? Dan akhirnya saya putuskan untuk mencuba anjuranmu walaupun tak yakin, bahkan sinis mentertawakanmu."

Setelah seminggu, mulai berubah nada suara anakku kepadaku dan pertama kali dalam hidupku aku tertidur dalam kedamaian dan di dalam diriku ada sedikit syak?

Dan kemudian saya dapati anakku mandi, pada hal aku tak menyuruhnya.

Minggu kedua dan aku terus mendoakannya sesuai anjuranmu. Dia membukakan pintu untukku dan menyapaku, "Apa khabar ibu?" Dengan suara lembut yang tak pernah ku dengar darinya sebelum itu.

Aku gembira tak terkata walaupun aku tak menunjukkan perasaanku kepadanya sama sekali.

4 jam kemudian aku memanggilnya di telefon bimbitnya dan dia menjawabku dengan nada yang berbeza dari biasanya, "Ibu, saya di dalam masjid dan saya baru hendak solat waktu ibu telefon.."

Maka saya pun tidak mampu menahan tangisan. Bagaimana mungkin dia yang tak pernah solat sudah mula solat dan dengan lembut bertanya khabarku?

Tak sabar aku menanti kedatangannya dan segera aku bertanya sejak bila kamu mula solat?

Jawabnya; "Saya sendiri tak tahu ibu. Waktu saya lalu berhampiran masjid, mendadak hati saya tergerak untuk solat."

Sejak itu kehidupanku berubah 180 darjah dan anakku tak pernah lagi berteriak-teriak kepadaku dan sangat menghormatiku.

Tak pernah aku mengalami kebahagiaan seperti ini walaupun sebelumnya sering hadir di majlis-majlis zikir dan pengajian-pengajian.

Oleh kerana beratnya kehidupan sehari-hari seringkali seorang ibu melupakan doa untuk anak-anaknya. Sering juga menganggap bahawa pusat-pusat bimbingan psikologi adalah jalan lebih baik untuk perkembangan anak-anak.

Pada hal, doa seorang ibu itu adalah sebenarnya jalan tersingkat untuk mencapai kebahagiaan anak-anak di dunia dan akhirat. In Syaa Allah.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: kashoorga

Tuesday, April 12, 2022

Apa Sebenarnya Israiliyyat, Bolehkah Kita Mempercayainya?

Apa Sebenarnya Israiliyyat, Bolehkah Kita Mempercayainya?

Menurut istilah ahli tafsir, Israiliyyat ialah periwayatan dan kisah-kisah yang bersumberkan dari Ahlul Kitab pada umumnya dan Yahudi pada khususnya yang telah menyerap masuk ke dalam masyarakat Islam dan digunapakai dalam sebahagian tafsir al-Quran.

Apa Sebenarnya Israiliyyat

Israi'liyyat dari sudut bahasa dinisbahkan kepada Bani Israil yang bermaksud anak-anak dari keturunan Nabi Ya'qub a.s. Ia adalah kata jama' yang merujuk kepada Bani Israil.

Israil ialah nama yang diberi kepada Nabi Ya'qub a.s. yang bermaksud hamba Allah, manakala Bani Israil ialah anak-anak Nabi Ya'kub a.s. dan keturunan seterusnya yang lahir daripada mereka sehingga ke zaman Nabi Musa a.s. dan para Nabi seterusnya sehingga zaman Nabi Isa a.s. dan zaman Nabi Muhammad SAW (Abu Syahbah, 2006).

Namun, istilah Israiliyyat digunakan oleh ulama tafsir dan hadith terhadap perkara-perkara yang lebih luas, iaitu setiap kisah termasuk cerita lama yang diadakan, dimasukkan ke dalam tafsir.

Bahkan sesetengah ulama tafsir dan hadith menganggap Israiliyyat adalah setiap kisah yang dicipta dan disebarkan oleh musuh-musuh Islam sehinggalah masuk ke dalam tafsir dengan tujuan untuk merosakkan kesucian Islam (Al-Dhahabi, 1990).

Kemasukan Israiliyyat ke dalam tafsir bermula dari kemasukan kebudayaan kaum Yahudi yang berhijrah ke semenanjung Arab ke dalam kebudayaan Arab di zaman Jahiliyyah.

Kaum Yahudi membawa bersama-sama mereka ilmu-ilmu dan pengetahuan yang diambil daripada kitab-kitab agama mereka dan segala perkara yang berkaitan dengannya daripada huraian-huraian pendeta-pendeta mereka yang kemudian mereka pindah wariskan daripada satu generasi ke generasi seterusnya.

Mereka mempunyai tempat yang dinamakan al-Midras iaitu sekolah-sekolah dimana mereka mempelajari ajaran agama yang diwarisi dan juga tempat-tempat ibadah dimana mereka menjalankan ibadah-ibadah yang diajarkan oleh agama mereka. (Muhammad Yati, 2015)

Kemudian, datang ajaran Islam dan kitab Allah SWT yang terkandung di dalamnya ilmu dan ajaran agama. Seruan Islam lahir dan tersebar di kalangan penduduk semenanjung Arab. Pada zaman Rasulullah SAW, pusat negara Islam adalah Madinah al-Munawwarah.

Untuk mendidik para sahabat, majlis-majlis ilmu pada zaman Rasulullah SAW ini diadakan di Masjid Madinah.

Di kota Madinah dan sekitarnya tinggal bermukim beberapa kabilah Yahudi seperti Bani Qainuqa', Bani Quraizah, Bani al-Nadir, Yahudi Khaibar, Taima' dan Fadak. Terdapat sebahagian daripada kalangan ulama mereka atau Ahlul Kitab di Madinah yang memeluk Islam seperti Abdullah bin Salam.

Beliau dan orang sepertinya menjadi tempat rujukan kepada sahabat untuk bertanya secara terperinci tentang kisah-kisah al-Quran yang sama disebut di dalam kitab-kitab Taurat dan Injil.

Namun, para sahabat tidak menerima bulat-bulat apa yang diceritakan kepada mereka, akan tetapi mereka menapisnya dengan pemahaman akal dan juga petunjuk syarak.

Mereka hanya menerima apa yang diterima oleh akal dan syarak dan menolak sekiranya apa yang diceritakan bercanggah dengan keduanya. (Muhammad Yati, 2015)

Adapun tentang perkara-perkara yang tidak jelas sisi benar atau salahnya, maka mereka mengambil pendirian tawaqquf iaitu berdiam diri tidak menerima dan tidak menolak terhadap perkara-perkara yang tidak jelas tentang benar dan salahnya tersebut.

Ibn Khaldun menyatakan: "Apabila timbul keinginan di kalangan orang-orang Arab untuk mengetahui tentang permulaan kejadian makhluk dan rahasia kejadian alam, mereka cenderung bertanya kepada Ahlul Kitab dari kalangan Yahudi dan Nasrani. Penganut Taurat di sebahagian kawasan pada masa itu ada yang berkehidupan badui dan masih sangat awam pengetahuanya, majoriti mereka dari kalangan suku bangsa Himyar yang telah menganut ajaran yahudi, maka setelah mereka memeluk Islam pengaruh ajaran agama asal mereka yang berkaitan dengan asal kejadian makhluk, cerita-cerita generasi lampau sama ada yang berkenaan dengan peperangan dan sebagainya yang tidak memiliki kaitan dengan hukum hakam, masih kuat dalam diri mereka. Diantara orang-orang yang berasal dari golongan mereka ialah Ka'b b. al-Ahbar (m.32H), Wahab b. Munabbih (m.ll0H) dan Abdullah bin Salam (m.43H) dan bermula dari merekalah riwayat-riwayat Israiliyyat tersampaikan dan tersebar sehingga akhirnya masuk pula dalam kitab-kitab tafsir yang ada hingga sekarang." (Ibn Khaldun, 1968).

EKSISTENSINYA DALAM TAFSIR AL-QURAN

Pada zaman Rasulullah SAW, informasi dari kaum Yahudi yang dikenal sebagai israiliyyah tidak berkembang dalam penafsiran al-Quran, sebab hanya beliau satu-satunya penjelas (mubayyin) berbagai masalah atau pengertian yang berkaitan dengan ayat-ayat al-Quran, umpamanya saja apabila para sahabat mengalami kesulitan mengenai pengertian yang berkaitan dengan sebuah ayat al-Quran sama ada makna atau kandungannya, mereka langsung bertanya kepada Rasulullah SAW. (Rifa’i, 1992)

Walau demikian, Rasulullah SAW juga telah memberi kebenaran untuk menerima maklumat daripada Ahlul Kitab yang berasal dari Bani Israil sebagaimana yang diriwayatkan dalam sebuah hadis:

Maksudnya: "Sampaikanlah yang datang dariku walaupun satu ayat, dan ceritakan (apa yang kamu dengar) dari Bani Israil dan hal itu tidak ada salahnya. Barang siapa yang berdusta ayatku, maka siap-siaplah untuk menempati tempatnya di neraka." (Sahih al-Bukhari)

Demikian pula dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: "Janganlah kamu benarkan orang-orang Ahlul Kitab dan jangan pula kamu dustakan mereka. Berkatalah kamu sekalian, kami beriman kepada apapun yang diturunkan kepada kami." (Sahih al-Bukhari)

Hadis-hadis di atas menunjukkan bahawa terdapat peluang atau kebenaran yang diberikan oleh Rasulullah SAW kepada umatnya untuk mengambil atau menerima sebahagian riwayat-riwayat dari Ahlul Kitab.

Walaupun begitu, hadis-hadis tersebut juga mengandungi peringatan untuk berhati-hati terhadap riwayat Ahlul Kitab, malah terdapat balasan bagi mereka yang cuba untuk mendustakan Rasulullah SAW.

Selain daripada itu hadis-hadis tersebut juga meyimpulkan bahawa riwayat Israilliyyat sebenarnya sudah lama muncul dan berkembang di kalangan bangsa Arab jauh sebelum Rasulullah SAW, yang kemudian terus bertahan pada era Rasulullah SAW, hanya saja ia belum merambah dan merayap kedalam proses penafsiran al-Quran.

Akan tetapi setelah kewafatan baginda dan para sahabat menjadi pakar rujuk dalam mentafsirkan ayat al-Quran, sekiranya tidak ditemui dalam hadis-hadis Rasulullah SAW, mereka akan berijtihad dengan sesekali mengutip riwayat dari Ahlul Kitab yang kemudian juga dianggap perlu dijadikan sebagai salah satu rujukan sebatas keperluan dan hanya kepada riwayat-riwayat yang diyakini keshahihanya.

Hal ini berlaku kerana ada persamaan antara al-Quran, Taurat dan Injil. Pada zaman sahabat, penerapan riwayat Israiliyyat dalam kitab tafsir telah pun bermula.

Secara umumnya, para sahabat sangat ketat dalam menerima riwayat daripada kaum Yahudi dan Nasrani. Mereka hanya membataskan kisah-kisah dalam al-Quran kepada apa yang dijelaskanya sahaja secara global, Nabi SAW sendiri pun tidak banyak menerangkan kepada mereka perihal kisah-kisah tersebut. (Usman, 2011)

Disamping itu para sahabat dikenali sebagai orang-orang yang konsisten kepada ajaran yang diterima dari Rasulullah SAW, dan mereka akan menolak kisah-kisah Israiliyyat yang bertentangan dengan syari'at Islam.

Al-Dhahabi mengatakan: Keterlibatan para sahabat dalam meriwayatkan Israiliyyat tidak berlebih-lebihan dan masih dalam batas kewajaran. (Al-Dhahabi, 1986)

Pada zaman tabi'in, penukilan dari Ahlul Kitab semakin meluas dan cerita-cerita Israiliyyat dalam tafsir semakin berkembang.

Sumber daripada cerita-cerita ini adalah daripada kalangan Ahlul Kitab, ditunjang oleh keinginan yang kuat dari orang-orang untuk mendengar kisah-kisah ajaib daripada kitab mereka.

Oleh kerana itu, telah muncul sekelompok mufassir yang ingin mengisi kekosongan fakta pada tafsir dengan memasukkan kisah-kisah yang bersumberkan daripada orang-orang Yahudi dan Nasrani.

Akibat daripada itu, kitab tafsir mengandungi pelbagai kisah yang bercampur dengan kisah yang mempunyai sumber yang tidak tepat.

Metodologi penulisan tafsir pada zaman tabi'in juga tidak menitikberatkan kepentingan dan kualiti isnad al-Hadith yang menjadi sumber rujukan di dalam tafsir bi al-mathur menambahkan lagi faktor perkembangan Israiliyyat.



Ramai di kalangan ahli tafsir pada masa itu mengabaikan metodologi sanad al-Hadith sehingga corak penafsiran mereka diwarnai dengan unsur-unsur Israi'liyyat. (Ishak Sulaiman, 1998)

Di antara contoh mufassir tersebut ialah Muqatil bin Sulaiman.

Pada zaman ini juga, banyak hadis-hadis palsu, kedustaan dan kebohongan yang disandarkan kepada Rasulullah SAW tersebar luas. (Al-Dhahabi, 1986)

Sikap selektif dalam periwayatan menjadi hilang. Banyak periwayatan yang tidak melalui jalur "etika metodologi penelitian" ilmu hadis dengan tidak menulis sanadnya secara lengkap.

Setelah zaman tabi'in berakhir, kisah-kisah Israiliyyat semakin mendapat tempat di hati masyarakat sehinggakan mereka tidak mampu membezakan adakah ianya dari sumber yang sahih ataupun batil.

Lebih buruk lagi apabila ada sebahagian yang tidak lagi merujuk kepada isi yang terdapat di dalam al-Quran, kerana berpendapat bahawa riwayat Israiliyyat penting untuk penafsiran ayat-ayat al-Quran.

Justeru di kalangan sarjana ada yang mengambil kesempatan untuk menyandarkan sumber-sumber Israiliyyat hanya kepada mereka sahaja tanpa penelitian yang rapi, yang menyebabkan makin bertambahnya riwayat-riwayat Israiliyyat dalam khazanah keilmuan mereka sehinggalah sampai kepada generasi selanjutnya.

Riwayat Israiliyyat yang wujud pada zaman kini merupakan penyambung kepada riwayat Israiliyyat yang telah pun muncul sejak zaman para sahabat lagi.

Peranan para ulama pada zaman moden ini sangat besar untuk mewujudkan kesedaran tentang impak negatif daripada riwayat Isrialiyyat.

Walaupun tidak semuanya memberi kesan kepada Aqidah, tetapi sikap berhati-hati perlu dipupuk sebelum mempercayai riwayat Israiliyyat terutama yang boleh ditemui dalam Tafsir al-Quran.

Sebenarnya sejak dahulu lagi pelbagai usaha telah dilakukan oleh para Ulama dalam memilih dan membersihkan kisah Israiliyyat yang terdapat dalam kitab-kitab terdahulu.

Namun, usaha ini amat sukar dan memerlukan kesungguhan kerana perlu dilakukan dalam tempoh yang lama.

Tanpa disedari kisah-kisah ini mudah disebarkan kepada masyarakat awam tanpa kawalan yang menyebabkan ia terus diwarisi dari satu generasi ke generasi yang lain.

Hadith Nabi S.A.W. ada menyebutkan yang maksudnya: "Ceritakanlah (apa yang kalian dengar) dari Bani Isra'il dan itu tidak apa (dosa)." (Sahih al-Bukhari)

Dalam memahami hadis tersebut kita perlu memahaminya sesuai dengan apa disampaikan oleh Imam As-Syafie dalam mengomentari hadits ini.

Beliau berkata: "Baginda SAW melarang berbicara dusta, jadi maksud hadis ialah ceritakanlah daripada Bani Israel pada perkara yang kamu tidak ketahui bahawa ia adalah dusta (mengandungi kebatilan), adapun perkara yang dibenarkan (kerana ia tidak bercanggah dengan penjelasan al-Quran dan Sunnah) maka tidak menjadi suatu dosa kepada kamu untuk meriwayatkannya.

Inilah petanda kepada hadis baginda yang maksudnya: "Apa yang diceritakan oleh orang-orang ahli kitab kepada kalian maka janganlah kalian percayai atau kalian dustakan." (Sahih al-Bukhari) (Abu Syahbah, 2006)

Kesimpulan

Sebahagian ulama berpendapat bahawa kisah-kisah Israiliiyat boleh disampaikan hanya apabila diyakini kesahihannya.

Walau bagaimanapun, kebanyakan daripada mereka beranggapan bahawa kisah-kisah mereka tidak mempunyai manfaat yang penting apabila disampaikan kerana sifatnya yang bersifat dongeng dan sekadar penceritaan yang umum.

Wallahu a'alam.

BACA INI JUGA:
sumber: researchgate

Saturday, April 09, 2022

Kisah Pemuda Bernama 'Uzair Yang Mati Selama 100 Tahun

Kisah Pemuda Bernama 'Uzair Yang Mati Selama 100 Tahun

Dalam al-Quran, Allah menyebut tentang nama seorang lelaki bernama Uzair. Hanya sekali nama ini disebut iaitu dalam Surah al-Taubah ayat ke-30 iaitu, "Dan orang-orang Yahudi berkata: Uzair putera Allah.." Siapa Uzair? Kenapa orang Yahudi sangat mengagungkannya sehingga menggelarnya sebagai anak Allah?

Kisah Uzair

Tersebut dalam riwayat bahawa dalam ramai-ramai Bani Israel, tiada seorang pun yang lebih mengerti dan menghafal Kitab Taurat berbanding beliau. Ulama berbeza pendapat sama ada dia seorang nabi, atau seorang yang soleh. Malah ulama juga berbeza pendapat mengenai nama sebenarnya.

Kitab Taurat yang ada pada hari ini bukanlah Taurat yang sama sebagaimana di zaman Nabi Musa a.s. kerana kitab ini telah dibakar dan dimusnahkan sewaktu pemerintahan seorang raja yang zalim iaitu Bukhtunassar atau lebih dikenali sebagai Nebuchadnezzar II.

Bukhtunassar merupakan seorang raja zalim yang mempunyai kerajaan yang amat besar. Bahkan dalam sebuah hadis dhaif diriwayatkan bahawa Rasulullah sendiri mengiktiraf kekuasaan beliau dengan menyatakan bahawa bahawa raja dunia ini ada empat, dua mukmin dan dua kafir iaitu Zulqarnain dan Nabi Sulaiman serta Namrud dan Bukhtunassar.

KISAH SEORANG PEMUDA BERNAMA 'UZAIR

Pada suatu hari ketika 'Uzair memasuki kebunnya yang menghijau dengan pokok-pokok tamar dan tiba-tiba hatinya telah terpesona serta tertarik untuk memikirkan rahsia keindahan dan keajaiban alam ini.

Sesudah memetik buah-buahan dia pulang dengan keldainya sambil menikmati keindahan-keindahan alam sekitarnya sehingga keldai yang ditungganginya tersesat jalan.

Setelah sekian lama barulah dia sedar bahawa dia telah berada di suatu daerah yang tidak dikenali oleh beliau serta sudah jauh dari negerinya sendiri. Sebaik saja dia sampai ke daerah itu dilihatnya kampung itu baru saja diserbu oleh musuh-musuh sehingga menjadi rosak-binasa sama sekali.

Di tapak atau bekas runtuhan terdapat mayat-mayat manusia bergelimpangan yang sudah busuk serta hancur. Melihat pemandangan yang mengerikan itu, dia pun turun dari keldainya dengan membawa dua keranjang buah-buahan.

Manakala keldainya itu ditambat di situ, kemudian dia pun duduk bersandar pada dinding sebuah rumah yang sudah runtuh bagi melepaskan penatnya. Dalam pada itu, fikirannya mula memikirkan mayat manusia yang sudah busuk itu.

"Bagaimana orang-orang yang sudah mati dan hancur itu akan dihidupkan oleh Tuhan kembali di negeri akhirat?" begitulah pertanyaan yang datang bertalu-talu sehinggalah dia tertidur.

Dalam tidur itu, dia seakan-akan bertemu dengan semua arwah (roh-roh) orang-orang yang sudah meninggal itu. Tidurnya amat luar biasa sekali, bukan hanya sejam atau semalam, tetapi dia telah tidur terus-menerus tanpa bangun selama seratus tahun lamanya.

Dalam masa dia tertidur itu, keadaan di sekitarnya sudah ramai lapisan baru, rumah serta bangunan-bangunan banyak yang telah didirikan. Dalam masa seratus tahun itu, segala-galanya sudah berubah, manakal 'Uzair tetap terus tidur tersandar di dinding buruk itu menjadi jasad (tubuh) yang tidak bernyawa lagi.

Dagingnya sudah hancur dan tulang belulangnya sudah hancur lebur berderai. Kemudian jasad 'Uzair yang telah mati, daging dan tulangnya yang sudah hancur itu disusun kembali oleh Allah pada bahagiannya masing-masing lalu ditiupkan rohnya.

Dan ketika itu juga 'Uzair hidup kembali seperti dahulu, dia terus berdiri seperti orang yang bangun dari tidur lantas mencari keldai dan buah-buahannya di dalam keranjang dahulu.

Tidak berapa lama kemudian, turunlah beberapa malaikat seraya bertanya, "Tahukah engkau ya 'Uzair berapa lama engkau tidur?"

'Uzair menjawab, "Saya tertidur sehari dua ataupun setengah hari."

Lalu malaikat pun berkata kepadanya, "Bahawa engkau terdampar di sini genap seratus tahun lamanya. Disinilah engkau berbaring, berhujan dan berpanas, kadang-kadang ditiup badai dan berhawa sejuk dan juga panas terik. Dalam masa yang begitu panjang, makanan engkau tetap baik keadaannya. Tetapi cuba lihat keadaan keldai itu, dagingnya telah hancur."

Berkata malaikat lagi, "Lihatlah dan perhatikanlah sungguh-sungguh. Demikianlah kekuasaan Allah dapat menghidupkan kembali orang yang sudah mati dan mengembalikan jasad-jasad yang sudah hancur lebur dan dengan semudah itu pulalah Tuhan akan membangkitkan semua manusia yang sudah mati itu nanti di akhirat untuk diperiksa dan diadili segala perbuatannya.

Hal ini diperlihatkan oleh Tuhan kepada engkau supaya iman engkau tetap dan engkau sendiri dapat menjadi bukti kepada manusia-manusia lain supaya engkau dan manusia-manusia lain tiada syak dan ragu-ragu lagi tentang apa yang diterangkan Tuhan tentang akhirat itu."

Setelah 'Uzair melihat keldainya yang sudah hancur itu, maka 'Uzair pun berkata, "Sekarang tahulah saya bahawa Allah itu adalah berkuasa ke atas tiap-tiap sesuatu."

Keldai tersebut dihidupkan oleh Allah SWT kembali dengan proses pengembalian otot-otot saraf daging kepada tulang belulangnya kemudian terbentuklah tulang dan rambut. Setelah itu, roh keldai itu diperintahkan oleh malaikat agar kembali kepada keldai tersebut dan kemudian keldai tersebut bangun berdiri.

'Uzair a.s. menyaksikan sendiri kejadian itu lalu dia mengetahui bagaimana Allah SWT menghidupkan kembali orang-orang mati yang telah menjadi tulang belulang dan tanah.

Maka 'Uzair pun berkata, "Sekarang tahulah saya bahawa Allah berkuasa di atas segala-galanya."

Lalu dia pun terus mengambil keldainya dan terus menunggangnya pulang ke rumahnya dahulu dengan mencari-cari jalan yang sukar untuk dikenali. Dilihatnya segala-gala telah berubah.

Dia cuba mengingati apa yang pernah dilihatnya seratus tahun dahulu. Setelah menempuh berbagai kesukaran, akhirnya dia pun sampai ke rumahnya.

Sebaik saja dia sampai di situ, dia mendapati rumahnya sudah pun buruk di mana segala dinding rumahnya telah habis runtuh. Semasa dia memandang keadaan sekeliling rumahnya, dia ternampak seorang perempuan tua, lantas dia pun bertanya, "Inikah rumah 'Uzair?"

"Ya," jawab perempuan itu.

"Inilah rumah 'Uzair dahulu, tetapi 'Uzair telah lama pergi dan tiada didengar berita tentangnya lagi sehingga semua orang pun lupa padanya dan saya sendiri tidak pernah menyebut namanya selain kali ini saja," kata perempuan itu sambil menitiskan airmata.

"Sayalah 'Uzair," jawabnya dengan pantas.

"Saya telah dimatikan oleh Tuhan seratus tahun dahulu dan sekrang saya sudah dihidupkan oleh Allah kembali."

Perempuan tua itu terkejut seakan-akan tidak percaya, lalu dia pun berkata, "'Uzair itu adalah seorang yang paling soleh, doanya selalu dimakbulkan oleh Tuhan dan telah banyak jasanya di dalam menyembuhkan orang yang sakit tenat."

Sambunya lagi, "Saya ini adalah hambanya sendiri, badan saya telah tua dan lemah, mata saya telah pun buta kerana selalu menangis terkenangkan 'Uzair. Kalaulah tuan ini 'Uzair maka cubalah tuan doakan kepada Tuhan supaya mata saya terang kembali dan dapat melihat tuan."

"Uzair pun mendaha kedua belah tangannya ke langit lalu berdoa ke hadrat Tuhan. Tiba-tiba mata orang rua itupun terbuka dan dapat melihat dengan lebih terang lagi. Tubuhnya yang tua dan lemah itu kembali kuat seakan-akan kembali muda.

Setelah merenung wajah 'Uzair dia pun berkata, "Benar, tuanlah 'Uzair. Saya masih ingat."

Hambanya itu terus mencium tangan 'Uzair lalu keduanya pergi mendapatkan orang ramai, bangsa Israel.

'Uzair memperkenalkan dirinya bahawa dialah 'Uzair yang pernah hidup di kampung itu lebih seratus tahun yang lalu.

Berita itu bukan saja mengejutkan bangsa Israel, tetapi ada juga meragukan dan ada yang tidak percaya kepadanya.

Walau bagaimanapun, berita itu menarik perhatian semua orang yang hidup ketika itu. Kerana itu mereka ingin menguji kebenaran 'Uzair.

Kemudian datanglah anak kandungnya sendiri seraya bertanya, "Saya masih ingat bahawa bapa saya mempunyai tanda di punggungnya. Cubalah periksa tanda itu. Kalau ada benarlah dia 'Uzair."

Tanda itu memang ada pada 'Uzair, lalu percayalah sebahagian daripada mereka.

Sebahagian riwayat mengatakan, setelah itu diadakan pertemuan di antara para alim ulama. Majlis itu turut dihadiri oleh cucu kepada 'Uzair yang telah berumur 70 tahun sedangkan 'Uzair tetap berumur 40 tahun sama seperti dia keluar daripada kampungnya dahulu.

Akan tetapi sebahagian lagi mahukan bukti yang lebih nyata, maka mereka berkata kepada 'Uzair, "Bahawa sejak penyerbuan Nebukadnezar ke atas bangsa dan negara Israel dan setelah tentera tersebut membakar kitab suci Taurat, maka tiadalah seorang pun bani Israel yang hafal isi Taurat kecuali 'Uzair saja.

Bukhtunassar merupakan seorang raja zalim yang mempunyai kerajaan yang amat besar. Bahkan dalam sebuah hadis dhaif diriwayatkan bahawa Rasulullah sendiri mengiktiraf kekuasaan beliau dengan menyatakan bahawa bahawa raja dunia ini ada empat, dua mukmin dan dua kafir iaitu Zulqarnain dan Nabi Sulaiman serta Namrud dan Bukhtunassar (Nebukadnezar).

Lalu berkatalah mereka, kalau benarlah dia 'Uzair, cubalah sebutkan isi Taurat yang betul.

'Uzair pun membaca isi Taurat itu satu persatu dengan fasih dan lancar serta tidak salah walaupun sedikit. Mendengarkan itu barulah mereka percaya bahawa sungguh benar itulah 'Uzair.

Peristiwa inilah yang membuatkan Bani Israel menggelarnya anak Allah.

Bukanlah sebagaimana yang dimaksudkan oleh orang Kristian apabila mengungkapkan mengenai Nabi Isa, tetapi adalah lebih kepada pengagungan dan kebesarannya.

Malah sebutan 'Uzair itu sendiri adalah menunjukkan kasih daripada Bani Israel kepada dirinya.

Asalnya 'Izra, kemudian ditukarkan bentuknya kepada ism tasghir, menjadi 'Uzair, bahkan Bible yang ada pada hari ini turut mengabadikan nama beliau dalam The Book of Ezra.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:
-Sentiasapanas.com

Friday, April 08, 2022

10 Kelebihan Umat Nabi Muhammad SAW

10 Kelebihan Umat Nabi Muhammad SAW

Hakikatnya, terlalu banyak kelebihan sebagai umat Nabi Muhammad SAW berbanding pengikut Rasul lain, sekali gus peluang itu perlu dimanfaat dan disyukuri. Kita beruntung menjadi umat Nabi Muhammad SAW kerana Baginda adalah penghulu dan penutup sekalian Nabi dan Rasul.

Kelebihan Umat Nabi Muhammad

Abu Umamah meriwayatkan Nabi SAW bersabda: "Berbahagialah orang yang melihatku dan beriman kepadaku dan berbahagialah tujuh kali bahagia orang yang tidak melihatku walhal ia beriman kepadaku." (HR Ahmad)

Umat Nabi Muhammad SAW adalah umat yang istimewa, kerana Allah memberi banyak keistimewaan dan antaranya adalah:

1. Umat Nabi Muhammad SAW adalah umat terbaik

Sebagaimana terdapat dalam QS. Ali Imran ayat 110, Allah Berfirman yang ertinya: "Kamu adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang munkar dan beriman kepada Allah. Sekiranya ahli kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka. Di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik."

2. Umat Nabi Muhammad SAW adalah umat pertama yang masuk Syurga

Dalam hadis Riwayat Muslim disebutkan bahawa, Rasulullah SAW bersabda: "Kita (Muhammad SAW dan umatnya) adalah umat terakhir dan yang paling pertama pada hari kiamat, kami adalah orang yang pertama masuk surga."

3. Umat Nabi Muhammad SAW merupakan umat yang tidak sepakat dalam kesesatan

Dari Ibnu Umar r.a., bahawa Nabi SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah tidak akan mengumpulkan umatku (umat nabi Muhammad) atas kesesatan." (HR. Tirmidzi)

4. Allah memaafkan umat Nabi Muhammad SAW dikala lupa, lalai

Dalam Hadis Riwayat Muslim disebutkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah memaafkan dari umatku, apa yang terdetik di dalam hati, selama belum diucapkan mahupun dilakukan." Kemudian dari hadis lain, Rasulullah SAW bersabda: "Dimaafkan untuk umatku akibat, tersalah (tak sengaja), terlupa dan terpaksa." (HR. Al Baihaqi)

5. Allah memberi umat Nabi Muhammad SAW pahala dua kali ganda

"Sesungguhnya perumpamaan kalian dibandingkan orang-orang Yahudi dan Nasrani seperti seseorang yang mengerjakan para pekerja yang dia berkata; "Siapa yang mahu bekerja untukku hingga pertengahan siang dengan upah satu qirath, maka orang-orang Yahudi melaksanakannya dengan upah satu qirath untuk satu qirath. Lalu orang-orang Nasrani mengerjakannya dengan upah satu qirath untuk satu qirath. Kemudian kalian mengerjakan mulai dari solat Asar hingga terbenamnya matahari dengan upah dua qirath untuk dua qirath. Maka orang-orang Yahudi dan Nasrani marah seraya berkata: "Kami yang lebih banyak amal namun lebih sedikit upah!" Lalu orang itu berkata; "Apakah ada yang aku zalimi dari hak kalian?" Mereka menjawab; "Tidak ada". Orang itu berkata; "Itulah kurnia dari-Ku yang Aku berikan kepada siapa yang aku kehendaki." (HR. Bukhari & Muslim)

6. Nabi Muhammad SAW memiliki syafa'at besar untuk umatnya

Dalam hadis riwayat Ibnu Majah bilangan 4301 disebutkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Saya disuruh memilih antara setengah umatku akan di masukkan ke syurga dengan di beri syafa'at, maka saya memilih syafa'at, kerana sesungguhnya syafa'at lebih mencakupi dan lebih mencukupi, bagaimana pendapat kalian, apakah ia hanya di berikan kepada orang-orang yang bertakwa saja? Tidak, akan tetapi ia diberikan juga terhadap orang-orang yang berdosa dan orang-orang yang banyak kesalahan."

7. Umat Nabi Muhammad SAW dapat memberi syafa'at kepada orang lain

Sebagaimana sabda Rasulullah SAW: "Wahai Rabb kami, mereka selalu berpuasa bersama kami, solat bersama kami dan berhaji bersama kami." Maka dikatakan kepada mereka; "keluarkanlah orang-orang yang kalian ketahui." Maka bentuk-bentuk mereka hitam kelam kerana terpanggang api neraka, kemudian mereka mengeluarkan begitu banyak orang yang telah di makan neraka sampai pada pertengahan betisnya dan sampai kedua lututnya. Kemudian mereka berkata, "Wahai Rabb kami, tidak tersisa lagi seseorang pun yang telah engkau perintahkan kepada kami." (HR. Muslim)

8. Umat Nabi Muhammad SAW akan masuk syurga dengan wajah bersinar

Rasulullah bersabda: "Sesungguhnya umatku akan dihadirkan pada hari kiamat dengan wajah berseri-seri kerana bekas air wudhu." (HR. Bukhari)

9. Umat Nabi Muhammad SAW tidak mendapat seksa pada hari kiamat

Dari Abu Musa Al Asy'ari, Rasulullah SAW bersabda: "Umatku ini umat yang disayangi. Ia tidak diseksa pada hari kiamat. Seksaannya ada di dunia berupa fitnah, gempa dan pembunuhan." (HR. Abu Dawud dan Al Hakim)

10. Umat Nabi Muhammad SAW akan diutus para pembaharu

"Sesungguhnya Allah membangkitkan bagi umat ini dalam awal setiap seratus tahun orang yang akan memperbaharui agama mereka." (HR. Abu dawud)

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: alirsyad