Wednesday, September 04, 2019

Najib Razak Hantar Misi Sulit Ke China Untuk Bayar Hutang 1MDB Dan SRC

Najib Razak Hantar Misi Sulit Ke China Untuk Bayar Hutang 1MDB Dan SRC

Bekas pegawai khas kepada Najib Razak memberitahu Mahkamah Tinggi, bahawa beliau amat tertekan ketika diarahkan untuk pergi ke China bagi menjalankan tugas sulit 'menyelamatkan' hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB), pada Jun 2016.

Najib Razak Penipu

Datuk Amhari Efendi Nazarudin, 43, berkata beliau mula diarahkan sendiri oleh Najib setelah ketua setiausaha sulit Najib, Datuk Azlin Alias meninggal dunia dan ia bermula dengan arahan untuk pergi ke China bertujuan mengesahkan terdapat persefahaman untuk meningkatkan hubungan dan pelaburan Malaysia-China.

"Datuk Seri Najib sendiri telah meminta saya untuk datang ke kediamannya di Jalan Langgak Duta bagi membincangkan perkara ini dan memberitahu lawatan itu akan diuruskan ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low.

"Saya terpaksa akur walau pada masa itu saya cukup tertekan dan ada terlintas untuk berhenti kerja kerana arahan ini sangat membebankan saya, lebih-lebih lagi semenjak Datuk Azlin tiada.

"Namun, saya terpaksa menurutinya kerana beliau adalah bos saya, apatah lagi beliau adalah Perdana Menteri Malaysia," katanya dalam keadaan sebak.

Saksi penting pendakwaan itu yang membacakan penyataan saksinya berkata Jho Low dalam masa sama turut menghubunginya bagi menyampaikan arahan mengenai agenda dan program lawatannya ke China.

Saksi pendakwaan kelapan itu berkata demikian pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib pada hari keempat perbicaraan Ahli Parlimen Pekan itu yang didakwa atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang sama.

Beliau berkata, walaupun menghormati Ahli Parlimen Pekan itu, beliau bimbang sekiranya akan dilibatkan sama dalam percaturan antara Najib dan Jho Low sekiranya tujuan lawatan itu adalah bagi menutup isu kehilangan dana 1MDB, pembayaran hutang International Petroleum Investment Company (IPIC) atau penyediaan dana politik.

Beliau juga yang bimbang akan ancaman dan kesusahan yang akan dihadapinya sekiranya arahan Najib tidak dipatuhi ketika itu.

Membawa kapasiti sebagai wakil diplomatik Najib dalam lawatan sulit ke China pada 27 Jun 2016, saksi itu berkata beliau hanya mengetahui Jho Low akan turut hadir menyertai lawatan perbincangan sama setibanya beliau di negara itu.

"Terma-terma yang hendak dibincangkan juga saya terima daripada Jho Low pada saat-saat akhir dan ia kelihatan seperti sudah ada seseorang yang membincangkan terma-terma berhubung perkara ini (pelaburan Malaysia-China) lebih awal.

"Namun begitu, berdasarkan ‘talking points’ dan ‘action plan’ (nota maklumat dan pelan tindakan) Jho Low kepada saya, perjanjian dan usahasama ini merupakan satu pelaburan yang akan membantu membayar balik hutang 1MDB seperti bayaran hutang 1MDB ke IPIC," katanya sambil menambah kesemuanya sudah dirancang oleh Najib dan Jho Low untuk menggunakan perjanjian dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) China bagi tujuan ini.

Saksi itu turut mengesahkan lawatannya ke China itu hanya diketahui oleh Najib dan Jho Low sahaja berdasarkan kesimpulan melalui perbincangan bersama syarikat dari China tersebut adalah bagi mendapatkan bantuan untuk membeli syer bagi menebus hutang 1MDB.

"Semasa di sana, saya telah menggunakan input daripada Jho Low untuk courtesy call (kunjungan hormat) bagi mengukuhkan lagi hubungan dua hala ini.

"Dia telah membawa saya untuk berjumpa pegawai kanan dari State-owned Assets Supervision and Administration Commission of the State Council (SASAC) yang merupakan badan pengelola semua GLC bagi China.

"Jho Low memainkan peranan aktif dengan hujahannya bagi membincangkan cadangan projek yang dikenal pasti tetapi saya tidak faham sesetengah perkara kerana dia bercakap dalam bahasa Mandarin, hanya sesekali butiran perbincangan itu diterjemahkan kepada saya," katanya sambil menambah arahan-arahan sulit dari Najib hanya diterima beliau selepas isu penyelewengan dana 1MDB tersebar luas.

Bagaimanapun, berdasarkan isi kandungan ‘talking points’ yang disediakan Jho Low, saksi itu berkata jelas bahawa antara agenda yang dibawa dalam lawatan ke China itu adalah kehendak Najib untuk membawa pelabur GLC China ke Malaysia dengan cara pengambilalihan hutang-hutang 1MDB dan SRC International Sdn Bhd.

"Antara ‘talking points’ dalam perbincangan pada 28 Jun 2016 yang membawa mesej daripada Datuk Seri Najib adalah penawaran syarikat State owned Enterprise (SOE) untuk terlibat sama dalam projek infrastruktur dan sekali gus menyelesaikan masalah hutang yang dihadapi 1MDB dan SRC, selain akan menyokong dan mempromosikan kerjasama ekonomi yang lebih rapat dengan China.

"Ayat ‘while simultaneously completely resolving 1MDB and SRC debts’ jelas membawa maksud Datuk Seri Najib ingin menyampaikan mesej bahawa hubungan ini akan turut membantu 1MDB dan SRC melalui ‘bailout’ hutang-hutang 1MDB.

"Selain itu, ia turut menyatakan bahawa Malaysia berhajat untuk berbincang dengan SOE dalam tiga projek yang sedang dikaji kerajaan iaitu pembangunan Pulau Labuan sebagai pusat perbankan luar pesisir dan pusat pelancongan, pembangunan saluran paip petroleum dari Port Klang ke Kuala Kedah serta kajian dan pembangunan kereta api laju dari Kuala Lumpur ke Bangkok," katanya.

Tambahnya lagi, ‘talking points’ yang disediakan Jho Low ini bagi mengesahkan bahawa Najib sendiri meluluskan kerjasama ini dan akan diterjemahkan ke dalam bahasa Mandarin oleh Jho Low kepada pihak China.

"Nota yang diberikan Jho Low turut mengandungi satu ayat yang berbunyi "I will now handover to Mr Liu to provide a detailed explanation of the economic program.

"(Saya kini akan menyerahkan kepada Encik Liu untuk memberikan butiran penjelasan mengenai program ekonomi itu) yang perlu dibaca oleh saya.

"Mr Liu" itu merujuk kepada Jho Low yang mana sebutan "Liu" adalah sebutan dalam bahasa Mandarin," kata saksi itu.

JHO LOW PERANCANG UTAMA

Najib Jho Low Penyamun

Ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low merupakan perancang utama dalam urusan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Perkara tersebut dimaklumkan oleh saksi pendakwaan kelapan, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin ketika membaca pernyataan saksinya sambil merujuk kepada satu dokumen bertajuk Q & A: 1MDB.

"Dokumen ini adalah satu nota maklumat atau talking points yang telah disediakan oleh Jho Low. Nota ini membincangkan mengenai beberapa isu terkini berkaitan dengan 1MDB ketika itu. Antaranya isu mengenai siapakah Jho Low dan peranannya di dalam 1MDB.

"Dalam dokumen ini pada para 7 ada menegaskan bahawa Jho Low tidak berperanan dalam 1MDB walaupun hakikatnya beliau merupakan perancang utama dalam urusan 1MDB secara sulit.

"Pada perenggan 8 pula merupakan jawapan contoh untuk menegaskan bahawa 1MDB adalah satu projek yang berjaya. Jawapan ini juga dapat mengalihkan tohmahan-tohmahan atau tuduhan-tuduhan ke atas Datuk Seri Najib berhubung masalah-masalah yang ada dalam 1MDB daripada beliau," katanya.

Saksi itu berkata demikian pada hari keempat perbicaraan membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang didakwa atas 25 pertuduhan membabitkan penyelewengan dana syarikat 1MDB di Mahkamah Tinggi.

Jawapan Untuk Soalan

Ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho yang dikenali sebagai Jho Low telah membuat soalan ramalan yang mungkin ditanya oleh beberapa pihak termasuk media beserta jawapan “damage control” berhubung isu penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Mahkamah Tinggi diberitahu.

Datuk Amhari Efendi Nazaruddin, 43, bekas pegawai khas kepada Datuk Seri Najib Razak berkata soalan-soalan ramalan yang mungkin dipersoalkan adalah berapa jumlah hutang 1MDB yang dijamin oleh Kerajaan Malaysia dan bagaimanakah Letter of Support berbeza dari Government Guarantee.

"Soalan ramalan lain ialah apakah status dana pelaburan yang diuruskan oleh Brazen Sky Limited, isu bayaran balik RM2 billion kepada Maybank dan mengapa 1MDB tidak menjelaskan bayaran ini serta yang terakhir adalah berkenaan dengan IPO (Initial Public Offerings)," katanya ketika membaca penyataan saksinya pada hari keempat perbicaraan kes Najib yang didakwa menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang sama.

Amhari Efendi, yang merupakan seorang daripada saksi penting pendakwaan berkata selain soalan-soalan ramalan, Jho Low juga telah menyediakan jawapan-jawapan 'damage control' kerana pada masa itu isu penyelewangan 1MDB sedang hangat diperkatakan di media massa.

"Soalan itu disediakan oleh Jho Low sebagai 'update' untuk makluman Pejabat Perdana Menteri (PMO) dan ianya terkandung di dalam dokumen nota maklumat (eng: talking points) mengenai FAQ (Frequently Ask Question)," katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib.

Saksi pendakwaan kelapan itu turut menjelaskan bahawa beliau dan bekas setiausaha sulit Najib, Allahyarham Datuk Azlin Alias menerima dokumen berkenaan daripada Jho Low.

"Seingat saya, Datuk Azlin ada meminta saya untuk menyimpan salinan dokumen ini. Saya kenal dan yakin dokumen ini daripada Datuk Azlin kerana mempunyai catitan tangannya.

"Tujuan perkara itu telah dibincangkan terlebih dahulu oleh Jho Low adalah untuk menerangkan mengenai isu-isu yang timbul di kalangan umum dan sebagai pengetahuan kami agar kami bersedia sekiranya isu ini dipersoalkan ataupun jika dilaksanakan, kami sedia maklum akan perkara tersebut," katanya yang turut memaklumkan bahawa dokumen tersebut tidak dilupuskan kerana mungkin beliau terlepas pandang.

Kata Amhari Efendi, dokumen berkenaan adalah untuk perhatiannya sahaja dan beliau tidak membuat apa-apa tindakan susulan selepas menerima dokumen itu.

Amhari Efendi, yang ketika itu bertugas di Bahagian Ekonomi di PMO berkata beliau juga telah menerima memo yang mengandungi isu-isu semasa dan terkini berkaitan 1MDB daripada Jho Low menerusi email.

"Jho Low telah menyediakan memo itu dan kebiasaannya beliau (Jho Low) akan mengambil tindakan proaktif dengan menghantarnya kepada semua orang yang beliau rasakan perlu mengetahui mengenainya.

"Walau bagaimanapun, memo itu tidak semestinya digunakan dan kebiasaannya individu yang menerima memo tersebut termasuk Datuk Seri Najib, Datuk Azlin dan saya sendiri," katanya.

Saksi itu memaklumkan kepada mahkamah bahawa terdapat juga dokumen yang diterimanya daripada Jho Low bagi merancang langkah seterusnya untuk 1MDB dalam pelan rasionalisasi 1MDB pada 2015.

"Pada waktu itu, ada cadangan pertukaran ahli lembaga pengarah (BOD) yang kebanyakannya terdiri daripada individu daripada sektor swasta ditukar kepada individu yang terdiri daripada sektor kerajaan. Nama saya juga ada dicadangkan tapi saya tidak terpilih menjadi BOD member.

"Kebanyakan rancangan di dalam dokumen itu setahu saya ada dilaksanakan. Secara keseluruhannya dokumen tersebut menunjukkan perancangan-perancangan dan jawapan Jho Low dalam pemilihan BOD, isu PetroSaudi, isu bond IPIC/AABAR dan juga hutang-hutang yang telah dibuat oleh Kerajaan Malaysia bagi menjamin 1MDB," jelasnya.

Amhari Efendi berkata terdapat nota maklumat bertajuk "1MDB Rationalisation Plan Overview: Accompanying Notes" yang telah diberikan kepadanya pada penghujung 2014 atau awal tahun 2015.

"la telah disediakan oleh Jho Low dan saya telah menerima nota ini sama ada melalui email atau melalui Datuk Azlin ataupun semasa perjumpaan kami bertiga di Prince Hotel.

"Dokumen itu adalah pelan Jho Low untuk menyelesaikan hutang-hutang 1MDB dan ia menerangkan mengenai pelan rasionalisasi bagi 1MDB.

"Pelan berkenaan hangat diperkatakan pada waktu itu. Oleh kerana isu 1MDB pada waktu itu tidak baik, jadi cadangannya adalah untuk menjual segala aset dan liabiliti serta menutup 1MDB.

Jho Low bercadang untuk menjual aset-aset dan liabiliti 1MDB bagi menutup masalah hutang 1MDB. Contoh bagi projek Bandar Malaysia, cadangannya adalah untuk memindahkan Bandar Malaysia Sdn Bhd kepada sebuah syarikat bernama Sg. Besi Development Sdn Bhd, iaitu sebuah syarikat yang akan ditubuhkan untuk membeli Bandar Malaysia," katanya.

Amhari Efendi menjelaskan terdapat juga dokumen bertajuk Q&A: 1MDB/Yayasan yang turut disediakan oleh Jho Low.

"Dokumen yang mengandungi nota maklumat itu saya terima sama ada pada penghujung 2014 atau awal tahun 2015 yang membincangkan mengenai beberapa isu terkini berkaitan dengan 1MDB ketika itu.

"Antaranya berapa jumlah hutang terkini 1MDB, adakah 1MDB mampu untuk membayar semua hutang ini, mengapa pinjaman dibuat dalam USD, mengapa 1MDB menyimpan dana di Cayman Islands, siapakah Jho Low dan peranannya di dalam 1MDB dan bagaimana 1MDB membantu Kerajaan Malaysia dan rakyat Malaysia.

Beliau berkata dalam dokumen itu menegaskan bahawa Jho Low tidak berperanan dalam 1MDB walaupun hakikatnya beliau merupakan perancang utama dalam urusan 1MDB secara sulit.

"Ia menegaskan bahawa 1MDB adalah satu projek yang berjaya dan jawapan ini dapat mengalihkan tohmahan-tohmahan atau tuduhan-tuduhan ke atas Datuk Seri Najib berhubung masalah yang timbul dalam 1MDB," katanya yang turut memaklumkan sejak 2009, beliau dan Datuk Azlin sudah terbiasa dengan dokumen sulit itu kerana beratus-ratus dokumen seperti itu diserahkan sendiri atau dihantar melalui email oleh Jho Low bagi melaksanakan arahannya.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Monday, June 24, 2019

Senarai 41 Penerima Wang 1MDB Di Dedahkan SPRM

Senarai 41 Penerima Wang 1MDB Di Dedahkan SPRM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuat permohonan lucut harta terhadap 41 responden di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

41 Penerima Wang 1MDB

Ketua Pesuruhjayanya, Latheefa Koya berkata, permohonan itu melibatkan nilai RM270 juta daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Kita telah mengenal pasti 41 sama ada individu atau entiti yang telah dijadikan responden dalam permohonan yang telah difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan akan bermula pada 25 Jun, 10 Julai, 24 Julai dan 31 Julai.

“41 responden yang disenaraikan termasuklah daripada pihak-pihak berkaitan parti UMNO yang melibatkan nilai RM212 juta dan selebihnya adalah yayasan-yayasan, syarikat-syarikat dan sebagainya,” katanya pada sidang media Ibu Pejabat SPRM.

Beliau turut memberitahu, wang yang diterima responden itu datang daripada akaun bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Jumlah permohonan lucut harta bernilai RM270 juta itu adalah jumlah terbesar sekaligus menjadi sejarah bagi kes AMLA di negara ini sehingga kini.

“Semua responden yang disaman ini telah didapati melanggar undang-undang kerana menerima wang daripada akaun Najib,” katanya.

Pada masa sama, Latheefa menjelaskan bahawa, Najib dan ahli perniagaan kontroversi, Jho Low tidak disenaraikan dalam permohonan lucut hak itu.

“Bagi kes saman ini, semua responden tidak melibatkan warga asing dan hanya individu tempatan.

“Tapi kami percaya selepas fail saman ini lebih banyak lagi responden akan dikesan dalam jejak wang ini. Semua wang responden yang berjaya diperolehi kelak akan diserahkan semula kepada kerajaan,” katanya.

Berikut merupakan senarai 41 penama yang didedahkan SPRM:
  1. Ibrahim Awang Ismail
  2. Kasitah Gaddam
  3. Ismail Abd Muttalib
  4. Hasan Malek
  5. Sim Sai Hoon
  6. Abdul Manan Ismail
  7. Pertubuhan Kebajikan Dakwah Islamiah Malaysia (PEKIDA)
  8. Akademi Pemuda
  9. Parti Bersatu Rakyat Sabah
  10. Yayasan Permata Malaysia
  11. Yayasan Tun Hussein Onn
  12. UMNO Kelantan
  13. UMNO Bahagian Pekan
  14. Gerakan Belia Gagasan 1Malaysia
  15. MCA Pahang
  16. Sarawak United People’s Party
  17. Wanita MCA
  18. Liberal Democratic Party (LDP) Sabah
  19. Yayasan PBAKM
  20. Binsabi Sdn Bhd
  21. Rayhar Travels Sdn Bhd
  22. K&Z Enterprise Sdn Bhd
  23. IPG Mediabrands Sdn Bhd
  24. Media Edge CIA (M) Sdn Bhd
  25. Hattatex Trading
  26. Jakel Trading
  27. Jakel Trading Sdn Bhd
  28. Perano Sdn Bhd
  29. AGA Touch (M) Sdn Bhd
  30. Habib Jewels Sdn Bhd
  31. Naza Quest Auto Snd Bhd
  32. UMNO Selangor
  33. UMNO Pahang
  34. UMNO Kedah
  35. UMNO Johor
  36. Barisan Nasional Bahagian Johor Bahru
  37. UMNO Sabah
  38. Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu
  39. Bustari Yusuf
  40. Yayasan Penyelidikan Transformasi
  41. Yayasan Rahah

Pasukan Khas Dapatkan Wang 1MDB

Sebuah pasukan petugas khas baharu akan ditubuhkan di bawah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah (GIACC) bertujuan mendapatkan semula aset-aset berkaitan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di luar negara bernilai hampir AS$5 bilion (RM20.74 bilion).

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki berkata, pasukan khas itu juga akan mendapat kerjasama Pusat Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pejabat Peguam Negara memandangkan proses mendapatkan aset itu di luar negara lebih rumit.

"SPRM dapat kenal pasti aset-aset yang perlu kita dapatkan semula daripada luar negara sahaja dan pasukan tugasan khas ini perlu kerana ini merupakan satu tugas yang agak rumit.

"Jadi, kita dalam perbincangan dengan pihak-pihak berkenaan dan kita sedang berusaha mengesan pergerakan aliran wang selain berbincang mengenai hal perundangan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sidang akhbar berhubung tindakan undang-undang terkini 1MDB di ibu pejabat SPRM.

Mengulas lanjut, Azam berkata, aset-aset itu dikenal pasti bukan sahaja di Amerika Syarikat malah di beberapa buah negara luar lain, namun beliau tidak menamakan negara tersebut.

"Negara luar lain ada proses perundangan tertentu yang perlu dipatuhi dan ini yang perlu kita bincang dengan mereka.

"Kita tidak boleh menggunakan undang-undang di negara ini dalam mendapatkan semula aset-aset itu," katanya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Sunday, April 21, 2019

Berlian Merah Jambu, Siapa Cakap Bohong?

Berlian Merah Jambu, Siapa Cakap Bohong?

Pada 10 April 2019 lalu, Rosmah Mansor memberitahu media bahawa ada orang (atau sejumlah orang) datang menemuinya untuk memohon maaf kepadanya dan dia memaafkan mereka tetapi, kata Rosmah, apa yang lebih penting ialah orang itu mesti memohon maaf kepada rakyat kerana membuat mereka percaya kepada 'fitnah' yang dilemparkan terhadapnya.

Berlian Merah Jambu
Gambar hiasan.

Katanya lagi, dia ingatkan rakyat bijak untuk "mempercayai kebenaran, tetapi "mereka terpedaya dengan pembohongan" terhadapnya.

Apa yang mendorong isteri bekas perdana menteri Najib Razak itu tampil berkata demikian ialah kenyataan Timbalan Menteri Kewangan Amiruddin Hamzah mengenai berlian 22 karat berwarna merah jambu yang kerap dikaitkan dengannya.

Dua hari sebelumnya, Amiruddin memberitahu Dewan Rakyat bahawa ejen jualan yang membawa berlian bernilai jutaan ringgit itu telah dibawa keluar dari negara.

"Ya, ejen dah ikrar bawa (berlian) masuk, kemudian ada pengikraran benda yang sama bawa keluar. Jadi tidak berlaku pembelian (oleh isteri VVIP itu), sudah dibawa balik oleh ejen ini,” katanya.

Bagi Rosmah, kenyataan itu jelas membersihkan namanya daripada apa yang disifatkannya sebagai tohmahan dan fitnah berkaitan berlian merah jambu itu.

Namun, jika diteliti kenyataan timbalan menteri kewangan, kata kuncinya ialah, tiada pembelian di Malaysia! Ia sama sekali tidak bermakna berlian itu tidak dijual atau tidak dibeli sama sekali.

Adakah Najib Berbohong?

Suami Rosmah, Najib Razak ketika ditemuramah rangkaian berita antarabangsa Al Jazeera Oktober 2018 lalu turut ditanya mengenai berlian merah jambu itu.

Jawapan diberikan adalah sangat mengejutkan jika dikaitkan semula dengan dakwaan berlaku fitnah terhadap Rosmah ketika ini kerana mengingati semula pengakuan Najib, ia merupakan hadiah pemberian putera Emiriah Arab Bersatu (UAE) Sheikh Mansour Zayed dan dia tidak tahu siapa yang membayar untuk Berlian Merah tersebut.

Mengapa pula putera raja itu mahu memberi hadiah, apatah lagi berlian yang cukup mahal harganya?

Kata Najib, pemberian hadiah mahal memang budaya Timur Tengah.

Kesimpulannya, berlian merah jambu tidak dibeli di Malaysia, tetapi mungkinkah transaksi dibuat di luar negara?

Adakah ia dibeli dengan wang 1MDB? Siapa yang membeli dan menerimanya? Berlian itu milik siapa sekarang? Adakah seperti wang 2.6 bilion, berlian merah jambu telah dikembalikan?

Nampaknya kena tunggu kes 1MDB dibicarakan di mahkamah. Rasanya semua akan terhurai di sana.

Sementara itu, ingin ditegaskan bahawa untuk mengatakan rakyat tidak bijak kerana terpedaya dengan pembohongan mengenai berlian merah jambu itu adalah satu kenyataan yang tidak adil.

Tidak adil untuk rakyat biasa.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini

Tuesday, November 27, 2018

Wayang Kulit Najib Disebalik Pindaan Audit 1MDB

Wayang Kulit Najib Disebalik Pindaan Audit 1MDB

Walaupun tidak disebut dalam bentuk pengakuan yang jelas, tetapi nyata boleh difahami oleh sesiapa saja bahawa Najib Razak secara tidak langsung mengakui beliau telah mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan audit 1MDB.

NAJIB 1MDB

Berhubung pendedahan Ketua Audit Negara, Dr. Madinah Mohamad bahawa Najib melalui Ketua Setiausaha Sulitnya ketika itu, Shukry Salleh yang mengarahkan pindaan itu, peguam Shafee Abdullah berkata, maklumat yang dikeluarkan daripada laporan audit itu bukanlah perkara yang baru.

Maklumat yang dikeluarkan itu, salah satunya ialah mengenai kehadiran Jho Low dalam mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB.

Najib dalam kenyataannya kemudian juga menegaskan, maklumat berkaitan kehadiran Jho Low dalam mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB yang dikeluarkan daripada laporan audit itu sama sekali bukan perkara baru. Kata beliau, maklumat tersebut sudah pun disebut dan dilaporkan sejak tahun 2015 lagi.

Sehubungan itu, beliau menafikan tindakan mengeluarkan maklumat itu sebagai percubaan untuk menutup sesuatu berkaitan skandal 1MDB.

Tetapi, jika ia bukan maklumat baru dan tidak pula sebagai percubaan menutup skandal 1MDB, mengapa ia diarah dipadamkan daripada laporan audit itu?

Bukankah maklumat itu sepatutnya dibiarkan saja ada dalam laporan audit?

Sudahlah begitu, selepas maklumat tersebut dikeluarkan, laporan audit itu kemudiannya diletakkan pula di bawah Akta Rahsia Rasmi atau OSA.

Makna kata, setelah pindaan dibuat dengan membuang maklumat mengenai kehadiran Jho Low dalam mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB, laporan audit itu akhirnya tidak boleh dibaca oleh sesiapa akhirnya kerana telah diletakkan di bawah OSA.

Jadi, untuk apa diarahkan pindaan jika akhirnya ia diletakkan di bawah OSA?

Kebiasaannya, oleh kerana tidak ada pindaanlah maka barulah logik laporan audit itu diletakkan di bawah OSA.

Ehh. Apa Najib buat ni sebenarnya?

KERAJAAN MALAYSIA

Disinilah terletaknya wayang kulit yang cuba Najib pentaskan untuk menyelamatkan dirinya dan melindungi Jho Low dalam skandal 1MDB.

Najib memang mahu pada akhirnya laporan audit itu didedahkan kepada umum untuk membuktikan beliau bersih dan tidak melindungi apa-apa atau sesiapa dalam skandal 1MDB yang menjadi perbualan di seluruh dunia.

Tetapi, sementara beliau mengarahkan Kementerian Kewangan membayar hutang-hutang 1MDB dan menyelesaikan beberapa perkara lainnya, laporan audit itu perlu diOSAkan terlebih dahulu.

Ia bagi memberi ruang agar beban hutang 1MDB dapat dikurangkan secara perlahan-lahan, sambil dalam waktu yang sama beliau berusaha memenangi PRU14 yang lalu.

Perkara pokok yang penting bagi Najib untuk menutup "kurap dan pekung" 1MDB ialah BN menang PRU14.

Apabila dalam tempoh beberapa tahun selepas PRU14 dan dalam keadaan BN kekal berkuasa serta beban hutang 1MDB juga berjaya dikurangkan, maka pada ketika itulah Najib akan tampil menunjukkan keikhlasannya dengan melepaskan laporan audit yang diOSAkannya itu untuk bebas dibaca oleh rakyat seluruhnya.

Sudah tentu laporan audit yang sudah dilepaskan daripada OSA dan boleh dibaca oleh rakyat itu tidak ada langsung menampakkan apa-apa yang sumbing atau sumbang sama ada berkaitan Najib sendiri atau campurtangan Jho Low dalam urusniaga 1MDB kerana segala-galanya telah pun dipadamkan.

Tambahan lagi ketika itu BN telah pun diberi mandat untuk berkuasa dan Najib masih lagi merupakan Perdana Menteri.

Najib akhirnya dapat membuktikan tiada apa-apa skandal dalam 1MDB, malah dengan sikap telus yang ditunjukkannya, dirinya juga akan ternampak suci bersih bersamanya.

PM MALAYSIA

Malangnya, semua wayang kulit Najib itu tidak menjadi kenyataan sebagaimana cuba dirancang apabila BN kalah PRU14 dan beliau sendiri tersingkir sebagai Perdana Menteri.

Bahkan dengan perkara itu terdedah sekarang ini, Najib dan beberapa pegawai kerajaan lain yang tunduk kepada arahannya itu bukan saja akan disiasat satu persatu, malah tidak mustahil turut dihukum secara berjemaah atas perbuatan yang jelas suatu pengkhianatan kepada negara.

Najib muka tembok yang tiada kemaluan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1

Bagaimana Goldman Sachs Meratah 1MDB?

Bagaimana Goldman Sachs Meratah 1MDB?

Goldman Sachs, sebuah bank pelaburan terkemuka dunia kini berada di dalam situasi kritikal ekoran terpalit dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Bekas Ketua Goldman Sachs Asia Tenggara, Tim Leissner telah mengaku bersalah atas tuduhan melakukan pengubahan wang haram dan melanggar undang-undang antirasuah kerajaan asing dengan cara membayar rasuah mencecah jutaan ringgit kepada pegawai-pegawai di Malaysia dan di Abu Dhabi.

Goldman Sachs Cartel

Turut terlibat ialah bekas Pengarah Urusan Goldman Sachs, Roger Ng, 51, apabila Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) telah membuat tuduhan ke atas beliau.

Roger Ng dituduh mencuri, menipu, dan memindahkan wang haram, dalam usaha untuk mencuri wang 1MDB. Beliau telah ditahan oleh pihak berkuasa Malaysia. Kedua-dua Leissner dan Ng adalah pegawai tertinggi Goldman Sachs.

Menurut akhbar The Wall Street Journal (WSJ), Tim Leissner adalah rakan kongsi Goldman Sachs. Hanya 435 orang, atau satu peratus sahaja, dalam seluruh tenaga kerja bank itu, diberi penghormatan ini.

Menurut Tom Wright, wartawan WSJ dan juga penulis buku Billion Dollar Whale, agak mustahil pihak atasan Goldman Sachs tidak tahu tentang penipuan dan pencurian wang dari 1MDB.

Leissner pernah menjawat jawatan Ketua Goldman Sachs di Asia Tenggara. Segala tindak tanduk dan operasi beliau pastinya dikawal rapi oleh pihak atasan, sama seperti bank-bank lain atau syarikat lain di dunia.

Sekiranya Leissner melakukan aktiviti yang melanggar undang-undang, ataupun aktiviti yang mencurigakan, selaku Ketua Asia Tenggara, pihak atasan beliau di New York mahupun di pejabat Goldman Sachs serata dunia tidak boleh berkata 'mereka tidak tahu' kerana ini melanggar operasi perbankan yang normal.

Bon USD 6.5 billion

Peranan rasmi Goldman Sachs dengan syarikat 1MDB adalah melalui pengunderaitan bon (Underwriting Bond) sebanyak lebih kurang RM26 billion (USD 6.5 billion).

Goldman Sachs telah dibayar komisen sebanyak RM2.4 billion (USD 600 juta) atau 10 peratus dari jumlah bon yang diuruskan mereka.

Angka komisen ini sangat tidak munasabah dan di luar angka komisen biasa yang diterima oleh bank-bank pelaburan tempatan.

Bayangkan ini, anda membeli rumah sebanyak RM500,000 dan mengambil pinjaman bank untuk jumlah itu. Tetapi bank mengambil komisen sebanyak RM 50,000. Kamu hanya tinggal RM450,000 tunai untuk membayar penjual rumah itu. Bukankah ini komisen yang tidak munasabah tingginya?

Memalukan, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda pernah membidas tuduhan komisen tinggi ini, melalui satu wawancara ekslusif yang beliau berikan kepada stesyen bisnes radio Kuala Lumpur, BFM 89.9 pada tahun 2016.

Menurut Arul, pengunderaitan bon adalah satu tugas yang sulit. 1MDB, ketika mereka ingin mengeluarkan bon yang mencecah berbilion dolar Amerika, dalam jangka masa pendek, menghasilkan risiko yang tinggi.

Goldman Sachs pada ketika itu meletakkan angka RM2.4 billion komisen sebagai sebuah harga yang memadai untuk risiko yang bank itu ambil dalam menguruskan bon itu, katanya.

Malaysia kantung duit Goldman Sachs

Melalui pengunderaitan bon 1MDB, Malaysia telah menjadi pusat untung (profit centre) tertinggi untuk Goldman Sachs di dunia.

Malah, tiada satu negara, selain Malaysia, yang memberikan keuntungan setinggi itu, untuk Goldman Sachs, pada ketika itu.

Ada sebab mengapa Tim Leissner dijadikan rakan kongsi Goldman Sachs, dan menjadi anggota tertinggi bank itu. Ia adalah kerana beliau berjaya memberikan keuntungan berbilion ringgit kepada majikan beliau di Goldman Sachs.

Adakah munasabah pihak atasan beliau tidak bertanya bagaimana beliau mampu membuat perniagaan yang membawa pulangan setinggi itu?

Malaysia akan saman Goldman Sachs?

Goldman Sachs Meratah 1MDB
Tim Leissner (kanan).

Disebabkan Tim Leissner mengaku bersalah menipu dan mencuri wang 1MDB sewaktu beliau menjawat jawatan di Goldman Sachs, ini membuka ruang untuk kerajaan Malaysia membuat saman sivil terhadap bank pelaburan itu.

Sebagai mana kita tahu, banyak kes sivil kebiasaanya menyusuli kes jenayah. Ini kerana, fakta dan bukti yang dikemukakan dalam kes-kes jenayah, boleh dan biasa digunakan sebagai bukti dan fakta dalam kes-kes sivil.

Pemberi maklumat 1MDB, Xavier Andrè Justo pula mengatakan bahawa tindakan Leissner mengaku bersalah adalah satu tindakan yang bagus kerana ia menunjukkan bahawa Leissner mementingkan hak dan kepentingan awam.

Leissner mengaku bersalah adalah kerana beliau membuat rundingan senyap dengan pihak berkuasa AS dan tindakan beliau mengaku bersalah mungkin kerana beliau hanya mementingkan diri sendiri dengan tujuan untuk meringankan hukuman ke atas dirinya.

Tetapi, disebabkan beliau mengaku bersalah, ini memendekkan tempoh perbicaraan mahkamah dan sekali gus menyebabkan kesemua yang lain yang terlibat juga bersalah, kata Justo.

Goldman Sachs Semakin Parah!

Bank pelaburan yang terkait dengan skandal 1MDB kini dalam keadaan parah, kata akhbar kewangan Financial Times (FT).

Goldman Sachs Group Inc telah diarahkan oleh institusi pengawalan Amerika Syarikat (AS) untuk memperbaiki cara mereka mengendali pengurusan risiko (risk management) mereka.

Perkara ini terbangkit setelah Ketua Pegawai Eksekutif Goldman David Solomon mengakui bahawa beliau rasa sangat bersalah tentang penglibatan bank itu dalam skandal 1MDB.

Menurut dokumen yang telah dilihat oleh FT, Goldman juga diarahkan untuk memperkayakan laporan berkaitan dengan perbincangan dalaman antara pegawai dalaman berkenaan dan urusan perbankan mereka.

Ia susulan bank perbankan itu terkait dengan skandal 1MDB, melalui pengaturcaraan bon dan sukuk 1MDB yang meraih wang pelaburan sebanyak RM25 bilion (US$6.5 bil).

Goldman Sachs telah mendapat keuntungan sebanyak RM2.4 bilion (US$600 juta) dari tugasan itu, antara pendapatan tertinggi yang pernah diraih oleh mana-mana bank pelaburan di dunia yang pernah terhasil dari satu perbankan.

Goldman dilaporkan telah memperbaiki sistem dalaman mereka apabila menerima tekanan dari Bank Pusat New York.

Perubahan cara kerja dalaman mereka sebelum ini telah dipersetujui pada 2013, namun perkara ini tidak diketahui umum sehingga kini.

Bank Pusat New York telah memberitahu FT bahawa pihaknya tidak boleh memberikan perincian tentang cara pengawasan dalaman yang sedang dilaksanakan Goldman, tetapi FT mendakwa Goldman telah terus diberi tekanan untuk memperbaiki proses dalaman mereka.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: astroawani

Monday, November 05, 2018

UMNO Terus Pertahan Penyangak 1MDB!

UMNO Terus Pertahan Penyangak 1MDB!

Saya merujuk kepada kenyataan media Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan yang merayu supaya parti itu tidak dikaitkan dan dihukum oleh skandal 1MDB.

UMNO Penyangak 1MDB

Beliau juga mahu Umno dibenarkan terus berkhidmat kepada rakyat dan bangsa Melayu, serta berharap segala apa-apa yang mengaitkan 1MDB dengan Umno diputuskan.

Maaf Datuk Seri, Umno itulah yang merupakan perisai yang mempertahankan Datuk Seri Najib Razak sewaktu skandal 1MDB terbongkar.

Umno memperjuangkan nasib orang Melayu? Tidak boleh sebenarnya untuk kita mendakwa membela orang Melayu pada satu sisi tetapi di sisi lagi kita juga merembat, mengamalkan rasuah dan salah guna kuasa. Itu bukanlah perjuangan. Itu pengkhianatan.

Hari ini segala tindakan ke atas Najib dan Umno dibuat lunas undang-undang.

Selepas Najib dituduh di mahkamah pun, masih ramai pemimpin dan penyokong Umno datang memberi sokongan. Ia menunjukkan parti itu masih berdiri teguh di belakang figura yang terpalit dalam skandal 1MDB.

Di mana Datuk Seri?

Jadi di mana rasionalnya permintaan Datuk Seri yang mahu sebarang pautan 1MDB terhadap Umno diputuskan?

Pemimpin dan penyokong Umno masih mendukung kepalsuan 1MDB sehingga hari ini! Wang yang diterima adalah derma? Ini satu sindrom penafian yang sangat teruk.

Pemimpin dan penyokong Umno masih mendakwa 1MDB merupakan satu konspirasi politik yang digunakan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad ke atas musuh politiknya, seperti yang dilakukan beliau 20 tahun lalu terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Datuk Seri, terbukti bahawa saranan Datuk Seri untuk Umno menjauhi 1MDB tidak disambut baik oleh ahli Umno dan pemimpinnya.

Justeru sewajarnya parti Datuk Seri dihukum jika didapati terlibat dengan skandal 1MDB ini.

Di mana Datuk Seri semasa skandal 1MDB ini mula terbongkar? Di mana anggota parlimen (MP) Rembau?

Akhirnya MP Rembau pun menyesal kerana mempertahankan bekas Najib. Itu kekesalan yang terlewat.

Peguam Negara dipecat, pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ditukar, laporan audit dirahsiakan, Akta Antiberita Tidak Benar diwujud untuk menutup hak kebebasan bersuara, rakyat ditakut-takutkan, siasatan 1MDB ditutup, sedangkan satu dunia menjalankan siasatan dan pendakwaan terhadap skandal berkenaan.

Sebagai pemimpin di peringkat tertinggi Umno pada masa itu, mengapa Datuk Seri tidak berbuat sesuatu?

Datuk Seri, tubuh dihukum kerana nafsunya; jasad ditanam kerana rohnya tiada, begitulah parti dihukum kerana pemimpinnya.

Parti tidak bertangan dan berkaki, tidak bergerak dan tidak bertutur. Lidah parti ialah lidah pemimpinnya, tubuh parti diserap roh pemimpinnya, tangan parti adalah tangan pemimpinnya.

Harga dibayar Umno

Jika kotor tangan pemimpin, kotorlah parti itu. Jika celupar lidah pemimpin, celuparlah parti itu. Jika jahat roh pemimpin, jahatlah jasad parti itu.

Maka Datuk Seri janganlah cuba untuk memisahkan parti dengan pemimpin seolah-olah parti tidak berdosa akibat kerakusan pemimpin.

Jika Datuk Seri mendakwa parti tidak seharusnya dilibatkan, sudah tentulah sebelum PRU14 lagi Umno sudah menyingkirkan Najib. Tetapi Umno terus mempertahankannya.

Maka jika parti terlibat, ia haruslah berdepan dengan sebarang tindakan undang-undang. Tidak ada sesiapa pun akan terkecuali, Datuk Seri.

Percayalah, tindakan yang diambil pada hari ini bukan bermotifkan politik, tetapi inilah yang sewajarnya dilakukan kerajaan Umno dan BN dulu, namun keengganan Umno mengambil tindakan membuatkan rakyat terpaksa bertindak pada 9 Mei.

Datu Seri, rakyat bukan undi Pakatan Harapan (HARAPAN) kerana manifestonya. Mereka mengundi HARAPAN kerana mahu siasatan telus dijalankan ke atas 1MDB.

Ramai ahli Umno tidak berpuas hati kerana parti Datuk Seri melindungi 1MDB dan kesilapan terbesar Umno ialah memecat Tan Sri Muhyiddin Yasin dan Datuk Seri Shafie Apdal ekoran kelantangan mereka bersuara dalam isu 1MDB.

Datuk Seri perlu menerima hakikat bahawa orang Melayu marah dan menghukum Umno kerana isu 1MDB.

Kerana, 1MDB dan Umno memang tidak dapat dipisahkan, inilah harga yang terpaksa dibayar pada hari ini.

***

Mohamad Siddiq Azani ialah seorang peguam dan anggota ARMADA Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini

Monday, October 01, 2018

Rumusan Buku 'Billion Dollar Whale' Berkisar Skandal 1MDB

Rumusan Buku 'Billion Dollar Whale' Berkisar Skandal 1MDB

Buku 'Billion Dollar Whale' yang berkisar tentang skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terjual laris bak pisang goreng panas pada hari pelancarannya iaitu pada 18 September 2018 yang lalu.

Tom Wright dan Bradley Hope
Penulis buku Billion Dollar Whale, Tom Wright (kiri) dan Bradley Hope.

Buku Billion Dollar Whale adalah hasil penulisan dua orang wartawan The Wall Street Journal (WSJ) iaitu Tom Wright dan Bradley Hope.

Mereka berdua juga merupakan finalis bagi Pulitzer Prize, anugerah kewartawanan tertinggi di negara Amerika Syarikat kerana laporan tentang 1MDB.

Jika sebelum ini, orang ramai yang mengikuti kronologi pendedahan skandal 1MDB adalah melalui portal berita tempatan serta melanggan akhbar The Wall Street Journal dan The New York Times , kini semua boleh membacanya dalam buku Billion Dollar Whale yang mana buku ini mendedahkan lebih daripada yang didedahkan oleh akhbar.

Kesemua watak penting di sebalik skandal ini dipaparkan dengan menarik dan terperinci, maka tidak hairanlah penulis dan penerbit buku ini memerlukan khidmat lima orang peguam untuk meneliti manuskrip sebelum diterbitkan.

Bagi mereka yang tidak berkesempatan untuk membaca buku ini lagi, usah khuatir kerana @kapital_my telah berkongsikan rumusan buku terbabit dalam bentuk Twitter thread.

Baca rumusan penuh di bawah:

Info paling penting untuk diketahui daripada buku ini adalah 'Conspirator' utama dalam isu 1MDB ini iaitu Low Taek Jho, yang kerap kali dipanggil sebagai Jho Low, bukan DS Najib.

Sebagai permulaan, kes penipuan besar Jho Low yang pertama bukan ke atas 1MDB. Tetapi ke atas Taib Mahmud, di mana dia jual syarikat 'construction' sampah yang dibelinya kepada syarikat Taib Mahmud dengan harga mahal, memberikan dia keuntungan besar pertama bernilai USD110 juta.

Ramai tahu 1MDB asalnya adalah Terengganu Investment Authority (TIA), cuma yang aku tak tau rupanya kewujudan TIA pun pada asalnya adalah idea Jho Low (mengikut buku ini).

Jho Low sangat berminat dengan 'sovereign wealth fund' seperti al-mubadala (UAE), dan Jho Low pernah cuba untuk ambil kesempatan ke atas Khazanah Nasional dengan menjadi 'dealmaker' untuk pelaburan dari UAE, tapi tak berjaya.

Jadi sebab tu dia cadangkan kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, yang juga merupakan Yang Dipertuan Agong pada masa itu, untuk tubuhkan 'state wealth fund' bagi Terengganu. Dia kemudian cadangkan untuk TIA mengeluarkan bon bernilai RM5 bilion, dengan menggunakan hasil minyak Terengganu sebagai cagaran.

Tetapi, Sultan kemudian perasan ada benda tak kena. Baginda merancang untuk menutup TIA.

Dari situlah Jho Low mula mempergunakan DS Najib melalui Riza Aziz, sehingga Najib bersetuju untuk mengambil alih TIA bawah kerajaan persekutuan dan tukar namanya kepada 1MDB. Inilah permulaan Jho Low menuju ke arah 'billionaire'.

Mengikut buku ni, yang mengawal 1MDB sebenar-benarnya adalah Jho Low, walaupun dia tidak ada sebarang jawatan rasmi dalam 1MDB. In fact dalam semua aktiviti dia mencuri duit 1MDB, dia sangat berhati-hati daripada menjadikan namanya mempunyai kaitan secara rasmi.

Jadi, akhirnya berapa banyak wang yang Jho Low dikatakan curi daripada 1MDB?
  • USD700 juta daripada USD1 billion JV antara PetroSaudi dan 1MDB, dimasukkan ke dalam akaun Good Star Ltd.
  • USD800 juta yang sepatutnya turut dilaburkan atas nama pelaburan JV dengan PetroSaudi. Tak jumpa duit ini masuk ke akaun mana.
  • USD576 juta daripada terbitan bon USD1.75 bilion pertama yang dijamin IPIC masuk ke akaun Aabar Investments Ltd.
  • USD790.3 juta daripada terbitan bon USD1.75 bilion kedua yang dijamin IPIC juga masuk ke akaun Aabar Investments Ltd.
  • USD1.2 billion daripada terbitan bon sebanyak USD3 bilion yang dibuat untuk PRU13 (mengikut buku ni) dan dijamin oleh kerajaan Malaysia. Secara rasminya, duit ini kononnya untuk pelaburan dalam Tun Razak Exchange. Duit ni masuk ke akaun Tanore.
  • USD1 bilion melalui SRC International yang kurang perincian dalam buku ini.

Jadi overall ianya berjumlah paling kurang USD5 bilion.

Yang mana daripada semua itu, sebanyak USD681 juta masuk ke akaun peribadi DS Najib, yang kemudian sebanyak USD620 juta dipulangkan semula kepada Tanore. Duit ini dikatakan digunakan untuk kempen PRU13.

Tidak ada dalam buku ini tertulis berkaitan USD375 juta yang ditunjuk oleh DS Najib berkaitan derma oleh Putera Saud Abdulaziz.

Tapi yang menarik dalam surat tu tertulis duit itu boleh datang daripada syarikat milik putera tersebut bernama Blackstone Asia Real Estate Partners Ltd.

Kalau mengikut buku ni, Blackstone Asia Real Estate Partners ni bukanlah milik keluarga Saudi, tetapi adalah milik ‘Fat Eric’. Kawan Jho Low yang menjadi proksi utama untuk kebanyakan syarikat yang dikawal Jho Low.

Dan kenapa Putera Saudi nak mengaku offshore shell company milik Fat Eric (Eric Tan) sebagai syarikat miliknya?

Malahan baru-baru ini The Edge telah mengeluarkan laporan mengatakan tandatangan dalam dokumen DS Najib tersebut bukan tandatangan Putera Abdulaziz.

Jadi siapa watak penting dalam semua drama 1MDB yang memang berkomplot dengan Jho Low?

Orang bawahan Jho Low:
  • Fat Eric – proksi utama.
  • Jasmine Loo – legal counsel 1MDB.
  • Seet Li Lin – Jho Low’s financial detail.

Petro Saudi:
  • Tarek Obaid, CEO of PetroSaudi.
  • Patrick Mahony, CIO of PetroSaudi.
  • Ambassador Otaiba, UAE US Ambassador.

IPIC:
  • Khadem Al-Qubaisi, IPIC MD dan Aabar Chairman.
  • Mohamed Badawy Al-Husseiny, Aabar CEO.

Banker:
  • Timothy Leissner, Chairman Goldman Sachs for Southeast Asia(awalnya dia sekadar banker di Goldman).
  • Yeo Jiawei, BSI wealth management banker.
  • Yak Yew Chee, BSI chief relationship untuk 1MDB dan Jho Low.
  • Joanna Yu, AmBank banker handling secret DS Najib’s account.

Dan soalan yang ramai berminat, adakah DS Najib terlibat dalam mencuri duit 1MDB secara langsung?

Jawapannya tak jelas, sama ada DS Najib dipergunakan atau memang dia terlibat secara langsung, ianya tak jelas, tapi ada beberapa benda yang jelas diceritakan dalam buku ini;
  • DS Najib yang memberi kuasa untuk Jho Low kawal 1MDB dari belakang.
  • DS Najib dan keluarganya memang ada banyak terima ‘hadiah’ daripada Jho Low, termasuklah rumah-rumah di London untuk Riza Aziz dan batu berlian permata untuk Rosmah, termasuk berlian pink berharga USD27.3 juta, antara yang termahal di dunia.
  • DS Najib memang ada minta duit dari Jho Low untuk kempen politik, tak kiralah semasa pilihanraya Sarawak 2011 atau PRU 2013.
  • Najib memang ada cuba melindungi Jho Low.

Akhir sekali, senarai individu/entiti yang cukup bijak untuk tak ditipu dan mengelak daripada dipergunakan oleh Jho Low / 1MDB:
  • Khazanah Nasional.
  • Sultan Mizan Zainal Abidin.
  • Mohammed Bakke Salleh, chairman BOD 1MDB pertama.
  • Jordan Belfort, sebab dia pun scammer.
  • David Ryan, Presiden Goldman Sachs Asia.
  • Lazard, US Investment Bank.

Sekian rumusan ringkas kami. Macam mana? Rasa marah, sedih atau geram?

'Billion Dollar Whale' Dakwa Jho Low Lebih Suka Disanjung, Bukan Seks

Walaupun gemar dikelilingi wanita cantik dan terkenal, namun keghairahan Jho Low ialah dia suka disanjung kerana "kuasanya dan prestijnya" melebihi keghairannya terhadap seks, dakwa buku yang baru dilancarkan mengenai jutawan buruan itu.

Billion Dollar Whale: The Man Who Fooled Wall Street, Hollywood, and the World, menggariskan butiran perbelanjaan besar Low dan berpesta mewah sebelum dia diburu berkaitan dengan dakwaan menyeleweng berbilion dana 1MDB.

Buku 400 muka surat itu, yang dikarang oleh wartawan The Wall Street Journal Tom Wright dan Bradley Hope, mendakwa Jho Low berbelanja jutaan dolar mengadakan parti dan minuman keras, selalunya dengn kehadirian selebriti seperti Paris Hilton.

Dan Jho Low pernah membeli Cristal champagne, bernilai €2 juta dalam perang bidaan di kelab eksklusif di Saint-Tropez di Riviera Perancis.

Malah ia memperincikan kewangan Low yang dikehendaki di beberapa negara termasuk di Malaysia kerana dakwaan pengubahan wang haram, membelanjakan hampir AS$1 juta dalam satu 'date' dengan bintang pop Taiwan, Elva Hsiao pada tahun 2010.

Ketika 'date' di sebuah hotel mewah di Dubai, Atlantis, The Palm, pengarang mendakwa Low mengadakan parti peribadi di tepi pantai dan kemudian menghadiahkannya rantai leher Chopard dan loket bertatah permata, yang dikatakan dibawa oleh lelaki bertuxedo yang diperacut dari sebuah helekopter.

Hsiao dikatakan menitiskana air mata terharu dengan sambutan yang dilaporkan menelan belanja lebih AS$1 juta dan itu hanya satu 'date', bukan pun tawaran perkahwinan.

Semua ini berlaku, dakwa penulis itu, ketika Jho Low mempunyai hubungan dengan Jesselynn Chuan Teik Yin dari Pulau Pinang, yang kemudian dikahwininya.

Jho Low selalu terbangkannya (Chuan) ke Amerika Syarikat. Dia akan diasingkan di sebuah hotel atau pangsapuri, dengan ditemani wanita kenalan Low seperti Catherine Tan dan Jasmine Loo, seorang peguam 1MDB.

Walaupun Jho Low melayannya secara hormat di khalayak ramai, dia juga ada tabiat menghadiahkan kereta mewah dan barang kemas kepada wanita lain dan membayar model di suite hotel, kelab, dan di atas kapal layar, demikian menurut buku itu lagi.

Penulis juga mendakwa bahawa pada Februari 2017, apabila menjadi bahan banyak siasatan, Jho Low melindungi Chuan dan anak lelaki mereka, di atas kapal layar mewah Equanimity serta di pangsapuri dan hotel di Thailand dan China bagi mengelak kemungkinan ditangkap.

Ia menyatakan, "Takut ditangkap jika dia pergi ke mana-mana negara Barat, dia tinggal di bot dan di pangsapuri di St. Regis Bangkok dan Pacific Place di Hong Kong."

Thailand yang dikuasai oleh junta tentera, merupakan tempat yang selamat untuk Jho Low, manakala China melihatnya sebagai aset strategik.

Jho Low yang sentiasa menafikan semua tuduhan terhadapnya, dilaporkan cuba menghalang pengedaran Billion Dollar Whale dengan menghantar surat yang mengancam kepada kedai buku di seluruh dunia.

Semasa pelancaran buku di New York, penulis Wright dan Hope mengucapkan bahawa mereka harus "berterima kasih" kepada Jho Low kerana usahanya itu telah memberi publisiti kepada buku tersebut.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: says | malaysiakini