Monday, January 15, 2018

Manfaat Dan Mudarat Daun Ketum


Pokok ketum (Malaysia) ataupun Kratom (Thailand) merupakan pokok berdaun hijau yang sangat mudah tumbuh di dalam iklim tropika. Nama saintifik untuk ketum adalah Mitragyna speciose, salah satu ahli di dalam keluarga tumbuhan yang dikenali sebagai Rubiaceae di mana pokok kopi dan gardenia adalah juga di dalam keluarga yang sama.

Manfaat Dan Mudarat Daun Ketum

Pokok ketum pertama kali dikenal pasti pada tahun 1839 oleh pakar botani Belanda, Pieter Korthalsdan dan penulisan tentang tumbuhan ini telah disiarkan semenjak tahun 1897.

Pokok ketum selalunya boleh tumbuh sehingga ketinggian 12-30 kaki, malah ada yang boleh mencapai ketinggian sehingga 60 kaki.

Batang pokok ketum boleh membesar sehingga 15 kaki dan daunnya boleh membesar sehingga 7 inci panjang dan 4 inci lebar.

Daun ketum digunakan untuk banyak tujuan termasuk untuk tujuan pengubatan dan terdapat lebih 40 jenis compound ataupun bahan kimia yang terdapat di dalam daun ketum termasuk alkaloid seperti mitragynine, mitraphylline, 7-hydroxymitragynine dan mitragynine pseudoindoxyl. Lain-lain bahan kimia aktif adalah raubasine, yohimbe, rhynchophylline dan sebagainya.

Alkaloid adalah sekumpulan bahan kimia yang mempunyai atom nitrogen dan terdapat banyak jenis alkaloid yang mempunyai pelbagai fungsi termasuk untuk tujuan perubatan, menghilangkan sakit, merawat batuk, membunuh kuman, demam, antimalaria, penyakit arythmia, cirit-birit dan tidak kurang juga yang mempunyai kesan psikotropik.

Psikotropik bermaksud bahan kimia yang boleh merubah fungsi otak dan menyebabkan perubahan kepada persepsi, mood dan juga kesedaran seseorang.

Sebab itu ianya seringkali digunakan untuk tujuan menghilangkan stress dan untuk tujuan berkhayal. Pendek kata di dalam daun ketum ini terdapat banyak bahan kimia yang boleh memberi kesan yang pelbagai daripada kesan fizikal hinggalah kesan psikologi termasuk ketagihan dan kebergantungan (dependency).

Salah satu compound penting dalam daun ketum yang dikategorikan sebagai alkaloid adalah mitragynine.

Ia adalah salah satu bahan alkaloid yang paling banyak terdapat di dalam daun ketum. Dipercayai bahan inilah yang menjadi sebab ramai penggemar ketum mengambil daun ketum.

Apa yang menarik adalah kepekatan mitragynine di dalam daun ketum bergantung kepada banyak faktor, salah satu faktor paling penting adalah tempat di mana pokok ketum ini membiak.

Pokok ketum yang tumbuh di negara-negara Asia Tenggara mempunyai kandungan mitragynine yang tinggi, manakala jika tumbuh di tempat lain dan di bawah rumah hijau, kepekatannya menjadi rendah.

Mitragynine ini dikatakan 13 kali lebih poten dari morfin. Ia bertindak ke atas reseptor mu dan delta-opioid, reseptor serotonin di otak serta reseptor noradrenergic di saraf tunjang.

Kajian analisis LC-ESI-MS menunjukkan bahawa peratusan kandungan mitragynine di dalam daun ketum adalah pada tahap 1-6%.

Di dalam dos rendah, daun ketum boleh memberi kesan ransangan (stimulant) sehingga seseorang itu merasa bertenaga, lebih ceria dan mesra tetapi di dalam dos yang tinggi, ia boleh memberi kesan mengantuk dan kesan narkotik termasuk depresi sistem saraf pusat.

Dos rendah ketum adalah daun seberat 1-5 gram manakala dos tinggi pula adalah dari 5-15 gram.

Jika diambil pada dos melebihi 15 gram, seseorang akan mengalami kesan sedatif yang melampau (mengantuk dan lali), malah boleh menjadi stupor (hampir tidak sedar diri).

Terdapat juga laporan kejadian sawan selepas mengambil daun ketum melebihi 15 gram.

Sehelai daun ketum yang segar seberat 2 gram boleh mengandungi 79 mg (0.078 gram) mitragynine.

KEGUNAAN

Hampir kesemua manfaat yang dikaitkan dengan pengambilan daun ketum ini adalah berasaskan kepada dakwaan pengamalnya kerana daun ketum tidak digunakan oleh perubatan moden.

Malah, kesan farmakologi daun ketum ke atas tubuh badan manusia juga tidak dikaji dengan mendalam dan tidak ada maklumat terperinci mengenainya.

Secara tradisionalnya, daun ketum diambil dengan mengunyah daunnya di dalam bentuk mentah seperti yang diamalkan oleh penduduk selatan Thailand dan juga utara Malaysia.

Ada juga yang menjadikan ia seperti minuman teh, merebus serta diambil airnya dan menghisap asap daun ketum (merokok).

Jika diambil seperti minuman teh, jus limau dicampurkan supaya ia dapat mengekstrak bahan alkaloid, gula dan madu dicampurkan untuk menghilangkan rasa pahit.

Ia seringkali diambil oleh pekerja-pekerja untuk tujuan mengurangkan keletihan, meningkatkan mood serta mengurangkan kesakitan dan anti keradangan (inflammatory).

Lain-lain kegunaan adalah seperti dinyatakan di atas yang dikaitkan dengan kegunaan kompoun alkaloid.

Ada juga yang menggunakannya untuk tujuan mengurangkan ketagihan dan kebergantungan kepada dadah seperti opiod.

Kajian ke atas haiwan menunjukkan bahawa kesan menghentikan batuk oleh mitragynine ini hampir sama dengan kodein, manakala 7-hydroxymiragynine ini pula dikatakan mempunyai kesan mengurangkan sakit yang lebih poten dari morfin.

Pada asalnya pengambilan daun ketum dianggap sebagai budaya orang kampung dan diamalkan oleh semua golongan sehingga ianya dianggap bukan kesalahan dan baik untuk kesihatan.

Sehelai daun ketum yang segar seberat 2 gram boleh mengandungi 79mg (0.078 gram) mitragynine.

Di samping dalam bentuk daun mentah, produk daun ketum ada juga dihasilkan di dalam bentuk serbuk, kapsul, resin dan pes (paste).

Banyak produk daun ketum ini dapat dibeli dengan mudah dari internet, malahan ianya sangat mudah ditanam di sekitar rumah.

Di selatan Thailand, cocktail daun ketum ais yang dihasilkan di rumah pernah popular satu masa dahulu, ia dikenali sebagai “4X100”, dikatakan memberi kesan seakan-akan arak.

Cocktail ini terdiri dari daun ketum, minuman ringan yang mengandungi kafein (contoh: coca cola) dan ubat batuk yang dicampurkan dengan kiub ais, ubat penenang, ubat antidepresi ataupun ubat penahan sakit.

KESAN SAMPINGAN

Seperti yang dinyatakan tadi, daun ketum mengandungi banyak jenis bahan kimia ataupun phytochemicals (fitokimia) yang mempunyai nisbah berbeza sehingga sukar untuk dibuat kajian.

Secara umumnya, kesan pengambilan daun ketum ke atas manusia bergantung kepada berapa banyak ianya diambil ataupun “dose-dependent”.

Pada kadar dos yang rendah, ia boleh meransang seperti pengambilan kokain, manakala di dalam dos yang tinggi ia boleh memberi kesan mengantuk dan khayal seperti morfin.

Selepas mengambil beberapa gram daun ketum kering, kesan khayal dan keseronokan mula dialami dalam masa 10 minit dan kesannya boleh berakhir sehingga 1-1.5 jam.

Pengamal daun ketum mendakwa lebih bertenaga, lebih bersedia dan ada juga yang mengatakan nafsu seks meningkat.

Kajian ke atas sebilangan kecil manusia yang mengambil 50 mg mitragynine menunjukkan rangsangan otot, diikuti dengan pening, hilang keseimbangan badan dan mengeletar. Mekanisma aktiviti rangsangan ini masih tidak dapat diterangkan dengan jelas.

Daun ketum kering yang diambil sebanyak 10-25 gram pada peringkat awalnya boleh menyebabkan berpeluh, pening, loya dan perasaan tidak selesa.

Kemudian, kesan ini akan bertukar menjadi tenang, seronok dan seperti bermimpi yang boleh mengambil masa sehingga 6 jam.

Kesan-kesan ini disebabkan oleh dua jenis alkaloid yang disebutkan tadi iaitu mitragynine dan 7-hydroxymitragynine.

Pengambilan daun ketum secara tetap boleh menyebabkan ketagihan dan kebergantungan (dependence). Kesan withdrawal ke atas manusia adalah ringan dan seringkali akan hilang di dalam masa satu minggu.

Ketagihan, lemah badan, risau, gelisah, berhingus, lemah otot, loya, berpeluh, kejang otot, gangguan tidur dan halusinasi boleh berlaku.

Lain-lain kesan sampingan yang dikesan ke atas pengamal daun ketum yang kronik adalah hipotiroidism (kurang hormon tiroksin) dan kerosakan hati.

Terdapat kes kematian akibat pengambilan ketum dalam dos yang terlalu tinggi dan ujian post-mortem menunjukkan kandungan mitragynine di dalam darah sehingga 1.20 mg/l.

Jika daun ketum digabungkan dengan bahan-bahan lain seperti ubat-ubatan tertentu boleh menyebabkan kesan sampingan yang serius.

Kes kematian telah dilaporkan ke atas seorang penagih daun ketum yang mencampurkan pati daun ketum dengan ubat fentanyl, ubat batuk, kopi dan morfin (ianya dijual sebagai ubat herba).

Satu kajian "case series" kematian akibat pengambilan daun ketum telah dijalankan di Sweden yang melibatkan 9 kematian dalam satu tahun akibat mengambil daun ketum yang dicampurkan dengan ubat tramadol (ubat kategori opioid untuk melegakan kesakitan), campuran ini dikenali sebagai “Krypton”.

Untuk mendapat rasa bersemangat dan seronok atau khayal, 1 hingga 3 helai daun ketum segar dikunyah serentak. Selepas mengunyah dan menelan, pengamal akan meminum air suam ataupun kopi. Penagih daun ketum akan mengunyah 3 hingga 10 kali di dalam satu hari.

Kesan sosial pengambilan daun ketum adalah membimbangkan. Walaupun ketagihan daun ketum tidak seberat ketagihan dadah yang lebih kuat seperti heroin dan ganja, tetapi kesan sosialnya tidak boleh dipandang ringan kerana pengambilan daun ketum dianggap sudah menjadi budaya dalam kalangan masyarakat tertentu.

Ianya juga diamalkan oleh golongan-golongan agamawan yang akan menjadi tauladan kepada ahli-ahli masyarakat.

Dengan berumpankan kesan positif terhadap tenaga, boleh merawat kesakitan, cirit-birit dan lain-lain dakwaan yang mungkin sengaja ditokok tambah, individu yang mengambil daun ketum ini lama kelamaan akan mula mengalami ketagihan dan kebergantungan sama seperti ketagihan dadah berbahaya dan ubat batuk.

Daun ketum juga boleh menjadi alternatif (pilihan) lain kepada penagih morfin,heroin dan lain-lain yang kurang berkemampuan kerana harganya yang murah dan mudah diperolehi.

Dengan kelonggaran peraturan dan undang-undang berkaitan dengan penggambilan daun ketum, kita tidak boleh bayangkan apakah kesan jangka panjang terhadap masyarakat jika budaya ini dibiarkan berkembang.

Tidak hairan mengapa ia bakal memberi kesan sosial yang lebih serius dari penyalahgunaan dadah-dadah yang lain.

UNDANG-UNDANG PENGAMBILAN DAUN KETUM

Tidak ada alkaloid yang diambil dari tumbuhan termasuk mitragynine yang tersenarai di dalam mana-mana jadual ubat di dalam United Nations Drug Conventions.

Daun ketum, dan atau mitragynine dan atau 7-hydroxymitragynine adalah bahan terkawal di banyak negara Eropah seperti Denmark, Latvia, Lithuania, Poland, Romania dan Sweden.

Lain-lain negara yang mengawal penggunaan daun ketum di bawah undang-undang narkotik adalah Australia, Myanmar dan Thailand.

Di negara Thai, kerajaan Thailand telah meluluskan Kratom Act 2486 di mana ianya mengharamkan penanaman pokok ketum.

Di New Zealand, daun ketum dan mitragynine diletakkan di bawah Medicines Amendment Regulations.

Walau bagaimanapun di Amerika, daun ketum tidak dikawal tetapi dianggap sebagai “drug of concern”.

Pada bulan Jun 2015, FDA telah membuat pengumuman amaran pengimpotan produk daun ketum disebabkan oleh kebimbangan terhadap keselamatan penggunaan produk ini, FDA membuat kenyataan bahawa “Pengambilan daun ketum boleh menyebabkan beberapa kesan masalah kesihatan termasuk depresi sistem pernafasan, perasaan takut, agresif, agitasi, gangguan tidur, halusinasi, delusi, menggigil, hilang nafsu seks, sembelit, hiper pigmentasi kulit, loya, muntah dan gejala withdrawal yang berat“.

Disebabkan ketum tidak pernah diterima penggunaannya dari sudut undang-undang, ia tidak pernah mendapat pengiktirafan sebagai bahan pengubatan oleh perubatan moden.

Di Malaysia, daun ketum dan Mitragynine disenaraikan dalam jadual ketiga (Section 30) Psychotropic Substances Akta Racun 1952.

Sesiapa yang mengimport, mengekspot, mengilang, membekal, menjual dan memiliki ataupun menggunakan bahan psikotropik secara haram (tanpa dibenarkan mengikut undang-undang) adalah menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Sabit kesalahan boleh dihukum denda sehingga RM10,000 ataupun penjara 4 tahun atau kedua-duanya sekali.

Terdapat ura-ura untuk meminda akta ini kepada akta dadah berbahaya 1952 yang sabit kesalahan akan dipenjara seumur hidup dan sebatan 6 kali ataupun hukuman mati mandatori.

Sehingga rencana ini ditulis, daun ketum masih lagi di bawah Akta racun 1952.

KESIMPULAN

Daun ketum mengandungi lebih 40 jenis bahan kimia dan di antaranya terdapat beberapa jenis bahan yang dikategorikan sebagai alkaloid.

Bahan alkaloid yang paling utama adalah Mitragynine yang mempunyai ciri-ciri Psikotropik bermaksud bahan kimia yang boleh merubah fungsi otak dan menyebabkan perubahan kepada persepsi, mood dan juga kesedaran seseorang.

Disebabkan oleh terlalu banyak bahan kimia yang terdapat di dalam daun ketum, kesan pengambilan daun ketum dalam bentuk mentah samada basah ataupun kering boleh menyebabkan pelbagai kesan kepada fizikal dan juga mental seseorang.

Walaupun ianya mempunyai kesan-kesan pengubatan tetapi kesan sampingan yang dibawa olehnya tidak boleh dipandang ringan terutamanya yang berkaitan dengan kesan ke atas otak ataupun psikotropik sehingga pengamal mengalami masalah ketagihan, kesan withdrawal dan berpotensi mengancam nyawa jika daun ketum ini dicampurkan dengan bahan-bahan lain.

Daun ketum ini bolehlah diumpamakan sejenis daun yang di dalamnya mengandungi bahan-bahan kimia untuk merawat beberapa jenis penyakit tetapi juga ada racun tersembunyi yang boleh memudaratkan pengamalnya di dalam jangkamasa panjang.

Malahan, jika pengamalnya mengambil pada dos yang tinggi ataupun mencampurkannya dengan bahan-bahan kimia yang lain termasuk ubat-ubat dari kategori opioid, boleh menyebabkan kesan sampingan serius jangkamasa pendek termasuk kematian.

Jika ianya hendak digunakan untuk tujuan pengubatan, maka ahli sains perlu mengambil ataupun mengekstrak bahan-bahan ubatan tersebut satu persatu dan ditentukan dos serta kaedah pengambilan yang sesuai, sama seperti ubat-ubatan moden yang lain.

Kesimpulannya, pengambilan daun ketum tanpa kawalan boleh berpotensi menyebabkan bermacam masalah kesihatan fizikal, ketagihan dan masalah sosial dalam kalangan masyarakat.

Ketagihan daun ketum boleh menjadi tapak permulaan kepada ketagihan dadah-dadah lain yang lebih kuat dan memudaratkan.

Daun ketum jelas mengandungi bahan kimia yang memudaratkan jika dimakan secara mentah tanpa melalui proses pengubahsuaian.

Kita berharap ahli-ahli sains akan membuat kajian saintifik yang lebih mendalam ke atas potensi manfaat dan mudarat daun ketum di masa hadapan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Khasiat Daun Ketum Untuk Kesihatan

sumber: faktasains

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon