Tuesday, November 14, 2017

'Nama Saya Salji, Orang Panggil Snow'


"Mungkin sebab orang tua dulu minat tonton cerita Hindustan dan suka tengok babak (pelakon) main-main atas salji,” kata seorang pesara tentera dari Taman Barakah, dekat Tanah Merah, apabila ditanya tentang namanya.

'Nama Saya Salji, Orang Panggil Snow'

Salji Mat Nor, 57, berkata, itu hanya telahannya kerana tidak pernah terlintas di fikirannya untuk bertanyakan kepada kedua orang tuanya sebab dia diberikan nama tersebut.

Katanya, mungkin disebabkan nama itu tidak pernah memberi ‘masalah’ atau menyulitkan hidupnya, dia tidak terfikir untuk bertanyakan mengapa namanya diberi begitu.

“Masa di bangku sekolah pun biasa saja, tak ada rakan-rakan ejek nama saya.

"Cuma waktu itu, saya dikenali dengan nama panggilan ‘Snow’, sampailah sekarang, ada lagi panggil saya Pak Snow,” katanya.

Menurutnya, apabila menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 1981, dia dipanggil dengan nama sebenar walaupun ada dalam kalangan rakan dan pegawai batasannya pelik dengan nama tersebut.

“Masa dalam tentera pun, saya dipanggil dengan nama biasa (Salji)...tak ada gelaran apa-apa cuma ada yang pelik dengan nama ini termasuk orang atasan,” katanya.

Tambahnya, sebagai anggota tentera, dia memulakan latihan di 7 Skuadron Rejimen Askar Jurutera Diraja (7 Skn RAJD), Kluang sebelum berkhidmat di 6 Skn RAJD di Taiping selama 10 tahun.

“Saya kemudian digerakkan ke Kem Penrissen di Kuching pada 1990 sebelum balik ke Kem Desa Pahlawan, Kok Lanas pada 1998 dan bersara empat tahun kemudian dalam 7 Skn RAJD,” ujarnya.

Anak kepada pasangan Mi Kheltum Daud dan Mat Nor Che Bakar itu berkata, kenangan dipanggil snow kembali menggamit memori apabila dia aktif dalam kelab radio amatur selepas bersara.

“Sebagai pengendali yang ada lesen B Peperiksaan Radio Amatur (RAE), saya diberi callsign iaitu nine w two (9w2) sierra, November, omega atau SNO, sama sebutan dengan snow,” katanya.

'Nama Saya Salji, Orang Panggil Snow'

Salji memberitahu, dalam kalangan lima adik-beradiknya termasuk seorang yang sudah meninggal dunia, dia satu-satunya yang diberikan nama lain dari yang lain.

“Mohd Zaki, Zaitun, Zarina dan Saripah (arwah)...ini nama adik-beradik saya, semuanya nama biasa, tak ada yang pelik,” katanya.

Tegasnya, walaupun tidak mempunyai masalah dengan nama unik atau pelik, dia meletakkan nama yang mempunyai maksud yang indah kepada lima anaknya.

“Anak-anak saya letak nama Noorulhajar, Nur Natasya, Muhammad Syafiq, Muhammad Shazwin dan Muhammad Syariem Haiqaf.

“Mungkin ada yang perasan nama pengadil Fifa yang jadi pengadil kedua masa final Piala Presiden tahun ini antara Selangor dan Terengganu, Muhammad Syafiq Salji, itu anak saya,” jelasnya.

Salji kini berkhidmat sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) Taman Barakah dan juga Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) taman berkenaan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Nama Paling Unik Di Malaysia, Viva anak Proton Saga!

sumber: sinarharian

1 comment

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon