Saturday, September 02, 2017

'Suara Ghaib itu Terus Mengikut Nurul'

Senja itu, Nurul Hidayah melangkah keluar dari rumah keluarganya di Pekan Tapah Road, untuk pulang ke rumah sewanya yang terletak di Jalan Pahang, Pekan Tapah, Perak.

Hantu bilik
Gambar hiasan.

Dia kena cepat kerana hari itu dia akan memulakan tugas di syif malam setelah seminggu bercuti.

Setelah bersalaman dengan ibu bapanya, Nurul lantas mencapai beg pakaiannya lalu menghidupkan enjin kereta motosikal dan terus memecut laju.

Hampir sepuluh minit di jalan raya, persekitarannya sudah mula bertukar gelap.

Sesekali dia menoleh jam ditangan. Walaupun perjalanan menuju ke rumah sewanya tidak mengambil masa yang lama, dia kena cepat kerana perlu menghantar beg pakaian dan menukar uniform terlebih dahulu.

Sedang tekun menunggang, tiba-tiba dengan tidak semena-mena, Nurul berasa bulu romanya berdiri tegak. Badannya seram sejuk.

Tidak pernah pula perkara begini berlaku sebelumnya, walhal jalan yang dilaluinya bukanlah asing.

Boleh dikatakan hampir setiap minggu Nurul berulang-alik melalui jalan ini.

Ketika motosikalnya sampai di Pekan Baru Tapah, Nurul berasa tak sedap badan. Dia menekup tapak tangannya di leher. Terasa panas membahang.

Tiba-tiba dia berasa pening dan lemah disetiap sendi dan anggota badannya.

"Aduh, apa jadi kat aku ni? Kenapa pula tiba-tiba macam ni," bisik hati kecilnya.

Nurul sendiri tidak tahu apa yang berlaku pada dirinya. Dia cuba mendongak namun tidak mampu walau seinci.

Terasa seperti ada beban besar berada di tengkuknya ketika itu, lantas dia memicit serta mengurut-urut tengkuk, sambil menggagahkan diri untuk terus menunggang sehingga sampai ke rumah sewa.

Sampai saja di rumah, air matanya mengalir. Sakit yang ditanggung tidak mampu digambarkan lagi.

Nurul tidak mampu mendongak dan lehernya terasa kejang, kepalanya menjadi teleng.

Nurul pandang wajahnya di cermin. Tiba-tiba jantungnya seperti disentap keluar dari tubuh. Dia mengucap panjang sebelum menggosok matanya berulangkali.

Memang benar dan tidak salah lagi. Satu lembaga hitam bertubuh besar sedang duduk bertenggek sambil memaut tengkuknya. Nurul panik.

"Ya Allah! Makhluk apa pula ni?" katanya sambil menepis-nepis disekitar bahu dan tengkuk, namun Nurul tidak berasa apa-apa kecuali rasa sakit dan lenguh yang semakin bertambah.

Nurul kaget. Dia takut untuk memandang cermin untuk kali kedua. Dia telefon ayahnya dan menceritakan kejadian yang menimpanya.

Bergegas ahli keluarga datang ke rumah sewanya. Nurul dibawa ke hospital Tapah. Apa yang pelik, doktor beritahu Nurul sihat!

Salah seorang pakciknya lantas memanggil seorang ustaz datang ke hospital. Dia syak ada sesuatu yang tidak kena.

Ustaz yang datang melihat keadaan Nurul ketika itu menggeleng kepala. Dia memandang tepat ke arah Nurul sambil mulutnya kumat-kamit membaca ayat-ayat suci al-Qur'an, lantas ditiupnya ke arah ubun-ubun Nurul.

Tidak sampai beberapa saat, Nurul seperti orang dirasuk. Dia menggelupar seakan ayam yang baru lepas disembelih dan menjerit-jerit seperti orang histeria.

Suhu badannya kembali panas dan membahang. Seluruh anggota badannya menjadi kejang sambil mulutnya meracau-racau menyebut perkataan yang sukar difahami.

Puas ahli keluarganya cuba menenangkan. Beberapa kali Nurul diajar mengucap kalimah syahadah, namun dia langsung tidak memberikan sebarang respon. Hanya anak matanya terbeliak tepat memandang siling.

Sejujurnya, Nurul masih mampu mendengar setiap suara di sekelilingnya ketika itu, namun lidahnya terasa keras untuk menyebut kalimah Allah.

Dia sendiri dapat merasakan ada satu kuasa lain yang menumpang ditubuh badannya.

Setiap kali dia cuba melawan, dia merasakan kuasa itu akan melumpuhkan setiap anggota sendi tubuhnya.

***

Sudah seminggu Nurul terlantar, namun masih belum ada tanda-tanda penyakitnya akan beransur sembuh. Malah, semakin hari keadaannya semakin teruk.

Nurul sudah tidak mampu berdiri. Beban yang dirasakan ada dibahunya seakan tidak mampu lagi ditampung oleh kudratnya.

Setiap kali masuk waktu Maghrib, setiap kali itu jugalah badannya akan bertukar menjadi panas membahang.

Namun, bila dibawa ke hospital, mereka mengatakan Nurul sihat saja. Bertambah bingung keluarga Nurul dibuatnya.

Suatu hari, salah seorang ahli keluarga Nurul menjemput Ustaz Hassan untuk melihat sendiri keadaan tersebut.

Sebaik saja sampai di kediaman mereka, Ustaz Hassan percaya ada sesuatu yang tidak kena.

Sebaik saja dia melangkah masuk ke dalam rumah, Nurul terus bertukar menjadi seorang yang agresif. Matanya terbeliak tajam merenung Ustaz Hassan yang berdiri di hadapannya.

Beberapa orang ahli keluarga cuba menenangkan Nurul, namun apa yang terjadi adalah sebaliknya.

Nurul seolah-olah tidak mengenali mereka yang berada disekitarnya ketika itu. Telinganya seperti sudah disumbat dan matanya seakan dikaburkan.

Kedatangan Ustaz Hassan dirumahnya diibaratkan sebagai malapetaka yang cukup besar. Dia mesti mengusir Ustaz tersebut dari rumahnya walau dengan apa cara sekalipun.

"Pergi kauuu..jahanammm..pergiii.."

"Kau jangan ganggu akuuu..Aku benci dengan kauuu..."

Nurul menjerit dengan suara kasar dan garau sambil memaki hamun Ustaz Hassan yang bertentang mata dengannya ketika itu.

Ustaz Hassan sekadar mendiamkan diri. Mulutnya masih lagi terkumat-kamit membaca sesuatu.

Nurul yang selama ini terlantar tidak bermaya beroleh kekuatan secara tiba-tiba. Dia bangun sambil berdiri menghadap Ustaz Hassan.

Fizikalnya cukup menyeramkan. Rambut Nurul menggerbang sambil matanya terbeliak tepat memandang Ustaz Hassan.

"Kau mahu apa dari aku? Pergi kau dari sini. Aku beni tengok muka kau. Jangan ganggu akuuu...!" jerit Nurul sambil matanya memandang galak ke arah Ustaz Hassan.

Ustaz Hassan masih tenang. Lalu dia mengarahkan beberapa orang lelaki yang berada disitu membantunya memegang Nurul.

Tiba-tiba, berlaku sesuatu yang diluar jangkaan. Keempat-empat lelaki yang memegang Nurul terpelanting jatuh. Masing-masing terkejut.

Bagaimana Nurul mampu beroleh kekuatan seperti itu sedangkan tubuh Nurul bukanlah sebesar mana. Yang memegangnya pula semua bertubuh sasa.

Ustaz Hassan kembali meneruskan rawatannya. Dia menghampiri Nurul lantas memegang tengkuknya sambil membaca sesuatu sehingga gadis itu menggelupar kesakitan.

Nurul meronta cuba melepaskan diri namun dengan pengalaman Ustaz Hassan langsung tidak mengganggunya.

Perlahan-lahan Nurul menjadi lemah. Dia terjelepok ke lantai lalu pengsan. Ketika itulah beberapa ahli keluarganya melihat satu makhluk hitam setinggi pohon kelapa keluar dari tubuh Nurul menembusi bumbung rumah ketika itu.

"Insyaa-Allah, sekarang ni anak tuan dah sihat kembali. Nanti kalau dia dah sedar, basuh muka dia guna air ni ya," kata Ustaz Hassan sambil memberikan sebotol air pada ayah Nurul.

Beberapa orang ahli keluarga lantas bertanya pada Ustaz Hassan tentang apa yang terjadi pada Nurul, namun Ustaz Hassan sekadar tersenyum.

Sehingga pulang pun dia tetap mengunci mulut tanpa memberitahu hal yang sebenarnya.

Alhamdulillah, beberapa hari kemudian keadaan Nurul beransur pulih walaupun badannya sedikit lemah.

Selera makannya juga mula bertambah dan dia sudah mampu bersembang dan bergurau dengan ahli keluarganya.

Namun, ada satu perkara lain pula yang merisaukannya ketika ini. Sudah beberapa malam dia tak lena tidur kerana terdengar suara sedih merintih dan mendayu-dayu memanggil namanya.

Keadaannya lebih ketara apabila masuk waktu senja dan waktu tengah malam. Nurul cuba pekakkan telinga tapi suara ghaib itu seringkali mengganggunya.

Ada ketikanya apabila dia bangun ditengah malam untuk ke tandas, suara itu seolah-olah berbisik begitu dekat dengan telinganya.

Suara wanita, suara kanak-kanak merayu mendayu bersilih ganti memanggil namanya. Sebab itulah Nurul berasa cukup obia apabila datangnya waktu malam.

Walaupun suara itu sudah sebati menjadi halwa telinganya, adakala ia ukup menyeramkan sehingga dia sendiri tidak mampu melelapkan mata.

Sampai bila suara itu akan berhenti mengganggu, dia sendiri tiada jawapannya.

~tamat

nota editor: artikel ini dipetik dari majalah mastika februari 2017 dan disiarkan buat kali pertama di blog sentiasapanas.com

BACA INI JUGA: 10 Jenis Hantu Paling Menyeramkan Di Serata Dunia

-SENTIASAPANAS.COM

1 comments so far

Cerita seram..buat rasa risau juga hehehe ...

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon

Loading...