Thursday, August 24, 2017

Welson Sim, Raja Kolam Renang Malaysia Yang Bermula Dengan Penyakit Asma!

Loading...

Ketika ramai tertanya-tanya siapa yang mampu menggantikan jaguh-jaguh renang negara seperti Alex Lim Keng Liat, Anthony Ang, Elvin Chia dan Sia Wai Yen, tiba-tiba muncul sebutir permata kolam renang baharu, Welson Sim Wee Sheng.

Welson Sim

Malah, Welson menjanjikan sesuatu yang lebih membanggakan buat skuad negara apabila muncul sebagai atlet renang pertama negara yang meraih dua kelayakan secara merit menerusi acara 200 meter dan 400 meter gaya bebas lelaki untuk beraksi pada Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil, lalu.

Pencapaian berkenaan boleh disifatkan sebagai petanda cerah buat skuad renang negara setelah kali terakhir wakil negara layak beraksi di bawah kategori A menerusi Alex Lim dalam acara 100 meter kuak lentang pada temasya yang sama di Athens, Greece tahun 2004.

Sebagai rekod, atlet kelahiran Sarawak tersebut melakar sejarah baharu apabila mencatatkan masa 3 minit 53.97 saat bagi acara 400m gaya bebas pada Sukan SEA Singapura tahun 2015, sekaligus mengatasi catatan seorang lagi jaguh negara, Daniel Bego pada Sukan SEA 2009 di Laos dengan 3:53.99s.

Kemudian, Welson terus memperbaharui rekod kebangsaan dalam acara 200 meter gaya bebas sebanyak tiga kali dan catatan terbaik peribadinya, 1:48.11s dilakukan pada Kejohanan Renang Piala Dunia di Dubai tahun 2015 lalu.

Pencapaian Sukan Olimpik Brazil

Welson Sim mengakhiri cabaran di Sukan Olimpik Rio 2016 dengan mengatasi catatan peribadi terbaik dalam saringan acara 1,500 meter lelaki gaya bebas di Pusat Akuatik Olimpik.

Dia mencatat masa 15 minit 32.63 saat (s), sekaligus mengatasi catatan peribadi terbaiknya 15:32.67s yang dicipta ketika beraksi dalam jelajah Eropah di Barcelona, awal tahun 2016.

Welson menduduki tangga ke-39 daripada 45 perenang keseluruhan dalam acara itu.

Dalam acara 200 meter, dia berjaya menyamai rekod kebangsaan miliknya 1:47.67s, namun hanya mampu melakar kepantasan 3:51.57s dalam acara 400 meter.

Menjadi Perenang Untuk Merawat Penyakit Asma

Welson yang menyertai sukan renang kerana ingin mengatasi masalah asma sewaktu berusia 10 tahun, tidak menyangka bahawa keputusan pada ketika itu membolehkannya mewakili negara.

“Saya menghidap asma yang agak kronik ketika kecil dahulu sehingga kadang-kala saya perlu dimasukkan ke hospital.

“Kemudian, ibu saya dapat tahu bahawa renang boleh merawat asma, justeru dia buat keputusan menghantar saya ke kelas renang di Kuching.

“Sejak itu saya jatuh hati dengan sukan renang dan mula menyertai pertandingan bagi mewakili sekolah.

"Pada usia 15 tahun, saya diterima menyertai skuad negara. Saya gembira dapat mengatasi rekod yang dicatatkan Daniel Bego (pada kategori usia yang sama) ketika itu,” jelasnya.

Menjadikan pemegang 22 pingat emas Olimpik, Michael Phelps sebagai idola, Welson enggan terikat dengan pemikiran yang menganggap atlet renang dari Asia tidak boleh menjadi sebaik bintang renang Amerika Syarikat itu.

Menurutnya, terdapat beberapa atlet Asia yang telah menunjukkan potensi besar dengan memberikan daya saing kuat di pentas Olimpik seperti ‘budak marin’ Korea, Park Tae Hwan, Sun Yang dari China, malah Joseph Scooling berjaya menewaskan Michael Phelps dalam acara 100 meter gaya kupu-kupu dalam sukan Olimpik 2016.

“Secara realistiknya, memang agak sukar buat perenang terutama dari Asia untuk mengatasi perenang Eropah. Dari sudut fizikal juga sudah jelas bahawa mereka memiliki kelebihan.

“Bagaimanapun, saya yakin dengan teknik berbeza serta kerja keras, perenang Asia termasuklah Asia Tenggara mampu menyerlah pada temasya sukan terbesar dunia suatu hari nanti.

“Secara peribadi, saya menyasarkan untuk berada dalam ranking terbaik dunia sebelum saya bersara nanti. Saya tidak mahu meletakkan tempoh masa. Saya akan terus berenang sehingga saya rasa ‘puas’.

“Kejayaan melayakkan diri ke Sukan Olimpik buat kali pertama sudah cukup membanggakan saya. Buat masa ini, saya akan cuba buat yang terbaik selain menimba pengalaman bersaing dengan perenang hebat dunia.

“Mungkin saya akan lebih berani untuk letak sasaran sekiranya saya layak ke Olimpik dalam tempoh empat tahun akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, jurulatih kebangsaan, Paul Birmingham mengakui, Welson memiliki potensi yang tinggi berdasarkan ketekunan dan keazamannya ketika menjalani latihan selain rentak konsisten untuk memperbaiki rekod sendiri.

“Saya sangat berbangga dengan pencapaian Welson. Dia telah berlatih dengan bersungguh-sungguh dan hasilnya amat memberangsangkan.

“Saya melatih Welson sejak tahun 2012 dan tidak sampai lima tahun, dia mampu serlahkan potensinya seperti sekarang.

"Masih terlalu awal untuk mendabik dada, namun saya pasti Welson kini sudah berada di landasan yang betul,” katanya.

Sukan SEA 2017, Emas yang amat menyakitkan

Welson Sim

Umpama tindakan membunuh diri bagi jaguh renang Malaysia, Welson Sim dalam aksinya pada 25 meter terakhir sebelum menyentuh dinding kolam renang pada acara 200m gaya bebas lelaki di Pusat Akuatik Negara, Bandar Sukan KL, Bukit Jalil.

Perenang berusia 20 tahun dari Sarawak itu memecahkan rekod kejohanan dalam keadaan yang menyakitkan dengan catatan satu minit 47.49 saat untuk memadam rekod 1:48.96s sebelum ini yang dicipta perenang Vietnam, Hoang Quy Phuoc di Sukan SEA Singapura 2015.

Welson tidak boleh berdiri tegak selepas acara itu kerana paha dan kakinya mengalami kekejangan.

"Saya boleh katakan di akhir 50 meter adalah saat yang paling menyakitkan dan paling tidak dapat dilupakan dalam kerjaya renang saya.

"Saya tidak pernah merasa begitu sakit di akhir 50 meter terutama pada akhir 25 meter kerana saya berenang dengan laju pada 100 meter pertama untuk mengejar perenang Vietnam sebab saya tidak boleh membiarkan dia terlalu jauh dari saya.

Dia (Hoang) seorang perenang pecut dan saya pula lebih kepada perenang jarak sederhana. Biasanya dia berenang lebih pantas daripada saya tetapi dalam perlumbaan ini saya tidak mahu membiarkan jarak dia dengan saya terlalu jauh dalam 50 meter terakhir, jika dia terlalu jauh di depan saya dia akan mendapat kelebihan dari segi mental, jadi saya terpaksa memerah tenaga saya sehingga hadnya," kata beliau.

Emas 400 meter gaya bebas

Sebelum ini, Welson Sim berjaya memecah rekod kejohanan dalam acara 400 meter gaya bebas dengan mencatat masa 3 minit 50.26 saat di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil.

Welson  berjaya memecahkan rekod kejohanan miliknya yang dilakukan di Singapura dua tahun lalu iaitu 3:53.97 saat sekaligus merangkul pingat emas Sukan SEA 2017.

Dalam edisi sukan SEA 2017 ini, Welson beraksi dalam acara 200 meter gaya bebas, 4x200 meter gaya bebas lelaki dan 1,500 meter gaya bebas.

"Saya gembira untuk diri saya dan setiap orang yang menyokong saya. 1,500 meter adalah acara terakhir saya dan sememangnya saya akan berhabis-habisan dalam acara terakhir saya," katanya.

Dalam 200 meter gaya bebas, pemegang rekod sebelum ini, Hoang, memperoleh perak dengan hanya 0.58 saat di belakang Welson sementara Yeo Quan Kai dari Singapura membawa pulang gangsa dengan masa 1:48.98s.

Rakan sepasukannya dan perenang senior, Daniel Bego yang layak dalam tempat kelima saringan pada awalnya, tidak beraksi dan tempatnya digantikan oleh perenang Indonesia, Putera Muhammad Randa, yang menamatkan renangannya di tempat kelapan dengan masa 2:02.23s.

Sementara itu jurulatih renang negara, Paul Birmingham mengesahkan Bego mengalami keracunan makanan dan tidak dapat berenang di peringkat akhir.

BACA INI JUGA: Sejarah Penganjuran Sukan SEA

sumber: kosmo | bharian

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon