Wednesday, August 16, 2017

Apa Sebenarnya Pindaan Akta 164, Hanya Terpakai Untuk Yang Bukan Islam


Berikut dirumuskan 10 persoalan lazim yang perlu difahami dengan tuntas sebagaimana telah dijawab oleh ramai Pakar Perlembagaan dan Perundangan Islam berkenaan dengan pindaan terhadap isu Akta 164 yang hangat ditularkan.

Pindaan Akta 164

1. Apa itu Akta 164?

Akta 164 merujuk kepada Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976.

Akta ini diluluskan pada tahun 1976, berkuatkuasa bulan Mac 1982 dan HANYA TERPAKAI KEPADA ORANG BUKAN ISLAM yang berkahwin di bawah undang-undang sivil yang diluluskan oleh Parlimen Persekutuan.

Akta ini tidak terpakai kepada orang Islam yang terikat kepada Hukum Syarak.

2. Mengapa Akta 164 ini dipinda?

Tujuan pindaan Akta 164 ini ialah untuk memberikan keadilan kepada pihak yang memeluk agama Islam supaya beliau diberikan hak untuk memfailkan permohonan perceraian dan menyelesaikan segala urusan berkaitan perkahwinan di bawah undang-undang sivil.

Selain itu pertindihan bidang kuasa antara Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah serta pertindihan peruntukan undang-undang yang sedia ada juga dapat diselesaikan.

3. Apa kesan sekiranya Akta 164 ini tidak dipinda?

Jika pindaan ini tidak dibuat pasangan yang telah memeluk Islam akan teraniaya kerana dia tidak boleh memohon untuk membubarkan perkahwinan terdahulu sebelum memeluk Islam.

Seksyen 51 Akta 164 (sebelum pindaan) hanya membenarkan permohonan untuk membubarkan perkahwinan bagi pasangan yang tidak beragama Islam sahaja.

Pada masa sama pasangan yang memeluk Islam juga tidak boleh memohon kepada Mahkamah Syariah kerana Mahkamah Syariah tiada bidang kuasa mendengar permohonan pembubaran perkahwinan orang bukan Islam yang dibuat di bawah undang-undang sivil.

Contoh senario:

John dan Betty pasangan bukan Islam yang mempunyai 2 anak. John kemudiannya memeluk Islam untuk berkahwin dengan Salmah.

Johan (nama Islam John) tidak boleh memfailkan perceraian di Mahkamah Sivil kerana Akta 164 sebelum pindaan hanya terpakai kepada orang bukan Islam dan hanya isterinya yang bukan Islam sahaja yang boleh memohon.

Pemelukan Islam tidak membubar perkahwinan secara automatik dan selagi perkahwinan tersebut tidak dibubar, Johan masih dianggap suami kepada Betty.

Jika Johan meninggal dunia, Betty adalah balu yang boleh menuntut pencen dan pusaka Johan.

4. Apa masalah jika perkahwinan tidak dibubarkan?

Perkahwinan terdahulu (sebelum memeluk Islam) menjadi tergantung (limping marriage), yang mengakibatkan penganiayaan yang jelas kepada pasangan yang memeluk Islam kerana tiada ruang baginya untuk menuntut hak penjagaan anak (hadhanah), harta dan nafkah hasil dari perkahwinannya terdahulu malah ternafi haknya semata-mata kerana memeluk Islam.

Contoh senario:

Mengambil contoh yang sama dalam kes Johan dan Betty di atas. Katakan Johan meninggal dunia sebelum perkahwinan sivil dengan Betty dibubarkan, perkahwinan sivil Johan dengan Betty masih dianggap sah dan Betty boleh menuntut semua hak beliau sebagai isteri dalam perkahwinan sivil tersebut dan kemungkinan besar Salmah dan anak-anak hasil perkahwinan mengikut Hukum Syarak tidak dapat menuntut hak kerana perkahwinan pertama (perkahwinan sivil) Johan masih kekal.

Keadaan mungkin akan menjadi lebih susah sekiranya pihak yang memeluk agama Islam itu isteri dalam perkahwinan sivil.

Sekiranya Betty yang memeluk agama Islam dan John kekal dalam agama asal. Betty boleh mendapat pengesahan cerai di Mahkamah Syariah.

Tetapi persoalannya, bolehkan Betty berkahwin baharu mengikut Hukum Syarak sekiranya perkahwinan pertama mengikut Akta 164 masih tidak terbubar kerana John tidak memfailkan permohonan perceraian.

Pindaan ini menjamin hak Betty sebagai seorang mualaf.

5. Adakah pindaan Akta 164 bertentangan dengan fatwa?

Draf awal pindaan Akta 164 yang mengandungi Seksyen 88A adalah bercanggah dengan hukum Syarak sebagaimana yang diputuskan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Ugama Islam ke-87, pada Jun 2009 "Bahawa apabila salah seorang pasangan ibu atau bapa yang memeluk islam, status agama anak-anak di bawah umur adalah Islam dan ia diterima dalam negara.”

Mengambil kira pandangan Mufti-Mufti Kerajaan Negeri yang bermesyuarat pada 17 Julai 2017 yang diurusetiakan oleh JAKIM, maka kerajaan telah menggugurkan Seksyen 88A sebelum pindaan Akta 164 dibentangkan semula dan diluluskan oleh Dewan Rakyat baru-baru ini.

6. Apakah pindaan Akta 164 ini bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan?

Pindaan Akta ini didakwa bercanggah dengan dua Peruntukan Perlembagaan Persekutuan:

Pertama, Perkara 121 (1A) adalah peruntukan Perlembagaan yang menghalang Mahkamah Sivil mencampuri bidang kuasa Mahkamah Syariah. Hakikatnya, pindaan Seksyen 51 Akta 164 ini tidak melibatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Sebaliknya pindaan membolehkan perkahwinan di Mahkamah Sivil dibubarkan sekiranya salah seorang pasangan memeluk Islam.

Kedua, Perkara 12(4) adalah peruntukan Perlembagaan yang menyatakan bahawa agama seseorang yang dibawah umur 18 tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapa atau penjaganya.

Hakikatnya, percanggahan ini sudah tidak lagi relevan selepas Seksyen 88A digugurkan daripada pindaan.

7. Apakah pindaan ini dibuat secara tergesa-tergesa?

Pindaan ini telah dicadangkan sendiri oleh Arkitek Perundangan Syariah Negara Almarhum Prof Tan Sri Ahmad Ibrahim dua tahun selepas Akta 164 dikuatkuasakan.

Bila mana berlaku satu kes tuntutan jenazah seorang yg telah memeluk Islam oleh pasangan bukan Islamnya kerana mereka tidak bercerai, Akta 164 dicadangkan pindaannya.

Pindaan Akta 164 ini telah dibuat dengan berhati-hati oleh pihak kerajaan sejak 2006 lagi khususnya selepas timbulnya persoalan berkaitan hak pihak yang memeluk agama Islam untuk membubarkan perkahwinan.

Melalui Pejabat Peguam Negara, kerajaan telah berbincang dengan banyak pihak, termasuk mereka yang pakar dalam bidang Undang-Undang Keluarga Islam.

Perbincangan juga telah melibatkan pihak-pihak bertanggungjawab, seperti Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil JAKIM, Majlis Agama Islam Negeri-negeri (MAIN) dan Badan-Badan Bukan Kerajaan.

8. Apakah pindaan ini memberi kesan kepada status agama anak?

Persoalan tentang status agama anak adalah tidak berbangkit lagi dalam pindaan Akta 164 ini kerana Seksyen 88A (berkaitan status agama anak mengikut perkahwinan asal tertakluk kepada keinginan anak itu apabila dia telah mencapai umur 18 tahun) telah digugur daripada pindaan yang baharu.

Justeru, pindaan Akta 164 tiada kaitan dengan penentuan agama anak di bawah umur 18 tahun.

9. Adakah pindaan mengurangkan atau mengambil kuasa Mahkamah Syariah?

Tidak dan pindaan ini tidak menghakis kuasa Mahkamah Syariah untuk mengesahkan perceraian sekiranya dimohon oleh pihak yang memeluk agama Islam di bawah Seksyen 46 Undang-Undang Keluarga Islam.

Malah dapat menyelesaikan permasalahan yang berlarutan lantaran wujudnya kelompongan perundangan yang melibatkan hak mualaf.

Pindaan yang dicadangkan membolehkan pasangan yang memeluk Islam membubarkan perkahwinan yang dilangsungkan di bawah Akta 164 sebelum dia memeluk Islam sekali gus menuntut hak-haknya yang berkaitan.

Umat Islam masih tetap tertakluk kepada Undang-Undang Keluarga Islam yang dikuatkuasakan di Mahkamah Syariah.

10. Apa kaitan Akta 164 ini dengan nafkah dan hak penjagaan anak?

Pindaan ini memudahkan proses menuntut hak penjagaan anak selepas permohonan pembubaran perkahwinan disahkan.

Pada lazimnya, perintah Mahkamah Syariah berkaitan hak penjagaan anak akan dicabar di Mahkamah Sivil untuk mengetepikan perintah tersebut. Perintah Mahkamah Syariah tidak mengikat pihak yang tidak memeluk agama Islam.

Walau bagaimanapun, dengan pindaan ini pasangan yang memeluk Islam boleh menuntut hak penjagaan itu di Mahkamah Sivil dan konsep yang mengikat mahkamah ialah kebajikan anak.

Pindaan ini juga tidak membebaskan seseorang yang memeluk Islam daripada tanggungjawabnya seperti membayar nafkah untuk anak-anak.

Secara kesimpulannya, Pindaan Akta 164 ini telah melalui proses penelitian yang panjang sebelum dibentangkan bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan dalam kerangka perundangan Sivil dan Syariah terutamanya aspek pertindihan isu melibatkan pasangan Islam dan Bukan Islam.

Yang pasti pindaan ini tidak melanggar mana-mana peruntukan Perlembagaan mahupun ketetapan Syarak di negara ini.

Moga-moga dengan pencerahan ini dapat menghilangkan prejudis, tohmahan mahupun fitnah yang tidak berasas seolah-olah Kerajaan tidak memelihara kepentingan Islam yang banyak ditularkan dalam media sosial hari ini.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Benarkah Malaysia Memusuhi Homoseksual Dan Pelaku Murtad?

sumber: sinarharian

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon