Wednesday, February 15, 2017

Apa Itu 'Teksi Motosikal' Dego Ride?


Perkhidmatan Dego Ride yang diasaskan oleh tujuh anak muda pada September tahun 2016 lalu bermula sebagai khidmat penghantaran barang sebelum mereka memperkenalkan kemudahan 'teksi motosikal' dikenali sebagai Dego Ride.

Dego+Ride

Khidmat Dego Ride itu muncul ketika mereka memikirkan keperluan pengguna kepada pengangkutan ringkas untuk pergi ke sesuatu lokasi yang agak jauh jika mahu berjalan kaki tetapi masa sama tidak berbaloi untuk menaiki teksi.

Dego Ride mula meniti di bibir warga malaysia, apabila hampir 1,000 pelanggan sudah menggunakan khidmat mereka, kebanyakannya pengguna sistem pengangkutan awam seperti Transit Aliran Ringan (LRT) yang mahukan kenderaan transit.

Ketua Pegawai Eksekutif Dego Ride, Nabil Feisal Bamadhaj berkata, Dego Ride menawarkan khidmat pengangkutan untuk jarak tiga kilometer (KM) ke bawah dengan tambang RM2.50 bagi satu perjalanan.

Pada hari pertama perkhidmatan Dego Ride, 300 penumpang membonceng motosikal untuk ke lokasi tertentu. Secara purata, kira-kira 100 penumpang sehari menggunakan khidmat Dego Ride.

Jumlah itu tidak termasuk antara 100 hingga 300 pelanggan menggunakan Dego Send iaitu khidmat bagi penghantaran barang sekitar Lembah Klang. Setakat ini, terdapat kira-kira 3,000 pelanggan tetap bagi khidmat Dego Send.

Pengguna sistem pengangkutan awam seperti LRT biasa perlu menaiki bas transit untuk ke lokasi seterusnya, malah ada yang terpaksa berjalan kaki jika bas terlalu padat dengan penumpang.

Di sinilah terletaknya peranan Dego Ride, sebagai pilihan memudahkan perjalanan mereka. Pengguna tidak perlu berjalan kaki atau bersesak menaiki bas yang sedia padat.

Sering berlaku, perjalanan terlalu jauh untuk pelanggan mereka jika berjalan kaki, tetapi terlalu dekat untuk menaiki teksi.

Dego Ride membolehkan penumpang tiba di destinasi dengan pantas dan selesa, apatah lagi cuaca negara ini yang panas, adalah tidak begitu selesa jika berpeluh apabila berjalan kaki.

Pelanggan Dego Ride Dilindungi Insuran

NABIL Feisal
Nabil Feisal.

Sementara itu, Ketua Pembangunan Produk Dego Ride, Shairazi Sulastry berkata, pelanggan yang menggunakan khidmat Dego Ride, dilindungi polisi insurans jika berlaku sebarang musibah dalam perjalanan.

Setakat ini, tiada kejadian tidak diingini berlaku ke atas pembonceng atau penunggan Dego Ride kini yang memiliki 1,500 penunggang motosikal berdaftar dan aktif berkhidmat di seluruh Lembah Klang.

Pelanggan juga secara automatik akan menerima pautan sistem pengesan perjalanan yang boleh dihantar kepada waris mereka untuk tujuan keselamatan sebaik membonceng motosikal terbabit.

Sistem pengesan itu membolehkan waris, rakan atau keluarga mereka memantau perjalanan dibuat bersama penunggang Dego Ride.

Jika mengesyaki sesuatu tidak elok berlaku, waris penumpang Dego Ride boleh terus melaporkan kepada pihak syarikat atau pihak berkuasa.

Mengulas cabaran terbesar perlu diatasi sepanjang menawarkan perkhidmatan Dego Ride, Shairazi dan Nabil sependapat, cuaca adalah masalah utama ketika ini.

Berbeza dengan teksi atau kenderaan lain yang berbumbung, Dego Ride tidak ada semua itu. Bila hujan, perkhidmatan Dego ride akan tergendala.

Semua penunggang mereka diwajibkan menghantar surat permohonan maaf kepada semua penumpang jika perjalanan mereka tergendala atas faktor cuaca.

Bukan hanya pelanggan Dego Ride, pengguna khidmat Dego Send juga akan menerima surat permohonan maaf jika perkhidmatan diberikan terganggu kerana faktor cuaca.

Orang ramai yang memerlukan khidmat Dego Ride boleh menghubungi talian 017-388 9269 melalui sistem pesanan ringkas, WhatsApp.

Dengan tempoh menunggu sehingga 30 minit, mereka akan dihubungi semula oleh pengurusan untuk memberikan butiran penunggang yang bertugas.

Pengguna Dego Ride tidak perlu risau kerana topi keledar sentiasa disembur penyegar udara bagi menghilangkan bau yang tidak enak, selain menyediakan penutup rambut kepada penumpang yang memerlukan.

Info ringkas Dego Ride
  • 1,500 penunggang aktif dan berdaftar sebagai Dego Ride
  • RM2.50 bagi setiap jarak 3 kilometer 
  • 100 purata pelanggan sehari 
  • Topi keledar disediakan
  • Dilengkapi sistem pengesan perjalanan

Jom sokong perkhidmatan Teksi Motosikal Dego ride!

BACA INI JUGA: Motosikal Enjin Diesel Sudah Dicipta Tapi Kenapa Tidak Dikomersilkan?

Sumber: BH

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon