Friday, April 15, 2016

Kenaikan Gaji Minimum Kakitangan Awam Bermula 1 Julai 2016


Kakitangan awam akan menerima gaji permulaan minima sebanyak RM1,200, melebihi paras gaji minimum kebangsaan di bawah langkah rasionalisasi skim perkhidmatan awam.

Gaji Minimum Kakitangan Awam

Skim tersebut yang akan berkuatkuasa pada 1 Julai ini akan memperlihatkan kakitangan Gred 11 akan mendapat gaji permulaan sebanyak RM1,200 berbanding RM837 sebelum ini.

Digabungkan dengan elaun sedia ada, kakitangan gred ini akan menikmati gaji bulanan kira-kira RM1,500.

Gaji minimum kebangsaan adalah RM900 hingga RM1,000 sebulan di Semenanjung Malaysia manakala RM800 hingga RM920 untuk Sabah dan Sarawak.

Pekeliling yang diedarkan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal pada Khamis turut menyatakan Gred 17 dan Gred 27 akan dihentikan dan kakitangan bagi kedua-dua gred itu masing-masing akan dinaikkan ke Gred 19 dan 29.

Gred 17 diberikan kepada pekerja yang memiliki kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) manakala Gred 27 kepada mereka yang mempunyai Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Diploma.

Mereka yang berada di Gred 17 dengan gaji semasa RM935 akan menikmati kadar gaji minimum RM1,350 sebulan selepas dinaikkan ke Gred 19.

Bagi penjawat awam dengan Gred 27 yang menerima gaji permulaan sebanyak RM1,362 akan memperolehi sekurang-kurangnya RM1,493 selepas naik ke Gred 29.

"Langkah rasionalisasi skim perkhidmatan awam bertujuan untuk memastikan perkhidmatan tersebut mempunyai tenaga kerja yang kompeten selain mampu membantu merealisasikan visi dan agenda negara.

"Ini juga bertujuan untuk memperkemas pengurusan skim perkhidmatan tersebut dalam usaha untuk menarik dan mengekalkan bakat terbaik, untuk mewujudkan beberapa fleksibiliti dalam pengurusan perkhidmatan awam dan juga menyediakan peluang dalam kemajuan kerjaya," kata Mohamad Zabidi dalam pekeliling tersebut.

Skim saraan baharu itu juga memperlihatkan 252 skim perkhidmatan awam sedia ada di naik taraf.

Beliau berkata langkah merasionalkan skim itu akan memberi manfaat bukan sahaja kepada pekerja sedia ada tetapi juga mereka yang akan menyertai perkhidmatan awam pada masa akan datang dengan gred dan gaji permulaan lebih tinggi.

Langkah rasionalisasi itu juga melihat pengiktirafan yang lebih baik terhadap pelatih Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

Di bawah skim baru, mereka yang mempunyai sijil politeknik akan diiktiraf setanding dengan mereka yang mempunyai kelulusan Diploma atau STPM.

Sebelum ini, mereka yang mempunyai sijil politeknik diletakkan pada tahap yang sama dengan lepasan SPM.

"Kami mahu memberi peluang lebih besar kepada mereka yang mempunyai kelayakan dalam bidang kemahiran untuk menyertai perkhidmatan awam dengan memasukkan TVET dalam skim perkhidmatan tertentu," kata Mohamad Zabidi.

BACA INI JUGA: Tarikh Dan Jadual Pembayaran Gaji Kakitangan Awam 2016

Sumber: mStar

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon