Tuesday, November 24, 2015

Wellington Jighere, Warga Afrika Pertama Juarai Scrabble Dunia


Pemuda dari Nigeria, Wellington Jighere menewaskan pesaingnya dari Britain 4-0 dalam Kejuaraan Scrabble Sedunia di Australia menjadikannya warga Afrika pertama menjuarai gelaran dunia untuk permainan menyusun perkataan itu.

Wellington Jighere [2]

Jighere merupakan antara lebih 120 peserta yang datang ke Perth untuk Kejuaraan Sedunia Persatuan Pemain Scrabble Bahasa Inggeris dengan peringkat akhir tujuh pusingan menentang Lewis Mackay dari Britain baru-baru ini.

“Dia terpaksa berlawan selama empat hari untuk menjadi pendahulu tetapi apabila sampai di kemuncak, mungkin kerana sempat berehat atau sedikit tuah, semuanya berjalan lancar untuknya dan dia menang 4-0,” kata salah seorang penganjur kejuaraan itu, Adam Kretschmer kepada agensi berita AFP.

Warga Nigeria itu menggunakan perkataan dengan markah tinggi seperti fahlores, avouched dan mentored untuk menuju ke arah kemenangan.

“Ini merupakan kali pertama seorang warga Afrika memenangi kejuaraan dunia sebegini,” ujar Jighere kepada akhbar, The Guardian selepas kemenangannya.

Bagaimanapun, dia mengakui bahawa: “Richards masih yang terhebat. Cuma nasib menyebelahi saya hari ini.”

Dia merujuk kepada juara New Zealand, Nigel Richards yang mendominasi Scrabble Bahasa Inggeris dengan tiga kejuaraan dunia, lima gelaran Amerika Utara dan 11 kemenangan di pertandingan berprestij, King’s Cup Thailand tajaan keluarga Diraja Thai.

Menonjol

Wellington Jighere
Jighere menunjukkan plak kemenangannya.

Richards mengejutkan dunia pada Julai lalu apabila turut menjuarai Scrabble versi Perancis sedangkan dia tidak boleh bertutur dalam bahasa tersebut. Dia hanya menghabiskan sembilan minggu mempelajari kamus Scrabble.

Seorang jurutera terlatih, Richards dilaporkan mula bermain Scrabble pada usia 28 tahun atas permintaan ibunya.

Dia terbukti menonjol dalam permainan perkataan itu, walaupun dia lebih sukakan matematik semasa di sekolah dan tidak begitu tertarik dengan bahasa Inggeris.

Seorang pesaing Scrabble dari New Zealand pernah mengumpamakan Richards seperti sebuah komputer dengan janggut besar berwarna oren halia, sementara penganjur kejuaraan dari Malaysia, Michael Tang pernah menggelarnya Tiger Woods Scrabble.

Nigel Richards

Di Facebook, Jighere mengakui bahawa kejuaraan di Perth itu, di mana setiap pemain melalui 32 pertandingan selama empat hari sebelum peserta akhir ditentukan, sangat memenatkan.

“Saya perlu berikhtiar untuk berehat sekarang,” tulisnya dalam laman sosial tersebut.

“Saya tidak tidur lena sejak seminggu lalu. Saya sendiri masih bingung bagaimana dapat melakukannya dalam keadaan tidak cukup tidur. Ini hanya membuktikan tuhan sangat dekat dalam kejadian ini.” –AFP

BACA INI JUGA: 7 Tanda Anak Berbakat Luarbiasa Yang Ramai Ibu Bapa Tak Tahu

Sumber: Kosmo

2 comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon