Monday, October 12, 2015

Muhyiddin, Shafie Tuduh Polis (Najib) Salah Guna SOSMA!


Timbalan Presiden UMNO, Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden, Shafie Apdal dalam satu kenyataan bersama beberapa bekas pemimpin UMNO dan MCA mendakwa polis menyalahgunakan kuasa dengan menahan bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Khairuddin Abu Hassan dan peguamnya, Matthias Chang.

Salah+Guna+SOSMA

Muhyiddin dan Shafie yang digugurkan daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dalam kenyataan bersama itu mendakwa, penggunaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA 2012 untuk menahan kedua-dua individu tersebut kononnya bertentangan dengan tujuan akta berkenaan diluluskan oleh Parlimen.

“Amatlah malang bagi rakyat Malaysia apabila tindakan tersebut diambil oleh pihak berkuasa, mesej yang sampai kepada rakyat ialah apabila seseorang melaporkan berlaku kesalahan, orang yang membuat laporan akan ditangkap.

“Oleh kerana tidak ada undang-undang yang dapat digunakan untuk menahan dan menangkap orang yang membuat laporan maka digunakan satu undang-undang yang digubal untuk tujuan memelihara keselamatan negara dan ketenteraman awam serta memperuntukkan satu hukuman yang berat untuk membuat tahanan dan tangkapan,” dakwa mereka menerusi kenyataan itu hari ini (Isnin).

Kenyataan kedua-dua mereka itu dikeluarkan secara bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tun Ling Liong Sik, Tengku Razaleigh Hamzah, Tan Sri Ong Tee Keat dan Tan Sri Sanusi Junid.

Menurut kenyataan bersama itu, Matthias adalah peguam yang mengiringi Khairuddin membuat laporan mengenai dakwaan salahlaku 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada pihak-pihak berkuasa di dalam dan di luar Malaysia.

Dakwa mereka, tindakan dua individu itu tidak bercanggah dengan undang-undang mana-mana negara dan tidak boleh dianggap sebagai suatu ancaman kepada ketenteraman dan keselamatan awam yang dilindungi oleh SOSMA.

“Laporan-laporan yang dibuat oleh Khairuddin adalah mengikut lunas-lunas demokrasi serta hak yang dijamin oleh mana-mana negara yang mengamalkan sistem demokrasi,” dakwa mereka.

Sehubungan itu, ketujuh-tujuh mereka menegaskan penahanan Matthias dan Khairuddin di bawah SOSMA adalah satu bentuk penyalahgunaan proses undang-undang oleh pihak berkuasa.

“Ia menyekat hak dan kebebasan individu untuk mengambil suatu tindakan yang sah dalam sebuah negara yang menjunjung keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang,” dakwa mereka lagi.

Kenyataan itu turut mendesak polis membebaskan kedua-dua individu tersebut serta merta dan memberi jaminan bahawa tiada sesiapa lagi akan ditahan di bawah SOSMA hanya kerana menyatakan pandangan, pendapat dan kritikan.

Khairuddin sebelum ini direman selama enam hari mulai 19 September lalu mengikut Seksyen 124C Kanun Keseksaan atas dakwaan cuba melakukan aktiviti yang boleh menjejaskan demokrasi berparlimen.

Pada 23 September 2015, Khairuddin ditahan semula di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di bawah SOSMA 2012 atas dakwaan cuba melakukan aktiviti yang boleh mensabotaj negara. -MYNEWSHUB

Khairuddin, Chang Didakwa Cuba Sabotaj Kewangan Negara

Khairuddin Abu Hassan dan Matthias

Bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguam Matthias Chang Wen Chieh didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan cuba melakukan sabotaj terhadap perkhidmatan perbankan dan kewangan negara.

Khairuddin, 53, dan Chang, 65, didakwa melakukan kesalahan itu di lima lokasi – pejabat Ketua Bahagian Jenayah Ekonomi dan Kewangan Peranchis di Paris, Balai Polis Charing Cross London, United Kingdom, pejabat Peguam Negara Switzerland di Bern, Balai Polis WaiChan, Hong Kong, dan ibu pejabat polis Cantoment, Singapura – antara 28 Jun hingga 26 Ogos tahun ini.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 124L Kanun Keseksaan (Akta 547) dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama, yang membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan, dan tertuduh yang memakai pakaian lokap dan bergari hanya mengangguk faham setelah pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Majistret Siti Radzeah Kamarudin tidak membenarkan ikat jamin.

Ketika prosiding, peguam Mohamad Hanif Khatri Abdulla yang mewakili Khairuddin memohon mahkamah membenarkan anak guamnya dibenarkan jaminan, dan meminta tarikh pemindahan kes ke Mahkamah Tinggi dipercepatkan.

Katanya, anak guamnya telah ditahan reman selama 29 hari, manakala Chang ditahan lima hari.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Masri Ahmad Daud membantah permohonan itu kerana Seksyen 124L Kanun Keseksaan yang dipertuduhkan adalah berada di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), yang tidak membenarkan tertuduh dijamin.

Masri memohon mahkamah memberi tempoh sehingga sebulan untuk kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

“Kes terhadap kedua-dua tertuduh adalah sama seperti kes lain, seperti kes dadah dan kes bunuh. Pendakwaan perlukan masa. Kes ini melibatkan sabotaj, menjejaskan negara, ia lebih serius daripada kes bunuh. Kami hanya menggunakan peruntukan sedia ada,” katanya.

Mohamad Hanif memohon pendakwaan menentukan terlebih dahulu status kes melibatkan anak guamnya, sama ada di bawah SOSMA atau hanya Kanun Keseksaan.

“Sekiranya kes ini tidak tergolong di bawah SOSMA, saya pohon kes ini dipindahkan segera (ke Mahkamah Tinggi) supaya kedua-dua tertuduh tidak dihalang daripada dijamin.

“Khairuddin telah ditahan pada 23 Sept di bawah SOSMA. Esok telah ditetapkan untuk Mahkamah Tinggi mendengar permohonan habeus corpus terhadapnya. Tetapi hari ini didakwa atas pertuduhan ini pula,” katanya.

Berikutan pertikaian tersebut, Majistret Siti Radzeah memerintahkan pihak pendakwaan menentukan sama ada pertuduhan ke atas kedua-dua tertuduh melibatkan SOSMA ataupun tidak serta menetapkan 26 Okt untuk sebutan.

Mohamad Hanif memohon Khairuddin ditahan di penjara Kajang seperti dipohon pihak keluarga namun Majistret memaklumkan beliau tidak mempunyai bidang kuasa dan hanya boleh merekodkan sahaja permohonan tersebut.

Di awal prosiding, Mohamad Hanif memohon mahkamah merekodkan bahawa pihaknya akan mencabar sebarang pertuduhan yang dikenakan terhadap anak guamnya kerana katanya ia melanggar perlembagaan.

Chang diwakili peguam Zainur Zakaria.

Khairuddin dan Chang dibawa masuk ke mahkamah pada pukul 9.40 pagi.

Sementara itu, isteri Khairuddin, pelakon Umie Aida, yang tiba di mahkamah bersama anggota keluarga pada pukul 9 pagi, berbual seketika bersama suaminya ketika prosiding ditangguhkan.

Turut hadir adik Umie Aida, pelakon Betty Ahmad. –BERNAMA

BACA INI JUGA: Kita Berada Pada Zaman Menakutkan, kata Tun Mahathir

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon