Tuesday, September 01, 2015

Tun Mahathir Dedahkan Sebab Sertai BERSIH 4.0


Tun Mahathir hari ini menggunakan blog popular beliau bagi menjelaskan sebab beliau membuat keputusan menghadiri perhimpunan Bersih 4 pada hujung minggu lepas, mengatakan beliau terpaksa berbuat demikian bertujuan mencari penyelesaian kepada kemelut didepani negara.

Tun Mahathir BERSIH 4.0

Bekas perdana menteri itu berkata pendiriannya terhadap demonstrasi jalanan seperti yang disuarakan sebelum ini tetap utuh tetapi mendakwa, pentadbiran di bawah Perdana Menteri Najib Razak ketika ini memusnahkan semua saluran yang ada untuk menyelamatkan negara.

"Saya tidak setuju dengan tunjuk perasaan kerana ada saluran lain yang boleh digunakan untuk menekan kerajaan apabila menyalahgunakan kuasa.

"Kita boleh buat laporan polis, dengan harapan polis dan pendakwa raya akan ambil tindakan, menghadapkan pihak yang dituduh ke mahkamah.

"Tetapi sekarang Najib sudah bubar dan musnahkan institusi-institusi kerajaan yang ditugas untuk melindungi hak rakyat," katanya.

Katanya, segala cara menukar perdana menteri yang mengikut undang-undang dan Perlembagaan negara sudah ditutup Najib.

"Hanya dengan suara keramat rakyat, dibantu dengan undi tidak percaya Dewan Rakyat sahaja yang boleh menjatuhkan Najib dan menyelamatkan negara daripada perasuah.

"Oleh itu saya terpaksa menyertai demonstrasi jalanan anjuran Bersih yang bertema singkirkan Najib kerana rasuah," kata Tun Mahathir.

Tun Mahathir berkata, beliau sedar kehadirannya di perhimpunan itu membuatkan ramai tertanya-tanya apakah beliau kini penyokong Bersih, parti pembangkang dan pemimpinnya Lim Kit Siang.

"Ada juga yang bertanya saya sudah memihak kepada orang Cina," kata pengkritik paling tegar Najib itu.

Beliau dalam tulisannya mengulangi beberapa perkembangan terbaharu yang dianggapnya menimbulkan persoalan termasuk pembubaran pasukan petugas khas menyiasat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hingga pelantikan pegawai yang tidak berminat meneruskan siasatan atas syarikat pelaburan strategik negara yang sarat hutang itu.

Ini menunjukkan katanya, semua saluran untuk menyiasat 1MDB dan dana RM2.6 bilion yang dikatakan dimasukkan ke dalam akaun bank peribadi Najib sebagai sumbangan politik, sudah tidak lagi ada.

"Rakyat menunggu hasil siasatan ini. Tiba-tiba pendakwa raya disingkir oleh Najib, ketua badan pencegah rasuah diarah bercuti, dan gabenor bank diugut kononnya kerana Bank Negara bocor maklumat.

"Dan terhentilah siasatan oleh badan ini," kata Dr Mahathir sambil menambah pada masa sama, pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dan 3 lagi ahli diberi jawatan dalam kerajaan dan siasatan berkenaan wang 1MDB oleh PAC turut dihentikan.

"Yang ditinggal dan yang baharu dilantik adalah orang yang tidak tunjuk minat untuk membuat siasatan, bahkan sengaja menghalang apa-apa siasatan terhadap 1MDB dan duit RM2.6 bilion dalam akaun Najib," katanya lapor The Malaysian Insider.

BACA INI JUGA: Tun Mahathir Cabar Zahid Dedah Identiti Penderma RM2.6 Bilion!

2 comments

  1. Asalam..ada menonton perarakan ni..melihat jg Tun mahathir turut serta...apa dah jadi dengan pimpinan negara ..kita rakyat biasa hanya mampu melihat menunggu apa akan berlaku ..semoga negara kita kembali aman dan damai dari segi ekonomi

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tiada tonton la cikgu etuza. Hati rasa berbelah-bahagi..:(

      Delete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon