Friday, September 25, 2015

Punca Insiden Rempuhan Mina Mengorbankan 717 Orang Terjawab!


Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi menyatakan berkata tragedi rempuhan yang mengorbankan 717 jemaah haji di Mina, berlaku berikutanpertembungan dua gelombang kumpulan jemaah di satu persimpangan.

Insiden Rempuhan Mina

Jurucakap kementerian itu, Mejar Jeneral Mansour al-Turki berkata, cuaca panas serta keterujaan jemaah juga menyumbang kepada bencana itu yang dianggap paling buruk dalam sejarah 20 tahun musim haji.

Menurutnya, tiada petunjuk pihak berkuasa haji Arab Saudi patut dipersalahkan dalam kejadian malang itu.

Menurutnya, Putera Mahkota Arab Saudi, Raja Salman sudah mengarahkan siasatan menyeluruh kejadian berkenaan.

Sementara itu, dua jemaah yang terselamat dalam kejadian itu juga berkata, tragedi berlaku akibat pertembungan dua gelombang kumpulan jemaah di satu persimpangan.

Jemaah dari Mesir, Abdullah Lotfy, 44, berkata dia nampak seorang jemaah jatuh ke atas jemaah berkerusi roda dan beberapa lagi jemaah jatuh ke atas mereka.

“Mereka yang jatuh kemudian saling memanjat atas jemaah lain untuk keluar dari bawah timbunan manusia dan pada masa sama, semakin ramai yang jatuh,” katanya.

Menurutnya, pertembungan itu tidak sepatutnya berlaku dan mendakwa pihak Arab Saudi tidak melakukan persiapan. –AP

Sah Tiada Jemaah Malaysia Terbabit Insiden Rempuhan Mina

Semua jemaah Malaysia disahkan selamat dan tidak terbabit dalam insiden rempuhan di Mina yang mengorbankan 717 nyawa, kata Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau berkata berdasarkan pemeriksaan di semua tujuh maktab Muassasah dan 15 syarikat pengelola jemaah haji dan TH Travel & Services Sdn. Bhd., (pakej swasta), semua jemaah haji Malaysia disahkan selamat dan mereka hanya akan mula melontar di Jamrah Kubra di Mina itu mulai jam 5.30 petang ini (10.30 malam waktu Malaysia).

“Tiada jemaah Malaysia terbabit, semua pasukan unit peronda Tabung Haji juga sebenarnya telah membuat pemantauan sejak awal lagi (sebelum kejadian itu berlaku) bagi memastikan keadaan dan masa yang sesuai untuk jemaah haji memasuki kawasan untuk melakukan ibadat melontar itu,” katanya kepada pemberita.

Dalam kejadian 11.30 pagi itu (waktu tempatan), lebih 400 jemaah haji dilaporkan terkorban manakala beratus lagi cedera dalam kejadian rempuhan berkenaan di kawasan perkhemahan jemaah dari negara-negara Arab.

Asyraf Wajdi kesal dengan laporan di media sosial berkenaan kononnya seorang jemaah wanita Malaysia turut maut dalam kejadian itu.

“Kematian Siti Haryati Shaikh Ali, 43, seorang pensyarah di Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu disebabkan dia mengalami masalah sesak nafas, Allahyarham meninggal dunia di sisi suaminya di hospital di Makkah, dan bukannya terkorban dalam kejadian rempuhan itu,” katanya.

Katanya bagi musim haji 1436H setakat ini, sebanyak 16 jemaah Malaysia meninggal dunia, termasuk tujuh yang terkorban dalam tragedi kren tumbang di Masjidil Haram pada 11 September lepas.

Sembilan jemaah lain meninggal dunia akibat serangan jantung dan mengalami sesak nafas.

Berkenaan ibadat melontar, Asyraf Wajdi berkata jemaah Malaysia akan mula ke Jamrah Kubra mulai jam 5.30 petang ini.

“Jemaah Malaysia tidak akan melalui kawasan perkhemahan atau tempat berlakunya insiden rempuhan itu. Laluan jemaah Malaysia adalah bersama jemaah-jemaah dari Indonesia dan Turki.

“Berdasarkan maklumat unit peronda Tabung Haji, jemaah dari Turki telah pun selesai melakukan ibadat melontar di Jamrah Kubra hari ini,” katanya.

Lebih tiga juta jemaah haji dari seluruh dunia termasuk lebih 22,000 jemaah haji Malaysia kini berada di Tanah Suci bagi melaksanakan ibadat haji.

Jemaah haji termasuk jemaah Malaysia kini berada di Mina untuk mengerjakan ibadat melontar selepas bermabit (berada seketika atau bermalam) di Muzdalifah.

Jemaah haji akan terus berada di Mina sehingga 11, 12 dan 13 Zulhijjah atau dikenali sebagai Hari Tasyriq untuk melakukan lontaran di ketiga-tiga jamrah — Kubra, Wusta dan Sughra. –BERNAMA

BACA INI JUGA: Rahsia Pencipta Piramid Akhirnya Terbongkar

1 comment

  1. Moga dipermudahkan segala urusan melakukan haji di sana...

    ReplyDelete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon