Friday, August 14, 2015

Zeti Dedahkan 7 Pegawai BNM Disoal Isu 1MDB


Tujuh pegawai Bank Negara Malaysia (BNM) setakat ini disoal polis berhubung kebocoran maklumat berkaitan siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata Gabenor BNM Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Zeti 1MDB

Katanya, mereka memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis tetapi beliau enggan mendedahkan nama mereka, tarikh mereka disoal dan pejabat di bahagian mana mereka bertugas.

Beliau juga berkata, bank pusat itu sudah menyelesaikan siasatannya ke atas urus niaga bank yang berkaitan dengan 1MDB dan mengemukakan kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara.

Katanya, laporan kepada Peguam Negara itu termasuk cadangan untuk tindakan penguatkuasaan yang sesuai.

BNM adalah antara institusi yang sedang menyiasat 1MDB atas dakwaan salah urus dan rasuah.

Zeti bagaimanapun enggan mendedahkan kandungan penyiasatan itu, mengatakan undang-undang negara ini hanya membenarkan BNM mendedahkan perkara itu kepada agensi penguatkuasaan dan kawal selia lain yang terlibat dalam mengambil tindakan terhadap 1MDB.

"Kami sudah mengemukakan siasatan kami kepada peguam negara bersama saranan mengenai tindakan penguatkuasaan yang bersesuaian," katanya kepada pemberita di ibu pejabat BNM di Kuala Lumpur.

Zeti berkata, BNM memulakan siasatan tidak rasmi setahun lalu ke atas satu entiti yang "sangat dimanfaatkan" untuk melihat sama ada ia menimbulkan sebarang risiko kepada sistem kewangan.

Beliau difahamkan merujuk kepada 1MDB, yang mengumpul hutang mencecah RM42 bilion dan kini menghadapi kesukaran membayar balik pinjamannya.

Sebahagian hutang syarikat itu dijamin Putrajaya dan pengkritik mendakwa, timbul kebimbangan yang dana awam akan digunakan bagi membayar pinjaman itu jika 1MDB gagal berbuat demikian.

Hasil siasatan tidak rasminya menyebabkan BNM mengemukakan beberapa kebimbangan mereka kepada pihak berkuasa yang berkenaan, kata Zeti tanpa menjelaskan dengan terperinci penemuan tersebut.

Zeti berkata BNM memulakan siasatan rasmi tahun ini sejajar dengan pasukan petugas yang dibentuk pada Julai untuk menyiasat pemindahan wang ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Pada awal Julai, The Wall Street Journal dan Sarawak Report mendakwa kira-kira AS$700 juta (RM2.6 bilion) disalurkan ke dalam akaun bank Najib melalui 3 syarikat berkaitan 1MDB.

Pada 3 Ogos, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyatakan RM2.6 bilion itu bukan datang daripada 1MDB tetapi merupakan sumbangan derma politik.

Agensi itu bagaimanapun, tidak mendedahkan sumber derma itu lapor TMI.

BACA INI JUGA:
-Sentiasapanas.com

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon