Thursday, August 27, 2015

Tun Mahathir Cabar Zahid Dedah Identiti Penderma RM2.6 Bilion!


Identiti individu dari Timur Tengah yang didakwa memberi derma RM2.6 bilion kepada Perdana Menteri, Najib Razak melalui akaun peribadinya perlu didedahkan.

Tun Mahathir

Tun Mahathir berkata, sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi menyatakan telah bertemu ketua pegawai pelaburan daripada penderma serta pemegang amanah keluarga berkenaan.

“Timbalan Perdana Menteri (Ahmad Zahid) telah bertemu dengan wakil penderma. Kemudian beliau perlu buktikan bahawa individu tersebut mempunyai sejumlah besar wang untuk diberikan kepada Malaysia dan negara-negara lain.‎

“Apakah sumber wang itu? Apa perniagaan yang dibuat? Bank manakah yang digunakan? Tunjukkan akaun di bank, cek yang dikeluarkan, terutama RM2.6 bilion, dan bank penerima semestinya memegang cek tersebut,” kata Dr Mahathir dalam blognya.

Dr Mahathir berkata, kesemua maklumat itu berkemungkinan telah disahkan oleh pasukan khas yang menyiasat isu tersebut.

“Tetapi pasukan petugas khas telah dimansuhkan. Sekarang ini SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dikatakan masih menyiasat RM2.6 bilion.

"Jika Najib serius untuk menyiasat RM2.6 bilion di Ambank, beliau perlu membentuk semula pasukan petugas khas yang luhur. Pasukan petugas baharu yang ditubuhkan tidak mempunyai kredibiliti,” katanya.

Walaupun pihak bank perlu mengekalkan kerahsiaan perbankan, katanya, ia perlu melaporkan sekiranya mengesyaki berlakunya penggubahan wang haram.

“Bank Malaysia, Singapura, Switzerland dan Amerika Syarikat tidak perlu menyimpan rahsia perniagaan mereka dengan wang yang disyaki dicuri. Apa yang telah mereka lakukan?

“Apabila wang yang dicuri dimasukkan ke bank, tujuannya adalah untuk menghalalkannya. Namun wang itu telah hilang dari Ambank kerana akaun telah ditutup,” katanya.

Dr Mahathir berkata, apabila akaun ditutup, tidak bermakna sejumlah besar wang telah dikeluarkan secara tunai.

“Ia mesti telah dipindahkan ke bank lain, namun kita tidak dengar laporan dari mana-mana bank yang mengakui wang ini ada dalam simpanan mereka. Dua akaun telah dibekukan di Singapura dan itu sahajakah?

“Sesungguhnya pemegang akaun perlu disiasat dan adakah bank-bank menyimpan wang ini. Jika ini tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa untuk diambil tindakan, jelas sekali wang telah digubah,” katanya.

Menurutnya, jika perkara berkenaan benar, apa keperluan bagi bank untuk meneliti jumlah wang yang telah didepositkan kepadanya.

Beliau turut menjelaskan RM2.6 bilion adalah satu jumlah besar bagi keperluan pilihan raya di Malaysia.

"Kecualilah ia untuk merasuah pengundi. Mengapa ada orang mahu merasuah pengundi supaya Najib boleh menang?

"Rakyat telah menyokong BN tanpa perlu diberi rasuah yang besar oleh sesiapa, lebih-lebih lagi daripada orang asing," katanya.

BACA INI JUGA: Kalau Derma, RM2.6 Bilion Sepatutnya Milik Rakyat, Bukan Duit Najib!

Sumber: Sinarharian.com.my

3 comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon