Thursday, August 06, 2015

Siapa Dalang Ganggu Siasatan SPRM?


Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Mustafar Ali mengakui penahahan dua pegawai agensi berkenaan oleh polis menjejas proses siasatan ke atas SRC International Sdn Bhd (SRC) dan isu berkaitan dana RM2.6 bilion.

Datuk Mustafar Ali
Datuk Mustafar Ali.

“Tentunya apabila ada tindakan diambil terhadap pegawai penyiasat yang melaksanakan kerja penyiasatan, tentunya ia sedikit sebanyak menjejaskan siasatan.

“Itu tidak saya nafikan kerana dalam masa kita menjalankan kerja siasatan, pegawai ini sendiri telah ditahan,” katanya kepada pemberita di Pejabat Bahagian Operasi Khas SPRM.

Peralatan seperti komputer riba dan dokumen telah diambil polis, katanya.

Ditanya mengenai tempoh untuk siasatan SPRM dimuktamadkan, Mustafar berkata, “Saya tidak sebut bila siasatan akan selesai tetapi dalam tindakan kita yang telus dan profesional, kita tentunya nak melaksanakan kerja selancar mungkin”.

“Itu memang peranan kita berdasarkan Prosedur Standard Operasi (SOP) dan sebagainya tetapi selepas kita selesai nanti, tentunya akan dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara untuk penelitian lanjut,” katanya.

Timbalan Pengarah Bahagian Operasi Khas SPRM Datuk Tan Kang Sai memberi keterangan berkaitan isu kebocoran maklumat siasatan agensi itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya.

Selain itu, dua lagi pegawai SPRM yang memberi keterangan di IPD Putrajaya pada turut ditahan bagi membantu siasatan namun dibebaskan dengan jaminan polis beberapa jam kemudian. –BERNAMA

'Saya bersumpah dengan nama Allah saya akan mencari dalang yang mengarahkan ini'

Datuk Bahri Mohamad Zin

Pengarah Operasi Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Bahri Mohamad Zin hari ini bersumpah dengan nama Allah akan mencari dalang yang mengarahkan penangkapan anggota suruhanjaya itu.

"Saya bersumpah dengan nama Allah saya akan mencari dalang yang mengarahkan ini.

"Kami bekerja siang malam sepanjang bulan puasa dan ini, berlanjutan sepanjang hari raya baru ini.

"Kami tiada masa berpolitik tapi kami menjalankan tugas kami seperti yang diamanahkan dan diharap oleh rakyat.

“Demi Allah saya akan cari dalang dalang yang mengarahkan (penahanan) ini sehingga ke lubang cacing," beliau berkata.

Beliau juga mengingatkan 'dalang-dalang' itu bahawa kuasa yang mereka ada tidak sebesar mana.

“Kamu ada kuasa sedikit saja tapi saya ada Allah," katanya yang baru selesai menunaikan solat hajat ketika dihubungi Malaysiakini.

Bahri berkata demikian ketika diminta mengulas siasatan terbaru polis terhadap dua lagi pegawai SPRM, termasuk pegawai yang menyiasat bekas anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd.

Difahamkan, individu yang disiasat termasuk orang nombor tiga dalam operasi khas SPRM, Roslan Che Amat, serta menyerbu pejabat mereka di Putrajaya, dipercayai berkaitan kertas pendakwaan terhadap perdana menteri bocor.

Polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 124B Kanun Keseksaan bagi kegiatan yang menjejaskan demokrasi berparlimen.

Polis setakat ini sudah menyiasat beberapa pegawai SPRM dalam operasi yang bermula awal pagi Sabtu lalu dengan penahanan timbalan pendakwa raya suruhanjaya itu, Ahmad Sazilee Abdul Khairi.

Kesemua penahanan itu dibuat ketika ketua pesuruhjayanya, Datuk Abu Kassim Mohamed dan timbalannya, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull sedang bercuti.

Bahri turut disiasat pada Isnin lalu.

Bahri turut kesal dengan cara layanan yang diberikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap SPRM.

Katanya, pihak polis tidak akan menahan Timbalan Pendakwa Raya (DPP) pada jam 1 pagi melainkan ada pihak yang mengarahkan berbuat demikian.

“Saya kesal perkara ini berlaku, kami disiasat sepenuhnya siang dan malam. Tiba-tiba DPP kami diambil pada jam 1 pagi dan ia amat menghairankan saya mengapa boleh berlaku sedemikian.

“Saya rasa pihak polis tidak buat kerja gila macam ini, kecuali ada pihak yang mengarahkan sedemikian,” katanya.

Beliau yang mengaku disoal siasat oleh pihak polis selama tiga jam berkata, kenyataannya diambil untuk membantu siasatan pihak polis mengikut Seksyen 124(b) Kanun Keseksaan.

Siasatan yang dilakukan oleh pihak polis adalah mengenai artikel yang disiarkan laman web Sarawak Report minggu lepas mengenai draf yang dikatakan kertas pertuduhan terhadap Perdana Menteri.

Bahri berkata, beliau yakin bahawa SPRM tidak terlibat dalam menghasilkan semula kertas pertuduhan itu.

“Saya yakin dengan sepenuh hati, bukan dari kami, mungkin satu bendanya adalah ‘reproduce’ semula,” katanya yang juga merupakan sebahagian daripada pasukan khas yang menyiasat 1MDB.

Sumber: Bernama/Malaysiakini/Freemalaysiatoday

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon