Wednesday, August 12, 2015

Senarai Filem Wajib Tonton Ogos 2015!


Untuk bulan Ogos, boleh dikatakan bulan ini menyajikan banyak pilihan menarik seperti filem sukan berbasikal, tinju dan juga bola sepak. Selain itu, bulan ini juga akan menyaksikan filem-filem menarik lain seperti filem adiwira dan animasi.

Jadi, berikut adalah filem-filem yang kami sarankan anda tonton pada bulan Ogos ini.

To the Fore
Tarikh tayangan: 6 Ogos

To the Fore

Selepas muncul dengan filem "Unbeatable" diikuti dengan filem polis "The Demon Within", pengarah filem terkenal Dante Lam kembali dengan filem genre sukan, yang mana dibintangi oleh Shawn Dou, Choi Si-won dan Eddie Peng dalam "To the Fore".

Kami menjangkakan filem berbasikal ini akan menyerlahkan lagi bintang Taiwan ini yang bekerja keras demi menjayakan filem berkaitan persahabatan antara empat pelumba basikal yang menyertai kejohanan besar.

Wild City
Tarikh tayangan: 6 Ogos

Wild City

Babak kemusnahan bandar dan kejar-mengejar kini menjadi penanda aras baru dalam industri perfileman di Hong Kong yang mana kita dapat melihat banyak pengarah muncul dengan filem-filem bergenre seperti itu.

Kami agak terkejut apabila menonton treler "Wild City" dan mendapati ia adalah karya arahan Ringo Lam, yang kembali duduk di bangku pengarah selepas 12 tahun menyepikan diri.

"Wild City" ini mengisahkan tentang seorang polis dan adiknya melindungi seorang wanita yang membawa beg penuh dengan wang.

Selepas mengetahui gangster memburu wanita itu, mereka turut menjadi buruan polis menyebabkan mereka terpaksa cuba menyelesaikan masalah tersebut jika mereka saling mempercayai.

Dibintangi oleh Shawn Yue, Louis Khoo dan Tong Liya sebagai peneraju, kami berasakan pengarah Ringo Lam mempunyai barisan pelakon yang kuat selain akan menyaksikan banyak penampilan istimewa.

Kami amat berharap filem "Wild City" berjaya menandingi filem arahan Ringo Lam pada 1987 "City on Fire".

Fantastic Four
Tarikh tayangan: 6 Ogos

Fantastic Four

Seperti yang kita semua ketahui, musim panas akan melabuhkan tirai tidak lama lagi dan ini bermakna filem "Fantastic Four" ini adalah filem adiwira terakhir untuk anda tonton, sebab filem adiwira yang lain sudah pun ditayangkan sejak beberapa bulan lalu.

Filem terbaru ini adalah 'reboot' yang mana jika dilihat nama pengarahnya, Josh Trank, pastinya ramai ternanti-nanti karya terbaru arahannya selepas filem debutnya "Chronicles" berjaya mendapat banyak pujian.

Francais terbaru ini kali ini juga akan menyaksikan muka baru membawa watak Fantastic Four iaitu Miles Teller, Michael B. Jordan, Kata Mara dan Jamie Bell.

Walaupun terdapat banyak berita atau laporan yang tidak elok mengenai filem ini, namun kami mengambil pendekatan untuk tidak mahu mengiyakannya kerana mahu menontonnya sendiri sebelum memberi sebarang ulasan.

Southpaw
Tarikh tayangan: 6 Ogos

Southpaw

Filem yang sepatutnya dibintangi oleh rapper terkenal Eminem telah digantikan dengan Jake Gyllenhall sebagai peneraju filem sukan tinju "Southpaw" ini.

Walau bagaimanapun, filem ini dijangka akan menjadi perhatian ramai apabila melihat perubahan yang dilakukan oleh Jake untuk menjayakan watak sebagai juara tinju ini, dengan sokongan pembantu hebat Rachel McAdams dan Forest Whitaker (50 Cent juga akan membuat penampilan istimewa).

Filem arahan Antoine Fuqua ini mengisahkan tentang seorang peninju kematian isterinya selepas dengan secara tidak sengaja terbunuh, dia hidup dalam keadaan tertekan sehingga anaknya terpaksa diletakkan di bawah penjagaan jabatan kebajikan dek sikapnya yang menjadi ganas.

Demi bersatu kembali dengan anaknya, dia telah berazam untuk berubah hidupnya dan kembali menjadi juara tinju.

Selfless
Tarikh tayangan: 6 Ogos

Selfless

Seorang billionaire tua dalam keadaan nazak akibat sakit telah ditawarkan peluang sekali dalam seumur hidup untuk menjalani prosedur yang dipanggil 'shedding', iaitu memindahkan dirinya ke tubuh badan lebih muda, sekaligus membolehkannya memanjangkan hayat.

Bagaimanapun selepas menjalani kehidupan dalam tubuh baru, dia mula mengalami 'flashback' memori lama pemilik tubuhnya itu.

Walaupun tidak banyak ulasan mengenai filem ini, namun kami berminat untuk melihat visi pengarah Tarsem Singh dalam menghasilkan filem sci-fi ini.

The Crossing 2
Tarikh tayangan: 13 Ogos

The Crossing 2

Selepas pada filem pertama ia mengisahkan tentang pembinaan kapal, untuk filem keduanya akhirnya kapal tersebut berlayar.

Filem kisah cinta tragedi epik arahan John Woo ini diangkat daripada kejadian sebenar yang telah berlaku pada 27 Januari 1949 yang mana kapal tersebut telah karam dan mengorbankan lebih 1,500 penumpang dan kru kapal.

Filem ini dibintangi oleh pelakon hebat antaranya Zhang Ziyi, Song Hye-kyo dan Takeshi Kaneshiro.

Pixels
Tarikh tayangan: 13 Ogos

Pixels

Apabila bumi dicerobohi oleh makhluk asing yang merupai karakter permainan video, Presiden terpaksa meminta bantuan sekumpulan pemain permainan video arked lama untuk membantu menumpaskan mereka.

Di sebalik mendapat ulasan yang teruk, ia agak sukar untuk membenci filem yang mana boleh dikatakan sebahagian daripada memori kita pada zaman kanak-kanak apabila permainan video kegemaran diangkat ke layar perak.

Tidak seperti "Wreck-It Ralph", "Pixels" akan menyaksikan banyak karakter-karakter permainan video kegemaran ramai seperti Pac-Man sehingga Donkey Kong.

Ia dibintangi oleh Adam Sandler, Kevin James dan Josh Gad bersama dengan Peter Dinklage, Sean Bean dan Michelle Monaghan.

The Man from U.N.C.L.E
Tarikh tayangan: 13 Ogos

The Man from U.N.C.L.E

Kita baru sahaja disajikan dengan filem pengintip terbaik untuk tahun ini iaitu "Mission: Impossible Rogue Nation", namun jika anda mahu tonton filem pengintip klasik, "The Man from U.N.C.L.E" adalah filem yang anda wajib tonton.

Henry Cavil dan Armie Hammer membawa watak sebagai pengintip dari pihak bertentangan Iron Curtain, tetapi terpaksa bekerjasama untuk menjejaki organisasi misteri yang ingin memulakan Perang Dingin.

Dengan mempunyai petunjuk tunggal iaitu anak kepada seorang saintis Jerman, sementara kedua-dua mereka tertekan dengan masing-masing, mereka terpaksa menyesuaikan diri demi memastikan misi tersebut berjaya.

Kami bagaimanapun sedikit ragu-ragu filem arahan Guy Ritchie ini mampu menandingi filem arahan Michael Vaugh, "Kingsman".

Namun filem ini masih boleh dikatakan filem terbaik untuk ditonton.

Nota
Tarikh tayangan: 13 Ogos

Nota

Apabila rumah tangga Kamal dan Erin berada seperti telur di hujung tanduk selepas mereka tidak memperoleh anak setelah 10 tahun berkahwin, mereka mengambil keputusan untuk mengeratkan kembali cinta mereka dengan melawat kembali tempat di mana cinta mereka mula berputik.

Bagaimanapun, perancangan itu tidak jadi seperti dirancang apabila Erin menjumpai nota yang ditulis oleh Kamal yang menyatakan ia mungkin peluang untuknya menamatkan rumah tangganya.

Dalam keadaan sedih dan tertekan, antara cinta dan benci, Erin merancang satu pembunuhan dengan menggunakan nota itu sebagai bukti yang kuat untuk dirinya.

Selepas lama aktif dalam industri perfileman, akhirnya pelakon popular Maya Karin dan Hans Isaac bergandingan buat kali pertama bagi menjayakan watak Kamal dan Erin.

Apa yang menariknya, filem ini diarahkan oleh pengarah Jepun iaitu Yasu Tanaka, yang mana penggambaran dilakukan di Taman Negara Bako, Sarawak.

Dalam filem ini juga akan menyaksikan penampilan terakhir Allahyarham Ramli Hassan yang telah meninggal baru-baru ini.

Hitman: Agent 47
Tarikh tayangan: 20 Ogos

Hitman: Agent 47

Bercakap mengenai permainan video, jika zaman kanak-kanak anda tidak menghabiskan masa di arked permainan video, pastinya filem yang diadaptasi dari permainan video ini dari generasi anda.

Selepas gagal dalam percubaan filem pertama mereka, nampaknya ia tidak mematahkan semangat mereka apabila pihak permainan video Hitman kembali tampil dengan filem pembunuh upahan baru.

"Hitman: Agent 47", iaitu filem 'reboot' dari filem pada tahun 2005 dengan Rupert Friend sebagai peneraju.

Selain itu, filem ini diarahkan oleh Aleksander Bach yang akan membuat pengarahan debutnya, menggantikan Xavier Gen.

Jalan cerita filem ini hampir serupa dengan terdahulu kerana penulis skrip Skip Woods kembali menulis skrip untuk "Hitman: Agent 47".

Filem ini boleh dikatakan penuh dengan aksi tembak-menembak berdasarkan treler yang diriliskan baru-baru ini, tetapi kami merasakan ia adalah perkara yang baik dan pastinya penonton juga sukakannya.

Dalam pada itu, Angelababy juga akan tampil sebagai watak cameo.

Absolutely Anything
Tarikh tayangan: 20 Ogos

Absolutely Anything

Sementara kita sering menonton filem yang mengisahkan tentang seorang lelaki biasa diberi kuasa luar biasa (seperti "Bruce Almighty" atau "Click"), bagaimanapun kita tidak pernah melihat seorang lelaki biasa mendapat kuasa untuk melakukan apa sahaja.

Diarahkan oleh Terry Jones dengan Simon Pegg sebagai peneraju, ia mengisahkan tentang seorang lelaki diberi kuasa yang membolehkan dia melakukan apa sahaja jika dia menggunakannya untuk kebaikan. Jika tidak, penduduk bumi akan dihapuskan oleh makhluk asing.

Kita sudah pastinya akan tidak kering gusi dengan gelagat Simon Pegg yang bergandingan dengan Kate Beckinsale.

Selain itu mendiang Robin Williams juga terbabit dengan filem ini yang mana merupakan filem terakhirnya.

Inside Out
Tarikh tayangan: 20 Ogos

Inside Out

Pixar muncul dengan filem animasi terbaru mereka, dan apa yang melegakan kami adalah ia bukan filem sekuel, tetapi filem baru.

"Inside Out" membawa kita ke dalam minda seorang gadis berusia 11 tahun bernama Riley yang mana dia dikawal oleh lima emosinya iaitu Joy, Sadness, Fear, Anger dan Disgust.

Apabila Joy dan Sadness dengan secara tidak sengaja termasuk dalam ceruk memori Riley, mereka terpaksa cuba menyelesaikan sebagaimana Riley cuba untuk memahami kisah trauma dan pengalaman lampaunya.

Filem ini mendapat ulasan baik sejak ia ditayangkan di AS beberapa bulan lalu, kami tidak sabar untuk menanti filem terbaru Pixar selepas "Monster University" dan "Brave".

Attack on Titan - Part 1
Tarikh tayangan: 27 Ogos

Attack on Titan - Part 1

Manusia terperangkap di dalam tembok yang dibina oleh mereka sendiri demi melindungi diri daripada gergasi-gergasi pemakan manusia.

Pada satu serangan gergasi, hanya tinggal tiga orang sahaja yang terselamat iaitu Eren, Mikasa dan Armin yang mana mereka kemudiannya telah mengambil keputusan untuk menyertai Survey Corp demi membebaskan manusia daripada gergasi, dan juga membalas dendam terhadap gergasi atas kematian keluarga mereka.

Filem Jepun yang dinanti-nantikan sejak "Rurouni Kenshin" ini bakal ditayangkan di Malaysia pada bulan ini.

"Attack on Titan- Part 1" diangkat dari siri animasi manga popular Hajime Isayama, sementara cerita dan karakter diubah sedikit tetapi dengan kesan khas yang hebat arahan pengarah Higuchi Shinji ini pastinya akan memukau penonton.

Jejak Warriors
Tarikh tayangan: 27 Ogos

Jejak Warriors

Selepas filem "Rembat", kini muncul lagi sebuah filem yang memaparkan tentang bola sepak Malaysia yang sememangnya patut ditonton oleh semua terutamanya bagi peminat The Red Warriors.

Selepas bapa Wan Raja meninggal dunia, dia mendapati arwah bapanya mempunyai satu hajat yang belum tercapai lagi iaitu mendapatkan tandatangan kesemua pemain bola sepak Kelantan.

Demi menunaikan hajat arwah bapanya, bermulalah pengembaraan Wan Raja dari Johor Bahru ke Kota Bahru. Sepanjang pengembaraannya itu, dia bertemu dengan ramai kawan, peminat dan juga pengawal keselamatan yang membantunya mendapatkan tandatangan kesemua pemain bola sepak The Red Warriors.

Pengarah filem ini iaitu Saw Teong Hin berkata dia terkejut apabila diberi kepercayaan untuk mengarah filem "Jejak Warriors" dan sudah semestinya ia bukan sekadar mahu mempromosikan pasukan Red Warriors sahaja, tetapi pelbagai pengajaran dan nilai-nilai murni akan disuntik dalam filem ini oleh pengarah yang pernah mengarah filem "Puteri Gunung Ledang, "Apa Kata Hati" dan "Hore! Hore!" ini.

Our Sister Mambo
Tarikh tayangan: 27 Ogos

Our Sister Mambo

Mungkin ada yang masih menunggu filem arahan Randy Ang "1965", iaitu filem kemerdekaan Singapura, untuk ditayangkan di Malaysia, sementara itu penonton boleh menyaksikan filem Singapura "Our Sister Mambo".

Berdasar filem "Our Sister Hedy" (1957) dan "The Greatest Civil War on Earth" (1961), filem ini berkisarkan mengenai keluarga Wong yang mana si bapa sentiasa mahu mengeratkan hubungan keluarga mereka, manakala Mambo pula cuba membantu kakak-kakak dan adiknya untuk berkahwin, supaya dia dapat mengejar cita-citanya untuk menjadi seorang tukang masak.

"Our Sister Mambo" dihasilkan bagi menyambut ulang tahun ke-80 Cathay, yang mana kita juga dapat menyaksikan pelakon Moses Lim kembali selepas kali terakhir dia muncul di layar perak pada tahun 2007 menerusi "Just Follow Law".

Selain itu pelakon TV popular Singapura, Michelle Chong dan Shu Ah Oon, akan membawa watak utama. Pelakon dari Malaysia Joey Leong pula akan tampil dengan filem berbahasa Inggeris pertamanya.

Blogger terkenal Singapura Xiaxue juga akan muncul dalam filem ini.

BACA INI JUGA: Adakah Komplot 'Men In Black' Benar-benar Wujud?

Sumber: Cinema.com.my

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon