Wednesday, August 19, 2015

'Guling Kerajaan', Zahid Serah Bukti Kepada Polis


Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan beliau telah menyerahkan bukti dalang yang terlibat dalam komplot untuk menggulingkan kerajaan kepada pihak polis.

Guling Kerajaan Najib
Gambar hiasan.

Beliau berkata maklumat itu penting bagi membantu siasatan pihak polis sebelum ia diserahkan kepada Peguam Negara untuk membuka kertas pertuduhan.

"Kertas siasatan telah dibuka, saya juga telah menyerahkan seluruh maklumat itu kepada pihak polis untuk melakukan siasatan.

"Selepas itu kertas siasatan itu akan diserahkan kepada Peguam Negara untuk membuka kertas pertuduhan," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin (JKKPA-Pati) Bangunan Perdana Putra.

Beliau mengulas tindakan beberapa NGO yang membuat laporan polis terhadap cubaan menggulingkan kerajaan dan Datuk Seri Najib Tun Razak supaya satu siasatan segera dijalankan.

Antaranya Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP), Ramesh Rao yang meminta Ahmad Zahid mengemukakan bukti wujudnya komplot tersebut.

Ramesh berkata Naib Presiden Umno itu perlu memberikan kerjasama dengan pihak polis dengan memberikan keterangan supaya tindakan dapat diambil ke atas dalang yang terbabit.

Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri mengakui mempunyai bukti kukuh tentang tindakan seorang tokoh besar Umno yang didakwa mengatur gerakan menggulingkan kerajaan melalui cara undi tidak percaya di Parlimen dengan sokongan Ahli Parlimen pembangkang.

Dalam pada itu, beliau juga enggan mendedahkan jumlah individu terbabit dalam komplot tersebut, sambil menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menyiasatnya.

"Tidak boleh didedahkan (nama terlibat), sebab kalau didedahkan ia akan membantutkan proses siasatan," ujarnya.

Ahmad Zahid turut menafikan pendedahan sebuah blog yang memaparkan 20 nama Ahli Parlimen BN yang didakwa terlibat dalam pakatan untuk menjatuhkan kerajaan.

"Tidak ada seorang pun daripada 20 nama Ahli Parlimen BN, sebagaimana yang terpapar dalam blog tertentu yang telah didekati untuk dibeli menandatangani akuan bersumpah (SD) itu.

"Oleh sebab itu, bersihkanlah nama mereka," tegasnya.

Ketika ditanya tentang salah seorangnya adalah Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li), beliau bagaimanapun menyerahkan perkara itu kepada pihak polis.

"Saya serahkan kepada pihak polis, untuk mengenal pasti dan melakukan siasatan (KuLi terlibat)," katanya lagi.

BACA INI JUGA: Undi Tidak Percaya Dipanggil Pemindahan Politik, Bukannya 'Guling Kerajaan'!

Sumber: Sinarharian.com.my

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon