Friday, August 21, 2015

5 Anggota ATM Disahkan Antara Ditahan Polis Terlibat Dengan Militan IS


Menteri Pertahanan, Hishammuddin Hussein mengesahkan bahawa lima anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merupakan antara yang ditahan kerana disyaki terlibat dengan kegiatan kumpulan militan IS dua hari lepas.

IS

Sehubungan itu, ATM menyerahkan sepenuhnya kepada Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman untuk menjalankan siasatan.

Hishammuddin bagaimanapun enggan mendedahkan butiran lanjut mengenai lima anggota berkenaan bagi mengelakkan siasatan terjejas, dan hanya berkata mereka terdiri daripada anggota berpangkat rendah.

“Lima anggota ATM itu telah digantung tugas serta merta. Ini bermakna setakat hari ini, 11 anggota tentera telah ditahan (kerana disyaki ada kaitan) dengan IS,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kota Baharu di sini, hari ini.

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dilaporkan berkata polis menahan 10 warga tempatan termasuk enam anggota pasukan keselamatan kerana disyaki terlibat dengan kegiatan kumpulan militan IS dalam operasi serentak di Kuala Lumpur dan lima negeri pada Rabu lepas.

Hishammuddin berkata walaupun penglibatan anggota tentera dengan kegiatan kumpulan IS tidak terlalu serius namun ATM telah mengambil langkah proaktif menghalang gerakan dari luar negara itu daripada menular di Malaysia.

“Ini merupakan fenomena yang kita kawal rapi dan kita bekerjasama rapat dengan agensi-agensi risik di seluruh dunia kerana tidak ada negara yang terkecuali daripada sentuhan IS ini,” katanya.

Beliau berkata ATM akan mengambil tindakan tegas terhadap anggotanya yang disyaki ada kaitan dengan kumpulan IS.

“Dalam ASEAN, saya mempengerusikan mesyuarat menteri-menteri pertahanan telah membuat pendirian yang bulat tidak sekali-kali menyokong atau membenarkan IS menular di rantau kita. Setiap negara akan mengambil tindakan masing-masing agar IS tidak bertapak di sini,” katanya.

Sementara itu, Hishammuddin berkata pihaknya mengikuti rapat perkembangan insiden pengeboman di Bangkok, Thailand pada Isnin lepas, untuk mengetahui adakah insiden itu memberi risiko kepada Malaysia.

Beliau telah dimaklumkan oleh rakan sejawatannya bahawa sebarang maklumat yang telah disahkan berkaitan kejadian berkenaan akan dipanjangkan kepada pihak Malaysia.

Dalam kejadian letupan bom di persimpangan Ratchaprasong berdekatan Kuil Erawan dan pusat membeli belah di Bangkok pada 7 malam (8 malam waktu Malaysia) Isnin lepas, lima rakyat Malaysia terkorban dan tiga lagi cedera.

Mereka antara 20 orang yang maut dan 123 yang cedera akibat letupan bom itu, satu daripada kes keganasan paling buruk di Bangkok dalam tempoh beberapa bulan lepas. –BERNAMA

BACA INI JUGA: Militan ISIS Ciptaan Amerika - Dr. Mahathir

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon