Tuesday, July 07, 2015

Ringgit Lemah Tapi 51 Mata Wang Lain Lagi Teruk


Cuba bayangkan anda berada di sebuah kawasan pelancongan popular di Geylang Serai, Singapura yang majoritinya ialah pelancong Malaysia, ironi tiada seorang pun beli-belah di situ, dan jika ada pun sedikit sahaja.

Krisis-matawang

Lain halnya di Ho Chi Minh City, Vietnam; pasar Ben Thanh yang popular dalam kalangan warga Malaysia hingga diberi gelaran ‘Pasar Malaysia’, penuh sesak dengan pelancong Malaysia memborong pelbagai barangan di situ.

Situasi sama juga berlaku di Tanah Abang, Jakarta dan Bandung di Indonesia; 8 daripada 10 pelancong asing di situ ialah wajah orang Malaysia sibuk membeli-belah itu dan ini seolah-olah macamlah esok hendak kiamat.

Tidak ketinggalan Guangzhou di China mula jadi pilihan peniaga Malaysia untuk berborong apa sahaja barangan termasuk berjenama pada harga murah malah ada pekedai tempatan mampu cakap ‘sikit-sikit’ perkataan Melayu.

Empat negara tersebut bahkan dijadikan kayu pengukur mudah untuk menentukan trend berbelanja rakyat Malaysia di luar negara; tanpa melibatkan warga Malaysia menunaikan ibadah umrah di tanah suci Makkah.

Ho Chi Minh City
Ben Thanh Market, Ho Chi Minh City, Vietnam.

Sekadar rekod, jemaah Malaysia amat popular dalam kalangan peniaga Arab Saudi kerana sifat ‘pemurah’ rajin berbelanja sebelum balik ke tanah air sehingga menyebabkan ramai pekedai fasih bertutur bahasa Melayu.

Umumnya tidak ramai sedar, ketika ada segelintir pihak tidak bertanggungjawab di negara kita cuba sensasikan kelemahan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), realitnya mata wang tempatan itu relatif stabil.

Memang sejak Isnin, ringgit menghampiri kadar tambatan RM3.80 = AS$1, yang diperkenalkan pada 2 September 1998; rakyat Malaysia di luar negara sepatutnya paling sensitif dengan pergerakan mata wang itu waima 1 sen pun.

Ironi, kelebihan itu turut dimanfaatkan jutaan pelancong Malaysia di negara-negara tertentu yang kadar mata wang mereka jauh lebih teruk berbanding dolar AS sementara ringgit menjadi pilihan pengurup asing di sana.

Tidak hairanlah kelemahan ringgit berbanding dolar Singapura misalnya mengakibatkan ramai peniaga republik itu ‘marah’ dengan pemerintah kerana menyebabkan mereka kerugian besar dan premis perniagaan lengang.

Arab Saudi
Sebuah bazar awam di Madinah, Arab Saudi.

Terbalik pula di Malaysia, pembangkang cuba hasut rakyat kononnya ringgit jatuh sebagai bukti ekonomi negara teruk tanpa menyedari jutaan pelancong antarabangsa mula memasuki Malaysia kerana faktor mata wang kita.

Ini belum lagi dicampur sentimen pelabur antarabangsa mengambil peluang itu memasuki pasaran portfolio modal Malaysia disokong sistem perbankan tempatan yang kukuh dan kadar hutang negara masih lagi rendah.

Keadaan ini jauh berbeza ketika krisis ekonomi Asia pada 1998 apabila ringgit ‘diserang’ teruk oleh spekulator asing mengakibatkan ada beberapa negara terpaksa memohon bantuan suntikan dana kecemasan daripada IMF.

Mujur Malaysia enggan menurut perintah IMF dan terselamat menjadi ‘hamba’ sebaliknya melaksanakan kaedah tambatan seperti dilakukan China ke atas yuan sebelum ringgit kembali diapungkan di pasaran global pada 2005.

Hakikatnya di sebalik dakwaan bahawa AS adalah dalang mengakibatkan mata wang 52 negara merudum sejak tahun lalu, kelemahan ringgit bukan disebabkan asas ekonomi Malaysia lemah tetapi faktor global di luar kawalan.

RIYAL
Mata wang Iran kini AS$1 = 30,000 riyal.

Data terbaharu IMF menunjukkan mata wang paling teruk jatuh sebenarnya riyal Iran, ruble Rusia, lira Turki, rupiah Indonesia, rand Afrika Selatan, real Brazil, koruna Czech, peso Mexico, rupee India dan forint Hungary.

Secara kebetulan tiga negara teratas; Iran, Rusia dan Turki; dianggap ada masalah dengan AS sehingga ada penganalisis melihat ia lebih berbaur politik daripada faktor ekonomi iaitu hukum penawaran dan permintaan.

Bayangkan riyal Iran pernah jatuh 102% dalam sehari sebelum mata wang negara Parsi itu purata negatif 38% pada tahun lalu manakala ruble Rusia merudum lebih 20% pada 2014 ekoran isu pertikaian dengan Ukraine.

Lira Turki pula turun purata 15% lebih disebabkan ketidakstabilan politik domestik dan tekanan antarabangsa kerana dianggap bersubahat menjadi pintu masuk transit militan ekstremis IS menyusup ke Asia Barat.

Dalam kalangan negara maju, jangan ingat mata wang mereka kukuh sebaliknya yen Jepun, pound British, krone Norway dan dolar Kanada pun susut purata kurang 10% setahun di sebalik kekuatan ekonomi masing-masing.

Lucunya, kekukuhan dolar AS menurut akhbar berpengaruh The Washington Post, sebenarnya kekalahan AS secara teknikal kepada Zon Eropah sendiri apabila 1 euro catat bersamaan AS$1.03; jatuh 24% berbanding 2014.

YEN
Mata wang Jepun susut dan kini AS$1 bersamaan 123 yen.

Ini merupakan angka terburuk bagi euro berbanding dolar dalam masa 12 tahun, tetapi berita itu disambut penuh kesyukuran oleh warga Eropah kerana ia bermakna produk AS mahal dan tidak berdaya saing di seluruh dunia.

Krisis ekonomi Greece sejak bulan lalu juga mungkin beri kesan besar kepada mata wang antarabangsa, namun Malaysia dijangka menerima sedikit tempias kerana dagangan dua hala negara dengan Greece relatif sangat kecil.

Seperti yang ditegaskan Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Zeti Ahtar Aziz, ringgit sebenarnya diniagakan 15% kurang daripada nilai ideal kerana faktor luaran walhal asas ekonomi negara kita amat signifikan stabil.

Malah, penganalisis ternama, Datuk Dr. Nazri Khan yang dipetik pelbagai media tempatan juga optimis dengan ringgit dan dijangka menjadi daya penarik kemasukan lebih banyak modal antarabangsa ke pasaran Malaysia.

Dalam cerita realiti, kelemahan ringgit menyebabkan warga Singapura misalnya terpaksa datang membeli sayur, ikan waima barang keperluan dapur di Johor Bahru sekali gus memberi faedah besar kepada peniaga tempatan.

Sebaliknya, Singapura meskipun bangga dengan dolarnya konon kukuh, pelancong Malaysia keberatan berbelanja besar walhal selama ini rakyat kitalah yang banyak memajukan kekayaan ekonomi mereka.

BACA INI JUGA: Krisis Hutang Greece Yang Kita Perlu Tahu

Sumber: Mynewshub.cc

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon