Monday, July 13, 2015

Insiden Low Yat, Jangan Mudah Laung Takbir


Seantero Malaysia tahu, semalam, perkarangan pusat beli-belah Plaza Low Yat telah dibanjiri dengan individu yang tidak berpuas hati berikutan isu seorang pemuda yang kononnya tertipu setelah membeli telefon bimbit bukan set original.

AMUK

Perhimpunan tersebut pada mulanya hanyalah bersifat untuk menyokong mangsa yang tertipu, namun lama kelamaan bertukar menjadi huru hara sehingga mengakibatkan beberapa orang cedera termasuk dua wartawan.

Lantas, isu tersebut mendapat perhatian pendakwah terkenal, Dr Zaharudin Abdul Rahman apabila beliau menasihatkan pihak yang ingin terlibat dalam pergaduhan di Low Yat untuk menghentikan niat mereka itu demi kemuliaan bulan Ramadan.

“Saya menyeru mereka yang terlibat dan ingin terlibat dalam pergaduhan di Low Yat tidak lagi meneruskan dendam dan pergaduhan, khususnya di bulan Ramadan yang merupakan bulan penuh kesabaran,” ujar beliau dalam tulisannya di ruang Facebook rasmi.

Beliau turut berkongsi kisahnya yang pernah kerugian puluhan ribu ringgit, namun ujarnya, pergaduhan yang berlaku semalam bukanlah jalan terbaik untuk mencari penyelesaian kerana ia boleh menimbulkan ketegangan kaum dan turut menjejaskan ketenteraman awam.

“Dibimbangi hal ini jika berpanjangan, boleh mencetus sesuatu yang lebih buruk dan merebak kepada individu & kedai yang tidak terlibat, akhirnya terjebak sehingga boleh menjadi antara kaum.

“Sedangkan ini SEPATUTNYA bukan hal KAUM tetapi adalah kakitangan SEBUAH KEDAI dan PELANGGANNYA sahaja. Selesaikanlah secara spesifik dan terhad bukan merebak kepada yang lain.”

Dr Zaharudin Abdul Rahman

Apa yang lebih menarik, beliau turut menegaskan bahawa laungan takbir bukanlah sewenang-wenangnnya boleh dilafazkan, apatah lagi dalam situasi pergaduhan.

Ujar Zaharuddin, pertelingkahan antara dua pihak merupakan satu isu duniawi, lantas lafaz mulia itu tidak patut dijadikan sandaran kerana ia mampu menjejaskan imej Islam.

“Juga ingin ditegaskan, bagi mereka yang bergaduh di mana-mana sahaja, JANGANLAH sewenangnya melaungkan lafaz takbir sewaktu nafsu amarah itu sedang dilayani.

“Pergaduhan & kebencian akibat disebabkan hal DUNIAWI semata-mata yang tidak pula syarie TIDAK LAYAK dilaungkan lafaz mulia itu malah boleh merosakkan imej Islam.”

Pastinya, teguran yang dibuat beliau benar kerana mana-mana individu tidak boleh menggunakan kesucian Islam untuk membenarkan apa-apa tindakan yang bertentangan dengan agama.

Matlamat tidak menghalalkan cara.

BACA INI JUGA: Apa Itu Pluralisme Dan Bahayanya Kepada Akidah Umat Islam

Sumber: Mynewshub.cc

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon