Monday, July 13, 2015

Ini Cerita Sebenar Pergaduhan Di Plaza Low Yat


Saat ini, media sosial dan aplikasi Whatsapp diasak pelbagai khabar angin tentang isu sekumpulan pemuda mengamuk di pusat beli-belah barangan elektronik, Plaza Low Yat.

Rasis

Secara umumnya, ramai yang memihak kepada remaja yang dikatakan telah ‘dikelentong’ oleh sebuah kedai menjual telefon bimbit apabila terpedaya membeli set telefon bimbit bukan original.

Ikut logik, siapa tak marah kalau kena tipu macam tu kan?

Sudahlah duit melayang dan gajet yang diperolehi bukanlah asli, tambah menyakitkan hati apabila turut dihalau dan dituduh mencuri selepas datang kembali ke kedai bagi meminta ganti rugi.

Lagi menambahkan suhu ketegangan apabila remaja itu dikatakan turut ditahan pihak sekuriti, namun dilepaskan selepas itu kerana kononnya terbukti tidak bersalah.

Maka akibat berang dengan tindakan pihak penjual yang mengambil kesempatan, remaja itu kembali ke Low Yat bersama beberapa rakan untuk membalas dendam dan menuntut haknya sebagai pengguna!

Itu merupakan cerita yang tersebar di Facebook, Twitter dan laman-laman blog dan pastinya, ia menimbulkan rasa tak puas hati dalam kalangan warga Malaysia. Ada pihak mempertahankan tindakan remaja-remaja tersebut yang menunjukkan sifat tidak mudah ditindas manakala sebahagian lagi mengecam tindakan penjual yang kaki penipu.

Kalau difikirkan secara logik, kes itu hanya melibatkan pembeli dan penjual di kedai tersebut namun kerana rakaman pergaduhan mula disebarkan dan ditonton ramai, pihak ketiga mula membuat telahan.

Khabar angin yang dikongsikan di media sosial menjadikan kes yang masih tidak tahu hujung pangkal itu, kemudiannya mula menyalakan api perkauman. Akibatnya Plaza Low Yat telah menjadi tapak perhimpunan sekumpulan pihak yang mendakwa ingin membela nasib pemuda tersebut yang ditipu peniaga.

Sambil memainkan isu perkauman, mereka turut hadir bagi memboikot peniaga di situ yang dikatakan telah lama menjalankan aktiviti penipuan terhadap pembeli. Natijahnya, beberapa orang mengalami kecederaan akibat tindakan kasar yang dilakukan pihak tidak bertanggungjawab.

Tapi, adakah cerita yang digembar-gemburkan itu merupakan situasi sebenar yang berlaku pada hari kejadian? Jawapannya, tidak!

Setelah versi palsu kejadian tersebut mencemarkan ruang media sosial selama satu hari, akhirnya pihak berkuasa tampil menyatakan cerita sebenar.

Memetik laporan New Straits Times (NST), hasil siasatan polis akhirnya mendedahkan bahawa remaja lelaki berusia 22 tahun itu sememangnya mencuri telefon bimbit dan kerana itu dia ditahan.

Hasil penelitian dari kamera litar tertutup (CCTV), ia memaparkan suspek sedang berborak dengan penjual di situ sebelum bertindak mengambil telefon dan melarikan diri ketika penjual berpusing ke arah lain.

“Hasil siasatan mendedahkan pemuda itu telah mencuri telefon bimbit tersebut yang mana dia kemudiannya ditangkap oleh orang awam.

“Hasil rakaman CCTV menunjukkan suspek berbincang dengan penjual sebelum dia mengambil telefon dan berlalu pergi tanpa membayar.”

Setelah perbuatan pemuda tersebut disedari, penjual di premis itu menjerit meminta bantuan. Suspek yang sedar akan situasi itu terus melarikan diri menuruni eskelator sebelum terjatuh dan berjaya ditahan.

Setelah dia disiasat pengawal keselamatan plaza tersebut, rakan-rakannya yang tidak berpuas hati kemudiannya menghampiri premis sebelum melampiaskan dendam mereka dengan mencederakan beberapa pekerja di situ, juga barangan di dalam kedai hingga mengakibatkan pemilik menanggung kerugian RM70,000.

Hanya kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Bermula daripada kes kecurian, ia diperbesarkan sehingga melibatkan isu perkauman dan akhirnya insiden semalam telah mencemarkan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.

BACA INI JUGA: Kena Orang Islam, Tak Apa. Kena Pada Bukan Islam, Heboh 1 Malaysia!

Sumber: Mynewshub.cc

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon