Tuesday, July 07, 2015

Bahaya Bakteria Kebal Antibiotik, Perkara Yang Anda Wajib Tahu!


Apabila terdedah kepada antibiotik, bakteria bermutasi untuk kelangsungan hidup diri dan generasi seterusnya.

Antibiotik

Sesetengah doktor dikhuatiri masih mengekalkan pempreskripsian antibiotik kepada penghidap demam, sungguhpun pihak berkuasa kesihatan telah mencadangkan ia hanya untuk penghidap yang mengalami infeksi bakteria dan dipreskripsi secara bijak.

Setelah mengambil antibiotik beberapa kali dengan sukatan berdasarkan preskripsi, sesetengah penghidap demam dikatakan mengalami tempoh demam lebih pendek dan simptom yang mengiringi suhu tubuh tinggi juga reda pada kadar lebih pantas.

Antibiotik sebenarnya tidak sesuai untuk dipreskripsi kepada penghidap demam selesema atau flu.

Walaupun tidak dinafikan infeksi bakteria tertentu boleh menimbulkan simptom seakan-akan demam selesema atau flu, namun pada kebanyakan keadaan kedua-dua penyakit itu dipercayai berpunca daripada infeksi virus terutama jika penghidap didiagnosis dengan teliti.

Paracetamol yang kurang kesan sampingan buruk berbanding antibiotik dikatakan merupakan antara ubatan yang biasa dipreskripsi kepada penghidap demam bertujuan membantu menurunkan suhu badan dan dan mengurangkan kesakitan misalnya yang berpunca daripada sengal seluruh tubuh, sengal sendi dan sakit kepala.

Simptom seperti batuk dan selesema pula diatasi dengan mengambil ubat batuk dan thymol (beberapa titik dilarutkan dalam air panas dan wap disedut).

Antibiotik pertama

Penisilin ialah antibiotik pertama ditemui Alaxander Fleming daripada kultur kulapuk penicilleum secara tidak sengaja.

Untuk pengetahuan pembaca budiman, kulapuk penicilleum boleh didapati membiak dengan mudah pada kulit oren dan roti terdedah dan terbiar lama dengan sifat berbulu halus berwarna kebiruan atau kehijauan.

Hari ini terdapat lebih daripada 100 jenis antibiotik yang dipreskripsi oleh doktor perubatan moden untuk merawat pelbagai penyakit termasuk penyakit berpunca daripada infeksi yang boleh menyebabkan kematian.

Namun, penggunaan antibiotik secara kerap dikatakan boleh menimbulkan antimicrobial resistance (AMR). Ia adalah suatu keadaan di mana bakteria kebal kepada antibiotik.

Sehubungan dengan itu, kekerapan penggunaan antibiotik methicillin dikatakan boleh menyebabkan suatu keadaan dikenali sebagai Staphylococcus aureus kebal methicillin (MRSA: Methicillin-resistant Staphylococcus aureus).

Methicillin ialah antibiotik beta-lactam spektrum sempit (narrow-spectrum β-lactam antibiotic) merupakan antibiotik kelas pensilin.

Pada 2005, nama methicillin diubah kepada meticillin berdasarkan garis panduan International Pharmacopoeia.

Selain kebal kepada antibiotik kelas penisilin, MRSA juga dikatakan kebal kepada beberapa antibiotik termasuk oxacillin dan amoxilin. HA-MRSA pula kebal kepada tetracycline, erythromycin dan clindamycin.

Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Azman Abu Bakar berkata, tidak semua penyakit memerlukan antibiotik khususnya disebabkan virus. Jika salah penggunaannya, ia akan menimbulkan risiko kes Antimicrobial Resistance (AMR).

Terdapat pesakit yang sukar sembuh selepas mengambil antibiotik tertentu kerana tubuhnya imun (kebal) terhadap antibiotik itu tersebut ketika penyakitnya tidak memerlukan antibiotik.

Tambah beliau, AMR bukan sahaja dihidapi oleh pesakit di Unit Rawatan Rapi malah oleh pesakit luar yang mengunjungi klinik.

Orang ramai dinasihatkan agar tidak mendesak doktor untuk mempreskripsikan antibiotik dan mengatakan doktor itu ‘tak bagus’ jika enggan melakukan demikian.

Pada keadaan yang amat memerlukan pula, doktor pula disarankan akan mempreskripsikan antibiotik berkeupayaan paling rendah. Jika didapati tidak sesuai baharulah antibiotik yang lebih berkuasa dipreskripsi.

Saranan tidak mempreskripsikan antibiotik kepada penghidap demam selesema atau flu serta mempreskripsikan apabila mendapati pesakit menghidap penyakit berpunca daripada infeksi bakteria tersebut boleh dikatakan oleh pihak berkuasa kesihatan di seluruh dunia.

Negara maju seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia menyampaikan maklumat penggunaan antibiotik dengan MRSA melalui Center for Disease Control, dan National Health Services.

Terdapat beberapa jenis bakteria yang dikatakan mudah membentuk kekebalan terhadap antibiotik. Ia termasuk bakteria yang terdapat dalam makanan seperti E. coli, Salmonella dan Campylobacter yang menyebabkan gastroenteritis dan diarea.

Begitu juga dengan streprococci yang menyebabkan pneumonia yang dikatakan kebal terhadap penisilin dan derivatifnya. Bakteria yang menyebabkan tuberculosis (TB) dan gonorea juga dikatakan mudah untuk membentuk kekebalan terhadap antibiotik.

Penggunaan antibiotik sama ada kelas penisilin (antibiotik paling banyak dipreskripsi) atau kelas lain secara kurang bijaksana dikhuatiri lambat-laun akan membentuk kekebalan antibiotik.

Pembentukan MRSA berpunca daripada penggunaan methicillin telah disebutkan di atas. Penggunaan Vancomycin iaitu antibiotik spectrum luas yang paling berkuasa pula dikaitkan dengan pembentukan Enterococci kebal Vancomycin’ (VRE: Vancomycin-resistant Enterococci).

Vancomycin dikatakan biasa dipreskripsi kepada pesakit yang mengalami infeksi kulit yang rumit, infeksi saluran darah, endocarditis, infeksi tulang, infeksi sendi dan meningitis. Ia juga dipreskripsi kepada pesakit yang mengalami MRSA atau mengalami alahan apabila mengambil antibiotik kelas penisilin.

Tidak tepat

Penggunaan istilah Antimicrobial Resistance Antibiotic bukan istilah yang tepat untuk mengaitkan kekebalan bakteria terhadap penggunaan antibiotik.

Ia kerana istilah mikrob merujuk kepada beberapa jenis mikroorganisma termasuk virus, bakteria, kulat (misalnya Candida Albicans) dan parasite (misalnya Plasmodium falciparum yang menyebabkan malaria).

Setakat ini, pengambilan antibiotik tidak diketahui membentuk kekebalan terhadap mikrob selain bakteria iaitu virus dan kulat.

Jadi, istilah Antibiotic Resistance Bacteria (bakteria kebal antibiotik) mungkin jauh lebih tepat berbanding dengan MRA.

Pembentukan kekebalan bakteria terhadap antibiotik berpunca dari pelbagai sebab. Ia termasuk tekanan selektif (proses evolusi untuk meneruskan kehidupan), mutasi, pemindahan gen (dari bakteria ke bakteria lain), tekanan masyarakat (societal pressure iaitu pelbagai jenis tekanan yang berlaku sepanjang masa), diagnosis tidak tepat, preskripsi/penggunaan antibiotik secara kurang bijaksana, masuk hospital dan penggunaan antibiotik pada haiwan dipelihara secara komersil (makanan dan suntikan).

BACA INI JUGA: Apa Yang Akan Terjadi Jika Anda Minum Air Kelapa Setiap Hari?

Sumber: Sinarharian.com.my

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon