Jun 17, 2015

Palestin Belasah Harimau Malaya 6-0 Di Bukit Jalil

Skuad Harimau Malaya mengalami igauan ngeri apabila dibelasah 6-0 oleh Palestin pada perlawanan Kumpulan A, kempen kelayakan Piala Dunia 2018 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi.

Palestin Belasah Harimau Malaya

Percaturan yang dirangka ketua jurulatih kebangsaan Dollah Salleh ternyata tidak menjadi untuk menyekat semangat luar biasa yang dimiliki pasukan dari negara bergolak itu.

Walaupun membariskan pemain muda serta baharu, anak buah AbdelNasser Barakat itu dilihat menguasai keseluruhan babak perlawanan, yang gagal disekat oleh barisan pemain Malaysia.

Palestin membuka jaringan seawal minit kelapan menerusi rembatan Musab Battat dari luar kotak penalti selepas penjaga gol Malaysia Farizal Marlias berjaya menepis percubaan pertama pasukan pelawat itu.

Mohd Amri Yahyah hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-23 dengan menguis bola ke gawang Palestin namun berjaya ditepis keluar penjaga gol Tawfiq Abuhammad.

Kesilapan pemain pertahanan Muhammad Zubir Azmi dimanfaatkan sebaik mungkin Sameh Maraaba yang merembat leret bola hasil hantaran lintang Tamer Seyam untuk gol kedua pasukan pelawat.

Tamer yang berjaya mengelecek tiga pertahanan Harimau Malaya turut menghasilkan gol ketiga Palestin pada minit ke-41.

Empat minit sebelum perlawanan separuh masa pertama tamat, Muhammad Afiq hampir menjaringkan gol pertama tuan rumah namun tandukannya berjaya ditepis keluar penjaga gol lawan.

Ketinggalan 0-3 sebaik babak kedua bermula, Mahali Jasuli membuat umpanan cantik kepada Muhammad Afiq yang berada di posisi terbaik untuk menjaringkan gol pada minit ke-55, namun beliau gagal memanfaatkan peluang tersebut.

Malaysia turut memiliki peluang terbaik menjaringkan gol pada minit ke-60 apabila mendapat tendangan percuma, bagaimanapun ketangkasan penjaga gol lawan menidakkan rembatan kencang Safiq Rahim.

Tersentak dengan itu, Palestin kembali menyerang dan berjaya menghasilkan gol keempat pada minit ke-63 menerusi pemain gantian Khader Abuhammad sebelum Sameh sekali lagi menggegar gawang Malaysia pada minit ke-74.

Tuan rumah hampir mendapat gol sagu hati pada minit ke-84, namun Muhammad Afiq yang berada di hadapan pintu gol tergelincir mengakibatkan beliau gagal menyempurnakan hantaran lintang Mohd Amri.

Lima minit sebelum wisel penamat, pintu gol Harimau Malaya sekali lagi dibolosi apabila Tamer yang tidak dikawal barisan pertahanan Malaysia menjaringkan gol keenam.

Malaysia bakal berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 3 Sept depan. –BERNAMA

BACA INI JUGA: Merungkai Dusta Tragedi Hillsborough

Blogger biasa yang menulis untuk berkongsi berita dan infomasi untuk memberi manfaat dan ilmu pengetahuan.

1 comments so far

Fuhh hebat Palestin.. membuka mata pemain2 bola kita agar perlu lebih mantap.. pihak atasan jngn kata kerja tapi tak kerja.. ego lebih huhu..

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon