Saturday, June 20, 2015

Makanan Paling Popular Ketika Bulan Ramadhan


Seperti yang kita tahu, Malaysia adalah sebuah negara yang terkenal dengan kepelbagaian makanan, dan oleh itu setiap kali tibanya bulan Ramadhan pelbagai jenis makanan dijual dan ini pastinya akan membuat pembeli rambang mata.

Oleh itu, kali ini kami menyenaraikan beberapa jenis makanan yang boleh dikatakan menjadi juadah wajib ketika membeli juadah berbuka puasa di bazar Ramadhan:

Ayam Percik

Ayam Percik

Ayam percik merupakan juadah paling popular di mana-mana bazar Ramadan dan populariti ayam percik yang tidak pernah pudar jelas tidak menghairankan dengan baunya yang membikin perut rancak berkeroncong. Berasal dari pantai timur, daging ayam yang diperap dalam rempah akan dipanggang menggunakan arang. Nikmat memakan ayam yang dicicah dengan kuah memang tak terkata.

Bubur Lambuk

Bubur Lambuk

Para pengunjung masjid pasti sudah biasa melihat bubur lauk atau bubur lambuk yang sentiasa terhidang selepas solat Asar. Bubur nasi yang dicampur dengan pelbagai jenis sayuran, termasuk ubi, udang dan daging sering menjadi pilihan ramai kerana sifatnya yang mudah dihadam, di samping bau dan rasa yang lazat.

Murtabak

Murtabak

Murtabak berasal dari perkataan bahasa Arab 'mutabbaq' yang bermaksud berlipat. Cara pembuatannya adalah dengan melipat adunan roti yang telah diselit dengan ayam ataupun daging berserta telur dan bawang. Untuk menyedapkan lagi rasa, peminat murtabak selalunya mencicah juadah bersama kuah dal atau jeruk bawang.

Roti John

Roti John

Siapa tak kenal John menjelang bulan puasa? Walaupun tidak diketahui asal usul nama, roti ini tetap menjadi permintaan ramai di setiap bazar Ramadhan. Memang tidak dinafikan, roti yang diisi penuh dengan telur, daging, bawang, tomato dan macam-macam lagi memang sesuai mengisi perut yang sudah berbunyi setelah seharian berpuasa.

Tepung Pelita

Tepung Pelita

Sejenis kuih tradisional yang terdiri daripada lapisan berwarna hijau di bawah dan lapisan santan di atas, kuih tepung pelita biasa disediakan dalam bekas daun pisang. Disebabkan rasanya yang sangat enak dan manis, maka tidak hairanlah kuih ini terkenal di Malaysia, Singapura dan juga Indonesia.

Popia Basah

Popia Basah

Tak rugi anda beratur panjang semata-mata untuk membeli juadah yang sememangnya menjadi kesukaan orang ramai ini. Untuk menyedapkan lagi rasa, popiah basah biasa biasa dimakan bersama sos cili manis yang ditabur dengan bijian ataupun bawang goreng.

Ikan Bakar

Ikan Bakar

Aroma ikan pari, keli, terubuk dan siakap yang dibakar memang sukar untuk diabaikan, lebih-lebih lagi ketika anda sedang berpuasa. Ikan-ikan ini enak dicicah bersama sambal cili yang dicampur dengan jus limau dan dimakan dengan nasi panas. Terbaik!

Kurma

Kurma

Akhir sekali, makanan wajib di bulan Ramadhan. Walaupun tampak kecil dan biasa, namun sebiji buah kurma berserta segelas air suam atau susu boleh membekalkan tenaga dan mengenyangkan perut anda.

Menurut sunnah Rasulullah, amalan membuka puasa dengan buah yang berasal dari Timur Tengah ini merupakan amalan yang sihat kerana buah ini mengandungi khasiat zat besi dan kalsium yang sangat tinggi, di samping dapat memberikan keberkatan yang besar.

BACA INI JUGA: Mengapa Lebih Letih Jika Tidur Selepas Subuh?

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon