Jun 17, 2015

Dunia Islam Puasa Serentak, Pertama Kali Dalam Sejarah

Buat julung kali dalam sejarah, umat Islam di seluruh dunia akan mula berpuasa wajib Ramadan 1436 Hijrah secara serentak pada Khamis, lapor portal berita antarabangsa, International Business Times lewat Selasa.

Anak-bulan

Pihak berkuasa hal ehwal agama Islam di benua Eropah, Amerika, Afrika, Australia dan Asia sepakat bersetuju menetapkan tarikh 1 Ramadan jatuh pada 18 Jun 2015 sekali gus, bulan Syaaban genap 30 hari pada Rabu.

Seorang saintis pakar astronomi global, Rohan Roberts memberitahu akhbar tempatan Gulf News di Dubai, UAE bahawa anak bulan Ramadan hanya dapat dilihat secara jelas di ufuk kaki langit pada lewat petang 17 Jun.

“Kira-kira tiga peratus daripada pembentukan bulan baharu dapat disaksikan di ufuk barat pukul 7.54 petang di UAE pada Rabu ini, dan ini bermakna hari pertama Ramadan jatuh pada 18 Jun,” jelas penyelidik sains falak itu.

Beliau turut menjangkakan Aidilfitri bakal jatuh di seluruh dunia pada 17 Julai susulan anak bulan Syawal diramal hanya dapat dilihat dengan jelas menjelang pukul 7.21 malam waktu UAE pada lewat senja 16 Julai depan.

Dalam pada itu, keadaan yang sama turut berlaku di majoriti negara Islam di Asia dan Afrika selain benua Eropah, Amerika dan Australia apabila saintis astronomi mendakwa anak bulan Ramadan sukar dilihat pada 16 Jun.

Kebanyakan negara bukan Islam berpandukan kepada tarikh ditetapkan kerajaan Arab Saudi dan ada merujuk data saintifik pengiraan kedudukan anak bulan dikeluarkan balai cerapan markas tentera laut Amerika Syarikat.

Di United Kingdom, yang menjadi pusat tanda aras rujukan umat Islam di seluruh Eropah, badan hal ehwal Muslim Britain menetapkan puasa bermula 18 Jun dan Ramadan tahun ini dijangka genap penuh 30 hari.

Sementara itu, Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei dilaporkan bersetuju tarikh permulaan puasa ialah 18 Jun setelah mendapati anak bulan pada 16 Jun gagal memenuhi kriteria dipersetujui bersama empat negara itu.

Jiran mereka, Thailand dan Filipina turut menetapkan tarikh rasmi 1 Ramadan bermula pada Khamis ini sebagai panduan kepada umat Islam yang menjadi penduduk minoriti di dua negara rantau Asia tenggara berkenaan.

Media di Indonesia pula melaporkan, buat kali pertama tahun ini semua organisasi Islam di republik itu yang sering bertelagah selama ini akhirnya bersepakat menerima hanya satu tarikh seragam permulaan Ramadan.

Berita gembira itu diumumkan Menteri Agama Republik Indonesia, Lukman Hakim Saifuddin di Jakarta selain disahkan menerusi pemantauan 36 petugas stesen rukyah di seluruh negara. –Agensi

BACA INI JUGA: Puasa Dan Kelebihannya Menurut Kajian Sains

Blogger biasa yang menulis untuk berkongsi berita dan infomasi untuk memberi manfaat dan ilmu pengetahuan.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon