Wednesday, March 04, 2015

Real Madrid Jual Angel Di Maria Kerana Tak Hensem?


Selepas membantu kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid, memenangi Liga Juara-Juara musim lalu, bintang Argentina, Angel Di Maria, menyertai Manchester United melibatkan yuran perpindahan termahal yang direkodkan di England sebanyak £59.7 juta (RM332 juta).

Angel Di Maria

Namun, Penolong Pengarah Barcelona, Carles Rexach mendedahkan, faktor wajah hodoh menjadi sebab utama Real Madrid rela menjual pemain sayap lincah itu.

Bagaimanapun, Di Maria masih bergelut untuk mendapatkan semula prestasi sebenar sejak beraksi bawah bimbingan pengendali, Louis van Gaal di Old Trafford pada musim ini.

Mengulas penghijrahan keluar Di Maria dari Sepanyol, Rexach percaya Real Madrid terlalu bimbang wajah Di Maria akan memberi kesan kepada jenama dan imej kelab tersebut dan sekali gus membenarkannya menyertai Manchester United.

“Presiden Real, Florentino Perez melihat pemain dari sudut pemasaran dan beliau mahukan The Galacticos menjadi sebuah pasukan yang sentiasa disanjungi peminat.

“Saya rasa peminat akan dapat memahami punca Real Madrid sanggup melepaskan Di Maria walaupun dia menikmati prestasi terbaik pada ketika itu.

“Tidak dapat dinafikan Cristiano Ronaldo adalah lambang utama Real Madrid buat masa ini. Perez sebenarnya menjual imej pemain pada peringkat antarabangsa.

“Jadi, Di Maria begitu hodoh untuk Real Madrid. Dia cukup berbeza jika diban­dingkan dengan rupa paras Toni Kroos dan James Rodriguez,” ujarnya.

Rekod Perpindahan Tertinggi

Rekod perpindahan tertinggi di Britain yang dicatatkan Manchester United segera memberikan tekanan buat pemain Argentina itu memberi aksi terbaik selepas berpindah dari lebih baik, biarpun berupaya melakukannya pada awal musim.

Selain Di Maria ramai lagi pemain yang dibeli pada harga £50 juta (RM281 juta) dan ke atas terumbang ambing mendapatkan rentak di kelab lama namun ada yang menjadi lebih hebat daripada sebelumnya.

Gareth Bale
Tottenham ke Real Madrid £86 juta (RM484.5 juta)

Bale, pemain termahal sepanjang zaman melalui zaman naik-turun di Sepanyol sejak berpindah dari London ke Real Madrid pada 2013.

Pemain Wales itu berjaya menempat­kan dirinya dalam skuad bintang kendalian Carlo Ancelotti pada musim pertamanya, menjaringkan gol pada Liga Juara-Juara dan Copa del Rey untuk menambat hati peminat Real.

Namun musim ini, biarpun menjaringkan 12 gol dalam La Liga dan kejohanan Eropah, bekas bintang Southampton itu turut diejek segelintir penyokong Bernabeu.

Cristiano Ronaldo
Manchester United ke Real Madrid £80 juta (RM450.4 juta)

Tidak dinafikan, Ronaldo boleh dianggap paling berjaya dan pembelian paling berbaloi apabila terus meledak gol sejak meninggalkan Old Trafford pada 2009.

Bintang Portugal itu menjaringkan gol ke-291 dalam aksi ke-282 apabila menentang Elche, Sabtu lalu, mengumpul 30 gol liga musim ini.

Berbekalkan satu gelaran La Liga, gelaran Liga Juara-Juara dan Piala Kelab Dunia, antara pelbagai kejayaan diraihnya, tidak mustahil dia akan membantu Los Blancos meraih lebih banyak kemenangan, Mei ini.

Luis Suarez
Liverpool ke Barcelona £75m (RM422.5 juta)

Watak utama di Liverpool sebelum berpindah ke Barcelona, Suarez bagaimanapun sukar menjaringkan gol apabila bergandingan dengan bintang seperti Lionel Messi dan Neymar.

Sering diarah bermain di bahagian sayap berbanding tengah, penyerang Uruguay itu hanya menjaringkan empat gol dalam 15 perlawanan La Liga sejak kembali daripada penggantungan kerana menggigit pemain lawan.

Pemain berusia 27 tahun membantu lapan jaringan di La Liga dan beberapa lagi di Liga Juara-Juara namum masih belum menemui sentuhan yang hampir membantu skuad Brendan Rodgers menjulang gelaran Liga Perdana Inggeris musim lalu.

James Rodriguez
Monaco ke Real Madrid £63 juta (RM354.7 juta)

Dibawa ke kelab itu hasil kempen cemerlang Piala Dunia bersama Colombia, Rodriguez berjaya menyesuaikan diri dengan kehidupan di Real Madrid.

Selesa di bahagian sayap mahupun di belakang penyerang Karim Benzema, bekas bintang Porto itu menjaringkan lapan gol pada musim pertamanya untuk membantu anak buah Ancelotti berada di puncak liga.

Rodriguez yang ketika ini diketepikan dua bulan akibat patah kaki diharap­kan mampu menepati nilai harganya sebaik kembali.

Angel di Maria
Real Madrid ke Manchester United £60 juta (RM338 juta)

Sepanjang 30 Ogos hingga 31 Disember, Di Maria menjaringkan tiga gol, membantu enam jaringan dan mencipta 31 peluang dalam 12 penampilannya. Manakala dalam enam perlawanan sejak sambutan Tahun Baru, dia masih belum menjaringkan sebarang gol, membantu dua jaringan dan mencipta 11 peluang.

Kemerosotan pemain Argentina itu membimbangkan jika dibanding­kan ketika awal musim biarpun apa yang perlu diberi perhatian, United sebagai sebuah pasukan masih belum mencapai prestasi terbaiknya.

Banyak lagi yang diharapkan daripada bekas pemain tengah Benfica tetapi kemerosotan prestasinya tidak boleh dibiarkan.

Zlatan Ibrahimovic
Inter Milan ke Barcelona £59 juta (RM332.2 juta)

Apabila Barcelona membayar Inter Milan £40 juta (RM225.2 juta) ditambah Samuel Eto’o, ia satu perjudian. Malangnya bagi Pep Guardiola ia tidak berbaloi.

Pemain Sweden itu menjaringkan gol pada musim 2009-10 selepas berpindah ke Sepanyol tetapi masalah dengan pengurus dan budaya di kelab itu membuatkan dia dipinjamkan ke AC Milan selepas setahun beraksi.

Perpindahan secara tetap dengan nilai separuh harga pembeliannya menyusul pada 2011.

Kaka
AC Milan ke Real Madrid £56 juta (RM315.2 juta)

Kaka, salah seorang pemain terbaik dunia apabila Real Madrid membawanya ke Sepanyol, gagal mempamerkan bakat yang meletakkannya sebagai pemenang Ballon d’Or pada 2007.

Kecederaan dan aksi hambar membuatkannya hanya mampu membuat 120 penampilan sepanjang empat musim, satu pencapaian yang tidak setara rekod perpindahannya itu.

Perpindahan secara percuma ke AC Milan menyusul pada 2013, sebelum berpindah ke kelab MLS, Orlando City. Baru berusia 32 tahun, bintang Brazil itu masih belum mencapai potensi sepenuhnya.

Edinson Cavani
Napoli ke Paris Saint-Germain £55 Juta (RM309 juta)

Pelaburan besar Paris St-Germain pada musim panas 2013, Cavani terus membina reputasinya sebagai antara penyerang berbahaya dalam dunia bola sepak sejak meninggalkan Itali ke Perancis.

Penyerang Uruguay itu meledak 16 gol dalam Ligue 1 sepanjang kempen musim pertama tetapi hanya lapan gol sepanjang musim ini, sering diberi tugas di bahagian sayap untuk membantu Ibrahimovic.

Penjaring gol PSG ke atas Chelsea dalam aksi Liga Juara-Juara minggu lalu, Cavani terus menarik perhatian kelab dari England. Bayaran tinggi pasti diperlukan bagi membawanya keluar dari Paris.

Radamel Falcao
Atletico Madrid ke Monaco £51 juta (RM287.1 juta)

Falcao ketika ini bergelut dengan prestasi sepanjang dipinjamkan ke Manchester United, pernah menjaring­kan lebih daripada sembilan gol dalam 17 perlawanan dengan Monaco sebelum mengalami kecederaan pada akhir musim.

Dia memulakan musim ini dengan baik, menjaring­kan dua gol dalam tiga perlawanan tetapi kemudiannya dipinjamkan ke Old Trafford, ketika Monaco terus berusaha menjimatkan kos selepas berbelanja besar beberapa tahun lalu.

Bekas penyerang Atletico Madrid hampir pasti meninggalkan kelab induknya musim panas ini, biarpun mereka berharap dapat meraih pulangan daripada £51 juta yang dibayar untuknya.

Fernando Torres
Liverpool ke Chelsea £50 juta (RM280.8 juta)

Tempoh empat setengah tahun Torres di Stamford Bridge begitu mengecewakan jika dibandingkan dengan gol demi gol dijaringkannya di Liverpool.

Pemain Sepanyol itu menjaringkan 45 gol dalam 175 penampilan bersama Blues tetapi tidak sehebat ketika digeruni sewaktu di bawah kendalian Rafa Benitez di Anfield.

Dia berpindah ke AC Milan Januari lalu sebelum dipinjamkan ke kelab lamanya Atletico Madrid.

David Luiz
Chelsea ke Paris Saint-Germain £50 juta (RM280.8 juta)

Tidak ramai yang percaya bila PSG bersetuju untuk membayar £50 juta kepada Chelsea untuk mendapatkan David Luiz, pertahanan yang sentiasa bernasib malang di padang.

Pemain Brazil itu berpindah ke Paris musim panas lalu dan beraksi cemerlang buat pasukan Laurent Blanc dengan melakukan 79 peratus tandukan tepat dan menyempurnakan 90 peratus hantaran.

Biarpun hebat di Ligue 1, Luiz masih membenarkan Branislav Ivanovic menjaringkan gol pertama ketika Chelsea bertandang ke Parc des Princes dalam saingan Liga Juara-Juara minggu lalu.

BACA INI JUGA: Peristiwa 'Naik Angin' Ahli Sukan Panas Baran

Sumber: Hmetro.com.my/ Kosmo.com.my

4 comments

  1. urmm... tentu kecik hati orang tu kan... takde la hodoh punnn

    ReplyDelete
    Replies
    1. Nasib baik dia tu jutawan..melucukan pula.

      Delete
  2. Mak cik memang tak faham bab bola bola ni nak. Yang mak cik tau tengok bola
    seketul tu jer sama termenung ngadap dinding. Serik mak cik kena dera telan budu
    lepas kalah beting bola dgn anak sendiri hehe....

    ReplyDelete
  3. Ingatkan penyanyi dan pelakon je org buat mcm tu.. pemain bola pun sama juga rupanya. Kira mmg faktor keretisan pun diambil kira...

    ReplyDelete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon