Sunday, December 07, 2014

Orang Malaysia ‘Bodoh’ Dan Gagal Menerajui MAS - Dr Mahathir


Mungkin kecewa dengan prestasi Malaysia Airlines System Berhad (MAS), Mantan Perdana Menteri berkata, orang Malaysia ‘bodoh’ dan gagal menerajui MAS.

Dr Mahathir

“Orang Malaysia ini bodoh, tidak tahu hendak uruskan syarikat penerbangan, sebab itu MAS rugi,” petik kenyataan beliau yang disiarkan akhbar Sinar Harian.

Ia merupakan reaksi balas yang diujar beliau apabila ditanya tentang keputusan Khazanah Nasional yang melantik Christoph R Mueller sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) terbaru MAS.

Jawatan tersebut bakal berkuatkuasa pada 1 Januari hadapan.

Tun M juga menambah, situasi ketidakcekapan pengurusan individu terdahulu juga mengakibatkan ‘orang luar’ diberi kepercayaan untuk menguruskan dan memulihkan semula syarikat tersebut.

“Bila sudah rugi, orang yang buat (MAS) rugi itu sekarang nak buat baik balik, oklah.”

Khazanah membuat pengumuman tersebut semalam dengan melantik Mueller menyandang jawatan itu, dan bakal diserap menyertai Lembaga Pengarah MAS pada suku kedua tahun depan.

Mueller yang merupakan CEO syarikat penerbangan nasional Ireland Aer Lingus, sebelum itu berjaya memulihkan syarikat penerbangan Jerman, Lufthansa.

Christoph R. Mueller Tokoh Tepat Pulih Kemelut MAS

Christoph R. Mueller

Rekod prestasi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat penerbangan nasional Ireland, Aer Lingus, Christoph R. Mueller yang cemerlang, menjadikannya tokoh paling tepat untuk memulihkan Malaysia Airlines Bhd (MAS).

Bagaimanapun, bukan satu tugas yang mudah bagi beliau di MAS, meskipun telah berjaya memulihkan masalah kewangan syarikat penerbangan Jerman, Lufthansa, memandangkan masalah kompleks yang dihadapi oleh penerbangan negara sejak bertahun.

Ini termasuk kerugian besar berjumlah RM576.1 juta bagi suku ketiga berakhir 30 Sept, serta persaingan sengit dalam industri penerbangan terutamanya daripada syarikat penerbangan tambang rendah.

Di samping itu, beliau perlu memulihkan penjenamaan MAS berikutan tragedi MH370 dan MH17, masing-masing berlaku pada pada 8 Mac dan 17 Julai lepas.

Sementara itu, dalam satu kenyataan pada Jumaat, Khazanah Nasional Bhd berkata Mueller telah melaksanakan proses pemulihan korporat Lufthansa antara 1994 dan 1999 sebagai Naib Presiden Kanan bagi pengurusan rangkaian dan perancangan korporat.

“Warga Jerman itu yang merupakan CEO Aer Lingus sejak 2009, mempunyai pengalaman lebih 25 tahun dalam sektor penerbangan, logistik dan pelancongan.

“Di bawah penyeliaan beliau, Aer Lingus menceburi pasaran dan model perniagaan baharu. Syarikat berjaya memperbaiki kedudukannya daripada hanya model perniagaan dengan perniagaan kepada model perniagaan dengan pengguna membabitkan pengedaran 90 peratus dalam talian,” kata kenyataan itu.

Pada 1999, Mueller beralih ke Sabena S.A, yang merupakan sebahagian daripada Swissair Group, sebagai Ketua Pegawai Operasi sebelum menjadi CEO Sabena Group.

“Mueller membangunkan siri rancangan untuk disesuaikan dengan pemegangan saham kerajaan Belgium termasuk program pengurangan kos utama.

“Secara keseluruhan, beliau mempunyai pengalaman kira-kira 10 tahun sebagai ketua eksekutif di bahagian dan kumpulan dalam sektor penerbangan, dan juga mempunyai pengalaman yang luas dalam lembaga pengarah, termasuk dalam sektor pelancongan,” kata kenyataan itu.

Mueller akan dilantik sebagai CEO syarikat baharu MAS, berkuatkuasa pada 1 Jan, 2015, dan bakal menyertai lembaga pengarah pada suku kedua tahun depan.–BERNAMA

4 comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon