Thursday, December 18, 2014

ASNB Umum 8.5 Peratus Dividen Dan Bonus Tahun 2014


Pemegang unit Amanah Saham Bumiputera (ASB) akan menerima dividen 7.50 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2014 berbanding 7.70 sen yang diterima tahun lepas.

Dividen ASB 2014

Anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB) itu turut mengumumkan bahawa 8.60 juta pemegang unit ASB bakal menerima bonus 1.00 sen seunit.

Pengerusi PNB Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata pemegang unit secara kolektifnya memegang 137.07 bilion unit ASB.

Beliau berkata peruntukan bagi pengagihan pendapatan itu membabitkan jumlah pembayaran sebanyak RM10.16 bilion, meningkat sebanyak 10.8 peratus berbanding RM9.17 bilion yang dibayar pada tahun lepas.

Manakala bagi bayaran bonus, ia melibatkan sejumlah RM804.43 juta, peningkatan sebanyak 19 peratus daripada 2013.

Sehingga Selasa lepas, katanya, skim itu mencatatkan pendapatan kasar sebanyak RM10.55 bilion.

“Pelaburan dalam beberapa syarikat menyumbang RM4.64 bilion atau 44 peratus, pendapatan daripada keuntungan jualan saham sebanyak RM4.23 bilion atau 40.1 peratus dan lain-lain pendapatan sebanyak RM1.68 bilion atau 15.9 peratus,” katanya pada satu taklimat media di sini hari ini.

Prestasi ASB sepanjang tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2014, secara keseluruhannya masih memuaskan walaupun pasaran saham mengalami penurunan mendadak sejak kebelakangan ini.

Sehingga 16 Dis, 2014, indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI mencatatkan penurunan sebanyak 10.3 peratus kepada 1,673.94 mata, berbanding 1,866.96 mata yang dicatatkan pada 31 Dis, 2013, berikutan penurunan harga minyak mentah dunia yang berterusan.

Semua urus niaga bagi ASB akan ditangguhkan mulai 23 Dis, 2014 sehingga 1 Januari, 2015, bagi tujuan pengiraan pendapatan dan bonus, katanya.

Sumber: BERNAMA

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon