Tuesday, September 09, 2014

Juruterbang Kamikaze Kembali Disanjung!


Juruterbang Kamikaze, Yutaka Kanbe, 91, sepatutnya maut tujuh dekad lalu. Kesanggupan Jepun menyerah kalah pada 15 Ogos 1945 ketika episod akhir Perang Dunia Kedua telah menyelamatkan nyawa Kanbe serta ribuan juruterbang kamikaze yang lain.

Kamikaze

Namun, Kanbe bimbang apabila Perdana Menteri Shinzo Abe mengagungkan kembali misi kamikaze ketika jutaan rakyat negara itu sudah lama melupakan keperitan zaman perang tersebut.

"Ia tidak boleh diterima akal. Saya tidak menyokong sebarang idea untuk mengagungkan misi (kamikaze) itu. Jepun boleh menyertai peperangan sekali lagi jika semua pemimpin negara ini berfikiran seperti Abe.

"Saya akan mati tidak lama lagi tetapi saya mula bimbang dengan masa depan Jepun jika menyertai peperangan sekali lagi," kata Kanbe yang pernah berkhidmat sebagai juruterbang Tentera Laut Diraja Jepun.

Kamikaze atau angin suci merujuk kepada juruterbang yang sanggup mengorbankan diri dengan cara merempuh kapal perang laut musuh menggunakan pesawat tempur ketika Perang Dunia Kedua.

Angkatan kamikaze ditubuhkan atas perintah Maharaja Hirohito ketika Perang Dunia Kedua. Seramai 4,000 anggota kamikaze dilaporkan terbunuh dalam misi tersebut.

Bagaimanapun, tiada angka rasmi mengenai bilangan sebenar anggota kamikaze yang masih hidup selepas tamat Perang Dunia Kedua dan kisah mereka juga tidak pernah dihebah kepada masyarakat dunia.

Filem The Eternal Zero yang diadaptasi daripada sebuah novel mengenai pasukan itu telah menyebabkan nama angkatan kamikaze kembali menjadi sebutan ramai sejak awal tahun ini.

The Eternal Zero

Karya Box Office tersebut mengisahkan seorang juruterbang Jepun yang enggan menyertai misi kamikaze kerana telah berjanji dengan isterinya untuk pulang ke pangkuan keluarga selepas peperangan tamat.

Bagaimanapun, juruterbang itu dijatuhi hukuman mati kerana keengganannya dan meminta pihak tentera menjaga keluarganya selepas kematiannya.

"Saya menghormati keberanian pasukan kamikaze. Mereka mengorbankan nyawa untuk memastikan ahli keluarga mereka terus hidup dalam negara yang bermaruah," kata pelajar Universiti Tokyo, Tsurugi Nakamura, 18.

"Anggota kamikaze sungguh hebat. Mengkritik misi kamikaze adalah satu perkara tidak wajar," tambah Nakamura selepas menonton filem The Eternal Zero.

Kozo Kagawa, 89, menunjukkan kesungguhan apabila diajak bercerita mengenai angkatan kamikaze. Kagawa yang juga merupakan bekas anggota kamikaze enggan mengkritik misi tersebut.

Meskipun Perang Dunia Kedua telah tamat berdekad lalu, Kagawa masih dihantui perasaan sedih serta takut apabila mengenang rakan-rakannya yang terkorban ketika menjalankan misi berani mati.

"Tidak wajar untuk saya mengadili sama ada misi kamikaze itu satu perbuatan yang salah atau sebaliknya tetapi saya masih meratapi kematian seorang rakan baik kerana membiarkan dia terkorban dalam pesawat," kata Kagawa.

Bagi Kagawa, tidak timbul persoalan sama ada misi kamikaze merupakan satu kesalahan besar atau sebaliknya, namun beliau sangsi terhadap usaha pihak tertentu menghalang tentera mempertahankan negara.

"(Misi) kamikaze tidak wajar diulangi, namun keamanan melalui kemenangan tidak akan dikecapi tanpa kita mengeluarkan sebarang kos.

"Kami tidak akan kekal aman tanpa mempertahankan diri. Perdana Menteri (Abe) tergesa-gesa melakukan perubahan tetapi saya faham tujuan dia berbuat demikian," kata Kagawa.

Menjelang ulang tahun ke-69 memperingati peristiwa Perang Dunia Kedua, para ahli politik Jepun turut mengunjungi kuil perang Yasukuni di pinggir Tokyo yang menempatkan perkuburan mangsa Perang Dunia Kedua termasuk tentera dan juruterbang kamikaze.

Kunjungan Abe ke kuil itu untuk memberi penghormatan terhadap anggota tentera yang terkorban sekali lagi menimbulkan kemarahan rakyat China dan Korea Selatan yang pernah menjadi mangsa keganasan askar Jepun.

Kamikaze Hits the USS Missouri
Kamikaze Hits the USS Missouri.

Para penyokong kerajaan menyifatkan kunjungan Abe ke kuil itu sebagai perbuatan patriotik. Namun, golongan pro-pembangkang menganggap ia bertujuan mengungkit kisah silam penglibatan Jepun dalam perang dunia sehingga menimbulkan ketegangan antarabangsa.

Seorang lagi bekas anggota kamikaze, Akinori Asano, 85, menyifatkan upacara memperingati penglibatan Jepun dalam Perang Dunia Kedua pada 15 Ogos lalu telah disalah erti oleh banyak pihak.

"Sungguh mengarut apabila ada yang mempersoalkan mengapa kami (anggota kamikaze) perlu takut untuk tidak patuh kepada perintah pihak atasan yang mahu kami mati dengan cara seperti itu.

"Jauh lebih menakutkan apabila generasi muda tidak mampu memahami situasi (peperangan) ketika itu.

"Semasa peperangan itu, kami sentiasa berdoa semoga keamanan segera dikembalikan," kata Asano.-AFP

Sumber: Kosmo.com.my (link)

4 comments

  1. Kena ada juga juruterbang kamikaze macam ni masa perang. bagi yang lain-lain bersemangat .

    ReplyDelete
  2. Ramai yg gerun dgn taktik kamikaze ni.. alang2 nak mati, biar mati yg bermanfaat utk maharaja & negara...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Taktik yg sgt menggerunkan. Amerika sekalipun ketika itu mati akal.

      Delete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon