Aug 18, 2014

Zionis Mula Merasai Bahang Kezaliman

Peperangan di antara tentera Islam Palestin dan tentera Zionis Israel kali ini berbeza sedikit, dengan kekuatan tentera briged al-Qassam tampak luar biasa. Semangat serta kelengkapan ketenteraan mereka kali ini lebih kuat berbanding sebelumnya.

Zionis vs Al-Qassam

Melalui laporan berita, jumlah tentera Zionis yang terkorban pada pertempuran kali ini lebih 10 kali ganda ramai daripada tentera al-Qassam yang syahid.

Strategi tentera Hamas kali ini juga luar biasa dengan melancarkan serangan dari laut, menggali lubang dan bermacam-macam lagi sehingga memeningkan tentera Zionis yang dilihat sukar menangkis serangan hebat dari Hamas.

Perkembangan ini akhirnya memaksa kerajaan haram Israel bersetuju melakukan gencatan senjata dan mengundurkan tentera mereka dari Gaza.

Selain kehebatan tentera al-Qassam yang berjuang mempertahankan bumi Palestin daripada serangan tentera Zionis, Israel juga kali ini berdepan kemarahan masyarakat antarabangsa terhadap tindakan kejam Zionis yang mensasarkan orang awam, terutama kanak-kanak dan wanita, dalam serangan mereka.

Tidak dinafikan, sebelum ini setiap kali Israel menentang, masyarakat dunia yang prihatin akan mengecam tindakan mereka. Namun, Zionis hanya memejamkan mata serta menutup telinga mereka dan terus menyerang Palestin tanpa belas ihsan.

Namun kali ini, mereka terpaksa menghadapi tekanan daripada protes besar-besaran yang diadakan di seluruh dunia. Ini termasuk beberapa negara seperti Argentina dan negara lain yang menghentikan sementara hubungan perdagangan mereka dengan Israel.

Tidak terkecuali negara kita Malaysia yang mendapat ‘perhatian’ luar biasa Israel kerana menjadi penyokong kuat kepada Palestin dan menentang pencerobohan Israel terhadap negara Islam itu.

Tidak seperti majoriti negara Arab lain yang hanya berdiam diri dan tidak habis-habis bermesyuarat tanpa sebarang hasil, Malaysia menyuarakan protes dalam pelbagai cara.

Antaranya melalui Facebook dengan ‘menyerang’ laman ‘Israel Defence Forces (IDF)’ milik tentera Israel dengan mengemukakan komen yang menyebabkan mereka menjadi umpama ‘cacing kepanasan’.

Kemuncaknya, pada 4 Ogos lalu, rakyat Malaysia dihalang daripada mengakses laman sosial Yahudi itu.

Selain serangan hebat di media sosial, terutama Facebook, Malaysia menjelmakan ketakutan kepada bangsa Yahudi Zionis dengan berkempen untuk memboikot syarikat yang mempunyai kepentingan dengan negara haram itu.

Kepentingan yang dimaksudkan di sini termasuk menyalurkan bantuan kewangan atau sokongan berbentuk kewangan kepada tabung Yahudi itu untuk membangunkan negara haram atau menyokong peperangan Zionis dengan umat Islam di Gaza.

Kempen boikot yang diadakan di kebanyakan dunia pada hari ini sememangnya memberi kesan besar terhadap mereka dengan menyaksikan saham syarikat besar pro-Israel menghadapi kejatuhan yang sangat membimbangkan mereka.

Ini secara tidak langsung memaksa mereka berfikir panjang sebelum meneruskan agenda jahat mereka terhadap umat Islam di Palestin.

Namun dalam keghairahan kita menjayakan kempen boikot ini, kita sebagai umat Islam diingatkan supaya tidak berlebih-lebihan dan memahami konsep ‘boikot’ supaya tidak menjatuhkan air muka sendiri kelak.

Kempen boikot yang kita jalankan bertujuan melemahkan ekonomi syarikat ini dengan cara tidak membeli produk keluaran mereka.

Namun, kurang baik jika kita melakukan tindakan berlebih-lebihan seperti makan makanan yang dibungkus di tempat mereka, menggunakan kemudahan di dalam premis mereka seperti tandas, apatah lagi tindakan yang boleh mendatangkan kerosakan terhadap premis mereka kerana mereka juga membayar kos operasi seperti sewa premis dan bil.

Semoga Allah memandang usaha dan niat murni kita sebagai amal yang baik dan soleh.

[Sumber]

Blogger biasa yang menulis untuk berkongsi berita dan infomasi untuk memberi manfaat dan ilmu pengetahuan.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon