Sunday, August 31, 2014

Sudirman Ikon Kemerdekaan Sejati


Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta | Selepas 22 tahun pemergian bertemu penciptanya, hati seakan-akan sayu apabila mendengar berita bahawa tema kemerdekaan tahun ini - Malaysia Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta telah dinobatkan dari lirik lagu Warisan nyanyian Allahyarham Sudirman Arshad.

Sudirman - Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta

Sejak meninggal dunia pada 22 Februari 1992, dunia hiburan negara terutama melibatkan lagu patriotik seakan sepi.

Sebut sahaja lagu patriotik nyanyian beliau seperti 31 Ogos, Bendera Malaysia, Warisan dan banyak lagi lagu dari genre tersebut ia seakan menyuntik semangat kenegaraan yang kuat.

Budak kecil berusia empat tahun hingga warga emas pun boleh berdiri dengan bersemangat apabila Raja Pop Asia tersebut melantunkan suaranya.

Insan bernama Sudirman unik dalam kelasnya yang tersendiri.

Dalam suasana masyarakat hari ini dan di masa hayat beliau, Sudirman merupakan ikon yang berjaya menyatukan semua bangsa untuk menonton konsert meganya di Chow Kit Road, Kuala Lumpur pada tanggal 14 April 1986.

Apa lagi yang boleh diceritakan tentang Sudirman melainkan perkara-perkara yang indah-indah sahaja.

Sudirman yang digelar the singing lawyer, bukan sahaja menjadi johan Bintang RTM 1976 malah pernah membawa nama Malaysia gah di Royal Albert Hall London, apabila diangkat sebagai Penghibur Nombor Satu Asia di pentas penuh prestij itu pada tahun 1989.

Insan yang jika masih hidup berusia 60 tahun itu sesungguhnya selain boleh dianggap sebagai ikon 1Malaysia boleh juga dianggap sebagai ikon perpaduan negara ini.

Dalam masa isu perpecahan antara masyarakat akibat perbezaan fahaman politik yang memeningkan, nama Sudirman adalah tepat untuk diangkat sebagai sebahagian daripada nama insan yang memberi jisim yang lebih dalam sebuah sambutan kemerdekaan.

Setiap persembahannya menyajikan kelainan dan boleh dikatakan beliau berinovasi dalam memberi kepuasan kepada penonton yang hadir menyaksikan persembahannya.

Maka sewajarnya generasi seniman, pemimpin mahupun anak-anak muda mencontohi semangat legenda beliau yang begitu bertenaga setiap kali mengadakan persembahan sama ada di kaca televisyen mahupun di pentas.

Tentu rakyat Malaysia yang berumur 30 tahun ke atas mengingati persembahan penuh penghayatan Sudirman ketika menyampaikan lagu Merisik Khabar yang memenangi Anugerah Persembahan Terbaik pada pentas akhir Juara Lagu 1987. Nyalaan api dari penyala api (lighter) dipetik mengikut irama akan terus diingati generasi peminatnya.

Pendek kata, jika generasi berusia hari ini tidak kenal siapa Sudirman dan impaknya sebagai penghibur kepada masyarakat hari ini sudah pasti orang itu menghadapi sakit lupa yang berat.

Sebagai ikon perpaduan, Sudirman perlu disanjung sebagai bukan sahaja anak seni tetapi penghibur yang berjaya merawat duka kita yang sedih dengan lagu rakyatnya seperti Punch Card, Seruling Anak Gembala, Basikal Tua dan Kulit.

Malahan lagu raya yang tidak menyebut perkataan raya di dalam liriknya iaitu lagu Balik Kampung boleh dianggap lagu 1Malaysia kerana ia menyuntik keceriaan dalam perayaan setiap penganut agama di negara kita.

Tidak kira apa jua bangsa sama ada Melayu, Cina, india dan lain-lain etnik semuanya balik ke kampung masing-masing mengikut tradisi nenek moyang sejak lama dulu.

Namun hari ini kesuraman dunia seni akibat isu cetak rompak dan muat turun lagu yang berleluasa di dunia maya telah membuatkan ingatan kita kepada Sudirman semakin nostalgik.

Selain Sudirman, kita juga telah kehilangan ramai karyawan seni yang hebat beberapa tahun kebelakangan ini seperti Loloq, Asri Rabbani, Datuk Ahmad Jais, Datuk Sharifah Aini dan lain-lain seniman veteran seperti Datuk Aziz Sattar dan S. Shamsuddin.

Bak kata pepatah, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Bagi seorang seniman bernama Datuk Sudirman yang mendapat gelaran dari Sultan Pahang pada 2009 sesungguhnya beliau telah pergi meninggalkan legasi seni yang tidak mampu ditandingi oleh generasi seniman hari ini.

Sesuai dengan lagunya One Thousand Million Smiles dan To know Malaysia is to love Malaysia cuma insan yang berhati besar yang mampu mendendangkan lagu tersebut dengan jiwa seorang bernama rakyat Malaysia.

Sesungguhnya tema ulangtahun kemerdekaan negara yang ke-57, Malaysia Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta tepat pada masanya.

Pada saat ada pihak yang ingin menjadikan negara ini sebagai pentas berpolitik yang boleh menyebabkan kacau bilau dalam masyarakat yang bertamadun, maka tema sedemikian ibarat cincin dengan permata.

Sesuai dan kena dengan masa dan ketikanya. Hayatilah bait-bait berikut sebagai satu pesanan untuk kita orang Melayu di negara berdaulat ini..

Di sini lahirnya sebuah cinta
Yang murni abadi sejati
Di sini tersemai cita-cita
Bercambah menjadi warisan
Andai ku terbuang tak diterima
Andai aku disingkirkan
Ke mana harus ku bawakan
Ke mana harus ku semaikan cinta ini
Betapa di bumi ini ku melangkah
Ke utara selatan, timur dan barat
Ku jejaki
Aku bukanlah seorang perwira
Gagah menjunjung senjata
Namun hati rela berjuang
Walau dengan cara sendiri
Demi cinta ini
Ku ingin kotakan seribu janji
Sepanjang kedewasaan ini
Ku ingin sampaikan pesanan
Aku lah penyambung warisan..

[Sumber]

Blog SP mengucapkan SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN buat semua pembaca..

2 comments

  1. Assalammualaikum... sentiasapanas,

    arwah sudirman nie.. juga mempunyai produk tersendiri... air minuman sudir..

    mselim3

    ReplyDelete
    Replies
    1. Waalaikumsalam mSelim. Sayang sekali minuman ni tiada lagi dipasaran kan..

      Delete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon