Friday, August 08, 2014

Nasihat Nik Aziz, Jangan Malukan Munafik Politik


Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memaklumkan beliau sempat pergi ke Kota Bharu, Kelantan bersama isterinya Puan Sri Salbiah Tunut dan bertemu Mursyidul Am Pas; Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan menerima nasihat berguna.

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim

Menurut beliau, Nik Abdul Aziz berkata di dalam politik ada golongan munafik yang disifatkan sebagai golongan hipokrit.

Beliau berkata, pada mulanya beliau menyangka bekas Menteri Besar Kelantan itu ingin menasihati beliau supaya menghapuskan golongan munafik seperti itu di dalam politik tetapi nasihat dari Tuan Guru adalah sebaliknya.

“Saya bersama dengan isteri saya pergi ke Kota Bharu, dapat berjumpa dengan Tuan Guru Nik Aziz dan saya dapat satu nasihat yang sangat penting diberikan kepada saya.

“Nasihat itu dilihat terlalu susah untuk saya lakukan iaitu, dia mengingatkan saya dalam politik banyak hipokrit, dia cakap ada munafik.

“Bila saya memahaminya, saya ingat dia (Nik Aziz) nak suruh saya hapuskan munafik rupanya dia tidak, dia kata kita mesti jangan malukan munafik, kita sabar, kita sama-sama betulkan dia,” katanya.

Selain itu, Nik Abdul Aziz turut menasihati beliau bahawa Nabi Muhammad S.A.W telah dapat menjalankan tugas dengan meningkatkan syiar Islam dengan cara tidak menjatuhkan maruah orang lain biarpun mereka jahat sepertimanapun tetapi dengan membetulkan mereka.

“Saya tidak tahu sama ada saya boleh jalankan tugas ini tetapi saya mencubalah ini, supaya saya dapat menjalankan tugas dengan baik dan bertanggungjawab,” katanya ketika berucap pada majlis Solat Hajat Perdana untuk mempertahankan kerajaan negeri di kediaman rasmi beliau di Shah Alam malam tadi.

Menyentuh soal konflik di Gaza pula, Abdul Khalid berkata beliau yang beberapa kali ada menemui Pesuruhjaya Tinggi Mesir di Malaysia mengingatkan pihak Mesir agar membuka sempadan Rafah bagi memberi laluan bantuan kemanusiaan ke Gaza.

“Kadang-kadang saya pun tidak boleh besabar juga, dia tidak mementingkan umat Islam yang juga jiran mereka.

“Setiap kali saya berjumpa dengan Pesuruhjaya Mesir, saya dah ingatkan dia bahawa mereka memalukan umat Islam jika tidak berani menjalankan satu tugas yang sebegini (membuka sempadan Rafah),” katanya.

Menurut beliau, kerajaan negeri Selangor ada menghantar bantuan ubat-ubatan ke Gaza bagaimanapun ia tersekat ketika ini di pintu sempadan berkenaan.

“Kita (kerajaan negeri Selangor), membuat beberapa program-program bagaimana kita akan menghantar RM1 juta peruntukan untuk rakyat Palestin di Gaza,” katanya.-Mynewshub.my



Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon