Friday, August 29, 2014

Kekejaman ISIS Dan Kezaliman Zionis


Baru-baru ini apabila jornalis US, James Foley disembelih oleh ISIS di Iraq, serta-merta berita itu menjadi tajuk utama akhbar-akhbar media barat.

James Foley Killed by ISIS

Tajuk seperti US journalist James Foley beheaded by ISIS fighter "with London accent" mengambil tempat bagi banyak akhbar dan berita TV dan internet. Warga Muslim British menjadi pembunuh yang sangat ganas atas nama Islam. Itulah mesej yang terlekat pada kepala ramai pembaca.

Hanya apa yang boleh kita tegaskan bahawa apa yang ISIS buat pastinya bukan ajaran Islam. Kita juga hairan bagaimana ISIS begitu kuat dengan segala senjata dan anggotanya. Siapakah sebenarnya di belakang mereka?

Memotong kepala musuh untuk dipertontonkan kepada orang ramai bukan perbuatan yang diiktiraf oleh Islam. Apatah lagi membunuh mereka yang tidak terlibat di medan perang seperti wartawan. Ia sama sekali diharamkan syariat Islam yang mulia.

Tokoh besar tabi’i (murid sahabat Nabi SAW) iaitu al-Zuhri menyatakan: “Tidak pernah dibawa kepada Rasulullah SAW satu kepala pun, tidak sekalipun dalam Perang Badar.

Pada zaman dahulu, peperangan dan pembunuhan memang membabitkan pancung kepala. Semua pihak tanpa mengira agama. Pelbagai cara pembunuhan dilakukan dan pancung termasuk salah satu dari cara manusia membunuh.

Kristian dalam sejarahnya sangat kejam, sering membakar manusia hidup-hidup. Sementara itu, Islam pula menjadikan pancung kepala sebagai cara hukuman bunuh dijalankan kerana ia paling pantas membunuh pesalah dan mengelakkan kesakitan.

Apabila dengan pantasnya terputus badan dan kepala maka, tiada lagi nyawa. Bukan menyembelih manusia seperti yang ISIS lakukan.

Nabi SAW bersabda: “ALLAH telah menetapkan simpati untuk setiap perkara. Apabila membunuh maka elokkanlah cara pembunuhan”. (Riwayat Muslim)

Disebut Perang Badar dalam kenyataan al-Zuhri tadi disebabkan perang tersebut membabitkan ramai musuh utama umat Islam termasuk Abu Jahal yang sangat zalim yang telah menyeksa dan membunuh dengan kejamnya ramai pengikut Nabi Muhammad SAW. Dalam Perang Badar Abu Jahal telah dibunuh. Pun begitu tidak dibawa kepalanya kepada Nabi SAW.

Cerita kepala al-Aswad al-’Ansi yang dibawa kepada Nabi Muhammad SAW juga satu kekeliruan kerana al-Aswad dibunuh pada tahun ke sebelas hijrah, di masa Baginda SAW telah pun wafat. (lihat: Ibn Hajar al-’Asqalani, al-Talkhis al-Habir jld 4 ms 287. Beirut: Dar al-Kutub al-’Ilmiyyah)

Ketika dibawa kepala musuh iaitu Yannaq yang menjadi ketua di pihak Rome kepada Khalifah Abu Bakar as-Siddiq, beliau membantah. Lalu mereka berkata: “Wahai Khalifah! mereka itu melakukan yang sama kepada kita”.

Jawab Khalifah Abu Bakar: “Apakah kamu jadikan Parsi dan Rome sebagai contoh teladan?! Jangan bawa kepadaku kepala, cukuplah sekadar surat dan berita”. (Riwayat Said bin Mansur)

Abu Bakar as-Siddiq membantah perbuatan tersebut sekalipun pada zaman itu, manusia membunuh dengan cara sedemikian. Bahkan Abu Bakar tidak benarkan umat Islam meniru teladan buruk musuh sekalipun mereka berbuat demikian pada umat Islam.

Perbuatan ISIS di samping tidak mencanggahi Islam, ia hanya menimbulkan fitnah terhadap umat Islam terutama di zaman ini. Pasti, tiada siapa yang waras menyukai apa yang dibuat ISIS.

Gaza berdarah

Holocaust in Palestine

Presiden Obama ketika mengulas apa yang ISIS lakukan terhadap James Foley menyebut: “No just God would stand for what they did”.

Kita memang membantah apa yang ISIS buat cuma kita mesti bertanya adakah di sana tuhan yang adil yang akan mempertahankan apa yang Israel telah dan sedang lakukan terhadap rakyat Gaza?

Ribuan kanak-kanak, wanita, orang tua dan rakyat yang dibunuh dengan kejam oleh senjata Israel setiap hari. Hampir setengah juta kehilangan tempat tinggal. Sekolah, hospital, rumah dan segalanya di bom saban hari.

Bukan seorang wartawan, tapi ratusan ribu menjadi mangsa yang tidak berdosa. Bukan mereka pergi melaporkan berita yang mungkin sebahagiannya propaganda untuk media yang berat sebelah, tetapi mereka berada di rumah mereka sendiri.

Tapi Amerikalah yang mempertahankan dan membekalkan senjata kepada Israel. Kenapa Obama tidak menyebut "no just God would stand for what Israel did"?! Sebaliknya, beliaulah the demon behind the mask.

Di saat kota-kota Eropah bangkit melakukan demonstrasi membantah Israel atas kekejaman mereka terhadap Palestin, berita ISIS menyembelih dijelmakan menjadi tajuk utama keseluruhan media di Barat.

Rakyat Barat yang mempunyai kesedaran tentang hak-hak kemanusiaan kali ini dengan perkembangan media sosial mula nampak kejahatan Zionis. Anti-semitism yang merujuk kepada Yahudi yang lama dipendamkan, mula bangkit semula di Eropah.

Namun dengan isu terbaru ini maka mereka semacam mendapat modal untuk mengalih pandangan umum terhadap Israel.

Mereka seakan menyuruh rakyat melupakan kekejaman terhadap ratusan ribu manusia, berikan perhatian terhadap seorang wartawan yang disembelih oleh ISIS. Padahal ISIS sebelum ini telah menyembelih begitu banyak rakyat di Iraq. Siapakah sebenarnya di belakang mereka?

Islam tidak pernah meredai kezaliman terhadap umatnya, juga terhadap orang lain. Sifat rahmat Islam itu merangkumi setiap kehidupan termasuk setiap juzuk alam ini. Namun semua menjadi keliru.

Atas keadaan yang tidak adil dan kejam terhadap masyarakat yang lemah maka ramai Muslim yang keliru antara ajaran agamanya dan emosinya yang memberontak.

BACA INI JUGA: 10 Salah Faham Terbesar Mengenai Islam

Sumber: sinarharian.com.my

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon