Saturday, July 12, 2014

3 Negara Islam Penyokong Keganasan Israel!


Amerika Syarikat (AS), Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Mesir bertanggungjawab ke atas kekejaman tentera Israel ke atas umat Islam Palestin.

israel serang palestin

Pengerusi Badan bukan kerajaan (NGO) Citizens International, S.M. Mohamed Idris berkata, negara terbabit telah mendorong kepada pembersihan etnik rakyat Palestin oleh zionis untuk memadam sejarah negara itu.

“Sokongan tentera, ekonomi dan diplomatik oleh AS untuk Israel telah menggalakkan rejim zionis melakukan jenayah antarabangsa terhadap rakyat Palestin. Sebarang percubaan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menghalang Israel akan ditentang oleh kuasa veto AS.

“Sokongan Arab Saudi dan UAE ke atas rampasan kuasa oleh diktator Abdul Fattah el-Sisi telah melemahkan Palestin. Sisi memusnahkan beratus-ratus terowong yang digunakan untuk mengangkut makanan, perubatan dan barangan keperluan ke Gaza yang berada di bawah kepungan Israel-Mesir dari tahun 2007.

“Perbuatan Mesir itu mengakibatkan bencana kemanusiaan ke atas penduduk Gaza kerana ramai jatuh sakit dan kekurangan bekalan keperluan,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.

S.M. Mohamed Idris

S.M. Mohamed dalam pada itu menyelar negara-negara liga Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) kerana sentiasa bersikap penakut untuk mengambil tindakan segera untuk membantu rakyat Palestin disebabkan semakin kekurangan nilai moral dan akhlak dalam diri mereka.

Sehubungan itu, beliau menggesa pertubuhan dan gerakan masyarakat di seluruh dunia mengadakan demonstrasi di hadapan kedutaan AS, Israel, Arab Saudi dan Mesir untuk menyatakan sokongan ke atas Palestin.

Katanya, masyarakat dunia juga diseru mengerakkan kempen memboikot dan mengenakan sekatan ke atas Israel.

Beliau turut mendesak Majlis Keselamatan PBB supaya mengutuk kekejaman tentera Israel ke atas umat Islam Palestin dan mengarahkan supaya serangan dihentikan serta-merta.

Jakim Minta Umat Islam Baca Doa Qunut Nazilah

Doa Qunut Nazilah

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyeru umat Islam menunaikan solat hajat dan membaca doa Qunut Nazilah supaya umat Islam di Palestin diberikan kekuatan, kemenangan, ketabahan dan perlindungan daripada kekejaman tentera Israel.

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha berkata, tentera Israel sedang menceroboh dan menindas penduduk Palestin semasa umat Islam sedang menyambut bulan Ramadan.

“Jakim turut menyeru semua pentadbir masjid dan surau seluruh Malaysia menyatakan keprihatinan kita atas penindasan umat Islam Palestin dengan bersama-sama mengadakan solat hajat dan berdoa agar bumi Gaza dan umat Islam Palestin dipertahankan.

“Semoga dengan usaha kita ini mampu meredakan konflik dan ketegangan yang berlaku seterusnya membawa kepada penyelesaian yang terbaik. Sehubungan dengan itu, marilah sama-sama kita menunaikan solat hajat serta bacaan doa Qunut Nazilah agar umat Islam di Palestin diberikan kekuatan, kemenangan, ketabahan dan perlindungan,” katanya melalui satu kenyataan media.

Doa Qunut Nazilah [2]

Othman dalam pada itu memaklumkan, Jakim telah mengarahkan semua tiga masjid utama di bawah Jakim serta seluruh masjid di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) melancarkan tabung khas kutipan derma bagi membantu Palestin.

Menurutnya, kutipan derma tersebut akan dilaksanakan secara menyeluruh di masjid-masjid utama di bawah seliaan Jakim dan Jawi bermula hari ini.

“Orang ramai dialu-alukan untuk memberikan sumbangan kepada masjid terlibat dan pentadbir masjid seluruh negara dialu-alukan untuk mengambil inisiatif sama,” katanya.

Sumber: Mynewshub.my

2 comments

  1. Amat menyedihkan bila melihat umat Islam ditindas begini. Tiada daya kita melainkan berdoa n boikot brngan mereka.

    ReplyDelete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon