Wednesday, June 04, 2014

Kehebatan Muzium Cristiano Ronaldo


Kehadirannya tidak dirasai apatah lagi dengan lokasi terletak di jalanan yang memerlukan anda mendaki, membuatkan suasana di Madeira, Portugal tidak ubah seperti pulau lainnya.

Muzium Cristiano Ronaldo [2]

Namun sebaik melang­kah masuk, anda pasti tergamam. Sebuah tempat khusus buat seorang pemain agung menanti anda.

CR7 (Cristiano Ronaldo 7) Museu di Funchal, ditujukan buat pemain hebat Cristiano Ronaldo (gambar).

Mendominasi ruang te­ngah bilik itu, pemenang Ballon d’Or menerusi ukiran patung lilinnya menanti, bagaikan berkata: “Lihatlah hasil kerjaku!”

Tentu sekali semua ini membuat anda terse­nyum, kerana inilah yang anda inginkan daripada sebuah muzium memaparkan segala-galanya mengenai Ronaldo.

Muzium Cristiano Ronaldo [3]

Muzium ini hasil usaha abangnya, Hugo yang dibiayai sepenuhnya Cristiano sendiri.

Tidak perlu sebarang teks, kisah pemain bola sepak paling disanjung itu diceritakan menerusi kilauan 150 trofi dan pingat, 26 bola yang ditandata­ngani, semua­nya menyumbang hatrik dan album foto keluarga yang me­nyaksikan evolusi Ronaldo daripada budak bertubuh montel berambut kerinting hing­galah menjadi pemain gah di seluruh dunia.

Sedang­kan Pele sendiri, pemain yang diang­gap terhebat di antara mereka memerlukan tiga Piala Dunia, 1,281 gol dan 31 tahun selepas kariernya tamat sebelum ada orang mengang­gap munasabah untuk membuka muzium peribadinya.

Ronaldo pula berbeza. Menerusi hasil pelbagai kejayaan yang diraih, berada di rumahnya di Madrid, Hugo yang kini menjalankan perniagaan ­pembinaan berpendapat lebih baik untuk melakukannya ketika dia masih mendapat sanjungan dunia.

Muzium Cristiano Ronaldo [4]

Terdapat ba­nyak lagi ruang untuk menempat­kan lebih banyak kejayaan, kata kurator muzium berkenaan, Nuno Mundes yang kini membayangkan di mana mahu meletakkan Kasut Emas 2014 yang dimenangi Ronaldo sebagai penjaring terba­nyak Eropah musim ini.

Setiap kali pasukan Ronaldo memenangi trofi, sebuah replika akan ditempatkan di muzium berkenaan.

Tidak perlu bersusah payah untuk memperkenalkan wajah yang akrab di hati peminat bola sepak ini. Sejak lima tahun muzium itu dibuka, pelawat dari dalam dan luar negara me­ngunjunginya dengan kapal pesiaran, lebih daripada 20,000 pengunjung dan kira-kira 1,000 pe­ngunjung setiap minggu sekali gus menjadi muzium paling popular di pulau itu.

Muzium Cristiano Ronaldo [5]

Rumah Christopher Columbus? Lupakan saja. Muzium Cristiano boleh dilawati dengan bayaran lima euro (RM22) manakala kanak-kanak masuk percuma malah anda boleh berinteraksi dengan ‘Ronaldo’ dan melihat gambar anda dipaparkan di Facebook.

Mereka datang dari Cuba, Ghana, Iraq, Jepun dan Argentina; kiriman surat cinta, tidak kira dari Sepanyol atau Shoeburyness. Kadang kala, kata Mendes, ada peminat wanita menghantar gambar, lengkap dengan cincin perkahwinan.

Muzium Cristiano Ronaldo [6]

Sebuah ukiran kayu yang cantik dihantar peminatnya dari Indonesia yang kecewa apabila diketepikan, menujukannya kepada ‘pemain cedera terbaik di dunia’. Memang tidak masuk akal.

Di bahagian cenderahati yang didominasi jenama CR7, dikendalikan kakaknya, Elma yang juga me­ngusahakan butik CR7 di Funchal di mana anda boleh mendapatkan sapu tangan bersulam nama Ronaldo, hinggalah tempat abu rokok CR7.

Muzium Cristiano Ronaldo [7]

Menurut Mendes, Cristiano bukan setakat pemain bola sepak.

“Dia duta utama Portugal. Saya tidak ragu-ragu mengenainya. Negara ini tiada jenama yang lebih popular dan lebih penting seperti Ronaldo. Imej negara ini terpancar dalam diri­nya.”

BACA INI JUGA: Eusebio, Lagenda Termahsyur Bola Sepak Portugal

Sumber: Hmetro.com.my

1 comment

  1. Assalammualaikum..sentiasapanas,

    suka gak baca pasal pemain 'terbaik dunia nie'.. membina muziumnya sendiri... utk tatapan peminat kesayangan ...

    mselim3

    pls: c.ronaldo pun ada jenama sendiri CR7..

    ReplyDelete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon