Monday, June 30, 2014

MH370: Bukti Baharu Dakwa Ada Gangguan Kuasa Misteri

Penyiasat nahas udara, kehilangan pesawat MH370 telah menemui bukti baharu mengenai kokpit pesawat yang berkemungkinan telah diganggu.

MH370 Bukti Baharu Dakwa Ada Gangguan Kuasa Misteri

Satu laporan yang dikeluarkan oleh penyiasat nahas udara Australia mendedahkan bahawa pesawat Boeing 777 yang hilang mengalami gangguan kuasa misteri pada peringkat awal penerbangan, yang membuatkan pakar-pakar percaya ia boleh menjadi sebahagian daripada usaha untuk mengelak daripada dikesan radar.

Menurut laporan itu, unit data satelit pesawat telah melakukan permintaan ‘log masuk’ yang tidak dijangka kepada satelit, dalam tempoh kurang dari 90 minit semasa penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Laporan menyebut mengenai permintaan ‘log masuk’ yang dikenali sebagai ‘handshake’ yang dilihat mungkin muncul disebabkan gangguan kuasa elektrik di atas kapal pesawat.

“Permintaan log masuk ketika penerbangan bukan perkara biasa.

“Analisis telah dilakukan yang menentukan bahawa ciri-ciri dan masa permintaan ‘logon’ adalah padanan terbaik sebagai akibat daripada gangguan kuasa,” Menurut laporan oleh Biro Keselamatan Pengangkutan Australia.

David Gleave, seorang pakar keselamatan penerbangan dari Loughborough University, berkata gangguan bekalan kuasa muncul sebagai hasil apabila seseorang di kokpit cuba untuk mengurangkan penggunaan sistem pesawat.

Tindakan itu, katanya, adalah selaras dengan usaha untuk menjadikan komunikasi pesawat dan sistem terpadam dalam usaha untuk mengelak daripada dikesan radar.

“Seseorang mungkin berlegar-legar di dalam kokpit yang akan membawa kepada gangguan kuasa,” katanya.

“Ia boleh menjadi satu tindakan yang sengaja bagi mematikan kedua-dua enjin untuk beberapa ketika. Dengan kerunsingan di dalam kokpit anda mungkin boleh mematikan kuasa buat sementara dan menghidupkannya semula apabila anda memerlukan sistem lain untuk menerbangkan pesawat.”

Inmarsat, syarikat yang secara rasmi menganalisis data penerbangan dari MH370, telah mengesahkan penilaian ini tetapi berkata tidak mengetahui mengapa pesawat itu mengalami kegagalan kuasa.

“Ia kelihatan seperti terdapat kegagalan kuasa pada kedua-duanya.

“Ia merupakan satu lagi misteri kecil. Kita tidak boleh menerangkannya. Kita tidak tahu mengapa. Kami hanya tahu ia berlaku,” kata Chris McLaughlin, dari Inmarsat, kepada The Telegraph.

Laporan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa Australia mendedahkan bahawa Boeing 777 cuba untuk membuat ‘log masuk’ ke satelit Inmarsat pada pukul 2.25 pagi, tiga minit selepas ia dikesan oleh radar tentera Malaysia.

Ketika itu pesawat sedang terbang di utara pulau Sumatera Indonesia.

Pesawat itu telah menyimpang dari laluan sebenar untuk ke destinasinya iaitu Beijing, tetapi tidak lagi menukar arah ke selatan Lautan Hindi.

Pesawat itu mengalami satu lagi permintaan log masuk hampir sama kira-kira enam jam kemudian, walaupun ini adalah ‘handshake’ satelitnya ketujuh dan terakhir di mana dipercayai pesawat kehabisan bahan api dan kuasa elektrik sebelum terhempas, di suatu tempat di selatan Lautan Hindi.

Lima ‘handshake’ lain mula dikenalpasti oleh stesen satelit bumi dan tidak dianggap luar biasa.

Ketika ditanya sama ada gangguan kuasa yang boleh disebabkan oleh kerosakan mekanikal, Gleave berkata: “Terdapat kegagalan mekanikal yang boleh dipercayai menjadi sebab. Tetapi anda tidak akan terbang sejauh beratus-ratus batu dan hilang di Lautan Hindi kemudiannya.”

Sumber: mstar.com.my

Kunyit Penawar Penyakit Kencing Manis?

Mungkin ramai yang tidak menyedari begitu banyak herba di dapur dan halaman rumah yang boleh digunakan untuk mencegah dan merawat penyakit.

Kunyit

Herba yang telah digunakan secara turun-temurun ini semakin dilupakan kerana ilmunya tidak diwarisi.

Tambahan pula, kebanyakan generasi muda menganggap bahan herba hanya sebagai tumbuhan hiasan atau bahan masakan semata-mata.

Sebagai contoh, kunyit ialah ‘herba’ yang sangat bagus untuk membantu fungsi dan pemulihan badan dalam menghadapi masalah diabetes, kolesterol, masalah kulit, radang sendi dan kesihatan hati.

Bahan aktif di dalam kunyit dikenali sebagai curcuminoids juga telah dikenal pasti dapat membantu untuk penyakit alzheimer, multiple myeloma, kanser kolon dan kanser pankreas.

Menariknya, penggunaan kunyit dalam kebanyakan masakan masyarakat India dipercayai berkait rapat dengan keupayaannya memulihara fungsi kecergasan otak seseorang.

"Walaupun kebanyakan kajian yang dijalankan ke atas tumbuhan herba dan rempah-ratus hanyalah pada peringkat awal, tiada buruknya jika menambahkan rempah-ratus dalam diet harian anda," kata pengkaji herba dari Universiti Oxford, Prof. Gerard Bodeker.

Tambah beliau, penggunaan herba-herba dan rempah-ratus bukan sahaja memperkayakan perisa makanan tetapi juga meningkatkan khasiat kesihatan.

Mungkin ramai tidak mengetahui bahawa campuran kunyit dan kayu manis ternyata berpeluang mengubati penyakit diabetes.

"Ramuan tersebut dapat melipat gandakan kebolehan kerja insulin untuk menguraikan glukosa.

"Kunyit juga dapat membantu mengawal masalah obesiti. Ini secara langsung dapat mencegah penyakit yang berpunca daripada kegemukan seperti diabetes," jelasnya.

Bagi masyarakat Melayu, kunyit diminum sebagai jamu terutamanya ibu selepas bersalin. Tujuannya untuk mengecutkan rahim dan mencuci darah.

Manakala masyarakat Cina percaya isi kunyit boleh melancarkan peredaran darah, menghilangkan kesan lebam dan darah beku. Di Thailand kunyit digunakan untuk merawat bisa patukan ular tedung.

Tidak terhad untuk mereka yang ingin mengatasi masalah kesihatan, curcumin harus dijadikan amalan harian untuk menguatkan sistem imunisasi badan dan mengurangkan kerosakan sel badan.

Pendek kata, mengamalkan pemakanan kunyit ini seumpama memakan ubat sebelum sakit.

BACA INI JUGA: Pelik! Labah-labah Pemakan Burung

Sumber: utusan

Akibat Ketagihan Media Sosial

Apabila kegilaan kepada media sosial semakin meruncing, maka akan terjadilah pelbagai kisah-kisah yang tidak sepatutnya berlaku. Malah, ada sesetengahnya melibatkan nyawa manusia.

Mari kita ikuti antara kisah ketagihan media ini dan ambillah iktibar agar kita dapat mengelakkan diri daripada menjadi seperti mereka.

Masuk hospital kerana WhatsApp

WhatsAppitis

Seorang wanita yang terlalu banyak menggunakan aplikasi WhatsApp pada musim krismas yang lalu akhirnya terpaksa dimasukkan ke dalam hospital. Menurut laporan seorang kakitangan perubatan di hospital, mereka telah merawat seorang wanita berusia 34 tahun yang sedang mengandung 27 minggu akibat kesakitan yang teruk di pergelangan tangannya.

Sebelum itu, dia tidak pernah terlibat dengan mana-mana insiden malah tidak pernah terlibat dalam sebarang aktiviti fizikal yang lasak. Pada hari tersebut, dia menghabiskan lebih 6 jam dengan telefon bimbitnya untuk menghantar pelbagai mesej.

Penyakitnya telah didiagnos dan didapati ada kena mengena dengan ibu jari yang kemudiannya mereka gelarkan sebagai 'WhatsAppitis'.

Cuba bunuh diri gara-gara 'Selfie'

Danny Bowman

Seorang remaja British yang ketagih 'selfie' cuba membunuh diri kerana tidak puas hati dengan gambar selfienya. Danny Bowman yang berusia 19 tahun menghabiskan masa sehingga 10 jam sehari untuk berselfie menggunakan iPhone miliknya dan dalam masa sehari sekurang-kurangnya 200 keping gambar berjaya dihasilkan.

Danny cuba membunuh diri dengan mengambil pil berlebihan namun ibunya sempat menyelamatkan nyawanya. Walaupun kes sebegini dianggap ekstrim, pakar psikologi mula menganggap bahawa mengambil gambar secara 'selfie' merupakan satu isu kesihatan mental yang serius.

Remaja meninggal di kem pemulihan internet

Deng Senshan

Kerajaan China telah menjalankan siasatan mengenai seorang remaja yang didakwa telah dipukul sehingga mati di kem yang mengendalikan kes-kes ketagihan internet. Deng Senshan yang baru berusia 15 tahun telah meninggal dunia kurang sehari selepas ibu bapanya menghantar dia ke kem yang terletak di selatan Guangxi.

Kes itu telah mendorong pakar dalam bidang perubatan untuk menggesa undang-undang digunakan terhadap kem-kem seperti ini yang semakin berkembang di China sehinggakan ada yang mengiklankannya di tv.

Deng ditemui dalam keadaan muntah-muntah namun meninggal dunia semasa dihantar ke klinik. Menurut seorang pengarah klinik pemulihan ketagihan internet, perkara begitu akan sentiasa berlaku kerana kem-kem ini tidak menekankan pengendalian secara saintifik sebaliknya lebih kepada sistem ketenteraan.

Ketagihan internet di China adalah masalah yang teruk kerana lebih 200 juta penggunanya berusia diantara 15-35 tahun.

Bunuh diri selepas dituduh ketagih Facebook

Sushma Goswami

Pada bulan Februari yang lalu, seorang wanita India berusia 24 tahun telah bertindak menggantung dirinya di kipas siling setelah dituduh obses dengan Facebook oleh ibu bapanya. Sushma Goswami hanya mengenali Facebook beberapa bulan sebelum kejadian dan terus tertarik dan menghabiskan masa berjam-jam melayari laman sosial itu.

Adik lelakinya turut mengikut langkahnya dan keadaan itu menimbulkan kemarahan ibu bapa mereka. Kedua-dua adik beradik itu mempunyai beribu-ribu kawan dalam Facebook walaupun kehidupan seharian mereka lebih terfokus untuk pembelajaran.

Berang dituduh ketagih Facebook oleh kedua orang tuanya, Sushma telah mengurung dirinya di dalam bilik dan hanya ditemui keesokannya dalam keadaan tidak lagi bernyawa.

Adakah Facebbok sangat teruk?

Bunuh diri makan pil tidur

Pada Oktober 2013, seorang gadis berusia 17 tahun telah membunuh dirinya selepas bergaduh dengan ibu bapanya tentang ketagihannya terhadap Facebook. Dalam nota yang ditinggalkannya, dia menulis, "Adakah Facebook sangat teruk? Saya tak boleh tinggal dalam rumah yang mempunyai halangan sebegitu kerana saya tidak boleh hidup tanpa Facebook".

Jatuh dalam laut kerana Facebook

Port Phillip Bay

Seorang pelancong wanita yang melawat Australia begitu leka dengan aplikasi Facebook di telefon bimbitnya ketika berada di jeti Teluk Port Philip sehinggakan tidak sedar dia terjatuh dari jeti tersebut dan termasuk ke dalam air yang sangat sejuk.

Dia bernasib baik kerana ada pengunjung lain yang segera memaklumkan kejadian tersebut kepada pihak berkuasa. Wanita itu bukan saja tidak perasan dengan sekelilingnya, malah dia juga sebenarnya tidak tahu berenang.

Mujurlah lokasi Port Philip agak cetek di kebanyakan tempat dan dia hanya berada 60 kaki dari jeti yang memudahkan kerja-kerja menyelamat. Apa yang menariknya ialah, semasa dia terjatuh dan berada di dalam air, dia tidak kehilangan telefon bimbitnya dan masih menggenggam erat telefon tersebut walaupun dalam cuaca sejuk dan air yang dingin.

Hilang kerja dan isteri kerana Twitter

Larry Carlat

Seorang lelaki, Larry Carlat pernah menjadi editor sebuah majalah lelaki yang terkenal. Namun, selepas dia mengenali dan ketagih Twitter, Larry kehilangan kerja, diceraikan dan dipulaukan oleh orang-orang kesayangannya.

Dia akan menggunakan Twitter hampir sepanjang masa setiap hari. Masalahnya, tabiat menggunakan Twitter adalah salah dari segi polisi media sosial syarikat tempatnya bekerja. Dia telah diberi pilihan sama ada untuk menutup akaunnya di Twitter atau dibuang kerja.

Malangnya, dia memilih Twitter namun selepas sebulan, dia kehilangan isteri yang menceraikannya. Dia mendakwa berada ditahap paling teruk apabila anak lelakinya sendiri mengugut untuk tidak mahu 'follow' ayahnya di Twitter.

Namun, selepas lebih 3 tahun ketagih, Larry akhirnya meninggalkan dunia Twitternya.

Video Khas Buat Yang Ketagih Selfie!


-Sentiasapanas.com

Saturday, June 28, 2014

Tidak Tahu Membaca Al-Quran Tapi Kuburnya Bercahaya

Suatu kisah yang diceritakan dalam tazkirah ramadhan di Masjid Sultan Zainal Abidin Kuala Terengganu yang sangat mengharukan dan mampu menitiskan air mata.

Kubur bercahaya
Gambar hiasan.

Seorang lelaki melewati sebuah kawasan perkuburan di suatu malam yang kelam dan sunyi. Tiba-tiba dia terpandang suatu cahaya yang terang benderang muncul dari sebuah kubur, dan terus menjulang ke langit. Dia merasa sedikit ketakutan dan berdebar.

Terpegun dan kaku melihat kejadian itu. Dia terfikir kemungkinan kubur ini adalah kubur seseorang yang sangat istimewa.

Samada ia seorang wali Allah atau ulama atau orang soleh yang istimewa kedudukannya di sisi Allah. Diambilnya sebatang kayu lalu dipacak di atas kubur yang bercahaya itu.

Keesokannya, lelaki itu datang lagi ke kawasan perkuburan itu dengan ditemani orang kampung. Beliau ingin menyelidik dan ingin mengetahui kubur siapakah yang sangat ajaib itu.

Apakah seorang tuan guru atau wali Allah atau alim ulama atau orang soleh yang terkenal?

Bila bertanya kepada orang kampung, mereka kehairanan kerana apa yang mereka ketahui dan pasti ini adalah kubur seorang lelaki tua, yang pernah mendiami sebuah pondok dihujung kampung bersama isterinya.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, lelaki itu berkunjung kerumah simati dan bertemu dengan isterinya lalu menceritakan keajaiban yang dilihat di kubur suaminya.

Anehnya isteri simati terkejut dan kehairanan. Dia sangat mengenali suaminya. Suaminya bukan siapa-siapa. Suaminya seorang petani. Bukan seorang kiyai, bukan seorang ahli ibadat, bukan orang soleh, bukan juga imam, bukan muazzin, bukan guru Al-Qur'an.

Malah suaminya tidak pandai membaca Al-Qur'an dan dia tidak pernah mendengar suaminya membaca Al-Qur'an. Perkara ini benar-benar menimbulkan kehairan kepada lelaki tersebut dan isteri simati.

Akhirmya lelaki itu bertanya, apakah perkara-perkara pelik yang simati selalu lakukan dalam kehidupan hariannya.

Akhirnya isteri arwah tersebut teringat suatu perkara yang selalu dilakukan oleh si mati, setiap kali sebelum tidur pada setiap malam, suaminya akan mengambil wudhuk, kemudian masuk di dalam suatu bilik lalu diambilnya Al-Qur'an di atas rak, lalu dicium dan dipeluknya dengan penuh kecintaan dan kasih sayang.

Al-Qur'an
Gambar hiasan.

Ia akan duduk dan membelek Al-Qur'an itu sehelai demi sehelai seperti sedang membaca, sedangkan dia seorang yang buta.

Dia akan meraba-raba ayat-ayat Al-Qur'an itu dengan tangannya, seolah-olah sedang menyentuh dan membelai sesuatu yang sangat dikasihi.

Tambah isteri simati lagi, dia pernah mendengar rintihan dan esakan tangis suaminya yang sangat sedih, mendayu-dayu dengan penuh penyesalan.

“Tuhanku! Ampunkanlah aku kerana aku tidak mampu membaca kalimah-Mu. Janganlah Engkau hukum aku di atas kebodohanku ini.”

“Wahai Kalam Allah, maafkan kesalahanku. Aku tidak mampu membaca kalimah mu. Aku tidak dapat bersahabat dengan mu. Aku tidak dapat memahami mu. Tapi aku sangat mengasihi mu. Aku sangat mencintaimu“.

“Wahai Kalaamullah, janganlah engkau mendakwa aku, jangan engkau menuduh aku dihadapan Tuhan diakhirat nanti”.

Cerita isteri simati lagi. Kadang-kadang suaminya tertidur di dalam bilik itu ditemani Al-Qur'an, buah hati kesayangannya.

Begitulah suaminya setiap malam sebelum tidur. Lelaki itu meminta untuk melihat Al-Qur'an kesayangan suaminya itu.

Benar dan sangat mengharukan apabila dia melihat naskah yang mulia itu kelihatan lusuh, helaian-helaiannya kelihatan selalu dibelek berkali-kali.

Dan ada bekas-bekas airmata di kertasnya, tanda seseorang sering menangis berjurai airmatanya tatkala membuka lembaran yang maha suci ini.

Pastinya lelaki ini sangat mulia peribadinya. Hatinya telah bersatu dengan ruh Al-Qur'an. Dia sangat mengasihi kalimat Tuhan dengan sesungguhnya. Bererti ia mengasihi Tuhan dengan seluruh jiwa dan raganya.

Marilah kita menghidupkan Al Qur'an di dalam masjid kita, di dalam rumah kita, di dalam diri kita, sepanjang masa.

Subhaanallah...

BACA INI JUGA: Misteri Batu Nisan ‘Bernyawa’

Sumber: Beritapantas92

"Berjuang Menentang Tentera Syiah Bukannya Pengebom Berani Mati"

Salah seorang rakyat Malaysia yang dikaitkan dengan aktiviti militan di Syria, Mohd Lotfi Ariffin, 45, menepis dakwaan pihak-pihak tertentu yang mendakwa dirinya sedang menjalani latihan ketenteraan di luar negara untuk menjadi pengebom berani mati.

Mohd Lotfi Ariffin

Dalam kenyataannya itu, Mohd Lotfi yang berada di Syria sejak awal Februari lalu mempertikai tindakan pihak terbabit yang memaparkan gambarnya di negara bergolak itu sebagai antara 10 ahli Jemaah Islamiah (JI) dari Malaysia yang pernah menjalani latihan ketenteraan di luar negara bagi direkrut menjadi pengebom berani mati.

Katanya, dakwaan itu tidak berasas kerana tujuan sebenar menjejakkan kaki ke Syria adalah membantu saudara Islam di bumi Syam itu memerangi kezaliman yang dilakukan tentera Assad.

“Saya dikatakan dilatih untuk jadi pengebom berani mati, sedangkan saya takut mati. Dari mana mereka dapat maklumat itu?,” katanya sinis.

Mohd Lotfi turut menjelaskan penyertaannya dalam peperangan di Syria bukannya untuk menyertai kumpulan pemberontak atau pengganas, sebaliknya bersama kumpulan Ajnad As Syam yang memerangi Presiden Bashar al-Assad.

“Saya bukan bersama Isil (kumpulan Negara Iraq dan Jajahannya), namun ada pihak membuat bayangan dalam Facebook mereka, kononnya saya Isil sehingga ada rakan yang tidak bersetuju dengan saya. Sebenarnya saya berjuang bawah Ajnad As Syam yang namanya tidak begitu dikenali. Saya bersama mereka untuk memerangi tentera Bassyar,” katanya.

Menurutnya, beliau kesal apabila ada pihak menyalahgunakan namanya yang dikatakan menyokong pihak tertentu.

Mengulas mengenai jihad yang diperjuangkannya, Mohd Lotfi berkata, beliau sanggup meninggalkan isteri dan enam orang anak demi mempertahankan golongan ditindas, selain mahu bantu masyarakat di sana menyekat kemaraan tentera Assad daripada menyeksa dan membunuh manusia yang tidak berdosa.

“Bagi mereka yang mahu berjihad di bumi Syam, perlu sanggup meninggalkan anak, isteri dan dunia semata-mata kerana jihad fisabilillah. Kami juga sanggup dipenjara, dibunuh dan dibuang daerah,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan tidak boleh menghalang rakyat Malaysia daripada melawat negara yang terkesan dengan konflik dalaman jika mereka mempunyai visa.

Ahmad Zahid juga menegaskan individu yang berjuang atau mempertahankan kesucian Islam tidak bermakna mereka perlu menggunakan senjata dan meletupkan diri, selain dinasihatkan agar tidak menjadikan Malaysia pangkalan kumpulan militan.

Sementara itu, seorang lagi militan Malaysia yang dipapar di blog dan laman web pro-militan adalah bekas pemain dram kumpulan terkenal era 90-an.

Beliau dikatakan dipengaruhi Mohd Lotfi dan kemudian menyertainya di Syria, di mana kedua-duanya kelihatan bersenjata dan memakai pakaian tentera. -Sinar Harian Online

Saksikan gambar-gambar pembunuhan kejam tentera Syiah. Selain hidup mewah, aman dan damai di Malaysia, apa pula sumbangan anda?

Kekejaman tentera Syiah di Syria [2]
Kekejaman tentera Syiah di Syria [3]
Kekejaman tentera Syiah di Syria [4]
Kekejaman tentera Syiah di Syria [5]

-Sentiasapanas.com

Felixia Yeap Peluk Islam 5 Ramadan

“Saya akan mengucap pada 5 Ramadan ini, iaitu pada 3 Julai ini (Khamis),” kata model pakaian Muslimah, Felixia Yeap, ketika menjadi panel jemputan di Program Semarak Ramadan anjuran kerajaan Negeri Selangor di Dataran Shah Alam malam ini.

Felixia Yeap Peluk Islam 5 Ramadan

Felixia berkata, tarikh 5 Ramadan dipilih kerana ianya jatuh pada hari ulang tahun kelahirannya.

“…5 Ramadan iaitu jatuh pada 3 Julai ini iaitu pada hari ‘birthday’ saya, hari itu juga merupakan hari kegemaran Nabi Muhammad,” katanya.

Ketika berbicara mengenai puasa, Felixia berpesan supaya umat Islam Malaysia tidak meninggalkan puasa.

Felixia Yeap Peluk Islam 5 Ramadan [2]

Sementara bercakap mengenai ciri-ciri suami idamannya, Felixia berharap lelaki itu seorang yang mampu membawanya ke jalan syurga.

“Biarlah beliau seorang yang mampu membimbing saya ke jalan jannah,” katanya. –Sinar Harian Online

Filem Bercorak Rompakan Terhebat Hollywood

Apakah itu filem Heist? Ia merupakan genre filem memaparkan jalinan plot yang kompleks mengenai sekumpulan pencuri (atau mungkin orang biasa!) yang ingin mencuri sesuatu.

Filem Bercorak Rompakan Terhebat Hollywood

Filem sebegini juga biasa dipersembahkan dalam plot tiga babak iaitu babak pertama yakni persediaan rompakan tersebut (menghimpun ahli kumpulan, mengkaji pelan rompakan, menghasilkan gajet untuk rompakan dan lain-lain). Babak kedua pula adalah acara rompakan itu sendiri dan babak ketiga memaparkan twist atau perubahan dalam plot di mana ada pengkhianatan atau masalah dalam perancangan.

Kami senaraikan beberapa filem hebat Hollywood bercorak rompakan yang anda perlu tahu.

Reservoir Dogs (1992)

Reservoir Dogs (1992)

Filem ini merupakan filem debut Quentin Tarantino sebelum dia mula menempa namanya melalui filem "Pulp Fiction".

Kisah "Reservoir Dogs" mungkin bukan plot tiga babak biasa namun ia mendapat gelaran 'Filem Indie Terbaik Sepanjang Zaman' dan menjadi filem kultus kerana kreativiti plotnya yang berkisar tentang apa yang berlaku sebelum dan selepas rompakan.

Ia juga sebuah filem Tarantino yang tipikal – dipenuhi jenayah ganas, budaya pop, bahasa yang tidak sopan dan juga cara penceritaan yang tidak sejajar.

Filem ini turut mendapat perhatian kerana para pelakon yang terlibat. Siapa yang tidak mahu menonton sebuah filem yang dibintangi Harvey Keitel, Steve Buscemi, Tim Roth, Michael Madsen, Chris Penn dan Lawrence Tierney, kan?

Ocean's Eleven (2001)

Ocean's Eleven (2001)

Ya, sekalipun filem ini merupakan versi baru filem caper-heist lakonan Rat Pack (kumpulan aktor memfokuskan Humphrey Bogart, Frank Sinatra, Dean Martin, Sammy Davis Jr. dan sebagainya), Stephen Soderbergh agak bijak menggunakan nama-nama besar seperti George Clooney, Brad Pitt dan Matt Damon untuk memastikan "Ocean's Eleven" arahannya mendapat tempat di hati peminat yang lebih muda.

"Ocean's Eleven" yang mengisahkan Danny Ocean dan kumpulan pencuri profesionalnya mungkin antara filem rompakan yang menjadi pilihan kerana menggunakan plot tiga babak yang tradisional dan setiap babak mengenai pelan mereka untuk memecah masuk ke dalam peti kasino Las Vegas dan merompak AS$150 juta ini agak kemas dan sangat sesuai bagi mereka yang baru hendak berjinak-jinak dengan genre ini.

Inception (2010)

Inception (2010)

Dikenali sebagai filem rompakan eksistensial pertama, Christopher Nolan berjaya memecahkan tradisi filem rompakan biasa dengan menghasilkan kisah sekumpulan pakar pemecah mimpi.

Apakah harta karun yang ingin dicuri (atau dalam erti kata lain, dicuri masuk)? Idea. Bagaimana cara melakukannya? Dengan memasukkan pengaruh mereka melalui mimpi. Siapa yang akan melakukannya?

Seorang pencuri bernama Dom Cobb (Leonardo DiCaprio) yang mencuri informasi melalui cara menakluk mimpi mangsanya, pembantunya Arthur (Joseph Gordon-Levitt) yang bertindak sebagai pemberi maklumat, rakan jenayahnya Eames (Tom Hardy) yang pakar dalam mencuri identiti, ahli baru mereka Ariadne (Ellen Page) yang bertindak sebagai arkitek mimpi dan Yusuf (Dileep Rao), ahli kimia yang membantu mereka melakukannya.

Ya, hanya Christopher Nolan sahaja yang boleh berfikir sejauh itu.

The Sting (1973)

The Sting (1973)

Filem rompakan yang juga sebuah filem caper (filem rompakan berunsur komedi) ini mungkin nampak seperti filem biasa, namun ia telah menerima sepuluh pencalonan termasuk Filem Terbaik di Anugerah Academy ke-46 suatu masa dahulu.

Kisah rompakan dengan plot yang kompleks ini dilakonkan oleh Paul Newman dan Robert Redford sebagai dua penipu profesional yang ingin mengenakan seorang ketua mafia.

Ia juga merupakan filem yang diinspirasikan daripada kisah benar Fred dan Charley Gondorff yang diabadikan melalui autobiografi, "The Big Con: The Story Of A Confidence Man".

The Killing (1956)

The Killing (1956)

"The Killing" merupakan sebuah filem rompakan dalam bentuk noir yang diarahkan oleh Stanley Kubrick. Ya, insan yang sama yang mempersembahkan anda dengan "A Clockwork Orange" dan "The Shining".

Filem lakonan Sterling Hayden, Elisha Cook Jr., Coleen Gray dan Ted de Corsia ini mengisahkan seorang penjenayah lama bernama Johnny Clay lakonan Hayden yang ingin melakukan satu lagi rompakan sebelum mengahwini kekasihnya, Fay.

Clay mengumpulkan rakan pasukannya yang terdiri daripada seorang polis korupsi, seorang penjaga kaunter pertaruhan, penembak tepat, seorang ahli gusti dan pelayan bar untuk cuba mencuri AS$2 juta duit pertaruhan lumba kuda..

The Usual Suspects (1995)

The Usual Suspects (1995)

Jika anda tidak tahu apa-apa tentang Keyser Soze, itu bererti anda belum lagi peminat setia genre ini. Filem neo-noir arahan Bryan Singer ini bermula sebagai satu filem inspirasi daripada dialog filem "Casablanca" yang diutarakan oleh watak Claude Rains.

Filem yang dibintangi Stephen Baldwin, Gabriel Byrne, Benicio del Toro, Chazz Palminteri, Kevin Pollak, Pete Postlethwaite, dan Kevin Spacey ini juga berjaya menaikkan lagi nama Kevin Spacey dalam industri perfileman di Hollywood.

"The Usual Suspects" bukan sahaja mendapat perhatian di Festival Filem Cannes 1995, malah penulisnya, McQuarrie dan Spacey telah berjaya memenangi anugerah Academy melalui filem ini.

Ia mungkin bukan filem rompakan yang biasa dan bermula dengan soal siasat Roger 'Verbal' Kint yang terselamat dalam kebakaran di atas kapal yang berada di Pelabuhan Los Angeles.

Kint lantas menceritakan kisah bagaimana dia dan empat penjenayah lain telah diupah oleh seorang ketua mafia yang misteri bernama Keyser Soze untuk menyeludup kokain bernilai AS$91 juta dan kejadian kompleks yang berakhir dengan kebakaran tersebut.

Perubahan plot di akhir filem ini bakal membuatkan anda terkejut, itu pun jika anda tidak pernah menontonnya atau membacanya di Wikipedia!

The Town (2010)

The Town (2010)

"The Town" bukanlah filem rompakan semata-mata. Apa yang ditonjolkan filem karya Ben Affleck ini adalah bagaimana seorang perompak akhirnya jatuh cinta dengan mangsanya dan apa yang harus dilakukannya demi meninggalkan kerjayanya dan bersama dengan wanita yang dicintainya.

Namun "The Town" juga merupakan kisah seorang lelaki perompak dan memiliki ahli kumpulannya sendiri. Ia tidak dilakukan dengan sambil lewa kerana setiap rompakan mereka dilakukan dengan terancang dan ada tiga rompakan yang dilakukan dalam filem ini, menjadikan filem ini satu gabungan genre heist, drama, romantik dan aksi dalam masa yang sama.

Tentu sekali, anda juga tidak akan lupa babak para perompak (lakonan Ben Affleck, Jeremy Renner, Slaine dan Owen Burke) yang merompak sebuah trak wang dengan memakai topeng biarawati dan bersenapang!

The Italian Job (1969)

The Italian Job (1969)

Ya, tidak sah senarai ini tanpa filem caper-heist yang paling popular. Tidak, kami tidak bercakap tentang versi remake tahun 2003 itu. Kami maksudkan filem asalnya yang dihasilkan pada tahun 1963 dan mempopularkan kereta Mini Cooper.

Ya, filem yang turut tersenarai sebagai filem British Terbaik Sepanjang Masa (disenaraikan di tempat ke-27).

Filem lakonan Michael Caine di era terbaiknya ini mengisahkan Charlie yang memulakan rancangan terbarunya untuk merampas emas bernilai AS$4 juta yang dipindahkan ke Itali dari China dengan menggunakan kenderaan yang cukup pantas, kecil dan sangat berguna – tiga buah kereta Mini Cooper S.

Filem ini dibarisi para pelakon British dan Itali hebat lewat tahun 60-an termasuk Michael Caine Noël Coward, Benny Hill, Raf Vallone, Tony Beckley dan Maggie Blye.

BACA INI JUGA: 6 Filem Balas Dendam Terbaik

Gurn, Pertandingan Muka Paling Hodoh Di Dunia!

Di bahagian Utara England, terdapat satu festival pelik yang dimulakan sejak turun temurun. Ia merupakan suatu acara tahunan yang dikenali sebagai 'Gurn' atau pertandingan mempamerkan mimik muka paling hodoh!

Gurn - Obama

Malah, pertandingan ini telah diiktiraf sebagai acara sukan di Britain. Oleh sebab itu, tidak hairanlah menjelang tahun 1945, Kejohanan Gurn telah dipertandingkan di peringkat antarabangsa.

Berdasarkan sejarah festival ini, ia merupakan sebahagian tradisi lama yang mula dipertandingkan oleh bangsa Inggeris sejak ratusan tahun lalu yang diperkenalkan pada tahun 1267.

Acara ini selalunya akan diadakan pada pertengahan bulan September setiap tahun. Lokasi penganjuran festival ini adalah di sebuah kawasan khas yang dikenali sebagai Egremont Crab Fair and Sports.

Menurut jurucakap penganjur pertandingan, Alan Clements, kejohanan mempamerkan mimik muka paling hodoh merupakan satu acara wajib yang telah disertai oleh penduduk tempatan yang tinggal di Cumbria sejak beberapa kurun lalu.

Masyarakat Cumbria percaya, acara ini adalah sejenis sukan tradisi yang diperkenalkan oleh nenek moyang mereka sejak 730 tahun lalu.

Bagaimanapun, menurut Clements, selepas berakhirnya Perang Dunia Kedua, acara ini mula dipertandingkan di peringkat antarabangsa. Sejak itu, peserta yang menyertai pertandingan ini semakin bertambah setiap tahun, termasuklah peserta dari luar negara.

Setiap kali ia dianjurkan, lokasi pertandingan akan dibanjiri puluhan ribu orang yang datang untuk menyaksikan kejohanan ini.

Apa yang lebih menarik, sesiapapun boleh menyertai pertandingan ini termasuklah wanita, warga emas dan juga kanak-kanak.

Gurn [4]

Berdasarkan syarat pertandingan, ia adalah satu acara yang cukup mudah dan mampu dilakukan oleh semua orang. Peserta hanya perlu menunjukkan raut wajah sehodoh mungkin!

Semua peserta boleh mempamerkan apa saja aksi wajah seperti menjengkilkan mata, memuncungkan mulut, menjelirkan lidah dan apa saja asalkan ekspresi wajah yang ditunjukkan adalah hodoh.

Sebelum pertandingan dimulakan, peserta terlebih dahulu dikehendaki memakai sejenis alat khas yang berbentuk seperti gegelung di leher mereka. Diperbuat daripada kulit, alat tersebut digelar sebagai 'Horse Collar'. Ia berfungsi sebagai bingkai untuk menambahkan lagi kehodohan ekspresi wajah yang dipamerkan.

Pada pertandingan ini, peserta akan menjalani dua kali saringan pemilihan sebelum layak ke peringkat seterusnya. Pada saringan pertama, semua peserta yang bertanding akan dikumpulkan di atas sebuah pentas. Selepas isyarat dimulakan, mereka akan mula bersaing antara satu sama lain sambil menunjukkan ekspresi wajah hodoh mereka kepada juri.

Pihak juri seterusnya akan memilih 15 orang peserta terbaik sebelum menentukan pemenang pertandingan tersebut. Dan berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan, juri akan memilih peserta yang mempunyai mimik muka paling hodoh sebagai juara pertandingan.

Gurn [2]
Tommy Mattinson, juara 13 kali.

Selama 730 tahun dipertandingkan, individu yang paling banyak menjuarai pertandingan ini ialah Tommy Mattinson iaitu sebanyak 13 kali. Dia juga memegang rekod Guiness Book Of Records sebagai manusia yang mempunyai mimik muka paling hodoh di dunia.

Mengikut laporan sebuah portal berita, News & Star, juara yang berusia 41 tahun itu mula menyertai pertandingan tersebut sejak di zaman kanak-kanak lagi. Bapanya, Gordon Mattison merupakan bekas juara dunia dalam pertandingan ini. Tommy Mattison banyak mendapat tunjuk ajar daripada bapanya.

Menurut Tommy Mattison, dia sangat berbangga dengan kejayaan yang telah dicapainya. Selaki juara dunia dalam pertandingan ini, dia bertekad mahu mempertahankan gelaran itu sepanjang hayatnya.



Sebelum ini dia tidak menyangka mampu menjadi juara sebanyak 13 kali lebih dari kejuaraan yang dicapai oleh bapanya sendiri.

Mengikut rekod pertandingan, Gordon Mattison pernah menjadi juara sebanyak 10 kali.

Jadi, ada yang berminat untuk bertanding?

BACA INI JUGA: Festival Laga Kuda Untuk Mengahwini Gadis!

-Sentiasapanas.com

Friday, June 27, 2014

Orang Beriman Gembira Menyambut Ramadan

Bagi umat Islam seluruh dunia yang menyambut ketibaan Ramadan al-Mubarak, kita patut bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana masih diberi kesempatan bertemu dan menikmati bulan agung yang diberkati ini.

Ramadan

Sungguh beruntung kita termasuk dalam kalangan orang yang dipilih Allah kerana mungkin ramai daripada saudara-mara dan kawan-kawan yang mendahului kita, tidak dapat lagi menghirup segarnya Ramadan.

Hadis Nabi SAW ada menyebut bahawa di antara ciri-ciri orang beriman ialah yang gembira apabila datangnya Ramadan.

Tahun ini, banyak dugaan dan godaan akan kita hadapi. Ramalan ahli cuaca memperkirakan akan berlaku musim el nino pada bulan Ramadan hingga ke beberapa bulan berikutnya, menuntut kita untuk bersiap sedia.

Cuaca panas kesan El Nino secara langsung akan mempengaruhi sistem metabolisme tubuh kita sekiranya kita kurang meminum air.

Godaan yang tidak kalah hebatnya selain cuaca panas, boleh saja berlaku kepada diri kita dengan adanya Piala Dunia yang sekarang berlangsung di Brazil.

Sebenarnya, bukan bermaksud kita mahu menyalahkan Piala Dunia, akan tetapi kita risau, kita tewas kepada pesona Piala Dunia sehingga terkial-kial menjalankan semua ibadah di bulan penuh pengampunan itu.

Pada hakikatnya puasa Ramadan yang akan kita hadapi ini bukan semata-mata berlapar dan berdahaga tanpa sebarang makna.

Sebab itu, orang yang berpuasa tanpa persiapan mental dan keinsafan diri yang dalam, dianggap sia-sia seperti sabda Nabi yang bermaksud: "Betapa ramai orang yang berpuasa tetapi tidak mendapatkan sesuatu dari puasa itu selain lapar dan dahaga."

Dalam menghadapi Ramadan langkah mantap memang `starting point' yang amat diperlukan. Tetapi kemantapan langkah saja belum tentu menjamin keselamatan ibadah puasa sampai akhir. Ada beberapa rintangan harus disingkirkan agar puasa selamat diterima Allah.

Rintangan itu ada yang merupakan bentuk rintangan persyaratan dan ada pula rintangan berbentun godaan dalam kehidupan bermasyarakat selama menjalankan ibadah puasa.

Rintangan dalam bentuk persyaratan adalah apa yang dinyatakan dalam hadis nabi bahawa Allah tidak akan menerima puasa seseorang yang belum saling memaafkan antara dirinya dan orang tuanya.

Betapa pun mantap langkah dan tekunnya seseorang memasuki bulan suci Ramadan, tetapi belum mendapatkan keredaan dari orang tuanya atas berbagai kesalahan yang dibuat di masa lalu, maka puasanya tidak akan diterima Allah.

Betapa cermatnya seseorang menjaga kesucian ibadah puasa tetapi antara dia dan isterinya atau suaminya masih ada dendam kesumat, maka puasanya itu hanya sekadar menahan lapar dan dahaga tetapi tidak bererti di sisi Allah.

Betapa rajinnya seseorang memelihara nilai-nilai ibadah yang terkandung dalam puasanya, namun antara ia dengan jiran tetangga rumahnya atau rakan sepejabatnya masih belum bertegur sapa disebabkan dendam dalam dada. Maka puasanya juga tidak diterima oleh Allah.

Kurang dari segi penghayatan atau pendidikan Ramadan barangkali menjadikan diri tidak bersemangat. Kalau bersemangat pun tidak tahan lama, bersifat sementara dan hangat-hangat tahi ayam.

Lantaran itu, kita perlu buat persediaan yang matang seperti mana kita menghadapi musim peperiksaan atau temuduga untuk mendapatkan pekerjaan. Dengan ada niat seperti itu, Insya-Allah prestasi ibadah puasa kita mendapatkan keputusan yang cemerlang.

Kita perlu membuang fikiran di takuk lama seperti ibadah puasa hanya menjalankan adat dan tradisi. Atau menjalani puasa kerana bebanan sosial di mana jika kita tidak berpuasa maka akan dihukum oleh teman sepejabat dan masyarakat sekitar.

Kita perlu betulkan niat bahawa puasa hanya semata-mata lillahi ta'ala untuk menjadikan diri kita sebagai manusia yang bertakwa.

Dalam setahun yang terdapat 12 bulan hanya ada satu bulan Ramadan. Ia tidak sampai 10 peratus. Tetapi dengan melihat nilai kualitatif dan kepadatan ibadah yang ada di dalamnya, maka Ramadan menjadi sangat signifikan jika dibandingkan dengan jumlah keseluruhan sebelas bulan lainnya.

Sembahyang Tarawih

Justeru, alangkah naifnya kalau kita menghadapinya secara biasa-biasa sahaja.

Bersiap sedialah lebih awal untuk ke masjid. Jangan ambil mudah dengan mengatakan bahawa solat berjemaah dan solat tarawih hukumnya cuma sunat.

Demikian juga solat Subuh, usahakan untuk bersedia sebelum waktu imsak, pastikan semua urusan dapur sudah selesai. Lebih penting segala-galanya perlu siap sebelum azan dan kita sudah berada di masjid.

Anda sudah tentu tidak kehilangan kesempatan untuk solat tahiyatul masjid dan solat sunat rawatib yang nilainya lebih mulia daripada dunia berserta isinya.

Puasa juga mendidik kita untuk belajar bangun awal. Sesetengah daripada kita menganggap kerana hukumnya sunat maka sahur ditinggalkan. Kalau kita sudah biasakan diri untuk bangun lebih cepat selama sebulan Ramadan maka ini bererti kita sebenarnya sudah mampu untuk melakukannya di luar bulan Ramadan. Di mana lagi kita dapat miliki peluang seperti itu kalau tidak di bulan Ramadan selama sebulan terus-menerus.

Tidak tahan mengantuk juga menjadi masalah besar pada bulan Ramadan. Memang ada hadis yang menyatakan bahawa tidur orang yang berpuasa itu adalah ibadah. Tetapi itu bukan perintah untuk memperbanyakkan tidur di bulan berkenaan.

Tidak ada contoh daripada Nabi, sahabat dan orang soleh mengenai hal ini. Malah Nabi mengurangi tidurnya pada malam-malam bulan Ramadan hingga batas yang paling minimum. Mereka banyak membaca al-Quran, berzikir dan sembahyang.

Sepintas lalu amalan-amalan seperti ini amat berat tetapi ia bukan terletak pada sesuatu amalan melainkan pada cara kita memikirkan amalan itu. Kalau kita memikirkan sesuatu itu berat maka ia dengan sendirinya menjadi berat, tetapi kalau kita memikirkannya mudah maka dengan sendirinya ia akan mudah.

Sebaik-baiknya sebelum puasa tiba, sesuaikanlah diri dengan amalan seperti solat wajib kerana sesetengah orang berpuasa tetapi tidak melaksanakan solat. Kemudian hidupkan solat-solat rawatib, sembahyang tahajud, berpuasa setiap Isnin dan Khamis, perbanyakkan sedekah, zikir, baca al-Quran, berdoa, dan hindari dosa-dosa kecil.

Sesungguhnya graf puasa nabi dan sahabat-sahabat meningkat berterusan sejak puasa pertama hingga hari puasa terakhir. Dan graf itu mengalami peningkatan yang amat tajam pada saat-saat akhir bulan Ramadan.

Tetapi bukan sedikit di antara kita yang grafnya terbalik. Semakin menjelang berlabuhnya Ramadan, semakin banyak masa dihabiskan dengan perkara-perkara yang tidak ada hubungan sama sekali dengan kesucian Ramadan. Kita lebih sibuk dengan baju baru, sibuk memikirkan pulang kampung dan sibuk membeli belah.

Perlu diingat persiapan material yang berlebih-lebihan hanya akan merosakkan makna dan tujuan puasa itu sendiri. Kita hidupkan Ramadan dengan penuh keinsafan dan jiwa raga bukan sekadar meramaikan dengan melakukan puasa, tarawih, tahajud, solat tasbih, witir, membaca al-Quran, zikir, doa, iktikaf, zakat, infak, sedekah, dan seterusnya takbir Aidilfitri.

Lebih daripada itu, jikalau dapat kita menjadikan rumah kita seperti suasana di masjid dengan bacaan al-Quran, solat sunat semua anggota keluarga.

Kita ciptakan hari-hari yang menyenangkan selama Ramadan dan jadikan rumah kita bak syurga.

Penulis ialah Pengurus Besar Analisa dan Pengurusan Isu, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

BACA INI JUGA: Obesiti, Padah Ingkar Ajaran Agama?


Perisik M15 Menyamar Mualaf Bunuh Pemimpin Tertinggi Al-Qaeda

Pada pandangan ‘sau­daranya’ yang ekstrem, dia adalah orang putih yang baru memeluk agama Islam dan bersemangat melakukan jihad.

Morten Storm
Morten menyamar dan membunuh pemimpin utama Al-Qaeda, Awlaki.

Hakikatnya, Morten Storm adalah perisik M15 dalam Perkhidmatan Perisikan Rahsia British dan Agensi Perisikan Pusat (CIA).

Sheikh yang dikenalinya adalah seorang lelaki yang mengagumkan, tinggi lampai dalam jubah putih, pedang tersisip di pinggang­nya, seorang ulama dan juga ahli falsafah.

Dilahirkan di Amerika Syarikat (AS) dan berketurunan Arab, dia melarikan diri selepas kejadian 9/11 kerana bimbang menjadi sasaran Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI).

Sheikh itu dianggap se­orang daripada tokoh utama Al-Qaeda berpengaruh dan berkarisma selain Osama bin Laden.

Morten mengembara ke Yaman pada 2009 untuk berjumpa Sheikh yang nama sebenarnya Anwar Al-Awlaki.

Awlaki sentiasa bergerak dari satu tempat ke tempat yang selamat dan menyampaikan mesej kebencian menerusi e-mel dan Internet.

“Saya berdoa agar Allah memusnahkan AS dan sekutunya.

“Kami akan melaksanakan undang-undang Allah di bumi ini,” kata Awlaki yang memakai jaket tentera menutupi jubahnya sambil menggalas Kalashnikov.

“Orang AS menuntut kematian saya,” kata Awlaki kepada Morten ketika mereka duduk bersama.

Pesawat AS drone (tanpa pemandu) merayau di langit menjejak Awlaki.

Morten menyamar sebagai tentera jihad selama lima tahun.

Menurut Morten, Awlaki bercerita de­ngan bang­ga me­ngenai orang-orangnya yang menyerang hendap tentera kerajaan Yaman dan mendapat senjata berat termasuk roket antikereta kebal untuk dihantar kepada pejuang Islam di Somalia.

“Awlaki mendesak saya pulang ke Eropah dan me­rekrut militan agar datang ke Yaman untuk mendapat­kan latihan.

“Tugas saya adalah untuk mencari, mengesan dan memaklumkan me­ngenai kegiatan orang yang berkongsi kepercayaan­nya dengan saya tidak lama dulu.

“Senarai sasaran teratas adalah Awlaki yang satu ketika adalah ‘abang’ dan rakan saya.

“Saya bawakan dia bekalan yang diminta seperti gogal visi malam dan komputer riba tetapi tanpa pengetahuannya terdapat peranti pengesan, ihsan daripada kawan-kawan baru saya, CIA.

“Awlaki memperkenal­kan saya kepada perisian khas yang dipanggil ‘Mujahideen Secrets 2.0’ yang unik dengan kod digital rahsia untuk mengunci dan membuka mesej,” kata Morten.

Peristiwa di Texas menarik Awlaki menjadikan dia sasaran utama CIA. Pada 5 November 2009, warga AS Mejar Nidal Hasan, 39, pakar psikiatri tentera memasuki pangkalan tentera Fort Hood dan menembak mati 13 orang dan mencederakan 30 orang lagi.

Menurut Hasan, dia tidak mampu bersabar untuk bersama Awlaki di akhirat yang membolehkan mereka berbual tanpa wain alkohol.

FBI menganalis e-mel terbabit, tetapi melabel mereka sebagai tidak berbahaya. Tetapi tidak lagi.

Agensi AS kini meneliti segala yang berkaitan de­ngan Awlaki. Mereka sudah melihat bagaimana Awlaki mengetuai pengikutnya di barat.

“Pada Mac tahun itu, saya mengatur pengumpulan dana rahsia menerusi Skype dengan sekumpulan pe­nyokong British-Pakistan di Rochdale. Beberapa doktor begitu bersemangat untuk menyumbang ke arah jihad.

“Mereka terpesona mendengar jawapan Awlaki yang mampu menjawab pel­bagai topik agama. Malah, saya masih menyimpan rakaman majlis itu. Awlaki mahir mengumpul dana seperti mana ahli politik AS.

“Bagi menghormati kematian Nidal Hasan, Awlaki menyeberangi Rubicon. Kata petugas CIA saya, sudah masanya untuk me­ngumpan dia keluar.

“Terbukti Awlaki bukan sasaran yang mudah. Peluru berpandu dilancarkan ke arah bilik mesyuarat yang dihadirinya bersama tokoh kanan Al-Qaeda dan laporan awal mengesahkan Awlaki terbunuh.

“Tetapi saya menerima e-mel berkod daripada Awlaki yang berbunyi: Phew. Hampir-hampir terkena.

“Tidak lama selepas itu, seorang pemuda Islam Nigeria cuba meletupkan dirinya di dalam pesawat yang terbang dari Amsterdam ke Detroit. Dia tidak berjaya, ditangkap dan ternyata misi syahid itu dirancang Awlaki,” kata Morten.

Tidak hairanlah apabila Presiden Obama membuat keputusan meluluskan pembunuhan warganya sendiri kerana Awlaki kini terbabit dalam plot keganasan.

Di Washington, pegawai perisikan mengkaji imej satelit kampung di Yaman, tempat yang dilawati Morten dan pasukan khas Yaman menyerbu untuk menang­kapnya.

“Malangnya, Awlaki tiada di situ pada hari kejadian. Sebahagian daripada pengikutnya mati termasuk orang yang saya kenal dan hormati.

“Perkara ini meresahkan saya kerana tersebar berita me­ngenai pekerjaan saya sebagai pemberi maklumat hing­ga membunuh ramai orang.

Morten
Morten menyertai bantahan di luar Kedutaan AS di London pada 2005.

“Awlaki memberitahu, seluruh AS sudah bertukar menjadi negara jahat. Jihad menentang AS kini me­ngikat diri saya seperti mana ia mengikat orang Islam lain.

“Selama ini Awlaki tidak pernah mengesyaki saya, malah menganggap saya antara ‘saudara’ yang dipercayainya,” katanya.

Beliau berkata, kata-kata Awlaki menyentuh perasaannya, malah pada suatu ketika berada dalam dilema antara menangkap Awlaki atau tidak.

“Kunci penyelesaian ditemui apabila dia meminta saya carikan seorang wanita barat untuk dijadikan isteri.

“Melalui Facebook, saya menemui wanita cantik Croatia bernama Irena yang menukar namanya kepada Aminah selepas memeluk Islam. Dia juga fanatik seperti Awlaki.

“CIA merancang untuk menanam peranti pengesan dalam bagasi Aminah ketika dia ke Yaman untuk berkahwin dengan Awlaki dan akan membawa CIA kepada lelaki itu. Saya ditawarkan RM793,510 sebagai ganjaran,” kata Morten.

Semuanya berjalan lancar antara Aminah dan peranti pe­ngesan yang dilekat­kan pada beg­nya. Tetapi kemudian perkara tidak dijangka berlaku.

Atas arahan wakil Al-Qaeda, Aminah membuang beg terbabit di padang pasir. Tiada peranti pengesan ketika perjalanan ke rumah Awlaki.

“Kegagalan misi ini me­nyebabkan AS membekukan hubungan de­ngan saya. Mereka hanya menghubungi saya pada awal 2011.

“Keadaan terdesak apabila Awlaki terdedah sebagai perancang utama yang ingin meletupkan pesawat kargo AS.

“Dia benar-benar melakukan jihad di tempat kelahirannya. Ketika itu, Osama bin Laden sudah terbunuh dalam satu serbuan pasukan khas AS di rumah­nya di Pakistan. Tetapi Awlaki pantas mengambil tempatnya.

“Orang hubungan saya memberitahu, Awlaki adalah musuh nombor satu AS, tetapi bukan mudah mengumpan dia keluar. Pesawat tentera AS mengebom trak pikap yang dinaikinya, namun Awlaki sempat menukar kenderaan beberapa saat sebelum dibom.

“Perancangan itu memerlukan saya kembali ke Yaman dan mendekatkan hubungan dengan ‘saudara’ lama saya.

“Saya diberi latihan senjata intensif pada senapang ringan dan Kalashnikovs selain diajar menembak menggunakan kedua-dua belah tangan dan mengelak bom ketika memandu.

“Rakan ejen berkata, Anda melakukan kerja yang paling berbahaya di dunia jadi pastikan tuntutan anda dipenuhi,” katanya.

Katanya, bersemuka dengannya pasti saat yang sukar.

“Agak perlahan untuk mendapatkan Awlaki, tetapi sedikit demi sedikit saya menghampiri lelaki berbahaya di dunia itu.

“Saya menerima laporan agensi seperti CIA yang gembira dengan perkembangan itu sehingga mereka menawarkan saya RM1.5 juta jika berjaya mendapatkannya.

“Saya mengatur perjumpaan dan menunggu. Akhirnya pertemuan ditetapkan dengan pengikutnya di tempat letak kereta restoran KFC di Sana’a.

“Saya menyerahkan beg sukan yang berisi bekalan kepada kurier yang tiba. Saya menerima e-mel daripada Awlaki tiga hari kemudiannya mengesahkan dia menerima barang itu,” katanya.

Awlaki
Awlaki menjadi sasaran Morten yang berselindung sebagai mualaf.

Menurutnya, pada Ogos, dia bercuti dan pulang berehat di rumah bersama keluarga di Eropah. Dia mempunyai anak lelaki, Osama dan anak perempuan, Sarah hasil daripada isteri pertama, Karima.

“Sewaktu ketiadaan saya, permintaan barangan Awlaki dipenuhi pengikutnya dan AS yang memantau pertukaran barangan itu me­ngesan kedudukannya.

“Suatu hari pada Sep­tember, berita di televisyen mengenai drone CIA yang berlepas dari Arab Saudi dan tepat menembak ke arah trak pikap di padang pasir Yaman.

“Peluru berpandu Hellfire dilancarkan dan Awlaki bersama enam anggota Al-Qaeda terbunuh serta-merta. Akhirnya AS membunuh lelaki yang dianggap paling berbahaya.

“Selepas cerita ini tersebar, tekanan ke atas rahsia hidup saya akan bertambah, malah jauh daripada bantuan perlindungan kerana ketua saya pasti akan meng­khianati saya nanti,” kata Morten. -hmetro

BACA INI JUGA: Plot Membunuh Napoleon Yang Gagal

Malaysia Abai OKU, Surat Untuk Wardina Safiyyah

Nampaknya bukan sekali dua Wardina mengulas tentang isu yang dikaitkannya dengan agama dan bukan sekali dualah juga apa yang dihentam itu dikembalikan padanya.

Wardina Safiyyah

Disebabkan statusnya sebagai selebriti, apa yang ditulis Wardina di laman sosial peribadinya dibaca ramai orang namun apabila ada yang membalas semula pemikirannya itu, diharap Wardina tidak melenting kerana pihak yang dikritik olehnya secara terbuka itu sudah pasti mempunyai hak untuk menjawab juga secara terbuka.

Wardina Safiyyah [2]

Sebagai contoh, jawapan seorang kakitangan kerajaan di bawah apabila Wardina tidak habis-habis menyalahkan kerajaan termasuk apabila merujuk kepada kes remaja OKU dikurung ibunya tanpa makanan dan penjagaan mencukupi baru-baru ini:

Wardina Safiyyah [3]

Ini pula, pembetulan tentang kisah Kerajaan Australia yang dikatakan Wardina begitu bermurah hati terhadap ibu bapa yang mempunyai anak OKU berbanding Kerajaan Malaysia.

Wardina Safiyyah [4]

Terbaru, surat terbuka daripada seorang Hamba Allah yang ditujukan kepada Wardina tersebar di media siber.

Penulis surat ini antara lain meminta agar Wardina tidak membutakan hati terhadap kebaikan yang telah disalurkan kerajaan kepada golongan memerlukan semata-mata kerana satu kes terpencil.

Berikut adalah isi kandungan surat tersebut:

Kehadapan Ustazah Wardina.

Bila hati busuk, minda penuh kebencian memang nampak semua yang salah sahaja di Kerajaan.

Sebesar-besar Masjid yang Ustazah Wardina berhenti solat dibina Kerajaan, pun tak nak nampak kan? Jalan raya lapang, highway selesa mana nak nampak?

Anak-anak belajar agama di sekolah agama kerajaan mana nak nampak? Wujudnya lambakan sekolah agama kerajaan, wardina butakan mata & hati nak nampak semua tu. Sebab hati terlalu penuh benci pada kerajaan.

Saya tak anti golongan tudung labuh litup macam ustazah wardina, jauh lagi saya nak mengeji golongan yang baru mendekati agama tapi suka riak dengan ilmu sedikit. Setiap nafas penuh sifat holier-than-thou.

Alhamdulillah, anak-anak ustazah Wardina semua sempurna sihat. Suami ada, berlakon iklan pun banyak, duit banyak. Maka mudahlah ustazah wardina lantas mengutuk kekurangan orang lain.

Ustazah Wardina mungkin kurang buat lawatan di Rumah-rumah Kebajikan. Sebab tu ustazah wardina nampak satu kes je terus nak hentam kerajaan. Yelah, wardina kan perfect, ilmu agama lengkap, baru bertudung, dah kalah semua ustazah-ustazah tauliah lain. Kerajaan memang semua salah wardina. Yang beribu OKU dah dibantu tu apa la sangat, nak dibandingkan dengan seorang yang kerajaan terlepas, sebab kekhilafan si ibu yang tak berdaftar dengan JKM.

Diselamatkan budak itu, dihantar juga ke hospital kerajaan. Tapi yelah kerajaan tetap salah dan lemah. Apalah sangat nak dibandingkan negara kita dengan Acheh tempat Wardina tu? Maju kan Acheh tu, mana ada orang susah, sebab itu wardina cari makan di negara yang kerajaannya teruk ini kan.

Ibubapa ada anak OKU memang tertekan Wardina, tapi bila ada iman, semua tu boleh diatasi. Selama ini, tidak pernah saya dengar ibu bapa OKU salahkan kerajaan. Hanya Wardina seorang. Yela, Wardina kan sempurna, mana salah pandangannya.

Kita manusia baru belajar agama, baru tutup aurat ini memang suka tunjuk agama, sampai kita terlupa berapa pula dosa kita tambah atas nama agama kan? Kadang-kadang saya terfikir kenapa gadis rambut merah, pakaian menjolok mata lebih baik tutur kata, berlapang dada, bersangka baik terhadap yg lain berbanding yang bertudung litup. Tapi akhirnya saya tersedar, hanya kerana Wardina dan Ustazah segera seorang lagi tak baiklah saya nak judge semua begitu.

Sama macam kes, hanya sebab seorang budak tidak berdaftar dengan JKM, terus kita nak lupakan ribuan lain yg dibantu kerajaan selama ini?? Tidak adil bukan?

Cukup-cukuplah itu Wardina, bukan sekali, terlalu lantang bersuara, riak dengan ilmu tak seberapa. Semoga terbuka hati, kurang rasa benci. Semoga terus hidup dalam kesempurnaan di bumi Malaysia.

Diharapkan selepas ini, Wardina akan terus berkongsi pandangannya tentang isu semasa. Bagaimanapun dia mesti lebih hati-hati jangan sampai berat sebelah dan terburu-buru dalam menyampaikan pandangan.

Jika tidak, ia boleh memberi persepsi negatif terhadap golongan artis yang telah melakukan penghijrahan sepertinya sebagai ekstrim dan cenderung menghentam kerajaan dari segala segi.

BACA INI JUGA: Riak Ketika Beribadat Lebih Bahaya Dari Fitnah Dajjal

Sumber: mynewshub

Awas! Nasi Kandar Mengandungi Campuran Dadah!

Sudah lama ramai yang mempertikaikan mengapa nasi kandar kadangkala boleh membuatkan kita bagai ketagih untuk menikmatinya selalu.

Nasi Kandar

Antara yang dikaitkan dengan hal ini adalah penggunaan kas kas yang juga sejenis biji popi (tumbuhan untuk menghasilkan dadah) dalam masakannya.

Ternyata, fakta ini ada kebenarannya apabila Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Selangor, Alias Jaafar, berkata ujian dilakukan anggotanya sendiri mendapati kandungan bahan rempah dalam nasi kandar sememangnya boleh menyebabkan kandungan air kencing menjadi positif seperti baru lepas mengambil dadah.

Malah ujian dilakukan bukan terhadap seorang tetapi lima anggota AADK dan kesemuanya mencatat bacaan positif dadah selepas memakan nasi kandar.

Nasi Kandar

Justeru, Alias menasihatkan orang ramai agar hati-hati kerana dibimbangi terdapat sekatan jalan raya sejurus selepas menikmati makanan tersebut seterusnya membuatkan mereka ‘kantoi’ ketika menjalani ujian air kencing.

Bagaimanapun dengan tersebarnya kenyataan ini, diharapkan jangan pula ada penagih dadah yang memberi alasan kononnya baru lepas makan nasi kandar bila positif ujian dadah.

BACA INI JUGA: Makanlah Sebiji Oren Supaya Kenyang Lebih Lama!

Otak Semakin Aktif Ketika Berzikir

Info Agama. Firman Allah yang bermaksud: "(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenteram hati mereka dengan zikrullah, ketahuilah hanya dengan mengingati Allah, hati menjadi tenang". -Ar-Rad, ayat 28.

Hati yang tenang

Otak hanyalah aktiviti-aktiviti bio-elektrik yang melibatkan sekumpulan saraf dan ditugaskan untuk melakukan tugas-tugas tertentu bagi membolehkan ia berfungsi dengan sempurna.

Setiap hari 14 juta saraf yang membentuk otak berinteriaksi dengan 16 juta saraf tubuh yang lain.

Semua aktiviti yang kita lakukan dan kefahaman atau ilmu yang kita peroleh adalah natijah daripada aliran interiaksi bio-elektrik yang tidak terbatas.

Oleh kerana itu, apabila seseorang itu berzikir dengan mengulang-ulang kalimah Allah seperti Subhanallah, beberapa kawasan otak yang terlibat menjadi aktif. Ini mewujudkan satu aliran bio-elektrik di kawasan saraf otak tersebut.

Bila zikir disebut berulang kali, aktiviti saraf ini menjadi bertambah aktif dan turut menambah tenaga bio-elektrik.

Lama-kelamaan kumpulan saraf yang sangat aktif ini mempengaruhi kumpulan saraf yang lain untuk turut sama aktif. Dengan itu, otak menjadi aktif secara keseluruhan.

Otak mula memahami perkara baru, melihat dari sudut perspektif berbeza dan semakin kreatif serta kritis berbanding sebelum berzikir.

Otak yang segar dan cerdas secara tidak langsung mempengaruhi hati untuk melakukan kebaikan dan menerima kebenaran.

Hasil kajian makmal dilakukan terhadap subjek ini dimuatkan dalam majalah Scientific American, edisi Disember 1993. Satu kajian yang dilakukan di Universiti Washington dan ujian ini dilakukan melalui imbasan PET yang mengukur kadar aktiviti otak manusia secara tidak sedar.

Dalam kajian ini, sukarelawan diberikan satu senarai perkataan benda. Mereka diharuskan membaca setiap perkataan tersebut satu persatu dan menyambung kata-kata dengan kata kerja yang berkaitan.

Hati yang tenang [2]

Ketika sukarelawan melakukan tugas mereka, beberapa bahagian berbeza otak menunjukkan peningkatan aktiviti saraf, termasuk di bahagian depan otak dan mata.

Menariknya, apabila sukraelawan ini mengulangi senarai perkataan yang sama berulang-ulang kali, aktiviti saraf otak merebak ke kawasan lain dan mengaktifkan kawasan saraf lain.

Ketika senarai perkataan baru diberikan kepada mereka, aktiviti saraf kembali meningkat di kawasan pertama.

Ini sekaligus membuktikan secara saintifik bahawa perkataan yang diulang-ulang seperti perbuatan berzikir, terbukti meningkatkan kecergasan otak dan menambah kemampuannya.

-Sentiasapanas.com

Kesalahan Yang Di Lakukan Umat Islam Di Bulan Ramadan

Info Agama. Beberapa hari lagi kita akan memasuki bulan suci Ramadan. Salah satu kesalahan yang biasa dilakukan sebahagian umat Islam pada bulan Ramadan ialah kembali tidur selepas bersahur.

Bersahur

Mungkin kerana terlalu penat dan mengantuk akibat aktiviti pada malam hari.

Apapun alasannya, kebiasaan ini sangat merugikan. Tidur kembali selepas sahur akan membuat kita terlepas pahala yang sangat banyak. Salah satunya ialah menghadiri solat Subuh berjemaah di masjid ataupun di surau.

Suatu hari Umar bin al-Khattab tidak melihat Sulaiman bin Abi Hathmah dalam barisan solat Subuh. Pagi harinya, apabila Umar pergi ke pasar, beliau berjumpa dengan ibu Sulaiman yang bernama Syifa.

Umar bertanya kepadanya: “"Mengapa aku tidak melihat Sulaiman pada solat Subuh hari ini?"

Syifa menjawab: “"Ia melakukan solat tahajud sepanjang malam. Jadi, apabila hampir masuk waktu Subuh, beliau tertidur."

Umar berkata: "“Menghadiri solat Subuh berjemaah lebih aku sukai berbanding melakukan solat sunat sepanjang malam." (Muwatta)

Kisah ini memperlihatkan keprihatinan Khalifah Umar kepada rakyatnya. Beliau bukan hanya memperhatikan kebajikan makan dan minum mereka, bahkan turut menginginkan kebaikan dalam perkara akhirat mereka.

Tidak luput daripada perhatian beliau ialah para pemuda dan belia. Sulaiman bin Abi Hathmah seorang belia di Madinah pada masa itu.

cute-baby-sleep

Apabila beliau tidak hadir dalam solat berjemaah, Umar berkeinginan untuk mengambil tahu perkara yang berkaitan dengannya.

Ucapan Khalifah Umar menggambarkan kepentingan solat Subuh berjemaah. Solat ini memang sangat besar nilainya di sisi Allah SWT.

Pada masa itu, malaikat malam dan malaikat siang yang bertugas mencatat amalan manusia akan berkumpul untuk menyaksikan pelaksanaan solat ini.

Allah berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya solat fajar disaksikan (oleh para malaikat)". (al-Isra’: 78)

Aktiviti ibadah yang kita lakukan pada malam hari tidak dapat menjadi alasan untuk meninggalkan Subuh berjemaah. Apalagi aktiviti bukan ibadah seperti menonton televisyen dan permainan.

Pahala solat Subuh berjemaah lebih besar berbanding melakukan ibadah sepanjang malam.

Rasulullah bersabda: "Siapa yang melakukan solat Subuh berjemaah, maka ia seolah-olah melakukan solat sepanjang malam". (Muslim)

Justeru, mari teguhkan tekad untuk menghadiri solat Subuh berjemaah dari sekarang.

Semoga perkara ini telah menjadi kebiasaan kita apabila masuk bulan suci Ramadan nanti. Wallahu a’lam.

[Sumber]

Thursday, June 26, 2014

10 Bentuk Tasik Paling Unik Di Dunia

Tasik-tasik ini dikatakan sangat unik kerana bentuknya yang sangat cantik dan memiliki keistimewaannya yang tersendiri.

Fisheating Creek, Florida, USA

Fisheating Creek

Sungai ini mempunyai bentuk aliran yang unik jika dilihat dari udara. Aliran sungai ini berbentuk zig-zag yang merentasi kawasan Cowbone March yang terletak di barat Tasik Okeechobee (The Big O Lake) di Florida, USA.

Yueyaquan Lake, China

Yueyaquan

Tasik oasis yang berbentuk bulan sabit di kawasan padang pasir di China yang terletak di selatan bandar Dunhuang di Jajahan Gansu. Kawasan ini menjadi tarikan pelancongan untuk melihat unta di China.

Sao Paulo Lake, Brazil

Sao Paulo Lake

Ini adalah tasik buatan manusia di kawasan perkampungan nelayan di negeri Sao Paulo, Brazil. Tasik ini berbentuk orang raksaksa yang kelihatan gembira, meliputi kawasan sepanjang 140 meter.

McKinley Lake, Alaska

McKinley Lake

Tasik McKinley ini terletak berhampiran dengan Gunung McKinley, Alaska, iaitu gunung tertinggi di Amerika Utara, dengan ketinggian puncaknya lebih kurang 6,194 meter dari aras laut.

Kaki gunung ini lebih rendah daripada Gunung Everest tetapi meliputi kawasan yang lebih luas.

Eros Lake, India

Eros Lake

Tasik Eros ini berbentuk jantung hati (heart shaped) dan terletak di Puncak Chembra, India dengan ketinggian 1,398 meter di atas paras laut dan keluasan permukaan 1,827 meter persegi. Kawasan ini mempunyai suhu yang nyaman.

Peyto Lake, Canada

Peyto Lake

Tasik ini terletak di antara Rockies Canada dan berbentuk seperti beruang yang dinamakan Tasik Peyto bersempena mengambil nama Bill Peyto, iaitu orang yang mula-mula menjelajahi kawasan Banff ini.

Tasik ini dipenuhi oleh glasier dan jalan mudah untuk sampai ke sana ialah dari kawasan salji Parkway.

Manicouagan Lake, Canada

Manicouagan Lake

Tasik ini merupakan satu daripada tujuh keajaiban di Canada. Ia merupakan tasik empangan hidroelektrik yang berbentuk cincin, terletak di bahagian tengah tanah rendah/lembah Manicouagan di Quebec, Canada.

Tasik ini meliputi kawasan seluas 70 kilometer garis pusat dan merupakan tasik yang ditutupi salji sepanjang tahun di mana bahagian tengah cecincin tersebut dipenuhi oleh batuan yang dihakis oleh proses glasieran (glaciation).

Horseshoe Lake, Canada

Horseshoe Lake

Tasik berbentuk ladam kuda ini berasal daripada kelok sungai utama yang membentuk ladam kuda apabila diempang seperti kejadian tasik-tasik ladam kuda yang lain.

Tasik yang indah ini terletak di sepanjang Red River, dekat Morris di selatan Manitoba, Canada.

Horseshoe Bend Lake, Arizona, USA

Horseshoe Bend Lake

Tasik berbentuk ladam kuda yang cantik menghijau dan menyejukkan mata. Tasik Horseshoe Bend ini merupakan khazanah Sungai Colorado yang berkelok terletak di kawasan hilir sungai Tasik Powell yang terletak di Kawasan Rekreasi Kebangsaan Glen Canyon di Arizona, USA.

Schulensmeer Lake, Belgium

Schulensmeer Lake

Tasik Schulensmeer di Belgium ini adalah tasik semulajadi serta ditambah dengan buatan manusia dan secara tidak disedari ia berbentuk seperti pistol dengan kepanjangan 2.5 km.

Tasik ini terjadi apabila pada tahun 1970an, sebatang lebuhraya yang dibina di kawasan berhampiran menggunakan tanah di sini sehingga kawasan ini akhirnya menjadi tasik yang berbentuk pistol seperti sekarang ini.

Tasik ini menjadi tasik rekreasi untuk kapal layar, meluncur air dan aktiviti sukan air yang lain.

BACA INI JUGA: Misteri Menyeramkan Tasik Natron

Sumber: cari