Tuesday, April 15, 2014

Shakira Digelar Memualkan, Bodoh dan Pengkhianat


Shakira digelar ‘memualkan’, ‘bodoh’ dan ‘pengkhianat’ di Sepanyol selepas menyanyi satu lagu dalam album barunya dalam bahasa Catalan.

Shakira
Shakira tidak mengulas mengenai kecaman terhadapnya.

Penyanyi dari Colombia itu diselar oleh rakyat Sepanyol kerana merakamkan versi lagu ‘Boig per t’ di dalam bahasa berkenaan.

Mereka mendakwa Shakira, 37, secara terbuka menyokong tuntutan mewujudkan sebuah negara merdeka Catalan.

Beratus-ratus penduduk Sepanyol menyelarnya di Twitter berkait dengan lagu itu yang terkandung dalam album barunya, ‘Shakira’ yang mula berada di pasaran beberapa minggu lalu.

Seorang pengguna Twitter menulis: “Saya memang menganggap Shakira bodoh. Tetapi apabila dia menyanyi dalam bahasa Catalan, ia hanya membuktikan tanggapan saya.”

Seorang lagi menulis: “Shakira menyanyi dalam bahasa Catalan? Dia membuat saya membencinya.”

Seorang pengguna lain pula menulis: “Shakira menerbitkan album dengan sebuah lagu dalam bahasa Catalan menunjukkan dia benar-benar bodoh.”

Edisi Sepanyol album berkenaan mengandungi 14 lagu lain selain ‘Boig per t˙’, yang dalam bahasa Melayunya bermakna ‘Tergilakan anda.’

Majoriti lagu itu dinyanyikan dalam bahasa Inggeris kecuali tiga dalam bahasa Sepanyol.

Shakira yang tinggal di ibu negeri Catalan, Barcelona bersama-sama bintang bola sepak tempatan dan kebangsaan Gerard Pique dan anak mereka, Milan, tidak memberi sebarang reaksi terhadap kecaman itu.

Dia juga tidak mengulas mengenai dakwaan dia menyokong kemerdekaan rantau itu.

Bagaimanapun, menurut laporan, lagu itu yang mulanya dinyanyikan oleh kumpulan Catalan, Sau, adalah antara lagu kegemaran penyanyi berkenaan.

Masyarakat Catalan yang tinggal di sebahagian wilayah Sepanyol, Perancis dan Itali kini berusaha untuk mengadakan pungutan suara bagi pemerintahan sendiri.

Sementara itu, penyanyi berkenaan yang kini menjadi jurulatih rancangan ‘The Voice,’ terbitan NBC turut mencetuskan kejutan apabila berkata dia tidak akan berjaya sekiranya memasuki pertandingan menyanyi.

“Saya mungkin disingkirkan pada minggu pertama.

“Saya rasa, jika ada rancangan seperti ‘The Voice’ 20 tahun lalu, saya tidak pasti saya akan layak ke pusingan akhir,” katanya.

Kenyataan itu mungkin mengejutkan mereka yang mengetahui latar belakang kebangkitan penyanyi berkenaan.

Bintang itu menerbit album pertamanya, Magia, ketika berusia 13 tahun di negara asalnya Colombia.

Menjelang usianya 18 tahun, penya­nyi itu menjadi terkenal dengan album Pies Descalzos.

Sebaik Shakira menerbitkan album berbahasa Inggerisnya, Laundry Service pada 2001, kemasyhurannya di peringkat antarabangsa menyusul. -Hmetro

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon