Sunday, April 20, 2014

Kelab Manchester City Paling Kaya!


Bertuahnya badan andai menjadi salah seorang pemain skuad Manchester City! Semuanya gara-gara kelab itu menawarkan gaji paling lumayan kepada pemainnya dan kaji selidik diadakan baru-baru ini mengesahkan hakikat berkenaan.

Kelab Manchester City Paling Kaya!

Sesi kaji selidik yang dijalankan Sporting­intelligence itu mendapati kelab Liga Perdana Inggeris berkenaan membayar purata gaji £5.3 juta (RM28.8 juta) setahun kepada setiap pemain skuad utama dan jumlah itu bersamaan £102,653 (RM559,000) seminggu.

Kaji selidik terbabit juga mendedahkan enam daripada 10 kelab yang disenaraikan sebagai majikan paling mewah adalah kelab bola sepak dengan baki­nya diisi dua kelab besbol dan dua kelab bola keranjang.

Kelab Liga Perdana Inggeris, Manchester United menduduki tangga kelapan senarai berkenaan diikuti Chelsea (10), Arsenal (11) dan Liverpool (20).

Manchester City yang dimiliki Kumpulan Bersatu Abu Dhabi sejak 2008, dilaporkan membayar gaji pemain mereka lebih daripada gaji yang diterima pemain pasukan Major League Baseball, New York Yankees dan LA Dodgers yang masing-masing menduduki tangga kedua dan ketiga.

Major League Baseball - New York Yankees
Major League Baseball, New York Yankees.

Kelab gergasi Sepa­nyol, Real Madrid dan Barcelona mengisi tangga keempat dan kelima. Kedua-dua kelab La Liga berkenaan dilapor membayar gaji purata lebih £4.9 juta (RM26.6 juta) setahun.

Juara bertahan Liga Perdana Inggeris, United pula membayar purata gaji £4.3 juta (RM23.4 juta) manakala pendahulu, Liverpool membayar gaji purata £3.4 juta (RM18.5 juta) setiap pemain.

“Global Sports membuat kajian terhadap pendapatan ahli sukan, tetapi ia tidak termasuk pendapatan tambahan mereka hasil penajaan dan lain-lain,” kata laman web Sportingintel­ligence.

“Laporan hasil kaji selidik 2014 membuat semakan terhadap 294 pasukan di 15 liga di 12 negara membabitkan tujuh sukan berlainan: bola sepak, besbol, bola keranjang, gridiron, kriket, hoki ais dan bola sepak Aussie. Laporan itu turut mencakupi musim sedia ada ataupun yang sudah lengkap, bergantung kepada kemampuan akaun serta maklumat lain.”

Walaupun Brooklyn Nets dan Chicago Bulls menjadi pasukan Persatuan Bola Keranjang Kebangsaan yang tersenarai di dalam 10 teratas, liga itu kekal menjadi lubuk emas buat pemainnya apabila setiap seorang daripada 441 atlet yang terbabit dengan sukan berkenaan menerima gaji purata £2.98 juta (RM16.2 juta).

City salah satu daripada 76 kelab pernah disiasat UEFA atas dakwaan menyalahi peraturan pembayaran gaji dan keputusan me­ngenainya dijangka bakal diketahui dalam masa terdekat ini. [Sumber]

Bangga jadi Red Devils

Juan Mata dan David De Gea

Di sebalik kesibukan Juan Mata dan David De Gea mempertahankan Manchester United musim ini, kedua-dua masih sempat melayan pelbagai pertanyaan peminat pasukan yang pastinya mahu terus melihat Red Devils ‘garang’ di Liga Perdana Inggeris musim ini.

Banyak pertanyaan bermain di minda peminat United dan menerusi laman web sosial Facebook dan Twitter, Mata dan De Gea masih berupaya meluangkan masa emas masing-masing untuk meleraikan perta­nyaan diutarakan.

Ikuti beberapa perta­nyaan peminat yang sempat dijawab kedua-dua pemain berkenaan.

Juan Mata

(S): Anda dilihat sudah dapat menyesuaikan diri di Old Trafford, tetapi apa perasaan anda pertama kali turun di stadium kami sebagai pemain United? - Neeraj Chawla

(J): Bercampur baur. Sukar untuk saya menjelaskan perasaan itu de­ngan kata-kata. Saya bermain, gembira dan kami menang (ketika menentang Cardiff) dan saya dapat merasakan sikap prihatin dan kasih sayang yang ditunjukkan peminat. Hari pertama berlalu dengan hebat dan terdapat banyak perkara yang bakal saya ingat hingga bila-bila.

(S): Saya ada melihat anda bersiar-siar di sekitar muzium Manchester United baru-baru ini - adakah anda kagum dengan apa yang anda lihat? - Hannah Clarke

(J): Semua orang sedar sejarah kelab ini tetapi apabila anda melihat sendiri kegemilangan pernah dicapai termasuk piala pernah dimenangi, anda pasti sedar dan merasai kehebatannya. Bagi saya, memang seronok apabila dapat belajar dan mengetahui sejarah keagungan kelab dan saya rasa, sejarah milik United adalah antara yang terbaik di negara ini.

(S): Siapa yang lebih pandai memasak - anda atau rakan baik anda, David De Gea? - Jerry Ferguson

(J): Saya rasa kami berdua memang tidak pandai memasak. Saya mahu menjadi tukang masak yang lebih baik. Ada rakan saya memberitahu memasak aktiviti yang agak menyeronokkan dan saya mahu belajar lebih lagi.

(S): Siapakah pemain bola sepak yang menjadi idola anda ketika anda masih kanak-kanak? - Becca Meagan

(J): (Roberto) Pompei. Dia bekas pemain tengah Real Oviedo. Saya pernah dan akan terus menyokongnya. Beliau turut bermain untuk Argentina. Saya turut meminati Pablo Aimar yang juga pemain Argentina. Ketika masih di Real Madrid, saya suka melihat aksi Zinedine Zidane kerana dia bermain dengan penuh gaya tersendiri.

(S): Apakah kegemaran anda selain bola sepak? - Chris Hempston

(J): Saya suka buat ba­nyak perkara. Saya suka membaca dan menonton wayang serta televisyen jika saya tidak bersama pasukan. Ketika cuti, saya suka meneroka tempat baru di kampung atau bandar berdekatan rumah saya. Saya seorang yang suka ambil tahu dan saya mahu tahu banyak perkara.

David De Gea

(S): Bagaimana anda melihat peluang anda untuk ke Piala Dunia? - Nkosi Edwin M Dube

(J): Victor Valdes mengalami kecederaan dan saya simpati de­ngannya. Kecederaan bukanlah sesuatu yang disukai oleh pemain bola sepak. Ia satu situasi me­ngecewakan, tetapi ia mungkin satu peluang buat saya menjadi penjaga gol utama di Piala Dunia.

(S): Bagaimana anda melihat jari­ngan Wayne Rooney di West Ham berbanding gol lain yang pernah anda saksikan sebelum ini? - Pascal Robert

(J): Ia sudah pasti sesuatu yang hebat dan jarang dapat dihasilkan mana-mana pemain. Jaringan itu sukar dilakukan kerana keadaan bola yang melantun. Untuk menjaringkan gol daripada keadaan itu memerlukan skil serta kemampuan yang luar biasa.

(S): Adakah anda berpeluang memenangi anugerah Pemain Terbaik Tahunan United? - Alberto Rodriguez

(J): Saya tidak tahu. Terpulang kepada peminat yang mengundi. Saya tidak memikirkan soal itu sebaliknya hanya mahu beraksi sebaik mungkin. Saya mahu mengharungi musim ini dengan baik dan kekal di landasan sekarang. Kami sudah memiliki pemain yang beraksi cemerlang sepanjang musim ini dan saya fikir mereka lebih layak. Terdapat ramai calon, tetapi sukar untuk memilih pemenangnya.

(S): Pemain mana paling sukar dihadapi ketika latihan? - Jon Guerrero

(J): Mereka semua pemain hebat dan setiap kali latihan, ia memerlukan kesungguhan ting­gi semua yang terbabit. Ia bermakna anda perlu sentiasa meningkatkan kemampuan diri. Chicha banyak menjaringkan gol ketika latihan, begitu juga Rooney - tetapi mereka semua bagus. [Sumber]

OLEH: Sentiasapanas.com

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon