Wednesday, April 30, 2014

Brunei Mula Laksanakan Hudud Bermula Esok


Sultan Hassanal Bolkiah mengumumkan pelaksanaan hukum hudud fasa pertama bermula esok.

Brunei laksana hudud

"Dengan rasa rendah diri dan bersyukur kepada Allah SWT ingin diumumkan bahawa pelaksanaan hukum hudud fasa pertama akan bermula esok, 1 Mei 2014 dan fasa berikutnya akan dilaksana secara berperingkat," katanya dalam ucapan, hari ini.

Pelaksanaan hukum hudud termasuk hukum sebatan, memotong anggota badan dan rejam sampai mati akan dibuat secara berperingkat dari semasa ke semasa berdasarkan jenis jenayah yang dilakukan.

Walaupun ramai majoriti Melayu Islam telah menyuarakan sokongan, langkah tersebut mencetuskan kebimbangan di kalangan ramai rakyat bukan Islam dan membawa kritikan serta menjadi topik hangat di laman sosial.

Bagaimanapun, Sultan bertitah supaya kritikan tersebut dihentikan. -AFP

Pakatan Pembangkang Bergolak Sebab Hudud!

Pakatan-Rakyat-Hudud

Sementara itu, di Malaysia pula, pertelingkahan yang berlaku antara parti-parti komponen pakatan pembangkang disebabkan rancangan PAS mahu melaksanakan undang-undang hudud di Kelantan semakin kronik.

Jika rancangan itu sebelum ini cuma menimbulkan polemik antara PAS dengan DAP, kini kemelut isu tersebut turut dibebani Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Ia apabila Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan hari ini secara terbuka mendakwa Naib Presiden Parti Keadilan, Tian Chua sebagai penipu kerana membuat kenyataan tidak benar berhubung pendirian DAP ke atas undang-undang hudud.

“Saya telah mengemukakan kemarahan kepimpinan DAP kepada Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap pembohongan Tian Chua yang mendakwa DAP pernah bersetuju dengan rancangan PAS melaksanakan hudud di Kelantan dan Terengganu.

“DAP menganggap ia perbuatan tidak bertanggungjawab, salah dan tidak beretika oleh Tian Chua kerana mengheret DAP ke atas pendiriannya menyokong PAS melaksanakan hudud,” tegasnya melalui satu kenyataan media hari ini.

Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, pimpinan DAP amat terkejut dengan kenyataan Tian Chua tersebut dan lebih teruk kenyataan pemimpin PKR itu mendapat liputan meluas media.

Tegas beliau, Tian Chua mempunyai hak untuk menyokong pelaksanaan undang-undang hudud tetapi beliau tidak sepatutnya mengheret dalam pendirian tersebut.

Justeru, beliau menggesa Tian Chua supaya menghentikan pembohongan tersebut.

Guan Eng dalam pada itu meminta pimpinan PAS memberi tumpuan terhadap isu pengurusan ekonomi yang merupakan faktor utama yang menentukan kemenangan atau kekalahan dalam pilihan raya.

Beliau mengingatkan PAS bahawa parti itu menang dalam pilihan raya umum 2008 bukan disebabkan isu hudud tetapi disebabkan isu salah guna kuasa dan kegagalan menguruskan ekonomi.

“Jika UMNO boleh menang pilihan raya tanpa berkempen melaksanakan hudud, PAS sepatutnya boleh melakukan perkara sama,” katanya. –Mynewshub.my

-Sentiasapanas.com

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon