Saturday, March 29, 2014

Pasangan Malaysia Di Sweeden Dipenjara 14 Dan 10 Bulan!


Mahkamah Daerah Solna di Stockholm menjatuhkan hukuman penjara 10 bulan ke atas Pegawai Tourism Malaysia di Sweden Azizul Raheem dan 14 bulan terhadap isterinya, Shalwati Norshal kerana mendera anak-anak mereka pada Disember tahun lepas.

Pasangan Malaysia Di Sweeden Dipenjara 14 Dan 10 Bulan!

Pengerusi Sukarelawan Peguam Untuk Semua (Sukaguam) Datuk Khairul Anwarm Rahmat, ketika dihubungi, mengesahkan perkara itu.

Katanya, beliau dimaklumkan perkara itu oleh wakil Sukaguam yang hadir di mahkamah ketika prosiding jatuh hukum terhadap pasangan berkenaan pada kira-kira 6 petang (waktu di Stockholm 11 pagi).

Khairul berkata pasangan itu berdepan hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum enam tahun dan berdasarkan perkembangan terkini, mereka dijangka bebas hujung tahun ini.

Kedua-duanya ditahan reman sejak 18 Disember lepas.

Beliau berkata Sukaguam akan menasihati anggota keluarga serta kerajaan Malaysia untuk mengemukakan rayuan.

Khairul berkata di bawah undang-undang Sweden, Azizul dan Shalwati mempunyai tempoh tiga minggu untuk memfailkan rayuan.

Shalwati dan Azizul didakwa mengasari dan mencabuli integriti anak-anak mereka dengan memukul serta mendera kanak-kanak terbabit di kediaman pasangan itu di Spånga antara 15 September 2010 dan 17 Disember 2013.

Shalwati, seorang guru yang sedang bercuti tanpa gaji, dan suaminya ditahan reman selepas memukul tangan seorang anak mereka kerana tidak bersolat.

Keempat-empat anak pasangan itu, Aishah, 14, Ammar, 12, Adam, 11 dan Arif, 7, yang sebelum ini ditempatkan di bawah jagaan keluarga angkat bukan beragama Islam di Sweden kerana kes itu, telah diserahkan kepada Kedutaan Malaysia di Stockholm pada 30 Januari lepas.

Kesemua anak pasangan itu pulang ke Malaysia pada 31 Jan lepas dan kini dijaga oleh bapa dan emak saudara mereka di Kelantan.

Sementara itu, mengikut kenyataan akhbar yang dimuat naik ke laman sesawang Mahkamah Daerah, Hakim Mattias Moller dipetik sebagai berkata Shalwati didapati bersalah mencabuli integriti anak perempuan dan anak lelaki sulungnya selain mendera dua lagi adik lelaki mereka.

Azizul pula didapati bersalah mencabuli integriti anak lelaki sulungnya dan mendera anak perempuan serta anak lelaki kedua.

Bagaimanapun, dia dibebaskan daripada sebarang pertuduhan berkaitan anak bongsunya.

Pasangan itu juga diarah membayar ganti rugi kepada anak-anak mereka berdasarkan sabitan mahkamah.

Menurut kenyataan itu lagi, Moller berkata keganasan yang dilakukan pasangan itu secara relatif adalah kecil namun pertuduhan terhadap mereka membaitkan perlakuan keganasan yang sistematik dan berulang.

"Kebanyakan keganasan itu dilakukan dengan tangan namun sebatang rotan dan penyangkut baju turut digunakan," katanya.

Mahkamah itu turut memutuskan bahawa keterangan anak-anak pasangan itu boleh dipercayai dan tiada bukti yang menunjukkan mereka ingin mendatangkan mudarat kepada ibu bapa mereka dengan mereka maklumat tidak benar serta menyerahkannya kepada polis.

Moller juga berkata meskipun tiada sokongan dalam bentuk pemerhatian perubatan, butiran yang diberikan kanak-kanak berkenaan disahkan oleh keterangan saksi pendakwaan berdasarkan apa yang diberitahu anak-anak pasangan itu kepada mereka. -Bernama

Keluarga pasangan di Sweden tak rancang merayu

Norshalena Norshal
Norshalena Norshal sedih kakak dipenjara.

Keluarga pasangan Malaysia, Shalwati Norshal dan Azizul Raheem Awalludin, yang dihukum penjara oleh Mahkamah Daerah Solna di Stockholm, Sweden semalam, reda dengan keputusan itu serta tidak merancang untuk mengemukakan rayuan.

Kakak Shalwati, Noor Azila Makhzan berkata walaupun sedih, mereka membuat keputusan tidak akan mengemukakan rayuan kerana khuatir hukuman lebih berat dikenakan ke atas pasangan itu.

"Ini selepas perbincangan dengan anggota keluarga, kalau buatpun kita takut hukuman bertambah berat sedangkan peguam kitapun sememangnya peguam hebat tetapi keputusan masih tidak menyebelahi kita," katanya ketika dihubungi Bernama.

Mahkamah Daerah Solna menjatuhkan hukuman penjara 14 bulan terhadap Shalwati dan 10 bulan terhadap Azizul Raheem bagi kesalahan mengasari serta mencabuli integriti anak-anak mereka.

Noor Azila berkata Shalwati dan Azizul Raheem sebelum ini turut menyatakan bahawa mereka bersedia dengan apa jua hukuman, meskipun pada hakikatnya mengharapkan yang terbaik.

"Ini undang-undang Sweden, kita tak boleh kata apa, dia lain daripada yang lain, kita nak komen lebihpun tak boleh," katanya.

Noor Azila juga berkata anggota keluarganya di Kota Baharu, Kelantan akan terus menjaga keempat-empat anak pasangan itu.

"Kita juga dah maklum pada anak-anak mereka apa yang berlaku. Mereka akan terus kami jaga," katanya.

Sementara itu, di KOTA BAHARU, adik Shalwati, Shaleena Norshal, 43, seorang guru yang mempunyai empat anak berusia antara dua dan 17 tahun, turut reda dengan keputusan mahkamah.

"Kami redha dengan keputusan yang dibuat oleh pihak mahkamah, dan kalau ikut pendakwa raya, mereka ingin jatuhkan hukuman selama dua tahun," kata beliau kepada pemberita di rumahnya di Kampung Wakaf Tok Wali, Melor hari ini.

Shaleena berkata beliau tahu keputusan itu menerusi aplikasi Whatsapp yang diterima daripada seorang anggota keluarga mereka yang berada di Sweden.

"Kami dah dapat jangka keputusan ini, kami redha dan bersyukur sebab ini hukuman paling minimun yang diberikan kepada mereka dan kami akan berdoa dan lakukan solat hajat agar dipermudahkan urusan mereka.

"Hukuman ke atas mereka akan dikurangkan jika berkelakuan baik, apa yang saya tahu, mereka juga kena bayar pampasan kepada anak-anak mereka tetapi jumlahnya masih belum diketahui," katanya.

Azizul Raheem, pegawai Tourism Malaysia di Sweden dan Shalwati, seorang guru yang bercuti tanpa gaji, ditahan reman sejak 18 Disember tahun lepas kerana didakwa memukul tangan seorang anak lelaki mereka kerana tidak solat.

Wartawan tidak dibenarkan oleh keluarga untuk menemu bual anak-anak pasangan itu iaitu Aishah, 14, Ammar, 12, Adam, 11 dan Ariff, 7. -Bernama

-Sentiasapanas.com

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon