Thursday, March 27, 2014

MH370: Boeing Dan MAS Bakal Berdepan Saman!


Lebih ramai keluarga penumpang MH370 menghubungi firma guaman yang berpangkalan di Chicago untuk membantu mereka memfailkan saman terhadap pembuat pesawat itu, Boeing dan Malaysia Airlines (MAS) kerana yakin tragedi berlaku kerana kegagalan mekanikal.

MH370 - Ribbeck Law Chartered

Keluarga – dari China, Malaysia dan Indonesia – adalah yang terakhir menghubungi Ribbeck Law Chartered, iaitu pakar undang-undang penerbangan, selepas firma itu memfailkan petisyen penemuan dalam Mahkamah Negeri Circuit of Cook, Illinois, bagi pihak Dr Januari Siregar yang hilang anak berusia 25 tahun apabila pesawat MH370 terhempas.

Dr Januari yang juga seorang peguam, menghubungi Ribbeck kerana dia bekerja dengan mereka semasa pesawat Garuda Indonesia terhempas lima tahun lalu.

Petisyen itu bertujuan untuk mendapatkan rekabentuk dan pembuatan bermasalah yang mungkin menyebabkan tragedi melibatkan 239 penumpang dan anak kapal di atas pesawat itu.

Seramai 239 penumpang di atas pesawat itu termasuk 153 warganegara China dan 12 anak kapal yang semuanya rakyat Malaysia.

Pemfailan ini, kata Ketua Litigasi Penerbangan Global Ribbeck, Monica Kelly, adalah tindakan pra-litigasi untuk mengenalpasti pihak yang bertanggungjawab dalam tragedi itu.

Boeing dinamakan sebagai defendan pertama manakala MAS, sebagai syarikat penerbangan dinamakan sebagai defendan kedua.

“Kami yakin kedua-dua defendan bertanggungjawab ke atas tragedi pesawat MH370,” kata Kelly.

Beliau mendedahkan, pihak yang terlibat mempunyai masa 30 hari untuk menjawab petisyen ini, di mana selepas ini firma itu akan memfailkan saman bernilai jutaan ringgit bagi pihak keluarga terhadap mereka yang bertanggungjawab.

“Kami jangka akan mewakili lebih 50% daripada keluarga penumpang yang berada di atas pesawat itu,” tambahnya.

“Keluarga nampanya menerima hakikat bahawa pesawat itu terhempas dan mereka sedia menerima punca sebenar mengapa ia berlaku dan tindakan ini akan memberikan mereka maklumat.

“Kami akan buktikan kegagalan mekanikal dalam rekabentuk pesawat adalah punca kapal terbang ini terhempas,” katanya.

MH370, pesawat Boeing 777-200ER, hilang daripada radar pada 8 Mac selepas terbang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Beijing.

Selepas 17 hari pencarian, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan berdasarkan bukti baru, pesawat MH370 itu berakhir di selatan Lautan Hindi, tenggara Perth, Australia, tanpa ada yang terselamat.

Bagaimanapun, tiada sebarang cebisan ditemui sehingga kini walaupun beberapa satelit berjaya merakam objek di kawasan dinyatakan.

122 Objek Dikesan Di Lautan Hindi

Agensi Remote Sensing Malaysia (ARSM) telah menerima data imej satelit baru dari Airbus Defence and Space di Perancis semalam berkaitan objek yang ada kemungkinan datang dari pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370.

Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata imej berkenaan telah dirakam pada Ahad lepas.

“ARSM telah membuat analisis ke atas data terbaru satelit berkenaan yang menunjukkan satu kawasan di Lautan Hindi dengan keluasan kira-kira 400 km persegi menunjukkan 122 objek berpotensi dari MH370.

“Sesetengah objek bersaiz kira-kira 1 meter panjang dan objek lain ia bersaiz berbeza, sesetengah objek berwarna terang yang dijangkakan bahan berupa pepejal, ia dikesan kira-kira 2,557km dari Perth, Australia,” kata Hishammuddin dalam sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Menurut beliau informasi itu segera diberikan kepada pihak berkuasa Australia yang mengetuai operasi mencari dan menyelamat (SAR) di koridor Selatan di Lautan Hindi.

“Maklumat data satelit yang diterima ARSM segera diberikan kepada Pusat Koordinasi Menyelamat Australia di Perth semalam,” katanya.

Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata perlu diingatkan kesemua objek berkenaan masih belum boleh disahkan daripada peswat MH370 tetapi ia adalah satu lagi petunjuk baru dalam mengesan pesawat berkenaan.

“Kita masih belum boleh membuat pengesahan objek berkenaan adalah serpihan pesawat MH370 bagaimanapun ini adalah satu lagi petunjuk baru yang akan membantu operasi SAR pesawat MH370,” katanya.

Dengan kemasukan data satelit dari Airbus berkenaan, sehingga kini terdapat empat petunjuk data imej satelit telah diterima dari Australia, China dan Perancis dengan menunjukkan objek yang berkemungkinan adalah serpihan pesawat itu.

Operasi SAR MH370 masuk hari ke-19 hari ini selepas pesawat MH370 dilaporkan hilang pada 8 Mac lepas ketika dalam penerbangan ke Beijing dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Pesawat itu membawa 239 penumpang termasuk anak kapal dikendalikan oleh juruterbang MAS Kapten Zaharie Ahmad Shah dan pembantu juruterbang Pegawai Pertama Fariq Abdul Hamid. -Mynewshub.my

-Sentiasapanas.com

1 comment

  1. Assalammualaikum... sentiasa panas,

    kesian gak kepada keluarga mangsa dan MAS yang bakal berdepan tindakan.. pape kita serahkan kepada yang pihak berkuasa.. redha dan pasrah aje. Ini semua ada dugaan yang harus kita terima dengan hati terbuka.

    mselim3

    ReplyDelete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon